MALAYSIA POST
AGENDA mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bakal berlangsung malam ini hanya akan membincangkan perkara berkaitan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021.
Perkara itu diberitahu Ahli MKT Umno, Datuk Armand Azha Abu Haniffah yang menyatakan mesyuarat kali ini akan menentukan tarikh sesuai untuk PAU 2021 diadakan.
“PAU 2021 kita tahu yang sepatutnya diadakan 13 hingga 15 Januari ini telah ditangguhkan kerana masih ada negeri-negeri menghadapi bencana banjir.
“Kita diberitahu mengenai itu, iaitu tarikh baru PAU 2021 yang akan dibincangkan malam ini selain apakah usul-usul yang akan dibawa oleh perwakilan dalam PAU 2021 nanti,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost, hari ini.
Ditanya adakah agenda mesyuarat kali ini akan membincangkan nasib ahli dan pemimpin Umno yang melanggar disiplin parti, Armand Azha menjelaskan, perkara itu tidak akan berbangkit dalam mesyuarat tersebut.
“Mesyuarat MKT ini adalah rutin mesyuarat bulanan, biasa saja. Kita hanya bincangkan perihal parti. Kalau masalah disiplin itu bukan di sini, ia akan diputuskan Lembaga Disiplin parti.
“Setakat ini itu saja yang diberitahu. Tiada pun agenda lain. Mungkin ada agenda lain, itu saya tidak tahu. Kita tunggu sahajalah mesyuarat MKT ini selesai,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan