HALAMAN SANTAI
Sabtu, 30 Januari 2010
Enjin Jet Hilang: Laporan PAC Banyak Kesangsian
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hanya menimbulkan lebih banyak kesangsian apabila mendakwa tidak ada pihak atasan Tentera Udara Diraja Malayia (TUDM) yang terbabit dalam kecurian dua enjin jet pejuang dua tahun lalu.
Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid berkata pihaknya mencapai rumusan itu kerana tidak ada rekod TUDM digunakan untuk membawa keluar dua enjin berkenaan.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail mempersoalkan hasil siasatan itu dan menyifatkan laporan itu sebagai longgar dan perlu diperjelaskan dengan lebih teliti.
“Buat masa ni yang mengatakan tidak ada pihak atasan terlibat ini adalah satu persoalan yang besar. Adakah ia dicuri ? Kalau dicuri, soal keselamatan mereka kita pertikaikan. Tapi kalu kata dikeluarkan, bukan dicuri, bagaimana benda sebesar ini memerlukan kelulusan dari penjawat bawahan saja,” kata Azan.
“PAC telah memberikan kita gambaran bahawa kaedah pengurusan pengendalian aset- aset kerajaan yang menuntut tahap keselamatan yang tinggi tidak diuruskan dengan baik setakat ini,” tambahnya lagi.
Azan berkata orang awam tidak akan menerima penjelasan bahawa dua enjin jet pejuang boleh dibawa keluar dari negara ini, tanpa keperluan dokumen dan prosedur ketat.
“Benda tu perlu diangkat keluar dan melalui satu prosedur yang ketat. Ia perlukan semakan ketua komanden DEPO dan banyak lagi prosedurnya. Tapi hilang juga,”katanya.
“Mungkin benda itu dirancang dengan melibatkan individu yang mempunyai tanggungjawab yang ketat,” hujahnya lagi.
Azan berkata hasil siasatan PAC perlu diperinci dan dibahas di Parlimen dan tidak boleh diterima secara bulat.
“Bila PAC kata tidak ada orang atasan yang terlibat, kita masih tidak boleh buat apa- apa tindakan sebab PAC hanya keluarkan kenyataan itu selepas bermesyuarat sesama mereka dan saya yakin perkara ini akan dibentangkan diparlimen bulan 3 ini,” katanya.
“Saya akan mula mengkaji isi kandungan laporan itu dari semua sudut, prosedur, pengauditan, siasatan pengurusan kita akan tengok,” katanya.
Sidang Parlimen dijangka kembali bersidang Mac ini.
Laporan Polis : Kerajaan Selangor Tidak Gusar
Kerajaan negeri Selangor tidak gusar dengan tindakan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) membuat laporan polis kononnya Menteri Besar Selangor memburukkan kepimpinan badan itu.
Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tindakan pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom membuat laporan polis itu, jelas tidak mengambilkira keperluan YBK bertindak telus dalam urusannya.
Zainal, bekas ADUN UMNO untuk Batang Kali, membuat laporan di Ibupejabat Polis Shah Alam pagi tadi.
Beliau diiringi oleh beberapa pegawai YBK dan beberapa pihak lain yang membawa sepanduk mencaci Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Khalid menegur YBK kerana gagal bersifat terbuka dalam keperluan memberikan hak kerajaan negeri bersuara dalam urusan badan itu.
Hak itu penting kerana kerajaan negeri adalah antara penyumbang terbesar hartanah YBK.
Antara lain, YBK telah diberikan tanah 1'300 ekar di Serendah namun badan itu gagal memanafaatnya untuk faedah rakyat miskin di Selangor.
Selepas membuat laporan polis ini, Zainal mengakui YBK hanya memberikan butiran perbelanjaannya kepada awam menerusi laman webnya.
"Misalnya disebutkan masalah ketelusan dalam pentadbiran sedangkan yayasan sudah 20 tahun melaksanakan tugas ini dalam laman web ada kita bentangkan," ujar Zainal.
Nik Nazmi yang juga setiausaha politik kepada menteri besar berkata kerajaan negeri bertanggungjawab menekan YBK bersikap telus dalam urustadbirnya.
"Apa yang kita dedahkan dikerajaan Selangor setakat ini adalah fakta- fakta yang ada dengan kita, jadi samaada dia nak buat laporan polis ke apa ke itu hak dia. Kita kena dedahkan kebenaran. Sebab orang kena tahu tentang apa kebenaran disebalik YBK," ujar Nik Nazmi.
Nik Nazmi berkata kerajaan negeri akan melakukan apa yang perlu untuk memastikan YBK bertindak secara telus dalam pengurusan demi membela kepentingan rakyat miskin Selangor.
"Kita sekarang, yang kita nak ceritakan adalah pengurusan YBK, jadi kita fikir kerajaan negeri Selangor yang sudah banyak memberi tanah dan sebagainya, kita ada hak untuk mengetahui pengurusan YBK, jadi samaada dia hantar atau tidak itu perkara lain," ujarnya lagi.
Beliau berkata keperluan untuk menteri besar memimpin badan itu bukan atas kepentingan parti.
"Yang kita mintak dari awal YBK, untuk menteri besar ambil alih selaku menteri besar bermakna menteri besar itu dari parti mana pun, mereka tetap mendapat tempat, itu sahaja yang kita pinta," katanya lagi.
"Kita sudah dari awal kita, kata kita boleh bantu mereka sekiranya mreka dapat bekerjsama, mereka sudah bersetuju diperingkat awal jadi kita pun memang tidak ada masalah kita memang nak bantu, kalau kita tak nak bantu tidak ada usaha pun kita berbincang dengan YBK, kita bincang dari awal mereka setuju untuk menteri besar menjadi pengerusi kepada YBK pada peringkat awal tapi kemudian mereka tidak bersetuju,"katanya lagi.
Insiden Kepala Babi: Anasir dari UMNO dan Polis terlibat?
Banyak pihak mengkritik Naib Presiden KEADILAN Azmin Ali mendedahkan bahawa beberapa anggota UMNO terlibat dalam pembakaran sebuah gereja di Desa Melawati. Beliau akan mengumumkan nama mereka pada ketika yang sesuai. Mungkinkah kerana itu pihak Menteri Dalam Negeri dan polis tidak mahu memanggil beliau untuk siasatan?
Berikutan peristiwa kepala babi hutan diletakkan dekat masjid di Taman Datuk Harun dan Seri Sentosa pula didapati banyak perbualan mengenainya di kalangan orang ramai setempat. Sehubungan perbualan-perbualan di Taman Medan beberapa kesimpulan dapat dirumuskan, antaranya:
Pertama, kawasan di sekeliling masjid di Taman Medan itu didiami oleh orang Melayu dan tidak mungkin bagi seorang bukan Melayu yang dikenali atau tidak dikenali berani memasuki kawasan untuk membuat kerja buruk ini.
Kedua, kepala babi hutan itu dimasukkan dalam plastik dan diikat dengan tali, menunjukkan kemungkinan besar ia diletak dekat masjid oleh seorang atau lebih Muslim yang tidak mahu memegangnya kerana tahu ia dilarang dalam Islam.
Ketiga, ramai penduduk Taman Medan menganggap kerja ini mungkin dilakukan oleh beberapa orang extremis, termasuk ahli Umno, kerana mereka biasa dengan cara lama UMNO ini untuk mengapikan kemarahan kaum.
Keempat, Ketua Polis Negara Musa Hassan mengandaikan bahawa kepala babi itu mungkin dibeli dari restoran, dan ekoran dari andaian ini ramai penduduk mengesyaki ada anasir polis yang boleh jadi terlibat, kerana mereka saja - tidak orang biasa - yang boleh mendapatkan empat kepala babi hutan dari restoran sekaligus.
Saya menggesa pihak-pihak berkuasa menyiasat dengan segera dan teliti segala kesimpulan orang ramai ini sebelum ia merebak sebagai yang sebenarnya.
Bakar Gereja : Hishamuddin Jangan Masuk Campur - Polis Kena Panggil Azmin
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang melarang Polis mengambil keterangan daripada naib presiden PKR Azmin Ali, yang sebelum ini mendakwa mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat dalam kes membakar dan mendalangi serangan ke atas gereja Metro Tabernacle baru-baru ini.
Sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau tidak boleh memberikan arahan sedemikian demi untuk melindungi ahli partinya. Setiap kali ada kes jenayah dilaporkan, Polis sering meminta bantuan orang ramai untuk mengumpul maklumat. Tetapi bila sudah ada orang yang mahu tampil memberikan maklumat dan bukti, kenapa perlu dihalang?
Walaupun beliau adalah Menteri yang bertanggungjawab, namun bila wujud kes yang melibatkan kepentingan parti dan ahli Umno, maka beliau wajar mengumumkan untuk tidak masuk campur dan menyerahkan urusan siasatan Kes berkenaan dibawah tanggungjawab Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sepenuhnya.
Dalam keadaan sebegini, rakyat jelas melihat bahawa beliau cuba untuk menafikan maklumat Azmin, dan cuba untuk menghalang bukti-bukti disalurkan kepada pihak Polis untuk mendakwa suspek.
Dalam Kes Teoh Beng Hock sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan pantasnya dipanggil memberikan keterangan berikutan dakwaan beliau bahawa Beng Hock dibunuh.Tetapi kenapa bila Azmin berkata beliau mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat membakar gereja beliau tidak dipanggil memberikan keterangan.
PAS mendesak supaya Polis bersikap profesional dan tidak tunduk kepada arahan Menteri dan bersubahat menafikan maklumat dan keterangan rakyat. Jika perkara ini dibiarkan, tidak mustahil selepas ini, ahli-ahli Umno boleh melakukan apa sahaja jenayah dan tidak perlu disiasat walaupun ada rakyat yang mempunyai maklumat dan bukti.
PAS bertegas, agar Polis mengambil keterangan Azmin bagi mengesahkan sama ada dakwaan beliau benar atau tidak. Jika benar ahli Umno terlibat merancang perbuatan ini, maka PAS dan rakyat Malaysia melahirkan rasa sedih di atas perbuatan yang memalukan negara.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
E-Voting 'pilot test' kecenderungan pengundi muda PRU-13
KUALA LUMPUR: Pro-Mahasiswa (Pro-M) mendakwa pengenalan sistem e-undi di Universiti hanya bertujuan membantu kerajaan membaca trend politik pengundi muda pada Pilihanraya Umum ke-13 kelak.
Menurut Pengerusi Pro-M Nasional, Mohd Shafie Hashim, strategi sedemikian dengan menjadikan Universiti sebagai ‘pillot test’ telah lama dilakukan oleh parti-parti pemerintah di negara maju.
“Ini baru kebarangkalian...Saya tidak mahu katakan pasti atau sebaliknya motif e-Undi ini sebenarnya untuk membantu Umno BN membaca trend pengundi muda,” jelasnya.
“Tetapi, parti-parti pemerintah di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat sendiri sudah lama menggunakan cara ini, jelasnya.
Sekiranya kebarangkalian tersebut benar, beliau yang juga Pengerusi Pro-M Universiti Malaya (UM) memuji parti-parti pemerintah kerana mahir dalam memanfatkan teknologi tinggi.
“Kalau benar, kerajaan serta parti-parti pemerintah boleh dikata hebatlah sebab sudah pakai strategi berkapasiti tinggi yang lazim digunakan oleh negara-negara maju saja.”
“Ini baru kebarangkalian yang dikeluarkan oleh Unit Kajian Strategik (UKS) kita (Pro-M),” jelasnya.
Tambahnya lagi, penggunaan universiti untuk kepentingan parti-parti pemerintah sudah tentu memberi banyak kelebihan, berbanding pembangkang iaitu Pakatan Rakyat.
“Kerajaan dilihat terkehadapan jika benar menggunakan Universiti (sebagai ‘pillot test’), sedangkan parti-parti Pakatan Rakyat masih dilihat bekerja cara lama (iaitu) kenal pasti penyokong parti masing-masing, kemudiannya didaftarkan mereka sebagai pengundi baru untuk persiapan PRU13 kelak,” jelasnya.
Ditanya tentang kaedah membaca trend pengundian pengundi muda menggunakan e-undi, beliau menjelaskan bahawa data-data perolehan boleh disusun secara automatik mengikut demografi tertentu secara strategik.
“Secara relatif, data ini boleh disusun ikut demografi negeri, faham politik, latar belakang pendidikan dan tahap hidup selesa (sama ada) tinggal di kolej atau di luar (kampus).”
“Kalau keputusan e-undi menunjukkan (bahawa) majoriti mahasiswa (pengundi) peranakan atau bemastautin di Kedah umpamanya cenderung pada parti-parti yang memerintah negeri tersebut, maka ianyanya memberi isyarat (kepada kerajaan persekutuan) bahawa pengundi muda dalam PRU13 kelak mungkin lebih cenderung (pada) mengekalkan kerajaan negeri (Pakatan Rakyat) yang sedia ada,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kesal kerana universiti yang sepatutnya bersifat autonomi akhirnya dijadikan perkakas politik oleh pihak-pihak tertentu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Exco Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) turut mempersoal motif di sebalik pertemuan sulit antara ProA dan bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustafa Mohammad yang dijangka akan diadakan pada malam ini.
“Malam ini, saya diberitahu (bahawa) akan ada suatu pertemuan tertutup (yang) melibatkan semua MPP Pro Aspirasi di kediaman peribadi Datuk Mustafa, di ibunegara,” jelasnya.
“TNC HEP (Profesor Madya Datuk Dr. Azarae Idris) dan semua staff universiti yang terbabit menjayakan sistem e-undi ini pun turut dijemput.”
“ Adakah pertemuan tersebut untuk menjelaskan (laporan) trend undi muda di Universiti seperti yang saya perkatakan ini?” soal beliau.
Semalam, keputusan Pilihan Raya Kampus UM menyaksikan Pro-A mendapat 21 kerusi manakala Pro-M mendapat 17 kerusi.
Biarpun Digantung Matlamat Saya Tercapai - Khalid Samad
SHAH ALAM: Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini berkata beliau tidak kecewa walaupun digantung jawatan sebagai Yang DiPertua PAS Shah Alam dan Ahli Lujnah Politik Pas Pusat selama enam bulan berkuatkuasa semalam kerana matlamatnya telah tercapai.
"Ramai yang tidak sedar, tetapi pada hakikatnya matlamat minimum saya telah pun tercapai," katanya di dalam laman blog beliau www.khalidsamad.com hari ini.
"Tindakan Datuk PJ (Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali)selama ini yang saya tentang secara terbuka telah diisytihar SALAH dan beliau telah diberi amaran keras serta seterusnya dilarang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dan menjejaskan pakatan pembangkang Selangor," kata Khalid.
Beliau berkata Dr Hasan tidak boleh lagi memberikan gambaran bahawa tindakan beliau direstui oleh pemimpin tertinggi.
Semalam, Jawankuasa Disiplin PAS Pusat yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendapati kedua-duanya bersalah dan Dr Hasan turut dikenakan amaran bertulis.
Khalid mengakui walaupun jawatannya digantung tetapi itu tidak sepenting tindakan terhadap Dr Hasan yang telah diberi kata dua berhubung sikap dan tindakannya selama ini.
Beliau berkata hukuman gantung jawatan yang dikenakan ke atasnya disebabkan cara beliau menegur Dr Hasan yang dianggap memudaratkan PAS.
"Mungkin betul, mungkin tidak. Namun saya telah lama berusaha sebelum itu, secara dalaman, secara surat kepada pihak atasan tetapi semuanya tidak berhasil.
"Budaya wala' (taat kepada pemerintah) terlalu menebal. Menghampiri ketaatan membuta tuli," kata Khalid.
Khalid berkata akhirnya beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali menghadapi perbalahan secara terbuka.
"Memang mengikut budaya Malaysia, apabila melawan 'tauke' kuli yang akan kena.
"Ikut macam mana pun pasti akan kena. Tetapi kali ini 'tauke' pun kena juga. Walaupun hanya sedikit tetapi pada saya sudah mencukupi," kata beliau.
Beliau berkata jika Dr Hasan terus dengan cara lamanya, beliau sendiri akan melaporkan perkara itu kepada Jawatan Kuasa Disiplin PAS.
Katanya beliau juga tidak merasa kecewa di atas penggantungannya itu memandangkan keputusan sudah dibuat tetapi belum memutuskan untuk membuat rayuan.
'Badan bebas siasat ahli politik'
KUALA LUMPUR: Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan rasuah perlu mewujudkan sebuah badan bebas untuk memantau dan menyiasat aduan membabitkan ahli politik termasuk yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan.
Presiden Transparency International (TI) Malaysia, Datuk Paul Low pula menganggap tindakan telus itu akan lebih meyakinkan orang ramai terhadap kerajaan, begitu juga dengan pemantauan terhadap proses tender terbuka untuk pelbagai projek kerajaan.
Beliau berkata, walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada, badan yang tidak terikat dengan kerajaan dapat memberi kesan jangka panjang terhadap usaha untuk membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Sementara itu, Low yang di petik Bernama memuji langkah Kerajaan Pusat kerana mengiktiraf persepsi yang semakin bertambah buruk berhubung kos rasuah kepada negara ini sehingga mencapai RM10 bilion setahun dan di atas pelancaran NKRA bagi membanteras rasuah.
Beliau berkata, berkata adalah sesuatu yang menggalakkan bahawa ukuran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang mencapai standard bebas antarabangsa bagi penanda aras, Petunjuk Persepsi Rasuah TI dan Barometer Rasuah Global, telah diterima pakai.
"Terdapat banyak cadangan yang menggalakkan, seperti menangani rasuah kecil di agensi penguatkuasaan dan rasuah besar di kalangan ahli politik dan pegawai kanan perkhidmatan awam, perlindungan kepada pemberi maklumat dan mengurangkan kebocoran dalam pemerolehan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau mencadangkan supaya langkah tambahan diambil termasuk mengukuhkan SPRM dan institusi lain yang melindungi integriti dan keadilan bagi memastikan mereka bertindak tanpa rasa takut atau berpihak.
Mengulas mengenai NKRA Jenayah, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye menyarankan supaya taman atau kawasan perumahan mengambil inisiatif sendiri untuk mewujudkan 'Bandar Selamat' atau 'Kejiranan Selamat'.
Beliau berkata, Persatuan Penduduk (RA) juga wajar merangka NKRA Jenayah masing-masing bagi merapatkan hubungan dalam komuniti dengan pihak polis bagi menangani jenayah.
"Langkah ini sebagai rangka kongsi antara RA dan polis di taman atau kawasan perumahan, selain mewujudkan integrasi antara kaum sejajar gagasan 1Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Saman dihantar 48 jam
PUTRAJAYA: Mulai Ogos ini, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik terutama memandu laju dan melanggar lampu isyarat menerima saman dihantar terus ke alamat mereka dalam tempoh 48 jam selepas kesalahan itu dikesan.
Tindakan itu dilaksana bila penggunaan Kamera Pengesan Saman Secara Automatik (AES) dikuatkuasakan, yang membolehkan gambar wajah pemandu dan plat nombor kenderaan mereka dirakam terus melalui teknologi radar kamera itu.
Maklumat dirakam itu dihantar terus ke pusat kawalan memproses bagi penghantaran saman kepada pesalah, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Suret Singh.
“Melalui penguatkuasaan ini, pesalah jalan raya tidak dapat menafikan kesalahan dilakukan kerana gambar dan nombor kenderaan mereka tertera dalam saman akan dihantar.
“Saya memberi amaran kepada pengguna jalan raya, agar menukar amalan pemanduan mereka dari sekarang dan jangan menunggu sehingga Ogos apabila penguatkuasaan mula dijalankan,” katanya kepada Bernama dalam temubual ekslusif di pejabatanya, di sini semalam.
Suret berkata, projek AES digunapakai di kebanyakan negara maju termasuk Singapura mampu mendidik masyarakat untuk menjadikan mereka lebih berhati-hati dan mengikut peraturan jalan raya.
Beliau berkata, projek perintis AES dijalankan di beberapa lokasi terpilih pada Mei ini bagi mengenalpasti kelemahan dan untuk melatih anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengendali 1,000 kamera yang dipasang di seluruh negara.
“Ia membabitkan 70 peratus kamera statik manakala 30 peratus kamera bergerak yang membuat penguatkuasaan beberapa di lokasi terpilih yang tidak diketahui pengguna jalan raya.
Kamera AES dipasang di lokasi berisiko tinggi berdasarkan statistik Institut Penyelidikan Kemalangan Jalan Raya Malaysia (Miros), antaranya di 265 kawasan lampu isyarat dan 556 kawasan kemalangan disebabkan kenderaan dipandu laju, katanya.
Beliau berkata, satu perjanjian akan ditandatangani antara JPJ dan dua syarikat pembekal kamera itu dalam masa terdekat ini.
AES adalah sebahagian daripada pendekatan penguatkuasaan elektronik yang diperkenalkan untuk mencapai sasaran nisbah hanya dua kematian daripada 10,000 kenderaan menjelang 2010.
Selain berfungsi sebagai perangkap kelajuan, Suret berkata AES juga boleh digunakan bagi mengatasi masalah jenayah yang berlaku di sepanjang jaringan jalan raya di seluruh negara dan memudahkan kaedah memantau keadaan lalu lintas.
Bomoh nombor ekor minta janda
SEPANG: Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membongkar kegiatan seorang bomoh nombor ekor yang melakukan upacara dengan menggunakan wanita, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kelanang, Kuala Langat, dekat sini, malam kelmarin.
Difahamkan, serbuan itu dilancarkan selepas Jais menerima maklumat awam mengenai kegiatan seorang lelaki yang memberi perkhidmatan menurun nombor ekor dengan upacara pelik, termasuk memerlukan pelanggan membawa seorang janda sebagai syarat upacara.
Serbuan itu membabitkan 22 anggota penguat kuasa Jais, masing-masing sembilan dan tujuh anggota polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.
Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop, berkata dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, penguat kuasa Jais menahan bomoh terbabit, berusia dalam lingkungan 50-an yang ketika itu berada bersama seorang wanita lingkungan 40-an dalam sebuah bilik di rumah itu, dipercayai sedang menjalankan upacara.
Selain wanita dan bomoh itu, Jais turut menahan dua lelaki lain, masing-masing berusia 40-an dan 72 tahun serta dua wanita lingkungan umur 40-an kerana bersubahat. Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Jais di Shah Alam untuk diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan Jais manakala bomoh itu disiasat mengikut Seksyen 4, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 9/95 kerana melakukan pemujaan salah.
Shahrom berkata, lebih 10 lagi pelanggan yang menunggu giliran di luar rumah juga diambil butir peribadi dan diberikan notis supaya hadir di Ibu Pejabat Jais bagi membantu siasatan.
“Kebanyakan pelanggan beragama Islam mendakwa pergi ke situ untuk berubat manakala yang bukan Islam mengakui untuk mendapatkan nombor ekor,” katanya.
Shahrom berkata, Jais juga merampas pelbagai barang termasuk puluhan minyak atar, sejumlah sejadah, beberapa bilah keris dan pedang lama yang dipercayai digunakan untuk tujuan pemujaan.
Semakin ramai takut naik bas
KUALA LUMPUR – Tabiat sebahagian pemandu bas ekspres yang suka memandu seperti ‘pelesit’ sehingga mencecah kelajuan 170 kilometer sejam (km/j) sedikit sebanyak telah menjejaskan industri pengangkutan awam.
Ibarat “kerana nila setitik rosak susu sebelanga”, sesetengah pemandu bas ekspres merasakan mereka dihukum oleh masyarakat disebabkan kesalahan sebahagian pemandu yang tidak berdisiplin.
Begitu luahan rata-rata pemandu bas ekspres yang ditemui wartawan Unit Khas Utusan Malaysia ketika melakukan tinjauan di Hentian Duta di sini baru-baru ini.
Tinjauan itu susulan laporan penyiasatan muka depan Utusan Malaysia Isnin lalu bertajuk ‘Jerat maut’ mengenai pemandu-pemandu bas ekspres ‘pelesit’ iaitu memandu terlalu laju dan berbahaya.
Siasatan susulan Unit Khas Utusan Malaysia selepas penyiaran laporan khas itu sehari kemudian mendapati pemandu-pemandu ‘pelesit’ terbabit tidak gentar atau takut sebaliknya memandu lebih laju.
Dalam siasatan bersama-sama penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dua malam kemudian, menemui seorang pemandu bas yang memandu sepantas 170 km/j, seperti kelajuan dalam perlumbaan Formula One.
Pemandu bas ekspres, Johari Raman, 50, berkata, segelintir pemandu yang tidak berdisiplin ini telah merosakkan imej pemandu dan syarikat lain.
“Mereka menyebabkan penumpang takut menaiki bas ekspres. Apabila penumpang kurang maka ia menjejaskan pendapatan kami kerana elaun perjalanan yang kurang,” katanya yang mempunyai pengalaman 20 tahun memandu bas.
Jelasnya, bagi mengatasi masalah pemandu tidak berdisiplin, majikannya menghantar pemandu-pemandu berkursus bagi memahami teknik pemanduan selamat dan pengendalian bas.
Di samping itu, kata Johari, pemandu juga disediakan buku panduan pemanduan dan kad perjalanan bagi memastikan sentiasa peka dengan disiplin pada setiap perjalanan.
Seorang lagi pemandu, Baharom Abdul Rahman, 48, berkata, pengusaha sentiasa mengingatkan agar berhati-hati kerana sebarang kesilapan mengakibatkan nyawa melayang malah menutup ‘periuk nasi’ pemandu lain jika syarikat didenda.
“Pemandu harus sentiasa memikirkan tanggungjawab mereka kepada keluarga dan juga penumpang kerana ini adalah punca rezeki.
“Malah pemandu perlu sentiasa cergas supaya tidak leka, saya mengamalkan makan makanan ringan untuk menghilang mengantuk ketika memandu,” katanya yang memandu bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Ipoh.
Elias Ariffin, 35, pula berkata, orang ramai harus berterima kasih atas jasa yang dicurahkan oleh pemandu bas ekspres.
“Jangan ketika ada kemalangan sahaja kami dipersalahkan, tapi ketika ribuan penumpang yang sampai ke kampung halaman dengan selamat kami langsung tidak diendahkan.
“Bagi yang tidak pernah memandu bas, mereka boleh kata macam-macam, hakikatnya tugas kami amat besar tanggungjawabnya dan amat memenatkan,” katanya.