HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Januari 2022

Jangan jadikan tuduhan SPRM isu politik – Wan Saiful

MALAYSIA POST

Jangan jadikan tuduhan SPRM isu politik – Wan Saiful

SURUHANJAYA Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) harus kekal sebagai agensi yang dipercayai oleh rakyat, tanpa mengira warna politik, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ini kerana katanya, SPRM merupakan satu entiti amat penting dalam usaha memastikan integriti dan tadbir urus yang baik dalam negara.

“Saya sendiri beberapa kali meminta nasihat daripada SPRM dalam beberapa isu kerana ia seharusnya menjadi rujukan kita dalam menegakkan integriti pentadbiran negara.

“Sebab itulah bagi saya, kritikan demi kritikan yang melanda SPRM hari ini perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan. Jangan dibiarkan kepercayaan itu terhakis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata, segala tuduhan ke atas SPRM perlu ditangani serta serta-merta jika ia adalah benar.

Bagaimanapun, katanya, jika tuduhan itu palsu seharusnya perlu menjadi perhatian kerana ia bersifat sengaja ingin memburukkkan imej SPRM.

“Jika tuduhan itu palsu, mesti juga ada tindakan kepada mereka yang sengaja menyebarkan tuduhan palsu kepada entiti yang sebegitu penting.

“Saya juga rasa janganlah kita jadikan ini isu politik. Entiti seperti SPRM ini terlalu penting untuk dibiarkan menjadi modal politik mereka yang mahu ambil kesempatan.

“Kita mahu semua orang kekal percaya kepada kredibiliti institusi ini,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: