HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Januari 2022

‘Masih ada jalan penyelesaian selamatkan MN’ – Nik Abduh

MALAYSIA POST

‘Masih ada jalan penyelesaian selamatkan MN’ – Nik Abduh

WALAUPUN Umno menolak Perikatan Nasional (PN) ia tidak bermakna pengakhiran buat Muafakat Nasional (MN) kerana masih ada jalan penyelesaian untuk menyelamatkan gabungan itu.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, berkata pertengkaran dalam politik adalah perkara biasa, namun perpecahan tidak digalakkan dalam politik Islam kerana boleh menyebabkan kemunduran.

“PN adalah usaha murni PAS, namun jika Umno bertegas menolaknya hari ini, maka ia sama sekali tidak boleh dilihat sebagai pengakhiran kepada Muafakat Nasional (MN) oleh kedua-dua parti kerana jalan penyelesaian bukanlah sukar untuk ditemukan.

“Kita umat yang biasa bertengkar dalam politik. Ia cerita lama yang kita terpaksa lalui dan terima. Ia sejarah perpecahan umat.

“Tetapi ia tidak boleh menjadi acuan politik Islam. Perpecahan bukan ketandaan umat Islam yang berjaya. Perpecahan akan terus mengekalkan kemunduran politik Islam,” katanya menerusi Facebook.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, kejayaan politik Islam adalah bergantung kepada keupayaan semua pihak untuk memecah kebuntuan lama.

“Fiqh perpaduan haruslah diketengahkan sebagai tambah baik kepada maksud fiqh ikhtilaf.

“Kita perlukan pemimpin negara berjiwa kasih sayang yang luas dan damai seluas jiwa merdeka yang hanya sujud dan takut kepada Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian menyokong kenyataan Majlis Syura Ulamak PAS (MSU) dalam muzakarahnya baru-baru ini betapanya pentingnya usaha berterusan untuk memperkasakan MN dan PN dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam.

Justeru, beliau konsisten mencadangkan agar usaha menjaga dan mengukuhkan MN adalah sebahagian daripada tanda kesyukuran kepada Allah di atas nikmat perpaduan.

“Segala kemajuan yang ingin kita capai selepas itu mestilah bertitik tolak daripada jaminan kemampuan dan kelestarian kita memugari Muafakat Nasional dengan sebaiknya,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: