HALAMAN SANTAI

Ahad, 11 November 2007

Tahniah rakyat Malaysia! pilih jalan raya tuntut demokrasi tulen - Presiden PAS

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang memberi ucapan tahniah dan penghargaan tinggi kepada peserta perhimpunan kerana tidak gentar dengan ugutan dan memilih jalan raya untuk menuntut demokrasi tulen di negara ini.

"Tahniah kepada Bersih yang telah berjaya anjurkan perhimpunan rakyat pada hari ini.Kepada seluruh peserta himpunan yang datang dari seluruh pelusuk negara saya ucapkan setinggi tahniah, kerana telah berjaya buktikan kepada dunia, bahawa rakyat Malaysia juga mempunyai kesedaran berjuang untuk membawa perubahan dalam negaranya," tegas Tuan Guru Abdul Hadi dalam ceramah umumnya di Markaz Tarbiyyah PAS Taman Melewar malam tadi.

Turut serta dalam ceramah umum anjuran Bersih di Taman Melewar malam tadi selepas himpunan 100,000 rakyat pada jam 2.30 petang semalam berjaya ialah, Penasihat Perti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; AJK DAP Pusat, Ronnie Liu dan Koordinator Penggerak Demokrasi, Anuar Tahir.

Presiden PAS melahirkan tahniah kepada peserta himpunan aman kerana cukup bersabar walaupun ada gangguan sambil menyifatkan kesediaan mereka menyertai himpunan semalam adalah satu pengorbanan yang sangat mahal harganya,

"Kita memilih jalan untuk turun di jalan raya jangan paksa kita masuk hutan," katanya sinis sambil disahut dengan laungan takbir oleh penonton.

Kesakitan adalah kemanisan dalam perjuangan

"Tahniah kepada rakan-rakan yang ditahan (42 orang tetapi telah dibebaskan lewat malam tadi) yang sakit.Yang sakit itu adalah kemanisan dalam perjuangan.Mudah-mudahan yang menerima kemanisan perjuangan ini dapat fadhilat dari Allah," katanya.

Katanyanya, rakyat memilih jalan raya, setelah melihat pilihan raya yang penuh dengan kekotoran dan penyelewengan, yang bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Asas kepada prinsip demokrasi ialah yang memberi hak kepada rakyat menjadi hakim yang adil, melalui 'mahkamah' yang diberi kepada rakyat iaitu pilihan raya, katanya.

"Kita faham demokrasi bukan sahaja mengundi dengan bebas, demokrasi juga termasuk media yang bebas diberi peluang kepada semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya.

Pemerintah zalim, sekat media

"Parti pemerintah adalah zalim apabila tidak beri ruang kepada parti yang bukan memerintah untuk menyatakan hujah melalui media," katanya.

Demokrasi yang adil mestilah minda rakyatnya terbuka boleh berfikir dengan baik dapat maklumat dari semua pihak, ujarnya.

Apa yang berlaku pada hari ini demokrasi media 'dicekik' dan disempitkan hingga rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil melalui pilihan raya, tegasnya.

Rakyat menjadi mangsa kezaliman dalam masa singkat kerana mereka ditipu dengan hanya beberapa jam dalam pilihan raya, katanya lagi.

PAS dan rakan-rakan parti politik lain serta rakanrakan NGO menubuhkan Bersih untuk lakukan satu gerakan rakyat supaya kelak satu reformasi berlaku dalam demokrasi.

Kata Presiden PAS itu, demokrasi yang baik yang menjadi alat yang penting memilih kerajaan yang sihat melalui pilihan raya yang adil.

Setiap kerajaan ada ajalnya

Ustaz Hadi seterusnya menasihatkan rakyat bahawa, Allah mengajar supaya hambanya berwirid dalam solat lima waktu.

Maksud wirid yang dibacakan Presiden PAS "katakanlah wahai Allah tuhanku yang memiliki kerajaan, mengurniakan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau rampas dari sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, ditangan kekuasaan Engkau sahajalah wahai tuhan segala kebaikan dan Engkau maha berkuasa di atas segala-gakanya".

Kata Tuan Guru Abdul Hadi lagi, Allah menjadikan kerajaan adalah ujian kepada pemimpin dan rakyat.

Ada kerajaan yang baik dan adil, ada kerajaan yang zalim dan jahat, silih berganti, ujarnya.

"Allah tidak menjadikan kerajaan dalam dunia ini kekal selama-lamanya termasuk kerajaan Nabi Sulaiman; Nabi Daud dan Nabi Muhammad s.a.w ada ajalnya," katanya..

Kerajaan zalim pasti temui ajalnya

Begitulah kerajaan yang zalim tidak akan memerintah lama ada ajalnya termasuk kuasa besar dunia Jerman, Perancis, Soviet Union dan kini Amerika Syarikat, semuanya ada ajalnya," katanya.

"BN jangan ingat parti itu tak ada ajal macam orang lain mereka juga ada ajal.Akan tiba masa tamat riwayatnya.

"Orang yang beriman mahu ajalnya disudahkan dengan baik dan hormat bukan ajak disudahkan dengan memalukan.Kita beri peringatan kepada pemimpin BN tamatkanlah riwayat kamu dengan nama yang baik.Jangan tamatkan riwayat kamu dengan nama buruk dan jahat," katanya.

Sambil melaungkan keyakinan bahawa rakyat Malaysia boleh berhadapan dengan kerajaan jahat BN sepertimana rakyat Indonesia, Filipina dan Thailand berhadapan dengan kerajaan mereka yang jahat.

"Rakyat Malaysia boleh berhadapan dengan BN.Wahai BN tamatkan riwayat kamu dengan cara yang terhormat.Ayuh bersihkan demokrasi yang kamu kotorkan.Kalau kamu berkeras percayalah kuasa kamu tak kekal selamanya, kita buktikan keyakinan kita pada hari ini," tegasnya.

Sabtu, 10 November 2007

Angkasawan Dr Faiz tidak digalak nikah sebelum 2011

SHAH ALAM: Bakal angkasawan kedua negara Mej Dr Faiz Khaleed tidak digalakkan berkahwin sehingga misi penghantaran angkasawan kedua ke angkasa lepas pada 2011 selesai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Jamaludin Jarjis berkata ia bagi memastikan bakal angkasawan kedua itu dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap setiap sesi latihan sebelum misi kedua itu dilaksanakan kelak.

"Saya takut bila beliau (Faiz) berkahwin beliau akan teringatkan isteri dan anak sehingga boleh menjejaskan latihannya terutama bila berada di angkasa lepas nanti," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Sirim Bhd di sini hari ini.

Jamaludin bagaimanapun berkata saranan itu bukan paksaan dan terpulang kepada Faiz untuk mempertimbangkannya sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Angkasawan pertama negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 34, baru-baru ini mengumumkan bahawa beliau akan menamatkan zaman bujangnya pada 2009.

Jamaludin berkata kerajaan akan terus menghantar Faiz menjalani latihan tidak lama lagi setelah menerima tawaran secara rasmi dari kerajaan Russia melalui Agensi Angkasa Persekutuan Russia (Roskosmos) mengenai kekosongan satu slot untuk menghantar angkasawan kedua negara ke angkasa lepas selewat-lewatnya pada 2011.

"Saya juga akan maklumkan kepada Nasa (Pentadbiran Aeronautikal dan Angkasa Kebangsaan) dan kami akan buat lawatan ke Nasa hujung tahun ini atau awal tahun depan bagi membincangkan rancangan untuk hantar Faiz menjalani latihan di Nasa.

"Oleh itu bila kita hantar calon angkasawan untuk jalani latihan kita kena hantar dua rakyat Malaysia dan insya Allah mulai tahun depan kami akan buat secepat mungkin pemilihan angkasawan yang ketiga," katanya.

Beliau berkata dua calon finalis angkasawan bagi misi pertama dahulu iaitu juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) Mohamed Faiz Kamaluddin, 34, dan jurutera yang juga calon wanita tunggal, S. Vanajah, 35, akan cuba dimasukkan dalam saringan akhir pemilihan yang bakal ditentukan oleh pengurusan jawatankuasa panel pemilihan.

"Sama ada terpilih untuk masuk dalam saringan terakhir saya serah kepada budi bicara pengurusan jawatankuasa panel pemilihan yang dipengerusikan Tun Hanif Omar kerana mereka akan tentukan keadaan dan struktur pemilihan dengan kerjasama Russia dan Nasa," katanya.

Selain itu Jamaludin berkata pihaknya bercadang untuk menjadikan tarikh 10 Okt sebagai Hari Angkasawan sebagai memperingati tarikh Sheikh Muszaphar ke angkasa lepas.

Jika perbincangan untuk membeli pesawat Soyuz TMA11 yang membawa angkasawan pertama itu ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berjaya, ia akan dijadikan sebagai tugu bagi memperingati tarikh bersejarah itu.

"Kami akan bawa cadangan ini ke Kabinet dan jika diluluskan kami akan jadikan 10 Okt sebagai Hari Angkasawan iaitu hari yang bermakna kepada negara khususnya kepada generasi muda bagi menjadikan kejayaan Muszaphar sebagai pencetus semangat mereka untuk menuntut ilmu pengetahuan secara berterusan," katanya. BERNAMA

Ejen calon dibenar perhati proses kira undi di balai polis


PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membenarkan ejen-ejen calon memerhati proses pengundian pos yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) atau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara mulai pilihan raya umum ke-12 ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, SPR juga sedang berunding dengan pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membolehkan ejen-ejen calon memerhati proses pengundian pos yang diadakan di markas-markas atau kem-kem tentera.

“Cara ini diharap dapat menangkis segala tohmahan liar yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kepada SPR, kononnya ada manipulasi atau ketidaktelusan dalam urusan pengundian pos,” kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak terutama pembangkang mendakwa pengundian pos tidak dilaksanakan dengan adil dan sering memihak kepada parti pemerintah.

Kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, sistem pengundian pos meragukan kepada tiada kerahsiaan apabila pengundi perlu mengisi borang yang kemudiannya, dimasukkan ke dalam sampul surat yang sama dengan kertas undi.

Menurut Abdul Rashid, beberapa langkah memantapkan sistem dan kaedah pengurusan pilihan raya juga telah diambil secara berterusan termasuk memansuhkan amalan mencatat nombor siri pengundi bermula pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-9 pada 2006.

Katanya, SPR juga telah mempermudahkan urusan pengiraan semula undi apabila membuat satu peraturan baru membenarkan urusan pengiraan semula dibuat di saluran dan bukan di pusat penjumlahan undi bagi membolehkan keputusan pilihan raya diumumkan dengan lebih pantas.

“Bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terutama pengundi bahawa urusan pengundian dibuat secara telus, SPR telah membenarkan sebuah badan bebas, Malaysia For Free and Fair Election (Mafrel) untuk membuat pemantauan di pusat pengundian bermula pada pilihan raya kecil DUN Machap dan DUN Ijok baru-baru ini,” katanya.

Tak ada IPTA Malaysia dalam senarai 200 terbaik

KUALA LUMPUR: Tidak ada satupun universiti di Malaysia disenaraikan dalam ranking 200 universiti terbaik dunia 2007 oleh Times Higher Education Supplement (THES), kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed hari ini.

Sambil memandang serius keputusan itu, Mustapa melahirkan tekad untuk mempertingkatkan kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan selari dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Ogos lepas.

Tahun lepas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diletakkan dalam kedudukan 185 dalam ranking itu manakala Universiti Malaya pada ranking 192.

Menurut Mustapa bagi tahun ini, kaedah yang digunakan untuk membuat ranking oleh Ququarelli-Symmonds (QS), sebuah syarikat swasta British bagi pihak THES diubah, yang menurut syarikat itu bertujuan menjadikan kajian lebih tepat.

"Akibatnya ranking bagi hampir semua institusi yang tersenarai, termasuk yang berada dalam kedudukan 20 terbaik dunia juga berubah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapa bagaimanapun tidak menyatakan ranking kedua-dua universiti itu tahun ini.

Sehubungan itu beliau mahu semua IPT tempatan melipatgandakan usaha untuk menambahbaik prestasi institusi masing-masing agar tergolong di kalangan universiti terbaik dunia.

"Dalam penilaian ranking THES, 60 peratus markah diberi kepada penilaian kepakaran (40 peratus) dan "Citation" (20 peratus). Oleh yang demikian saya sudah mengarahkan semua Naib Canselor menjadikan reputasi akademik sebagai strategi utama dalam inisiatif penambahbaikan institusi mereka.

"Bagi saya, jelas bahawa reputasi akademik sesuatu institusi adalah sangat penting kerana ia berlandaskan kegiatan akademik seperti penerbitan, pembentangan kertas kerja dalam persidangan yang berimpak tinggi dan jaringan akademik," katanya.

Beliau berkata sejak dua tahun kebelakangan ini para naib canselor IPT tempatan memberi perhatian khusus terhadap ranking THES dan melaksanakan pelbagai usaha penambahbaikan.

Katanya iltizam kementerian serta IPT adalah jelas menerusi pelancaran Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara dan Pelan Tindakan 2007-2010 Ogos lepas, namun begitu hakikatnya segala usaha yang dibuat memakan masa untuk menampakkan hasil.

Mustapa berkata sejak akhir-akhir ini juga banyak usaha yang dilakukan oleh IPT tempatan untuk meingkatkan kualiti termasuk dengan memberi tumpuan terhadap Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), memperbaiki sistem penyampaian dan memperkasakan kegiatan pengantarabangsaan pengajian tinggi di Malaysia.

Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof Datuk Sharifah Hapsah Syed Hassan Sahabudin akan mengadakan sidang akhbar di pejabatnya esok mengenai ranking universiti itu dalam THES.

Menurut kenyataan UKM, Prof Sharifah Hapsah antara lain akan menerangkan secara keseluruhan mengenai kedudukan UKM dalam bidang tertentu dan cara-cara bagaimana penilaian dibuat oleh THES.

Istana Negara perkenan terima wakil Bersih mengadap DYMM petang ini

Oleh Ruhanie Ahmad

DATUK Seri Abdullah Ahmad memberitahu seluruh dunia petang tadi bahawa beliau pantang dicabar. Kita mesti terima kenyataan itu dengan penuh hormat dan takzim kerana pendirian itu adalah hak asasi Abdullah sebagai individu, Perdana Menteri dan Presiden UMNO Malaysia.

Oleh kerana itu, saya tidak akan sekali-kali mencabar Abdullah. Tetapi, saya hanya mahu bertanyakan beberapa soalan mudah kepada Abdullah. Soalan-soalannya adalah seperti berikut:

Soalan asal satu: Pihak Istana Negara sudah menyatakan perkenaan untuk menerima 10 orang wakil BERSIH mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada petang 10.11.07 untuk menyerahkan memorandum mengenai Pilihan Raya. Tidakkah secara tidak langsung ini bermakna bahawa perarakan gelombang kuning berada dalam pengetahuan Istana Negara?

Soalan tambahan: Pihak Perdana Menteri pasti sudah mendapat maklumat ini. Jadi, apa implikasinya kalau perarakan itu dihalang dan para pesertanya dikasari oleh pihak keselamatan?

Soalan tambahan: Bukankah lebih wajar kalau pekembangan di atas ini ditafsirkan secara waras dan rasional untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang seribu satu macam bentuknya?

Soalan asal dua: Perdana Menteri juga memberitahu seluruh dunia petang tadi bahawa peristiwa di Batu Buruk, Terengganu, baru-baru ini adalah perbuatan liar. Kenapa tidak dihebahkan bahawa seorang pegawai polis telah melepaskan dua das tembakan peluru hidup kepada dua orang pemuda tanpa mengikut Geneva Convention?

Soalan tambahan: Kenapa tidak dijawab soalan mengenai tembakan peluru hidup itu sampai sekarang? Siapakah yang liar dalam kes tembakan itu?

Soalan asal tiga (tak berkaitan dengan BERSIH): Sewaktu ratusan ribu rakyat Johor dilanda banjir besar hujung 2006, Perdana Menteri tergesa-gesa terbang ke Perth, Australia. Betulkah laporan akhbar The Star baru-baru ini bahawa Perdana Menteri ke sana untuk pergi belayar dalam sebuah kapal layar serba canggih? Inikah contoh pemimpin besar yang sangat-sangat berjiwa rakyat?

Soalan asal empat (juga tak ada kena mengena dengan BERSIH): Beberapa bulan lalu ada sekumpulan kaum India Malaysia berdemonstrasi di Putrajaya. Adakah demo itu dapat kelulusan polis? Kenapakah kisah itu tidak dilaporkan oleh media perdana?

Soalan tambahan: Kalaulah demo ini tidak ada permit, kenapa tidak ada tindakan polis? Kenapa kisah di Batu Buruk pula diperbesar-besarkan out of propotion?

Saya rasa cukuplah untuk saya mengemukan empat soalan asal dan beberapa soalan tambahan seperti di atas. Saya harap Abdullah tidak akan melenting dan menuduh saya sebagai mencabar beliau.

Saya tidak mencabar sesiapa. Saya hanya kemukakan soalan mudah yang perlu dijawab kalau Abdullah sudi, atau biarkan sahaja tanpa jawapan, kerana sebilangan rakyat jelata pun sudah tahu jawapan sebenarnya.

Pokoknya, saya berpegang kepada kenyataan Abdullah bahawa beliau pantang dibacar. Jadi saya tidak mencabar beliau. Untuk rekod, secara hitam dan putih menerusi blog ini, saya cuma bertanya!!!

Datuk Ruhanie Ahmad merupakan bekas ahli parlimen Parit Sulong. Blognya boleh dilayari di kuda-kepang.blogspot.com - Pengarang

Peneroka Felda bakal jadi mangsa, Najib gagal membela

Basiron Abdul Wahab

TEMERLOH (Hrkh) - Para peneroka yang mengusahakan penanaman semula secara persendirian bakal menghadapi masalah besar berikutan tekanan terbaru pengursan Felda yang akan berkuatkuasa tidak lama lagi.

Menurut sumber, pihak pengurusan Felda didakwa cuba menekan peneroka melalui sepucuk surat kononya peneroka tidak lagi boleh menjual hasil ladang mereka kerana tidak mempunyai lesen jual beli yang hanya dimiliki oleh Felda.

Difahamkan Felda mempunyai perjanjian dengan MOPB dimana agensi berkenaan akan mengeluarkan lesen jual beli kelapa sawit secara 'blok' kepada Felda sahaja.

Oleh kerana ladang peneroka berada didalam kawasan Felda maka pihak MOPB hanya mengeluarkan lesen kepada Felda sebagai tuan punya ladang.

Jika ini berlaku, ia akan memberi kesan besar kepada peneroka yang mengusahakan ladang sendiri kerana tidak boleh memasarkan hasil sawit mereka kemana-mana kilang.

Tindakan terbaru Felda ini berjaya menakut-nakutkan peneroka dan ada yang telah menyerahkan kembali pengurusan ladang kepada Felda.

Jelas sumber tersebut, peneroka di Felda Gugusan Jenderak dan Jengka telah menerima notis daripada pihak Felda berkaitan isu berkenaan.

Sember berkenaan mencabar Felda mendedahkan tindakan 'jahatnya' itu dan menyifatkan ia adalah suatu tindakan 'lintah darat' pada zaman Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib yang berperananan ke atas Felda.

"Tidak cukupkah lagi apa yang Felda miliki sekarang sehingga perlu mengawal hasil peneroka pula," ujar sumber itu. - mr

Jumaat, 9 November 2007

Himpunan 10 Nov: Unit Amal Malaysia berkawal, peguam bersedia

Oleh Herman Samsudeen

HIMPUNAN Aman pada Sabtu 10 November di Dataran Merdeka anjuran BERSIH akan tetap diteruskan. Walaupun pihak penganjur menerima begitu banyak ancaman, namun tuntutan massa rakyat memberikan laluan untuk perhimpunan ini terus berjalan. Beberapa orang ahli jawatankuasa BERSIH telah dipanggil ke Bukit Aman pada 12 November ini.

Khairi Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia pula telah mengarahkan pihak Polis membuat tangkapan terhadap pimpinan dan peserta Himpunan. Arahan ini adalah suatu yang biadap dan tidak rasional kerana himpunan ini adalah hak dan kebebasan rakyat. Rakyat berhak berada di mana sahaja mereka berada dan pemuda UMNO tidak berhak untuk menghalang perhimpunan ini.

Ketakutkan semakin terserlah di wajah pimpinan UMNO kerana himpunan ini. Khairi yang pada mulanya mencadangkan untuk pemuda UMNO turun berdepan dengan Himpunan BERSIH ini akhirnya mengaku kalah dalam ucapan yang sama dan mengakui bahawa pemuda UMNO tidak mampu berhadapan dengan 100 ribu rakyat.

Oleh itu, beliau tiada pilihan dan kemungkinan besar Polis akan dijadikan kuda tunggangan mereka bagi menghadapi peserta himpunan aman ini.

Kepada pihak Polis, kami mengingatkan agar mereka tidak membiarkan diri mereka diperkudakan lagi. Ini adalah himpunan rakyat, dan pihak Polis juga dialu-alukan bagi menyertai rakyat dalam himpunan ini atas jiwa mereka sebagai rakyat yang prihatin terhadap masa depan negara ini.

Diperingkat PAS pula, seramai 2000 orang petugas Unit Amal Malaysia yang beruniform dan tidak beruniform akan berkawal bagi memastikan tiadanya provokasi dan kekecohan yang boleh memburukkan imej perhimpunan ini. Kita datang dengan ama dan Unit Amal akan membantu kita.

Jika ada kalangan peserta yang cuba melakukan provokasi seperti membawa bendera parti politik, melaungkan kata-kata yang kesat, membaling atau menggunakan apa-apa objek yang boleh membahayakan orang lain, mereka akan dikeluarkan dari perhimpunan ini serta merta atau diserahkan kepada pihak Polis jika perlu.

Kita yakin, bahawa terdapatnya konspirasi terancang bagi mensabotaj himpunan ini dan kita juga telah bersiap sedia bagi menghadapi perhimpunan ini.

Kepada peserta perhimpunan yang masih ragu lagi, pihak penganjur juga telah menyediakan barisan peguam yang cekap untuk menjamin dan membela anda sekiranya ditangkap. Para peguam ini akan membantu dan membela hak anda sesuai dengan peruntukan Perlembagaan. Oleh itu tiada sebab untuk kita tidak hadir dan tunduk pada ancaman yang kini semakin tersebar luas.

Pastikan anda hadir dengan aman dan segalanya akan berjalan secara aman!

1 kes rogol setiap 4 jam di Malaysia

Jawapan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Fu Ah Kiow, di Dewan Rakyat , seolah menggambarkan keadaan jenayah dalam negara kita terkawal. Umpamanya beliau berkata indek jenayah di empat buah negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Kuala Lumpur menunjukkan penurunan.

Dalam pada itu beliau menjelaskan pada tahun 2005, terdapat 9,617 kes ragut, 15,409 kes rompak dan 497 kes bunuh. Tahun 2006, 9,551 kes ragut (turun 66 kes), 21,419 kes rompak (naik 6,010) dan 604 kes bunuh(naik 107).

Lebih membimbangkan lagi adalah kes rogol. Tetapi menurut Timbalan Menteri berkenaan walaupun terdapat 1,206 kes rogol (yang dilaporkan) untuk 7 bulan pertama tahun ini, 86% telah diselesaikan. Saya tidak nampak kes yang diselesaikan itu, yang saya nampak adalah jumlah kes iaitu 1,206 dari Januari ke Julai 2007, bermakna terdapat purata 172 kes rogol sebulan ataupun 5.7 kes sehari di Malaysia ataupun hampir 1 kes rogol setiap 4 jam!

Angka ini ternyata membayangkan betapa tidak selamatnya suasana dalam negara. Dan kita sudah pasti tidak tahu berapa pula bilangan kes rogol yang tidak dilaporkan sama-sekali mungkin kerana malu, takut, diugut dan sebagainya.

Dimanakah silap kita?

Menurut Timbalan Menteri itu lagi punca berlaku kes jenayah termasuk menjadikan wanita sebagai mangsa disebabkan faktor ekonomi seperti pengangguran, penggunaan dadah yang serius,dan kehadiran pekerja asing. Lalu apakah langkah yang telah kita ambil? Apakah usaha kita untuk membentuk dan melahirkan masyarakat yang berkahlak dan bertaqwa?

Saya selitkan disini sebuah artikel dari laman web IKIM bertajuk: ISLAM HADHARI BENTUK MODAL INSAN BERKUALITI karangan salah seorang Fellow di sana:

Konsep Islam Hadhari yang dibawa kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekarang ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan manusia.

Menerusi gagasan Islam Hadhari sumber manusia ini akan melalui satu skim program pendidikan menyeluruh yang turut merangkumi aspek kerohanian agar insan yang bakal dihasilkan nanti adalah insan yang berkualiti dan dinamik.

Strategi yang diambil kerajaan untuk mencapai kemajuan yang dimulakan dengan daya usaha pembangunan sumber manusia adalah selaras dengan ajaran Islam. Kemakmuran dan kesejahteraan negara banyak begantung kepada penduduknya. Jadi jika setiap orang di negara ini mempunyai kualiti seperti beriman, bertakwa dan berakhlak mulia, tentu ia akan memudahkan proses untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang kehidupan.

Jelasnya konspe pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses untuk membentuk insan yang baik dan berguna. Ia bukan saja kepada dirinya malaha masyarakat, agama dan negara.

Jika manusia mempunyai ciri keperibadian yang digariskan Islam seperti itu, pasti kejayaan akan menjadi kenyataan.

Sememangnya inilah yang dijanjikan oleh Allah dalam firman Nya bermaksud:

Sekiranya penduduk suatu negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan membuka kepada mereka (pintu-pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah
berkatnya dari langit dan bumi (al Ahzab: 96)


Saya paparkan disini konsep yang dicetuskan oleh PM Dollah Badawi sebagai iktibar kepada kita sejauh manakah keberkesanan langkah dan usaha yang kita ambil untuk membentuk masyarakat Malaysia yangcemerlang. Lihat angka-angka jenayah di atas dan lihat konsep yang cuba diperkenalkan ini.

Rupanya semakin kita maju dan membangun, kadar jenayah seolah bangkit seiringan dengan kemajuan dan pembanguna kita, begitukah sepatutnya?

Di Dewan Rakyat juga Ketua Pembangkang menyarankan kerajaan agar membenteras dan menghapuskan budaya Mat Rempit yang sejak kebelakangan ini semakin berani dan menjadi-jadi. Itu pun satu gejala baru yang jelas kita semakin gagal tangani (walaupun ada usaha satu ketika oleh Putera Umno untuk memuluhkan mereka ini kononnya, nampaknya bilangan mereka semakin menjadi-jadi dengan perangai yang semakin liar dan membahayakan masyarakat).

Dimanakah silap kita? Benarkah PM dan kerajaan seakan gagal membendung dan mengatasi masalah ini?

Hak rakyat bukan ditentukan oleh KPN- Peguam PAS bidas Musa Hassan!

Azamin Amin

KUALA LUMPUR - (Hrkh) - Hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang termaktub dalam perkara 10 Perlembagaan Negara tidak boleh ditentukan atau dihalang oleh mana-mana pihak termasuk Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan.

AJK PAS Pusat yang juga peguam Mohamed Hanipa Maidin berkata sekiranya pihak polis menangkap atau menghalang orang ramai yang ingin menuju atau pergi ke perhimpunan aman esok Sabtu 10 NOvember) bermakna pihak polis telah melakukan kesalahan dan menjalankan tugas di luar bidang kuasa malah boleh didakwa di mahkamah.

"Pihak polis tidak boleh sama sekali menangkap orang awam yang tidak melakukan apa-apa kesalahan sedangkan mereka sekadar berjalan menuju dan menghadiri perhimpunan tersebut," katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini bagi mengulas kenyataan KPN Tan Sri Musa Hassan yang memberi amaran supaya rakyat tidak menghadiri perhimpunan esok.

"Ini adalah 'freedom of movement' yang dijamin dalam perlembagaan negara. Polis hanya boleh kawal selia dan menjaga keselamatan orang ramai sahaja," katanya yang juga merupakan seorang peguam.

Sudah banyak kes di mahkamah membuktikan polis melakukan kesalahan dengan menangkap orang awam yangb berhimpun secara aman malah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) juga telah menyatakan bahawa hak berhimpun mestilah dibenarkan kerana merupakan hak asai manusia di samping dijamin oleh undang-undang negara.

Beliau juga menggangap tindakan Musa mengeluarkan arahan sebagai mengelirukan kerana kenyataan kebenaran berhimpun hanya boleh dikeluarkan oleh OCPD Daerah di mana permit tersebut dipohon dan kenyataan Musa itu dilihat mempengaruhi bidang kuasa OCPD itu.

