HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 November 2007

Peniaga: Polis pecahkan lutut saya sewaktu perhimpunan
Oleh Fawaz Abdul Aziz

Kecederaan yang dialami oleh Aleyasak Hamid Ali Hassan, seorang penjual goreng pisang, menjadi bukti kekerasan yang digunakan oleh anggota polis ketika meleraikan perhimpunan anjuran Bersih di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

ebenarnya, beliau ke ibunegara pada hari berkenaan semata-mata mahu melihat sendiri perhimpunan tersebut, tetapi ia berakhir dengan lututnya pecah dipijak dan ditendang dengan kuat oleh "anggota polis" di kawasan Masjid Jamek.

Dia juga tidak memakai baju warna kuning, tetapi mengenakan pakaian berwarna hitam dan tidak terlintas di hatinya untuk menyertai perhimpunan tersebut.

"Tidak pernah terbayang yang saya akan berakhr begini, dengan kaki saya hancur dicederakan oleh mereka yang sepatutnya melindungi orang ramai daripada keganasan," kata Aleyasak, 31, dari Kajang Selangor.

Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh Bersih - gabungan 67 badan bukan kerajaan (NGO) dan lima parti politik yang menuntut pembaharuan pilihanraya. Kira-kira 40,000 orang berhimpun di Istana Negara dan memorandum mengenainya telah diserahkan kepada wakil Yang di-Pertuan Agong.

Aleyasak - yang mendakwa bukan ahli mana-mana NGO atau parti politik - adalah antara mereka menjadi mangsa tindakan polis yang meleraikan perhimpunan di kawasan Masjid Jamek. Polis berkata, ia perhimpunan haram selepas menolak permohonan permit dari pihak penganjur.

Ketika ditemui Malaysiakini semalam, Aleyasak baru empat jam keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam keadaan kesakitan ketika menggerakkan kakinya, Aleyasak menceritakan pengalaman yang menimpa dirinya, sambil ditemani oleh isterinya, Maryam Jameela Megat Mohd Yusof, yang duduk di sebelahnya.

"Saya telah membaca mengenai perhimpunan Bersih dalam akhbar sebulan lalu. Memandangkan ibu mertua saya mengadaka rumah terbuka sempena Hari Raya pada petang Sabtu, jadi kami mengambil keputusan untuk pergi melihat apa yang berlaku," katanya.

"Semasa terperangkap dalam kesesakan lalintas, kami dapat melihat orang ramai berdemonstrasi secara aman - mereka tidak membawa apa-apa. Jadi saya turun dari kereta pada jam 3.30 petang di satu sudut Jalan Tun Perak dan Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk melihat mereka dari jauh."

Bunyai 'pop'

Manakala isterinya pula terus memandu kereta menuju ke rumah ibunya di Kampung Baru. Tidak 10 minit kemudian, anggota pasukan polis anti-rusuhan menguasai kawasan di depan Masjid Jamek.

"Sekumpulan peserta perhimpunan berhampiran Masjid Jamek berlari ke arah bangunan Dewan Bandaraya (di Jalan Raja Laut). Saya ternampak beberapa anggota polis mengejar mereka. Mereka lari ke arah tempat saya berdiri.

"Orang ramai menjerti 'Lari! Lari! jadi saya naik takut dan berpusing untuk lari dari situ.”

Bagaimanapun, selepas berlari sejauh beberapa meter, Aleyasak tergelincir dan jatuh tertiarap di atas laluan pejalan kaki. Ketika itu empat anggota polis yang tidak beruniform menerpa ke arahnya. Mereka menekan kepalanya ke tanah, manakala seorang anggota lagai memijak lutut kaki kiri Aleyasak yang sedang terlipat.

Katanya, anggota polis itu memijak kakinya sekuat hati dan ketika itu dia terdengar pecak lututnya pecah.

"Saya terdengar bunyi 'pop' dan saya tahu ia telah pecah," katanya.

Ketika diarah berdiri, Aleyasak memberitahu anggota polis itu yang kakinya patah. Anggota polis itu menggunakan kata-kata kesat terhadapnya, dan mengarahnya berjalan tanpa dibantu menuju ke arah sebuah trak polis yang menunggu dekat situ.

Menurutnya, anggota polis berungut "mengapa kita mesti angkat awak? Apa yang istimewa sangat untuk diberi layanan seumpama itu? Kamu hanya pengganggu".

"Seorang anggota polis - saya tidak ingat nama atau nombor di uniform mereka - menendang kaki saya yang cedera itu sehingga terhentak ke trak. Seorang tahanan yang sudah berada dalam trak, bersimpati dengan saya dan membantu saya naik ke dalamnya."

Kira-kira 12 tahanan dibawa ke ibupejabat polis kontinjen. Sebaik sahaja tiba di sana, anggota St John's ambulans terus membawanya ke hospital dan dimasukkan untuk menerima rawatan.

Selepas menjalani pembedahan, Aleyasak diberitahu yang lututnya itu akan mengambil masa tiga hingga lima bulan untuk sembuh. Bagaimanapun, dia perlu menunggu selama setahun sebelum boleh melakukan sebarang kegiatan sukan atau beriadah.

“Saya tidak akan dapat bekerja untuk beberapa bulan akan datang memandang keadaan saya sekarang," katanya.

‘Pohon maaf’

Atas nasihat rakan-rakannya, Aleyasak membuat laporan polis di pondok polis HKL mengenai kejadian tersebut.

Beliau mahu sekurang-kurangnnya mereka yang tertangungjawab menyebabkan kecederaan itu memohon maaf kepadanya, tetapi tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak polis dan kerajaan.

Sementara itu, isterinya, Maryam, 29, berkata kecederaan yang dialami suaminya itu telah menjejaskan mata pencarian mereka.

Maryam - seorang guru tuisyen - berkata beliau terperanjat dan seperti tidak percaya dengan yang telah berlaku terhadap suaminya itu.

"Kita hanya rakyat biasa. Kita tiada kena mengena dengan politik. Mengapa dia diperlakukan sedemikian? Kalaupun polis hendak meleraikan perhimpunan tersebut, suami saya hanya pergi melihat sahaja - mesti ada batasan terhadap apa yang mereka boleh lakukan," katanya.

Beliau berkata, anak-anaknya - berusia enam dan dua tahun - juga tertanya-tanya mengapa bapa mereka cedera.

"Saya tidak mahu mereka keliru dengan memberitahu mereka, polis yang melakukannya terhadap bapa mereka," kata Maryam.

Beliau juga marah dengan mereka yang menafikan tiada keganasan dan kekerasan yang melampau telah digunakan oleh polis terhadap suaminya.

"Saya sangat sedih dan marah. Kami mahukan keadilan. Anda tidak boleh lakukan ini kepada rakyat," katanya.

SPR sudah tahu tarikh pilihan raya umum

MELAKA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata beliau tahu bila pilihan raya ke-12 akan diadakan tetapi tidak dapat memberitahunya.

"Saya tidak boleh berbohong yang saya tidak tahu bila pilihan raya akan datang, saya tidak dapat beritahu bila masanya, tetapi saya telah beri cukup peringatan untuk semua membuat persediaan," katanya.

Sambil menjelaskan bahawa bahangnya semakin hampir, beliau mengingatkan semua pihak supaya membuat persiapan kerana SPR tidak mahu sesiapapun yang ketinggalan dalam membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum itu nanti.

"Jika SPR giat membuat persiapan, maka pihak lain termasuk parti politik, juga perlu membuat persiapan," katanya kepada pemberita pada majlis taklimat kepada pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus pilihan raya dan pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya umum ke-12 negeri Melaka di sini hari ini.

Taklimat itu antaranya berkaitan peranan dan tanggungjawab pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya itu nanti.

Bermula di Melaka hari ini, SPR akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberi taklimat serupa di setiap negeri.

Abdul Rashid berharap bahawa selepas selesai SPR semua taklimat itu yang dijangka mengambil masa sebulan setengah, pilihan raya mungkin dapat diadakan.

Abdul Rashid, yang pernah menjadi Setiausaha SPR dan telah menguruskan enam pilihan raya umum, berkata pilihan raya di negara ini sentiasa dijalankan secara adil, bebas dan telus mengikut undang-undang sedia ada.

"Undang-undang yang sama masih terpakai sekarang dan jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan undang-undang itu, saya rasa patut mereka jangan salahkan SPR.

"Dia kena cari saluran untuk menentukan supaya pihak berwajib diyakinkan bahawa undang-undang itu patut dikaji," katanya.

Beliau berkata SPR sedia untuk berdialog dengan mereka yang menuduh kononnya SPR tidak adil, tidak bebas dan tidak telus. BERNAMA

Penghuni khemah Rimba Jaya dihalau pihak berkuasa jam 2.00 pagi

Nyza Ayob

SHAH ALAM (Hrkh) - Seawal jam dua pagi, beberapa keluarga yang berkhemah dan tinggal di pondok yang dibina di Kampung Rimba Jaya dikejutkan laungan supaya segera berpindah oleh anggota polis, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Anggota keselamatan tersebut mengerah supaya mereka segera merobohkan khemah dan pondok masing-masing serta diberi amaran supaya tidak memasuki lagi kawasan tersebut.

Dalam pada itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Munah yang menempatkan barang-barang milik keluarganya di sebuah rumah rakan di Meru, Klang, berkata, beliau terpaksa membina khemah di bekas tapak rumahnya pada waktu malam kerana tidak mempunyai penempatan lain untuk bermalam.

"Malam ini saya tidak tahu di mana hendak bermalam. Nampaknya terpaksa menumpang di rumah kawan. Untuk bermalam di sini, kawasan ini telah di kawal ketat dan sekeliling kawasan sudah dipagar," katanya dengan nada sayu.

Sementara itu, menurut pengawal keselamatan yang berkawal di kawasan tersebut, anggota polis, FRU dan MBSA meninggalkan kawasan Rimba Jaya kira-kira jam 12 tengah hari.

Jika pada 12 November lalu kami dibenarkan masuk ke kawasan tersebut oleh pengawal keselamatan, permintaan kami untuk memasuki kawasan tersebut hari ini dihalang dengan alasan kawasan tersebut sudah menjadi 'kawasan larangan'.

Difahamkan perobohan kuil yang terhalang pada 30 Oktober lalu juga berjaya dilenyapkan sebelum mentari muncul. Kawasan sekeliling juga dipagar dan dipalang.

Pada 30 Oktober lalu, 274 buah rumah penduduk termasuk surau Kampung Rimba Jaya dirobohkan pihak berkuasa tempatan selepas diberi notis selama seminggu untuk berpindah.

Bagaimanapuna ada kalangan penduduk terpaksa mendirikan khemah dan pondok kerana tidak mempunyai penempatan lain dan tidak mampu membayar sewa. - mns

Anugerah penyapu terlalu hina – CUEPACS

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

KUALA LUMPUR – Beberapa kesatuan sekerja membantah langkah kerajaan Selangor memberikan penyapu kepada agensinya yang berprestasi buruk kerana ia boleh menjatuhkan moral kakitangan.

Menurut mereka, langkah simbolik itu disifatkan terlalu ‘menghina’ dan sekali gus mengaibkan kakitangannya.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, banyak lagi cara selain diberikan penyapu.

“Tidak salah kalau kita beri keris atau tanjak sebagai simbol peringatan kepada agensi yang tidak cemerlang.

“Ini rekod dunia. Belum pernah ada negara yang mengaibkan agensi yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang dengan memberi penyapu sebagai tanda peringatan,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada dua agensinya termasuk Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Mohamad Khir menjelaskan bahawa pemberian penyapu itu bukan bertujuan menjatuhkan maruah tetapi secara simbolik bagi membersihkan amalan negatif pihak berkuasa tempatan serta jabatan yang tidak mencapai tahap maksimum kualiti perkhidmatan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, menurut Omar, dia menerima banyak panggilan daripada pekerja sektor awam yang tidak senang dengan cara itu.

‘‘Kita juga bersetuju membawa isu penyapu dalam mesyuarat CUEPACS pada 29 November ini,” tegasnya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud berkata, pemberian penyapu tersebut dilihat terlalu kasar dan memalukan.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae), Azih Muda pula berkata, ukuran seharusnya dibuat mengikut rating dan pemberian bintang seperti diguna dalam bidang perhotelan.

“Sistem ini lebih wajar. Siapa yang dapat sedikit bintang tentu berusaha sendiri untuk meningkatkan prestasi,’’ katanya.

Pak Turut" dalam Umno bermula lepas era Tun Razak- Musa

PETALING JAYA: Budaya 'pak turut' yang dihidupkan di dalam Umno selepas zaman kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein telah membantutkan kematangan kepimpinan di dalam parti itu, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam.

Berucap semasa melancarkan buku The Unmaking of Malaysia: Insider's reminiscences of Umno, Razak and Mahathir dekat sini hari ini, beliau berkata, penekanan terhadap soal 'kesetiaan' menjadikan pemimpin sekarang kurang berminat untuk berkhidmat kepada rakyat, sebaliknya lebih cenderung mengejar kepentingan peribadi.

"Setiap kali Tun Abdul Razak bertanya mengenai pencalonan, persoalan yang dikemukakan biasa adalah 'adakah dia boleh berkhidmat?'

"Tapi kemudian persoalan-persoalan sebegitu semakin hilang dan timbul pula soalan 'bolehkah kita percaya kepada dia?'," katanya kepada kira-kira 100 orang yang hadir di majlis itu.


Tun Musa Hitam bersama pengarang The Unmaking of Malaysia di majlis pelancaran buku tersebut hari ini. (Foto Bernama)

"Ini menjadikan pemimpin lebih berminat untuk mendapatkan dana-dana, sedangkan usaha untuk menolong orang-orang miskin masih tidak cukup."

"Jika konsep ini dapat diubah, kematangan budaya politik di negara ini akan dapat ditingkatkan. Ini adalah cabaran kepada pemimpin muda untuk merungkai konsep kesetiaan ini," katanya lagi.

"Mereka harus keluar daripada capaian politik semasa yang lebih menumpukan tentang soal penerimaan kelompok."

Jelasnya, isu kesetiaanlah yang menyebabkan beliau tersingkir daripada arena politik.

Musa meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1986 selepas tidak sejalan lagi dengan perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya kalah kerana (isu kesetiaan) digunakan ke atas saya dalam politik," katanya.

Mengulas mengenai buku itu karya Ahmad Mustapha Hassan, Musa berkata beliau tidak menyokong sepenuhnya pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh pengarang.

"Sebagai langkah keselamatan, saya perlu beritahu di sini bahawa saya tentunya tidak menyokong pandangan-pandangan di dalam buku ini, namun saya hormati pandangan-pandangan beliau.

"Saya khuatir akan berlaku salah faham kerana saya melancarkannya," kata Musa.

Bekas timbalan presiden Umno itu, yang telah membaca buku itu sepenuhnya, bagaimanapun enggan menjelaskan bahagian-bahagian yang tidak dipersetujuinya di dalam buku itu.

"Ini adalah karya provokatif kerana ia sepatutnya dapat menggalakkan masyarakat supaya mula bertanya soalan-soalan tentang apa yang berlaku," katanya.

Ahmad Mustapha, 71, pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar kepada dua orang tokoh -- Abdul Razak sewaktu perdana menteri dan kemudiannya Dr Mahathir (timbalan perdana menteri).

Pengarang itu, yang juga seorang ahli Umno, telah mengemukakan perbezaan-perbezaan ketara antara dasar dan gaya kepimpinan kedua-dua pemimpin tersebut di dalam bukunya setebal 272 halaman.

Razak disifatkannya sebagai pemimpin yang bekerja keras membasmi kemiskinan, namun usaha itu telah digagalkan oleh pemimpin-pemimpin seterusnya.

"(Dr Mahathir) tidak dekat dengan Melayu luar bandar, oleh itu tidak mengetahui masalah dan aspirasi mereka," katanya dalam buku tersebut.

Dr Mahathir juga disifatkan seorang pemimpin yang autokrat dan sombong, sementara Abdul Razak pula demokratik dan dekat dengan rakyat.

"Tun Razak mempunyai tabiat mematuhi prosedur kerajaan yang betul, Dr Mahathir kelihatan tidak menyukai amalan ini," tulisnya lagi di dalam buku terbitan Strategic Information and Research Development Centre itu.

Pengarang tersebut, yang juga bertanggungjawab merangka ucapan terakhir Abdul Razak di perhimpunan Umno, menulis Mahathir lebih berminat untuk memajukan industri dan bersaing dengan negara-negara Barat daripada menumpukan soal pembasmian kemiskinan. Mstar online

Rabu, 14 November 2007

Satu sen tak diguna di kaunter 1 April 2008

Oleh Farid Noh

KUALA LUMPUR: Mulai 1 April tahun depan syiling satu sen tidak akan digunakan lagi bagi pembayaran di kaunter, sebaliknya semua bayaran bil digenapkan melalui Mekanisme Penggenapan untuk mengurangkan kos pengeluaran syiling berkenaan.

Menerusi mekanisme itu, jumlah keseluruhan bil yang berakhir dengan satu, dua, enam dan tujuh sen diturunkan kepada lima sen terdekat, manakala tiga, empat, lapan dan sembilan sen dinaikkan kepada lima sen terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata mekanisme itu diguna pakai untuk jumlah keseluruhan bil dan bukan bagi setiap unit barangan.

"Bagaimanapun, syiling satu sen akan terus sah diperlakukan tetapi jumlah yang dikeluarkan setiap tahun akan dikurangkan," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan pengenalan mekanisme itu di sini, semalam.

Shafie berkata, pelaksanaan mekanisme itu membolehkan kerajaan menjimatkan kos pengeluaran syiling satu sen sebanyak RM14 juta setahun.

Bank Negara Malaysia mengeluarkan 360 juta syiling satu sen setahun dan setakat ini, kira-kira 4.4 bilion syiling satu sen sudah dikeluarkan.

"Kira-kira satu peratus saja syiling satu sen kembali ke bank pusat berkenaan. Banyak yang tidak dapat dikesan," katanya.

Beliau berkata, pengenalan mekanisme itu juga akan memberi faedah kepada pengguna dan peniaga kerana transaksi kaunter lebih pantas.

Katanya, penggunaan mekanisme itu membabitkan semua jenis pembayaran di kaunter sama ada tunai atau bukan tunai (cek, kad kredit, kad caj dan kad debit).

"Bagaimanapun, pembayaran dalam talian melalui internet termasuk pembayaran bil utiliti, kad kredit dan pembayaran melalui mesin juruwang automatik (ATM) tidak tertakluk kepada mekanisme itu," katanya.

Beliau berkata, peniaga diwajib mempamerkan jadual mekanisme berkenaan dengan logo kementerian di kaunter juruwang.

158,042 kes muflis sehingga Julai

KUALA LUMPUR: Sebanyak 158,042 kes muflis terkumpul dan didaftarkan di 21 cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia seluruh negara bermula tahun 2005 hingga 31 Julai tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk M. Kayveas berkata daripada jumlah itu, sebanyak 6,813 kes telah dilepaskan dan sebanyak 2,772 kes dibatalkan.

Dagi tempoh sehingga 31 Julai tahun ini, sebanyak 7,814 kes baru didaftarkan berbanding 15,868 kes pada tahun 2005 dan 13,590 kes tahun lepas, katanya dalam jawapan bertulis kepada bertulis kepada Loh Seng Kok (BN-Kelana Jaya).

Kayveas berkata Selangor mencatatkan kes kebankrapan tertinggi iaitu sebanyak 26,086 kes diikuti Kuala Lumpur sebanyak 24,719 kes manakala Perlis mencatatkan kes paling sedikit iaitu 787 kes.

M. Kayveas berkata selepas sesuatu kes dilupuskan, Jabatan Insolvensi akan mengambil tindakan mengiklankan dan mewartakan kes itu, menyemak baki estet untuk memastikan sama ada tindakan membayar dividen telah diambil atau belum.

Selain itu, jabatan akan memulangkan lebihan yang dibuat setelah ditolak semua perbelanjaan dan pembayaran yang perlu dibuat kepada Ketua Pengarah Iinsolvensi sekiranya terdapat wang lebihan dalam baki estet.

"Jabatan juga akan memohon kepada mahkamah bagi pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi mengikut Seksyen 82 Akta Kebankrapan 1967," katanya. BERNAMA

JKR siasat bangunan runtuh di Tasik Banding

IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak telah memulakan siasatan terhadap kejadian bangunan dua tingkat milik Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) yang sudah hampir siap di lereng Tasik Banding di Gerik yang runtuh semalam.

Pengarahnya Datuk Wong Wai Ching berkata siasatan akan meliputi semua aspek termasuk kejadian tanah runtuh yang berlaku di belakang bangunan itu.

Siasatan itu akan diketuai oleh beliau sendiri, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebahagian bangunan itu mula runtuh pada kira-kira pukul 8 pagi semalam sebelum diikuti satu lagi runtuhan yang meranapkan keseluruhan struktur bangunan terbabit selang dua jam kemudian.

Bangunan yang bakal dijadikan pusat pentadbiran Taman Negeri Royal Belum itu dipercayai dibina sebuah syarikat swasta.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian runtuhan bangunan yang belum diduduki itu. BERNAMA

Penyapu aibkan penjawat awam

KUALA LUMPUR: Kesatuan sekerja kakitangan awam tidak bersetuju dengan langkah kerajaan Selangor memberikan "penyapu" kepada agensinya yang berprestasi buruk kerana itu menjatuhkan moral kakitangan.

Sebaliknya mereka mencadangkan agar tindakan tegur secara bersemuka, perjumpaan tertutup dan memperkenal sistem bintang atau taraf sebagai pendekatan yang lebih baik bagi merangsang agensi kerajaan mencapai prestasi yang disasarkan.

Presiden Cuepacs Omar Osman berkata cara menegur secara tertutup dilihat sebagai kaedah terbaik yang dapat memberi kesedaran kepada kakitangan agensi yang terlibat, dan pada masa yang sama, mengetahui masalah sebenar mereka.

Beliau berkata pemberian penyapu oleh kerajaan Selangor kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor bukanlah budaya masyarakat Malaysia dan ia boleh disalahtafsir oleh sesetengah pihak.

"Saya terkejut dan tidak setuju dengan pemberian penyapu ini. Selepas 50 tahun merdeka, ada lagi cara lain bagi memberi kesedaran kepada pekerja," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Dua hari lepas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menghadiahkan 'penyapu' kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Mohamad Khir menjelaskan bahawa pemberian penyapu itu bukan bertujuan menjatuhkan maruah tetapi secara simboliknya, bagi membersihkan sikap buruk dan amalan negatif pihak berkuasa tempatan dan jabatan yang tidak mencapai tahap maksimum kualiti perkhidmatan yang telah ditetapkan.

Langkah itu telah mengundang pelbagai reaksi kurang senang beberapa pihak yang menyifatkan tindakan itu sebagai mengaibkan.

Omar berkata beliau menerima banyak panggilan daripada pekerja sektor awam di seluruh negara yang tidak senang dengan cara itu, dan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Cuepacs pada 29 Nov ini.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud berkata pemberian penyapu itu dilihat terlalu kasar seolah-olah memberi isyarat tidak baik.

"Jangan melakukan sesuatu yang mendatangkan aib kepada penjawat awam. Mungkin ada sebab dan halangan mereka tidak mencapai prestasi cemerlang.

"Bukan tidak boleh ditegur tetapi cara itu telalu kasar. Jika sistem seluruh negeri Selangor baik, hanya MDHS saja yang tidak baik, itu lainlah. Penyapu menggambarkan bahawa jabatan tersebut teruk sangat," katanya.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) Azih Muda pula berkata adalah lebih wajar jika pencapaian atau kelemahan sesuatu jabatan atau PBT itu diukur dalam bentuk 'rating' atau sistem bintang, seperti mana yang diguna pakai dalam bidang perhotelan.

"Dengan menggunakan sistem bintang, PBT yang dapat jumlah bintang yang tinggi dapat berbangga (bila bintang itu dipamerkan), berbanding jika mereka mendapat hadiah seperti tiket percutian, mereka tiada apa-apa lagi untuk dibanggakan bila hadiah itu habis digunakan.

"PBT yang kurang (jumlah bintangnya) pula tentunya malu dan akan berusaha untuk meningkatkan pencapaian mereka," katanya. BERNAMA

Selasa, 13 November 2007

Catatan bagaimana gelombang kuning bersatu membentuk lautan

Oleh Zahrin Zahran

SAKSI MATA 10 NOVEMBER telah menyaksikan kemenangan pertama buat rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran. 100,000 telah berjaya sampai ke perkarangan Istana Negara. Walaupun ugutan demi ugutan telah diterima rakyat Malaysia tetap tegas dengan pendirian mereka.

Walaupun media massa utama tidak menyiarkan berita yang sebenar dan hanya melaporkan 4000 orang sahaja yang berhimpun namun tiada siapa yang mampu menghalang berita sebenar tersebar luas.

Tanya saja kepada warga kota KL, limpahan kuning telah sampai ke simpang jalan Brickfields. Gambar – gambar di internet menceritakan segalanya. Lautan kuning memenuhi jalanraya.

Jam 11.04 pagi

Sementara menunggu kedatangan Black di Bangsar, sempat aku minum Nescafe o ais di Restoran Mydin. Teringat waktu muda remaja, tempat itu menjadi stesen menunggu rakan seperjuangan untuk ke tempat perhimpunan.

Makhluk atau insane yang bernama Black akhirnya muncul sambil seorang insane yang bernama Cikgu Bad. Setelah berbincang apa yang akan dibuat kami mengambil keputusan untuk bergerak ke Sogo tepat jam 1 petang.

Jam 1.00 petang

Kami berlima (aku, black, Cikgu Bad, Kambing dan Bobby) mula berangkat ke Sogo dengan menaiki LRT Putra.

Dalam tren yang kami naiki terdapat seorang anggota polis cawangan khas yang memantau jumlah bilangan rakyat yang menaiki tren tersebut dan perkara ini disahkan lagi apabila rakannya yang naik tren tersebut dari stesen Pasar Seni menegurnya.

Ahh biarkanlah mereka, mereka itu sedang bekerja.

Akhirnya kami sampai ke stesen Masjid Jamek. Ketika ini telah mula kelihatan Unit Amal PAS dengan uniform berwarna merah. Cukup segak.

Kami memulakan perjalanan ke Sogo dengan melalui lorong katak (bak kata Cikgu Bad) di Masjid India. Kelihatan anggota FRU berada di celah – celah lorong di Masjid India. Akhirnya kami sampai ke Sogo.

Jam 1.50 petang

Aku ambil keputusan untuk turun dulu ke pintu utama Sogo dan meninggalkan teman – teman di dalam Sogo. Sewaktu sedang mengambil angin di luar tiba – tiba semua mata memandang ke satu arah di belah kiri seolah – olah ada satu pertunjukan di sana. Rupa – rupanya gelombang kuning telah tiba.

Jam 2.00 petang

Segera aku menelefon Black untuk memaklumkan kedatangan tentera kuning ini. Selang 5 minit muncul Black, Cikgu Bad, Kambing dan Bobby.

Semangat mahu berhimpun segera naik. Pada mulanya aku merasakan kumpulan di Sogo ini tidak sampai 300 orang. Tapi rakyat lebih bijak dari Pak Lah, KJ dan polis.

Mereka menyamar. Apabila kumpulan ini sampai dengan segera mereka membuka baju dan dengan bangganya menunjukkan baju BERSIH. Nahh dengan segera jumlah yang hadir itu mencecah 2000 orang.

Cikgu Bad mengambil tempat sebagai MC dan berucap. Laungan DAULAT TUANKU dan takbir dengan hebat berkumandang. Sebelum memulakan perarakan doa dibuat untuk merahmati perarakan kami ini.

Jam 2.15 petang

Kami mula bergerak kearah kiri Sogo. Lautan Daulat Tuanku, Allahuakhbar, Hidup Rakyat, Polis Jangan Kacau Rakyat Kalau Kacau Khianat Raja, Kami Orang Raja dan lain – lain dilaungkan dengan begitu bersemangat.

Sewaktu perarakan menuju ke Dataran Merdeka sempat aku menoleh kebelakang.

Aduhhh begitu ramai sekali yang menyertai perarakan ini. Umpama ombak yang datang tidak berhenti menghempas pantai. Hujan mula turun dengan lebat.

Apabila kami mula hampir ke Dataran Merdeka pihak polis yang diwakili oleh FRU telah bersiap – sedia untuk menghalang kami. Tapi rakyat bijak.

Dengan strategi yang pantas oleh teman – teman seperjuangan, kami dengan pantas menukar strategi untuk terus ke Istana Negara sambil menuju ke Masjid Negara untuk ribuan lagi rakan kuning yang sedang berhimpun di sana.

Ya memang benar, ribuan rakyat telah bersiap – sedia menunggu kedatangan kami.

Dengan segara kumpulan Sogo bergabung dengan kumpulan Masjid Negara dan dengan sekelip mata kumpulan tentera kuning mula menjadi bertambah besar.

Jam 3.00 petang

Tentera kuning berjaya sampai ke jalan masuk menghadap pintu utama Istana Negara. Kami dihalang daripada menghampiri pintu utama itu kira – kira 100 meter jauhnya. Sewaktu kumpulan ini tiba dan menuju ke arah polis terasa cukup bersemangat.

Melihat trak – trak polis yang sudah bersiap – sedia hati aku cukup gembira kerana sudah lama tidak melihat suasana sebegini.

Aku percaya kumpulan Sogo yang kemudiannya bergabung dengan kumpulan Masjid Negara merupakan kumpulan pertama yang sampai ke Istana Negara. Pihak polis mula kelam – kabut kerana kami berjaya sampai ke sana. Pihak polis mula membuat benteng.

Kami mula rapat ke arah mereka hinggakan muka aku bersentuhan dengan perisai FRU. PA sistem akhirnya telah sampai. Sekali lagi Cikgu Bad menjadi MC dan melaungkan slogan – slogan rakyat. Akhirnya Mat Sabu tiba. Beliau dengan segera dipikul untuk memberikan ucapan.

Slogan demi slogan dilaungkan. Rasuah, penipuan, gangsterisme ketika waktu berkempen dikeji dan ditentang habis – habisan. Sudah tentu serangan ini ditujukan kepada pihak yang bermain kotor ketika berkempen.

Jam 3.15 petang

Aku terpegun melihat lautan manusia memenuhi setiap ruang inci jalanraya. Kuning di mana – mana.

Mereka semua sanggup bermandikan hujan dengan harapan yang cukup menggunung kepada Agong. Rakyat Malaysia berharap agar Agong dapat menasihati PM yang pantang dicabar ini segera membersihkan segala amalan kotor ketika pilihanraya berlangsung. Memorandum telah diserahkan kepada pihak Agong.

Jam 3.30 petang

Bermulalah ucapan demi ucapan oleh pemimpin yang sayangkan Malaysia daripada terus dirompak oleh sang penguasa beruk dan sang penguasa yang pantang dicabar.

Tuan Guru Haji Hadi Awang berucap dengan segera laungan takbir berkumandang. Cukup kuat dan hebat. Akhirnya manusia yang cukup dirindui kedatangannya ke jalan raya telah muncul.

Anwar Ibrahim muncul sambil dijulang. Sorakan terhadap beliau begitu dahsyat. Nyata beliau masih mempunyai pengaruh yang cukup kuat.

Laungan lawan tetap..LAWAN dan REFORMASI sebanyak 3 kali dilaungkan oleh beliau dengan begitu bersemangat sekali.

“Ini baru permulaan, kita akan teruskan lagi dengan kehadiran yang lebih ramai” masih berbisa

Anwar Ibrahim memberi arahan supaya rakyat segera bersurai. Rakyat akur dengan arahan oleh Anwar. Walaupun hati ini berat mahu bersurai tapi arahan tetap arahan dan kita harus patuh kerana setelah menonton video dari Malaysiakini baru lah hati tenang kerana jika lebih pada 5 minit pihak polis akan jadi gila! (maknanya nak serang la)

Jam 4.00 petang

Kami berarak secara aman ke Masjid Negara tempat di mana kami akan bersurai. Hati ini cukup girang melihat dibelakang ku Anwar yang sanggup berjalan berkilometer untuk ke Masjid Negara. Akhirnya kami selamat tiba. Sekali lagi Black memohon agar Mat Sabu mengeluarkan arahan untuk rakyat bersurai dengan aman.

Waktu aku sedang berehat bersama – sama rakan seperjuangan, aku cukup terpegun dengan kehadiran rakyat yang cukup dahsyat. Kehadiran mereka untuk bersurai di Masjid Negara bagaikan tidak putus – putus.

Jam 4.20 petang

Sekali lagi arahan dikeluarkan untuk bersurai oleh pihak jawatankuasa BERSIH. Sivarasa Rasiah mengambil tempat Mat Sabu untuk member arahan agar rakyat bersurai dengan aman.

Jam 4.30 petang

Akhirnya perhimpuan 10 November telah berjaya. Walaupun kehadirannya tidak dapat menyamai kehadiran pada tahun 20 September 1998 tapi bagi aku inilah perhimpunan yang paling tersusun.

Polis ditipu dengan begitu cemerlang. Rakyat mendengar arahan dari pihak jawatankuasa.

100,000 rakyat telah berhimpun untuk menyatakan sokongan kepada kempen BERSIH. Pilihanraya yang bersih dapat menjamin kesejahteraan negara daripada dirosakkan oleh si beruk KJ dan si pantang dicabar Pak Lah.

Ohh ya Pak Lah dan Zam. Pak Lah kamu kata kamu pantang dicabar ya. Zam kamu kata laporan media kamu betul ya. 4000 orang je ya.

3 minggu lagi kita jumpa lagi. Insya Allah