HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Julai 2010

Rumah Titian Kasih berpindah

KUALA LUMPUR - Seramai 45 penghuni Rumah Titian Kasih (RTK) di Persiaran Titiwangsa akan berpindah esok sebagai meng hormati perintah mahkamah yang mengarahkan premis itu dikosongkan.

Pengasas rumah tersebut, Sharifah Adlan, 52, atau lebih dikenali sebagai Mak Pah berkata, kesemua penghuni itu akan menumpang buat sementara waktu di sebuah lagi RTK berhampiran yang terletak di Lorong Maran.

''RTK di Lorong Maran sebelum ini dikhaskan untuk penghuni lelaki manakala RTK Persiaran Titiwangsa untuk penghuni wanita.

''Namun, kita sudah tiada pilihan dan terpaksa akur dengan undang-undang kerana jika tidak akan dituduh ingkar perintah mahkamah,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan mahkamah terhadap penghuni RTK supaya mengosongkan rumah itu mulai esok.

Sharifah memberitahu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengunjungi RTK hari ini berhubung masalah yang mereka hadapi.

Bagaimanapun, beliau masih berharap mendapat bantuan kewangan daripada mana-mana pihak supaya rumah itu dapat dibeli daripada pemilik asalnya.

Menurutnya, sebelum ini pelbagai cara dilakukan untuk mengumpul wang bagi tujuan itu termasuk melancarkan Tabung Wakaf RTK, menjual kraf tangan, kuih-muih dan sumbangan oleh individu yang kini mencecah RM270,000, tetapi jumlah itu masih tidak mencukupi.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh memberitahu, pihaknya berusaha untuk mendapatkan kuarters kerajaan yang kosong untuk dijadikan penempatan sementara penghuni RTK.

''Namun usaha itu gagal kerana setakat ini tiada kuarters kerajaan yang kosong,'' jelasnya.

Beliau berjanji akan mengusahakan cara lain supaya penghuni RTK dapat ditempatkan di rumah perlindungan baru yang lebih selesa.

PTPTN diminta lanjut tempoh permohonan

UTUSAN ONLINE

MELAKA - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diharap melanjutkan tempoh permohonan pinjaman yang berakhir hari ini kepada sebulan lagi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, ini disebabkan talian PTPTN ketika ini begitu sesak sehingga menyukarkan pelajar menghubungi perbadanan itu bagi mengemukakan permohonan.

Beliau berkata, sedangkan pihaknya menerima laporan mengatakan masih ramai pelajar di negeri ini tidak dapat menghubungi PTPTN untuk urusan permohonan pinjaman.

"Bukan sahaja hari ini, bahkan saya juga difahamkan, talian PTPTN sentiasa sibuk sejak seminggu yang lalu.

"Justeru, saya amat berharap agar PTPTN boleh melanjutkan lagi tempoh permohonan pinjaman ini untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan lagi demi kemudahan pelajar berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri di sini hari ini.

Mohd. Ali berpendapat, kesesakan talian itu disebabkan terlalu ramai pelajar di seluruh negara menghubungi perbadanan itu secara serentak.

Sehubungan itu, beliau berkata, bagi mencari penyelesaian terbaik, kerajaan negeri akan memaklumkan kepada PTPTN berhubung masalah tersebut.

"Saya sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh untuk menguruskan perkara ini," katanya sambil menambah permohonan itu bukan hanya kepada pelajar lepasan SPM dan STPM di Melaka malah di seluruh negara.

Katanya, di Melaka sahaja, setiap tahun terdapat kira-kira 15,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang membuat permohonan pinjaman PTPTN.

Musa Hilang Taring Hadapi BN Sabah


Jeff Oleh Dominic Legeh


KOTA KINABALU: Ketua Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Musa Aman ternyata hilang taring dan penguasaannya ke atas parti-parti komponen di negeri itu, kata Ketua PKR Sabah dan Sarawak, Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata, jelas terbukti terdapat keretakan di antara parti-parti komponen dengan rakan dominan Umno Sabah, semakin hari semakin terserlah.

Ini memberi tekanan buat Musa sehingga nasihat dilontarkan kepada ahli BN negeri agar tidak bercakap kepada media berhubung isu politik dalaman mereka.

Kitingan berkata, perpecahan di kalangan komponen parti BN muncul berhubung beberapa tuntutan para pemimpin Umno Sabah hingga boleh meminggirkan parti-parti komponen yang lain.

"Saya bersimpati dengan parti-parti komponen BN yang kelihatan diperkotak-katikkan oleh Umno. Masalah dalam gagasan itu ialah pada dasarnya di antara Umno dan lain-lain parti komponen." katanya.

Jeffrey berkata demikian selepas mempengerusikan sidang media di rumahnya di sini semalam bersempena dengan forum sehari bertajuk "Imbas Kembali Pembentukan Malaysia", yang akan di adakan 31 Julai ini, anjuran bersama Yayasan Warisan Borneo (BHF) dan Kumpulan Berkepentingan Bersama Malaysia (CigMa).

Jeffrey menerajui kedua-dua BHF and CigMa.

Langkah yang radikal

Pemimpin PKR itu memberi komen tentang kenyataan Musa hari Isnin menasihati ahli dan pemimpin parti-parti komponen BN di Sabah dari mengelak memberi maklumat mengenai masalah-masalah dalaman yang boleh diselesaikan melalui perbincangan dan rundingan.

Musa memberi maklum balas mengenai beberapa kenyataan yang dicetuskan oleh para pemimpin Umno Sabah yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan parti-parti komponen BN yang lain.

Mereka bimbang kepimpinan BN negeri dapat menerima suara lantang para pemimpin Umno hingga boleh mencetuskan perbalahan, di luar semangat kerjasama BN.

Ketua Menteri Sabah itu berkata beliau bersedia untuk mendengar apa-apa masalah yang dihadapi oleh parti-parti komponen BN Sabah supaya ianya dapat diatasi segera.

Kata Musa, mendedahkan masalah dalaman kepada media hanya menarik minat setengah-setengah golongan untuk memgambil kesempatan terhadap situasi ini dan mengapi-apikan perbalahan dalam gagasan itu.

Parti-parti komponen BN negeri tidak berpuas hati dan mereka hanya menyuarakan rasa tidak puas hati.

"Lihat kepada apa yang dilakukan oleh Umno, ia cuba merebut semua kerusi," kata Jeffrey, adik kandung kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Joseph Pairin Kitingan.

"Jika saya jadi mereka, apa salahnya kalau di adakan pertandingan secara bebas dan biar rakyat yang menentukannya," tambahnya.

Pejabat Editorial Suara Keadilan Diserbu.


Felda 1Oleh Fazy Sahir


SHAH ALAM: Pejabat editorial Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan diserbu dengan kehadiran hampir 200 orang yang didakwa sebagai generasi kedua peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), berarak bagi menyerahkan memorandum kepada Ketua Editor akhbar terbabit.

Memorandum itu diserahkan kepada Dzulkarnain Taib selaku Ketua Editor Suara Keadilan sebagai menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap laporan muka depan akhbar itu bertajuk ‘Felda Bangkrap’ yang disiarkan pada keluaran bertarikh 22 hingga 26 Jun lalu.

Malah kumpulan yang hadir sejak 1.30 petang tadi turut membakar naskah Suara Keadilan di jalan raya bertentangan pejabat berkenaan sehingga mengakibatkan gangguan aliran trafik.

Turut berlaku insiden provokasi yang diiringi kata-kata kesat daripada sebahagian ahli kumpulan terbabit ketika penyerahan memorandum kepada Dzulkarnain.

Menurut sumber dalaman Suara Keadilan, difahamkan kumpulan itu datang menaiki enam buah bas daripada sekitar Selangor, Johor dan Perak.

Kumpulan itu yang mula berhimpun di sebuah restoran berhampiran dan berarak menuju ke pejabat tersebut,malah turut kelihatan peronda polis berlegar-legar di kawasan sekitar.

Ketika ditanya Free Malaysia Today mengenai insiden ini, seorang kakitangan akhbar itu berkata "ia hanya benda biasa dan menerima kedatangan mereka dengan hati yang terbuka," katanya.

Sementara itu, sambil mengucapkan terima kasih di atas kehadiran kumpulan ituFelda 2 Dzulkarnain menyifatkan insiden tersebut sebagai satu lagi proses demokrasi.

"Terima kasihlan sebab datang jauh-jauh. Bagi kami tidak ada apa, ini merupakan satu proses demokrasi," katanya

Insiden ini rentetan daripada saman yang bakal dikemukakan oleh FELDA berhubung penyiaran laporan akhbar berkenaan yang disifatkan sebagai "fitnah yang berniat jahat".