"Ini tindakan berat sebelah, malah proses permohonan permit mestilah dibaca sekali dengan perkara 10 perlembagaan negara dan bukannnya menggunakan alasan dangkal seperti kesesakan lalu lintas," katanya malah pihak polis juga tambahnya telah memberi respon negatif sebelum permit dipohon lebih awal lagi bahawa mereka tidak akan memberikan sebarang permit kepada Bersih untuk melakukan perhimpunan.

"Kalau kesesakan lalu lintas dijadikan alasan, maka kenapa dibenarkan perarakan Maulidur Rasul, Kavadi atau konvoi Putera Umno yang sama sahaja situasinya?

"Dan bagaimana polis boleh menyatakan ada kekecohan boleh terjadi sedangkan ianya belum berlaku atau memang ada perancangan polis ke arah itu?," katanya dan menabah bahawa pihak Bersih, parti-parti polistik dan NGO telah memaklumkan kepada semua ahli dan rakyat suapaya tidak melakukan apa-apa provokasi pada perhimpunan itu.

Beliau sekali dengan tegas menyatakan bahawa rakyat tidak perlu takut untuk datang berhimpun dan menyatakan bahawa kebebasan berhimpun secara aman itu telah termaktub dalam undang-undang negara.

"Sekali lagi saya nyatakan, jika polis tangkap dan halang orang ramai tanpa sebab atau sekadar menghadiri perhimpunan itu, maka pihak polis telah melakukan kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah. - mr

Pendakwaan ‘tergesa-gesa’ mangsa Batu Burok - ‘Cubaan’ menakutkan rakyat

Oleh : WanKay

KUALA TERENGGANU - Pendakwaan ‘tergesa-gesa’ ke atas 21 orang awam yang terlibat dengan peristiwa berdarah pada 8 September lalu di Batu Burok dilihat sebagai suatu usaha bagi menakut-nakutkan rakyat agar tidak menyertai Himpunan 100 ribu anjuran Bersih di Dataran Merdeka, 10 November 2007 ini.

Ini berikutan, tindakan pihak polis Terengganu yang memanggil kesemua 21 tahanan Orang Kena Tuduh (OKT) termasuk seorang tahanan Orang Kena Saman (OKS) tanpa notis awal hanya diketahui pada petang dan malam 6 November lalu.

Kesemua mereka itu dibawa ke Mahkamah Majistret dihadapan Majistret Wan Mohd Zul Zaki Qudin Zulkifli oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Sumber Buletinonline, memaklumkan terdapat ‘perancangan’ pihak tertentu yang cuba menyegerakan tindakan pendakwaan bagi tujuan menakutkan orang ramai ke perhimpunan di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Ini kerana, tindakan tersebut diharapkan tertuduh OKT dan OKS berkenaan gagal mengemukakan wang bayaran jaminan sekaligus di penjarakan di atas kesalahan tersebut.

Namun begitu, dengan kecekapan pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) berjaya menyedia serta menyelamatkan kesemua ‘mangsa’ termasuk penjamin dan wang jaminan sebanyak RM2,000 seorang.

Menurut pemerhati yang hadir ke mahkamah tersebut mendapati pihak terbabit sekali lagi ‘sengaja’ melambat-lambatkan pengendalian di mahkamah sehingga lewat petang.

Kesemua tertuduh OKT dan OKS terbabit dituduh di bawah Seksyen 27(5) Akta Polis 1969 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM10,000 serta penjara tidak lebih setahun.

Mahkamah menetapkan pada 15 Januari 2008 tahun depan bagi tarikh sebutan kes terhadap 15 tertuduh termasuk dua juvana.Manakala, tarikh perbicaraan bagi lima lagi termasuk tiga juvana ditetapkan pada 24, 24 dan 27 Februari 2008.

Semua tertuduh diwakili oleh tiga firma guaman iaitu Aziz & Co, Faris, Halim & Co dan Wan Mutalib & Co. Seramai lapan orang peguam mewakili mereka iaitu Kamarul Zaman Wahab, Fathi Aziz Abu Bakar, Asyikin Zaki, Saifuddin Othman, Zubir Abu Bakar, Sofian Ariffin, Wan Haidi dan Faris Irwan Mustafa.