HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 Januari 2022

Siasatan SC: Peguam Negara tak boleh berdiam diri

MALAYSIA POST

Siasatan SC: Peguam Negara tak boleh berdiam diri

AHLI Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mempersoalkan adakah Suruhanjaya Sekuriti (SC) merujuk hasil siasatan berkaitan kes Tan Sri Azam Baki kepada Peguam Negara untuk mendapatkan pandangan.

Wakil rakyat DAP itu berkata, walaupun Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) membuat peruntukkan berkenaan akaun sekuriti, sebarang pelanggaran peruntukan dalam Akta itu boleh juga membawa kepada tindakan yang boleh membawa penalti.

Katanya, kuasa untuk memulakan, menjalankan dan memberhentikan sebarang prosiding untuk kesalahan di negara ini terletak pada Peguam Negara mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi Peguam Negara selepas melihat hasil siasatan, untuk memberi pandangan dan/atau mengarahkan siasatan lanjut dilakukan mengenai perkara itu.

“Dalam satu kenyataan beberapa hari lalu, saya telah menimbulkan kebimbangan berkenaan SPRM yang juga sedang menyiasat beberapa individu dalam SC dan bertanya sama ada dalam keadaan sedemikian, sebarang siasatan dan hasil siasatan oleh SC adalah berpatutan atau tidak.

“Peguam Negara tidak boleh berdiam diri dalam perkara ini. Beliau harus, sebagai Pendakwa Raya, menjelaskan perkara ini. Adakah dia mengkaji hasil siasatan yang dilakukan oleh SC itu dan membuat sebarang keputusan berkaitannya?

“Jika dia tidak melakukannya, adakah SC mempunyai kuasa untuk “memutuskan” perkara itu seperti yang dilakukan tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

SC semalam berkata, pihaknya tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada berlaku pelanggaran undang-undang di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti berhubung isu pemilikan saham Azam dan menamatkan inkuiri.

Susulan itu, Azam menzahirkan rasa syukur atas keputusan SC yang mendapati tiada sebarang kesalahan terhadapnya berhubung dakwaan pemilikan saham menerusi akaun dagangan milik dirinya.

Dengan itu, Azam berkata beliau akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk membanteras gejala rasuah tanpa mengira darjat atau pangkat. – Malaysiapost

Tiada ulasan: