HALAMAN SANTAI

Selasa, 13 November 2007

"RTM minta kami sebut Himpunan 10 November ganggu peniaga"

ALOR STAR: "Ada empat orang lelaki yang mengaku mereka dari RTM datang kepada kami dan minta kami sebut bahawa Himpunan 10 November di Kuala Lumpur telah menimbulkan gangguan kepada peniaga dan semua orang takut bila ada himpunan seperti itu," demikian pengakuan Saw Lean Kiaw dari Alor Star.

Katanya, sekumpulan empat lelaki tersebut datang di tempat kerjanya di sebuah bangunan berdekatan sebuah IPTS di Jalan Langgar, dekat sini pada waktu tengahari (11 November) dan dilihat hanya memilih orang awam bukan Melayu untuk ditemuramah.

"Saya dan beberapa rakan dari kaum Cina tidak mahu ikut cakap mereka, kalau dia nak minta kami ulas tentang himpunan itu kami mahu, tetapi mereka 'ajar' untuk kutuk himpunan rakyat tersebut, kalau keluar TV bermakna ia bukan komen kami yang sebenarnya," sambung Kiaw.

Bagaimanapun menurutnya, mereka sempat merakamkan temubual bersama seorang lelaki India.

Ditanya sama ada beliau tahu nama wakil RTM terbabit, Kiaw memberitahu mereka hanya memperkenalkan diri sebagai wakil RTM tetapi tidak memperkenalkan nama.

Ketika pertemuan dibuat sekitar jam 8.00 malam tadi bersama Kiaw, kebetulan sambil menonton siaran berita RTM, ternyata 'perancangan' tersebut benar-benar direalisasikan RTM yang menyiarkan kononnya orang ramai mengutuk himpunan itu atas alasan telah menimbulkan kacau bilau serta menakutkan para peniaga di Kuala Lumpur.

Kiaw menyatakan, masyarakat Cina di Alor Star tidak menganggap himpunan aman itu sesuatu yang menimbulkan gangguan jika ia bertujuan untuk mengembalikan keadilan dalam pilihan raya negara ini.

Zainuddin Maidin yang bergigi kuning

Oleh Fudzail

BAGI kami yang berada di luar negara, 10 November 2007 memang satu hari yang mendebarkan. Jarak tidak membenarkan kami turut serta untuk mengharungi tembok polis, perang saraf, ugutan 'saya pantang dicabar' dalam sama-sama mencipta sejarah tanahair yang lebih hebat dari makan angin ke angkasa atau meng'angkasa'kan bangsa.

Memang terasa ingin sekali turun ke jalan raya untuk menyuarakan protes aman sebagaimana termaktub dalam rukun demokrasi. Ramai yang masih menganggap, demokrasi itu sekadar pilihanraya. Dan pilihanraya itu sekadar membuang undi.

Perarakan anjuran BERSIH ini mengembalikan nostalgia sewaktu dikejar polis dan disembur air di era reformasi. Setiap petang Sabtu untuk ramai-ramai mengutuk-ngutuk sang PM ketika itu.

Perbicaraan 'tilam sebagai saksi' dan Balck 14 yang memberi pengalaman sebagai rakyat yang prihatin dan mahukan perubahan.

Itu adalah deretan peristiwa yang tidak mungkin dilupakan, kerana selepas pilihanraya, saya dibuang kerja 24 jam tanpa alasan dan menjadi imigran sehingga sekarang.

Panggilan untuk berdemonstrasi dalam menegakkan kebenaran akan sentiasa disahut. Peduli apa dikategorikan halal atau haram mengikut hukum hadhari dari golongan yang semakin tidak peduli, samada halal atau haram, demi mencapai matlamat untuk terus kekal berkuasa atau mahu menjadi perdana menteri sebelum umur 40 tahun.

Tentunya puak-puak 'beraja di mata, bersultan di hati' yang sejak 50 tahun lalu, evergeen dari dulu, kini dan selamanya ini terus mahu berkuasa melalui proses 'pilihanraya paling demokratik ala Malaysia'.

Sistem demokrasi yang dipunahkan secara sistematik selama 22 tahun oleh Abu Mirzan dan disambung warisannya dan bertambah kronik sejak 4 tahun lalu oleh Abu Kamarudin.

Demokrasi yang membenarkan parti pemerintah menyalahgunakan segala jentera dan harta kerajaan untuk berkempen dan memastikan badan seperti SPR, kehakiman dan Polis sebagai kuda tunggangan.

Demokrasi yang memastikan semua media dikuasai oleh parti pemerintah dan kroni dan sekatan pada akhbar milik pembangkang. Demokrasi yang menidakkan pilihanraya yag adil, telus dan terbuka dalam erti kata sebenarnya.

Demokrasi yang memperlihatkan semakin kronik korupsi di semua peringkat dan sayap kerajaan serta penyelewengan yang melibatkan bilion ringgit tanpa apa-apa tindakan berkesan, selain 'kerja bersama saya' sebagai slogan imej hadhari.

Demokrasi yang menyuburkan rasuah sebagai budaya kehidupan masa kini kerana BPR semakin berfungsi untuk melindungi perasuah dari didakwa dan menghukum whistle blowers dari membongkar kecurangan.

Begitulah pada 10 November 2007, dengan kemajuan teknologi, kami mengikuti perkembangan lanjut perjalanan perhimpunan 100 ribu rakyat melalui SMS secara lintas langsung, Internet dan tentunya Al Jazeera. Sebagai tanda sokongan, berbaju warna kuning sepanjang hari.

Berkebetulan pula, di Dubai ketika itu dalam persiapan acara Air Show dan rumah saya yang bersebelahan dengan lapangan terbang dapat menyaksikan pelbagai latihan pertunjukan secara terus menerus.

Antara menonton raptai Air Show yang mengkagumkan dan liputan demonstrasi yang lebih mengkagumkan, dapat dirasakan keseronokan dan kesyukuran setelah mengetahui yang puluhan ribu rakyat telah menguningkan Kuala Lumpur.

TV Al Jazeera yang berpengkalan di Doha dan sama beroperasi di Kuala Lumpur memberikan liputan yang telus. Wartawannya terkena air asid secara langsung untuk disaksikan jutaan lain di dunia mengenai, inilah wajah 'Demokrasi ala Malaysia'.

Begitupun, kegembiraan dan keseronokan melihat kejayaan wakil BERSIH menghantar memorandum pilihanraya kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung sedikit tercela apabila mendengar suara Sang Menteri Penerangan yang diwawancara di Al Jazeera.

Tidak pasti sama ada Sang Menteri yang pernah berjawatan ketua pengarang sebuah akhbar perdana milik parti pemerintah itu tidak memberus gigi dan bergigi kuning sewaktu ditanya soalan.

Mungkin juga ketua propaganda kerajaan ini telah terkejut beruk melihat ramainya rakyat berani melanggar hukum haram syura Hadhari walau diperlekehkan sebagai 'beruk di tepi-tepi jalan' oleh sang menantu kesayangan diperhimpunan angguk-angguk terbesar di dunia.

Malah Sang Menteri dengan angkuh berkata sehari sebelumnya yang perhimpunan rakyat ini tidak mungkin mendapat sambutan.

Apalagi tiada umpan seperti konsert dan makanan percuma, apalagi projek besar di mana-mana koridor ekonomi yang tumbuh macam cendawan telah dijanjikan oleh penganjur, seperti yang biasa dilakukan oleh parti pemerintah.

Dalam ketawa terbahak-bahak mendengar jawaban yang tidak kena mengena dengan soalan serta bahasa Inggeris tunggang langgang, terasa begitu sedih dan terhina sebagai rakyat Malaysia di luar negara.

Begitu teruk dan tiada kelasnya imej seorang ahli kabinet negara yang memalukan sekali.

Begitu emosional dan penuh dengan prasangka buruk terhadap orang lain. Helo Zam, kalau dibandingkan RTM dengan Al Jazeera, tentunya tidak terbanding sama ada dari segi mutu mahupun jenama secara global.

RTM sejak dulu sehingga sekarang tidak lebih longgokan propaganda dan saluran maklumat yang tidak mempunyai kredibiliti.

Lebih dari itu, menteri yang bertanggungjwab juga sama tidak mempunyai kredibiliti walau dijulang sebagai Tokoh Wartawan Negara.

Pada Zainudin Maidin, anda telah memalukan negara dan menjatuhkan imej Malaysia sebagai salah satu negara 'demokrasi' yang dikatakan paling maju dikalangan negara OIC dan sepatutnya di hukum buang negeri selama-lamanya!

(Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak tahun 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terlibat dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain. Kini menguruskan projek pembinaan prasana dan utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it serta kerjadubai.blogspot.com)

Agong jangan diugut – Husam

Abdul Halim Mohd Rashid

KUALA LUMPUR (Hrkh)- Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa mempersoalkan adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi cuba mengugut Yang di-Pertuan Agong supaya jangan membersihkan perjalanan pilihanraya seperti tuntutan BERSIH.

"Pembangkang cuba heret Agung ke kancah politik atau Perdana Menteri cuba ugut Agung jangan bersihkan perjalanan pilihanraya seperti tuntutan BERSIH?" tanya beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri mengenai himpunan aman menuntut pilihan raya yang adil dan bersih anjuran BERSIH Sabtu lalu.

Perdana Menteri menyifatkan tindakan pembangkang menyerahkan memorandum berhubung dengan beberapa tuntutan mengenai proses pilihan raya di Malaysia kepada Istana Negara sebagai cubaan mengheret institusi raja terutama Yang di-Pertuan Agong ke dalam kancah politik.

Husam seterusnya mempersoalkan adakah Yang di-Pertuan Agong patut membiarkan pilihan raya negara ini dijalankan dalam keadaan kotor.

"Kalau Yang di-Pertuan Agong tak bersihkan, siapa nak bersihkan? Adakah Yang di-Pertuan Agong perlu biarkan pilihanraya negara kita kotor?

"Bersih atau kotor lebih mulia?" tanya Exco Kerajaan Kelantan itu dalam kenyataan bertajuk "Agong jangan diugut" di dalam blognya, cetusan-hati.blogspot.com

Husam juga meminta Perdana Menteri supaya membaca dahulu petikan memorandum Bersih.

Antaranya, perkara ke lapan yang menyatakan, "Kami memohon Ke Bawah Duli Tuanku agar Tuanku akan menyuarakan kehendak rakyat menuntut pembaharuan pilihanraya termasuk mengutarakan cadangan untuk sebuah Suruhanjaya diRaja untuk mengkaji pembaharuan sistem and proses pilihanraya.

"(Dan) Menggunakan kuasa Tuanku di bawah Perkara 40(2), Perlembagaan Persekutuan, untuk menolak apa jua permintaan untuk membubar Parlimen selagi empat pembaharuan serta-merta di atas tidak dilaksanakan".

"Itukah yang PM bimbang?" tanya Husam.

Isnin, 12 November 2007

Zaid pertikai penubuhan panel siasat rakaman klip video peguam

Seorang penyokong kerajaan mempersoalkan rasional penubuhan panel bebas khas untuk menyiasat kesahihan rakaman klip video yang kononnya membabitkan perbualan seorang peguam dengan seorang yang dikatakan hakim kanan mengenai pelantikan hakim-hakim, memandangkan ia tidak mempunyai kuasa memanggil mana-mana pihak memberi keterangan.

Datuk Mohd Zaid Ibrahim (BN-Kota Baharu) berkata kerana ketiadaan kuasa, anggota panel khas itu hanya terpaksa bergantung kepada ihsan individu tertentu untuk memberi maklumat atau keterangan.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 di Dewan Rakyat , beliau berkata dalam keadaan sedemikian, adalah lebih wajar jika ditubuhkan Suruhanjaya Diraja yang sekurang-kurangnya mempunyai kuasa untuk memanggil pihak-pihak tertentu untuk memberi keterangan.

"Dengan menubuhkan panel ini, kerajaan seperti tiada keyakinan terhadap polis dan Badan Pencegah Rasuah, sebab kalau percaya, tidak perlu lantik panel," katanya.

Bernama melaporkan Mohd Zaid turut melahirkan rasa khuatir publisiti terhadap kes berkenaan yang diketengahkan oleh bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga pemimpin parti pembangkang, boleh mendorong rasa simpati rakyat terhadap parti itu..

Hak rakyat untuk berhimpun secara aman – Suhakam

Rizal Tahir

PENGKALAN CHEPA (Hrkh) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhujah rakyat sepatutnya dibenarkan mengadakan perhimpunan secara aman kerana itu adalah hak mereka.

Pengerusinya, Tan Sri Simon Sipaun berkata, lagi pun telah termaktub dalam perlembagaan yang membenarkan rakyat berhimpun atau berdemontrasi secara aman.

“Mereka berhimpun cuma hendak menunjukkan apa yang mereka hendak dan ia dituju kepada sasaran mereka. Apabila mesej disampaikan, mereka akan bersurai tanpa apa-apa masalah.

“Jika tidak boleh diadakan di Dataran Merdeka, kerajaan boleh memberi pilihan seperti di Stadium Bukit Jalil,” katanya kepada pemberita selepas program Suhakam bersama masyarakat di Perdana Resort di sini, hari ini.

Suhakam diminta mengulas keengganan polis membenarkan perhimpunan aman dianjurkan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu negara semalam.

Puluhan ribu yang hadir terpaksa berdepan dengan tindakan keras pasukan polis apabila melepaskan gas pemedih mata dan menyembur air berasid.

Perhimpunan tersebut dianggap berjaya biar pun diberi amaran keras Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sehari sebelum perhimpunan berlangsung.

Kehadiran puluhan ribu itu hanya digambarkan media pro kerajaan Barisan Nasional hanya sebanyak 4,000 orang sahaja hadir. Media harian utama berbahasa Melayu hari ini langsung tidak menyiarkan gambar lautan manusia pada perhimpunan tersebut.

Simon berkata, Suhakam telah mensyorkan kepada kerajaan supaya membenarkan rakyat berhimpun secara aman.

Pesuruhjaya Suhakam, Dato’ Siva Subramaniam menasihatkan kepada mereka yang telah dikasari pihak polis pada perhimpunan itu tampil membuat laporan kepada Suhakam.

“Setakat yang kami tahu pihak polis melakukan tangkapan secara bersih tanpa kekasaran. Selain mengunakan gas pemedih mata dan water canon. Pihak kami setakat ini belum menerima apa-apa laporan kekasaran yang dilakukan anggota polis”. katanya.

Menurutnya Suhakam membuat pemantauan semasa demontrasi berlangsung dan mendapati pihak polis bertindak setelah ada unsur-unsur provokasi dilakukan.

Sementara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik berkata, larangan demontrasi melalui undang-undang yang dibuat menunjukkan sikap tidak demokrasi pemimpin negara ini.

“Siapa yang buat undang-undang sekat demontrasi secara aman diadakan. Ini menunjukan sikap tidak demokrasi pemimpin negara. Kita bukan di bawah pemerintahan tentera seperti Pakistan atau pun Myanmar,” katanya.

Tambah beliau kalau hendak buat tangkapan biarlah mereka yang melawan secara fizikal seperti merusuh atau melontar batu sahaja ditangkap.

“Nak tangkap, tangkaplah mereka yang melakukan kekacauan seperti merusuh ataupun melontar batu. Tetapi selagi tidak ada provokasi dari pihak-pihak tertentu, saya yakin para peserta demontrasi berhimpun secara aman”, ujarnya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Pesuruhjaya Suhakam, Ustaz Mohamad Uthman El’Muhamady. Dewan Duyung tempat berlangsung program tersebut penuh sesak dengan kehadiran orang ramai. - mj

Laporan Khas: Banyak fakta dalam buku teks tidak relevan

KUALA LUMPUR: Kandungan buku teks bagi beberapa mata pelajaran yang digunakan di sekolah sekarang tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa selain banyak kesalahan fakta, menyebabkan ia perlu dinilai semula.

Beberapa tokoh ilmuwan termasuk ahli Panel Penilai Buku Teks, berkata penilaian semula itu penting bagi memastikan buku teks yang digunakan untuk pembelajaran memenuhi hasrat ke arah pembentukan modal insan yang cemerlang.

Tokoh sejarah, Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim, berkata, penelitiannya terhadap buku teks digunakan di sekolah menengah mendapati banyak kesilapan fakta yang mesti diperbetulkan bagi memastikan pelajar mendapat maklumat tepat.

Selain itu, katanya, gaya penulisan dalam buku teks sejarah sekolah menengah juga boleh dianggap mengecewakan kerana ia gagal menerangkan secara jelas sesuatu peristiwa secara terperinci.

Beliau memberi contoh kesilapan fakta dalam buku teks sejarah Tingkatan Dua yang antara lain menceritakan mengenai peristiwa perjanjian Inggeris-Kedah membabitkan Francis Light dengan Sultan Kedah pada 1786.

Sejarah menunjukkan tiada sebarang persefahaman atau perjanjian ditandatangani berhubung perkara itu kerana ia dibantah Syarikat Hindia Timur Inggeris ketika itu, manakala pendudukan Francis Light di Pulau Pinang dibuat secara paksaan.

Selain itu, fakta yang menyatakan Negeri Selat hanya membabitkan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura juga tidak tepat kerana Dinding turut pernah dijadikan Negeri Selat sebelum diserahkan kepada kerajaan Perak pada 1936.

"Penerangan bagi setiap topik sejarah yang diketengahkan juga tidak jelas menyebabkan pelajar hanya mengetahui sesuatu peristiwa secara asas dan menghafal fakta tanpa diperkukuhkan dengan kefahaman menyeluruh rentetan sebenar peristiwa.

"Akibatnya, pelajar kurang minat subjek sejarah dan apabila mereka memasuki institusi pengajian tinggi, pengetahuan mereka sangat cetek malah ada yang gagal mengingati apa yang diajar di sekolah," katanya dalam satu pertemuan kepada Berita Harian, di sini.

Ketua Panel Penilai buku teks Bahasa Malaysia Tingkatan Empat dan Lima, Profesor Dr Hashim Musa, pula berkata buku teks subjek berkenaan yang digunakan sekarang, ditulis pada pertengahan 2000 dan dicetak pada 2002.

Justeru, banyak isu yang dimasukkan sudah kurang atau mungkin tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa terutama jika dinilai dalam konteks usaha menjayakan aspirasi negara membangunkan modal insan cemerlang.

Beliau memberi contoh, perbincangan mengenai isu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memang sangat sesuai ketika itu tetapi ia sudah menjadi satu topik basi kerana negara kini bergerak ke satu tahap baru seperti pengenalan agropolitan dan projek luar bandar.

"Sewajarnya, buku teks sebagai bahan utama penambah nilai di peringkat sekolah menerapkan perkara ini supaya masyarakat terutama kanak-kanak dan remaja sedar mengenai pelbagai peluang yang ada di kawasan luar bandar," katanya.

Pendapat itu turut disokong Ketua Panel Penilai buku teks Bahasa Malaysia tingkatan satu, Profesor Madya Dr Ahmad Mahmood Musanif yang berpendapat Bahagian Buku Teks, unit Kurikulum dan Lembaga Peperiksaan Malaysia perlu sama-sama terbabit menyediakan buku teks.

Katanya, punca utama guru tidak gemar menggunakan buku teks ialah kerana soalan peperiksaan yang disediakan tidak menjurus kepada bahan dalam buku teks, sedangkan mereka terpaksa memenuhi kehendak pelbagai pihak untuk memastikan pelajar cemerlang dalam peperiksaan.

"Jika soalan yang disediakan diambil daripada bahan atau sukatan pelajaran seperti di buku teks, pasti guru akan memaksimumkan penggunaannya dan ia sekali gus tidak merugikan pelaburan kerajaan menerbitkan buku teks," katanya.

Sementara itu, hasil soal selidik yang dijalankan Berita Harian terhadap 170 guru di Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Johor, Labuan dan Selangor mendapati 62 peratus daripada mereka memilih untuk kurang atau tidak menggunakan buku teks jika ada pilihan lain.

Malah, kebanyakan guru terlatih dan mempunyai pengalaman mengajar sekurang-kurangnya lima tahun itu, menyifatkan buku teks sebagai bahan bantu mengajar yang tidak mengikut isu semasa serta kurang latihan dalam mempersiapkan murid menghadapi peperiksaan.

Panel bebas 'perkakas kerajaan' tutup kes 'Pita Lingam'

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Sejak Panel Bebas ditubuhkan lebih sebulan yang lalu bagi menyiasat skandal 'Pita Lingam' badan itu tidak henti dihujani kritikan kerana kegagalannya memanggil mahupun melindungi saksi dalam siasatan mereka.

Hari ini panel yang dikepalai Tan Sri Haidar Mohd Nor itu sekali lagi dikecam dan disifatkan menjadi 'perkakas kerajaan' bagi menutup skandal 'Pita Lingam' oleh Parti KeADILan Rakyat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kecaman itu dibuat Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dan beberapa pimpinan NGO serta pemuda dan wanita KeADILan dalam satu sidang media selepas pertemuan 10 minit dengan panel bebas di Suhakam pagi tadi.

Tian Chua berkata, setakat ini panel itu hanya menghabiskan masa dan wang rakyat kerana hanya menjadi 'perkakas' kepada kerajaan untuk menutup kes tersebut.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum mewakili pelbagai pihak parti politik dan NGO kepada Panel Bebas di pejabat Suhakam hari ini.

Turut serta ialah, Ketua Penerangan Angkatan Muda KeADILan, Latheefa Koya; Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamarudin; wakil Suaram, Eric Paulsen dan beberapa aktivis NGO lain.

KeADILan berpendirian panel ini langsung tidak berwibawa dengan hanya mengharapkan maklumat dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan tidak berkuasa memanggil saksi, kata Tian Chua.

Beliau juga melihat bahawa keenganan panel bebas untuk berbincang lebih lama dengan delegasi KeADILan serta NGO hari ini menyebabkan wibawa panel itu sekali lagi boleh dipertikai.

Katanya, tiada guna kerajaan menubuhkan panel itu jika pihak yang mendedahkan maklumat tidak diberi peluang yang secukupnya untuk berbincang dan memberi maklumat serta pandangan kepada panel tersebut.

Seharusnya panel bebas itu mencadangkan kepada kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat skandal dalam pita tersebut yang sebenarnya memberi kesan besar kepada sistem kehakiman negara.

Sementara itu wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Eris Paulsen juga senada dengan Tian Chua yang mahukan Suruhanjaya Diraja dibentuk segera.

Ujar Eric lagi, memandangkan sebelum ini dalam beberapa kes dan skandal lain kerajan boleh menubuhkan Suruhanjaya Diraja, mengapa tidak dalam kes sebesar kes 'Pita Lingam' ini.

Terdahulu sebelum itu semua delegasi NGO dan KeADILan telah dihalang dari bertemu dengan panel itu hingga salah seorang ahli panel, Dato' Mahadev Shankar keluar ke pekarangan pejabat Suhakam di Tingkat 30 bertemu dan berbincang dengan delegasi.

Hasil dari itu hanya tiga orang sahaja yang dibenarkan untuk masuk ke pejabat Suhakam itu pun hanya sepuluh minit sahaja untuk bertemu dengan Panel Bebas itu antaranya, Tian Chua, Eric Paulsen dan Ketua Penerangan Pemuda KeADILan, Latheefa Koya.

Berikutan itu kekecohan berlaku sebentar dan sementara menanti kebenaran masuk, pelbagai aksi dilakarkan di luar pejabat Suhakam.

Antara yang menarik aksi Tian Chua melakarkan semula kartun yang sudah siap sedia dilukis oleh seorang pelukis yang enggan identitinya dikenali.

Lukisan itu menggambarkan tiga ekor burung Ostrich yang kepalanya terbenam ke tanah dan masing-masing ditulis nama tiga panel tersebut iaitu nama Mahadev, Tan Sri Haidar Mohd Nor dan Lee Lam Thye.

Dengan nada sinis tertera tulisan 'Where is the evidence' bersebelahan dengan lakaran kartun burung Ostrich.

Ramai yang tertawa dengan lakaran itu yang cukup sinis, dan ada juga yang masam kerana kurang suka dengan lakaran tersebut.

Sudah tentu mereka yang kurang suka adalah di kalangan polis dan Pegawai Cawangan Khas (SB) yang sejak pagi lagi asyik memperhati gelagat delegasi serta wartawan yang membuat liputan penyerahan memorandum kepada panel bebas. - mks.

Selepas 50 tahun, Umno masih gagal perkasakan Melayu - Zainal Kling

Intan Abdullah

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Setelah 50 tahun memerintah negara, Umno masih belum berjaya memperkasakan orang Melayu sebagai bangsa dominan dari sudut ekonomi dan politik.

Dalam satu rancangan yang disiarkan oleh TV9 malam tadi, Pensyarah di Jabatan Antropologi, Fakulti Sains Sosial Universiti Malaya, Dato' Dr Zainal Kling berkata, setakat ini Umno hanya meluaskan monopoli mereka ke peringkat kelas menengah sahaja yang merupakan sebahagian kecil daripada bangsa Melayu

"Sedangkan terdapat 60 peratus lagi orang Melayu yang tinggal di luar bandar tidak dapat menikmati hasil pembangunan mewah yang dibuat oleh kerajaan," ujarnya ketika ditanya oleh perantara rancangan Hujah, Prof Madya Dr Mohd Agus Yusof.

Menurutnya, ini adalah kerana kerancakan aktiviti pembangunan yang dijalankan hanya bertumpu kepada masyarakat yang berada di bandar sahaja.

Walhal ujarnya, masih ramai lagi di kalangan orang Melayu yang perlu dibangunkan ekonomi dan taraf hidup yang selesa tanpa perlu bergantung kepada orang lain.

"Masyarakat yang berada di luar bandar juga mahu menikmati kemajuan, mereka mahu pusat kesihatan kecil diwujudkan di tempat mereka," tegas beliau yang juga merupakan pemerhati politik tanah air.

Zainal berpendapat bahawa orang Melayu masih terkebelakang jika sekiranya budaya demokrasi masih tidak wujud di dalam Umno.

"Ini tidak, kalau kita tegur pemimpin, dilabelkan sebagai pembangkang, dikenakan tindakan tatatertib, dibuang parti dan sebagainya. Di mana demokrasi parti kita?"

Beliau menunjukkan bahawa walaupun memerintah negara selama 50 tahun, Umno masih gagal membawa kemajuan ekonomi kepada Malaysia, khususnya orang Melayu

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali berkata dengan tema 'mengangkasakan tamadun bangsa', Umno sebenarnya hanya berjaya mengangkasakan harga barang sahaja.

Hal ini terbukti dengan peningkatan harga barangan yang mendadak di pasaran dalam tempoh terdekat.

Apa yang jelas, Zainal mengakui bahawa demokrasi dalam Umno masih lagi terkongkong yang akhirnya akan menatijahkan perkembangan Umno yang tidak demokratik.

Beliau mengakhiri temubual rancangan tersebut dengan menyatakan harapan kepada pertubuhan Melayu itu, supaya perancangan kemajuan yang diatur untuk menjadikan agenda memperkasakan melayu tidak mengetepikan nasib sebenar sebahagian besar golongan melayu yang tinggal di luar bandar untuk mengecapi nikmat kemajuan yang telah lama dinikmati oleh rakyat di bandar. - mr

Ahad, 11 November 2007

Eksklusif: Perhimpunan terbesar selepas 20 September 1998

Oleh Wartawan KLpos.com & AIC KL

KUALA LUMPUR: Polis DiRaja Malaysia melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi meleraikan puluhan ribu demonstran yang berkumpul di ibu negara mendesak reformasi pilihanraya dalam satu protes anti-kerajaan terbesar yang terbesar dalam 10 tahun sejarah negara sejak Reformasi 1998.

Meskipun dibasahi hujan lebat dan kehadiran polis lengkap bersenjata, lebih 10,000 manusia berhimpul di beberapa lokasi terpilih di pusat bandar dan berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum merayu campurtangan diraja dalam pilihanraya umum akan datang, yang dijangka diadakan sebelum berakhir tahun 2007.

Seruan "Daulat Tuanku" dan "Selamatkan Malaysia" bergema menggegarkan Kuala Lumpur, dan demonstran yang berpakaian serba kuning lambang kedaulatan raja-raja Melayu, berkumpul di luar gerbang Istana sehingga Setiausaha Agong menerima memorandum dari pemimpin Bersih, dan Presiden Parti Islam SeMalaysia, Abdul Hadi Awang.

Beberapa minit sebelum itu dan beberapa kilometer dari lapangan Istana, polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air kearah ribuan aktivis yang berkumpul di Masjid Jamek Kuala Lumpur selepas mereka tidak mempedulikan amaran untuk bersurai.

Menurut jurucakap polis, perhimpunan dan perarakan tersebut adalah haram dan penganjur gagal mendapatkan permit yang diperlukan di Malaysia untuk setiap perhimpunan awam melibatkan lebih dari lima orang.

Walaubagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia mengecam polis dan kerajaan Malaysia kerana enggan memberikan permit, dengan berkata kebebasan bersuara rakyat disekat.

Alasan yang diberikan polis adalah protes besar-besaran itu akan mengganggu pengguna jalanraya dan demonstran yang terlibat mengancam keselamatan awam.

Mengiringi perarakan itu, kerajaan mengerahkan lebih 4000 anggota termasuk Unit Simpanan Persekutuan, unit berkuda dan unit anjing untuk menyekat kehadiran lebih 62,000 rakyat. Turut menyertai perarakan itu itu anggota-anggota Majlis Peguam.

Tujuan demonstrasi hari Sabtu itu adalah menyeru kemaskini senarai pengundi, membasmi pengundi hantu, menghapuskan undi pos, serta liputan media yang adil dan komprehensif kepada semua parti-parti politik.

Awal minggu ini, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi menggesa penganjur membatalkan protes tersebut, dan memberi amaran "jangan mencabar saya".

Perhimpunan sabtu itu adalah yang terbesar dalam 10 tahun sejarah Malaysia sejak Reformasi 1998.

Pada September 1998, lebih 10,000 manusia menunjuk perasaan di jalan-jalan utama Kuala Lumpur selepas bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjarakan oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, atas dakwaan rasuah dan salahlaku seksual.

Anwar seterusnya membentuk Parti KeADILan Rakyat, yang menjadi salahsatu dari 26 penganjur demonstrasi itu, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).

Aktivis berkata pilihanraya Malaysia berat sebelah kepada perikatan Barisan Nasional, berikutan proses mengatur semula sempadan kawasan mengundi bagi memecahkan kekuatan pembangkang. Selain dari itu, dakwaan membeli undi, ketidakadilan Suruhanjaya Pilihanraya serta salahguna wang rakyat dan media oleh parti pemerintah.

Barisan Nasional telah memerintah Malaysia sejak Merdeka pada 1952 dari penjajah British.

( Sedutan kata-kata lucah Pak Lah dan Najib dalam Perhimpunan UMNO ).

Abdullah di awal ucapannya berseloroh: "Ada orang kata Pengerusi (Datuk Badarudin) ni kelolo (banyak bergurau), tapi dia ni sebenarnya loqlaq (gurauan lucah). Tapi, tak apalah. Kalau tiada gurauan seperti ini, orang tidak masuk dewan."

Najib sebenarnya ingin menganjurkan kepada perwakilan dan ahli Umno untuk mencapai gagasan 'pembangkang sifar' dengan strategi yang beliau atur selama ini melalui Permata Hati dan PLKN. Ringkasnya, setiap peringkat pertumbuhan anak-anak di Malaysia bakal 'diUmnokan' melalui program-program Umnonisasi yang beliau rancangkan itu.

Najib mahu jalankan Umnonisasi ke atas anak bangsa sejak kandungan lagi.

"Kita boleh lakukan perkara ini. Saya (masih) qualify sebab saya tak boleh lagi terkecuali (hadirin ketawa)... sebab kilang saya dah tutup," kata Najib secara tersirat.

'Kilang' di sini melambangkan isteri yang mungkin disifatkan beliau sebagai sudah tidak boleh melahirkan zuriat untuk meneruskan perjuangan Umno lagi.

Ucapan tersirat, ini diiringi dengan ketawa oleh Pengerusi, "tak pa, tak pa, tak pa ..."

"Nak dapatkan lesen 'kilang' (isteri) baru," kata Najib. Lalu disampuk Pengerusi, "tak ada kementerian ..."

"Tak ada kelulusan pulak. Jadi, tak guna. Nak merayu pun tak guna. Orang putih kata, 'definitely no'. Jadi, siapa yang boleh... Pak Lah?" kata beliau sambil ketawa.

Sesekali kamera dihalakan ke arah wajah Perdana Menteri, sesekali merakam aksi wajah Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Najib. Entah apa rasa hati wanita nombor dua itu ketika dirinya dijadikan bahan ketawa secara tidak sengaja (tak sedar) di khalayak?

Di celah ketawa hadirin itu, Badarudin mencelah: "Gagah sajalah Pak Lah ooii ..."

Najib menyambung: "Jadi kepada siapa yang boleh, saya syorkan supaya mendekati perut isteri. Tengok pada perut isteri, jangan tengok pada yang lain (hadirin ketawa) dan cuba berkomunikasi dengan anak di dalam perut isteri itu.

"Suruh dia (anak dalam kandungan) sebut Umno, Dato," tingkah Badarudin.

"Ya, ya ... suruh dia sebut Umno (hadirin ketawa)," Najib senang atas saranan gurauan itu.

"Kalau boleh suruh dia (anak dalam kandungan) nyanyi lagu Umno. Jadi, anak itu akan lahir sebagai seorang yang hebat pemikiran, hati dan jiwanya adalah Umno, insya Allah."

Akhirnya, beliau menutup hujahnya dengan kesimpulan: "Dan pada orang Melayu, inilah dia pelaburan paling besar. Bukan rumah besar. Bukan kereta besar."

Umnonisasi Najib diperkukuhkan dan dipertajamkan dengan pantun rekaan beliau.

Kuat berusaha hidup senang
bila kaya menabur jasa
pilihan raya menang cemerlang
untuk mengangkasa tamadun bangsa.

Abdullah sebagai respon awalnya ke atas Umnonisasi Najib itu, ia dimulai dengan sebuah pantun boria, yang diakhiri dengan nada gurauan dalam kelambu - Kalau nak dapat anak, berbuat baik dengan bini.

"Datuk Najib, rupa-rupanya nakal sikit," Abdullah bergurau sebelum meneruskan ucapan yang mencela keras perhimpunan anjuran Bersih yang difatwakan beliau sebagai haram.