Malah melalui sidang media pada 25 Jun lalu itu juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, tuduhan yang dibuat dalam edisi terbaru akhbar itu, terutamanya di muka depannya dengan tajuk ‘Felda Bangkrap’ adalah keterlaluan.

Selain pemilik permit, pihaknya akan turut menamakan ketua pengarang akhbar itu, wartawan-wartawan terbabit dan empat pemimpin pembangkang iaitu penyelaras Pakatan Zaid Ibrahim, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Tan Kee Kwong dan Suhaimi Said serta wakil rakyat PAS Mohd Abdul Wahid Endut.

Pos Malaysia Tidak Rugi – PAC


azmi Oleh Jamilah Kamarudin


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendakwa kerugian yang dialami Pos Malaysia bukannya berpunca dalam penyata imbangan (balance sheet), tetapi saham yang dilaburkan dalam Transmile Bhd.

"Tiada kerugian dalam Pos Malaysia dari segi "balance sheet". Kalau ada kerugian pun kerana saham dalam Transmile jatuh daripada 14 sen pada 2007 kepada 39 sen hari ini.

"Pegangan saham Pos Malaysia dalam Transmile Bhd lebih kurang 15 peratus," kata Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa itu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mendengar penjelasan daripada bekas Pengerusi Pos Malaysia Tan Sri Adam Kadir berhubung kerugian yang ditanggung oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

Setelah dua hari bermesyuarat dan mendengar penjelasan daripada Pos Malaysia, Khazanah Nasional dan Adam, Azmi berkata pihaknya akan meneliti perkara ini dan akan membentangkannya dalam Dewan Rakyat sebelum sesi penggal ini berakhir.

"Setakat ini kami sudah selesai mendengar penjelasan daripada ketiga-tiga pihak yang berkaitan. Masih ada lagi beberapa soalan yang akan kami tanya kepada Khazanah Holdings dan Kementerian Kewangan.

"Begitu juga beberapa notis jawapan bertulis daripada Pos Malaysia dan Khazanah yang belum dikemukakan kepada kami," terang beliau.

Azmi berkata, "jika ada apa-apa persoalan yang masih belum jelas kemungkinan pihak terbabit akan dipanggil semula. Tapi saya jamin PAC akan membuat kesimpulan dan cadangan akan dibentangkan di Parlimen sebelum sesi penggal ini berakhir," katanya.

Ditanya mengenai hasil pertemuan PAC dengan Adam, Azmi berkata pihaknya telah pun selesai mendengar masalah dan bukti yang dikemukakan bekas Yang DiPertua Dewan Negara itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butir penjelasan dan bukti yang diberikan Adam mengenai krisis Pos Malaysia kepada PAC.

"Saya tidak boleh dedahkan kerana ada antara butir maklumat sudah pun menjadi bahan bukti mahkamah kerana Khazanah sudah pun mengambil tindakan undang-undang terhadap Adam.

"Kes ini kalau sebut secara terperinci terlalu sensitif kerana mungkin ada percanggahan dengan tindakan undang-undang yang mereka (Khazanah) ambil," katanya.

Implikasi sangat luas

Sementara itu, Adam yang ditemui pemberita selepas perjumpaan dengan PAC berkata segala keterangan berkaitan dakwaannya telah didedahkan kepada PAC dan kini terpulang kepada Jawatankuasa tersebut untuk membuat kesimpulan.

"Saya dah beri penjelasan dan bukti mengenai perspektif saya. Terpulang kepada PAC untuk buat kesimpulan apa yang sebenarnya berlaku dalam Pos Malaysia…perlu diingat pada ketika itu saya Pengerusi Pos Malaysia.

"Jadi saya ada maklumat sendiri yang orang lain tidak ada. Rekod tersebut saya dah tunjukkan kepada mereka (PAC)," ujar beliau.

Ditanya mengenai butir rekod yang diberikan kepada PAC, Adam bagaimanapun enggan mendedahkannya.

"PAC banyak bertanya tentang penjelasan disebalik implikasi pengeluaran wang RM800 juta dan penjualan saham dalam Transmile yang dibatalkan.

"Saya cuma tunjukkan bukti rekod pada PAC tapi rekod itu masih dalam simpanan saya. Saya tak dapat dedahkan kepada orang ramai kerana bimbang implikasinya sangat luas," katanya.

Nik Aziz Bersimpati Pada 40 Ulama Baru Umno

TV SELANGOR

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bersimpati dengan segelintir golongan ulama yang masih berminat menyertai UMNO, walaupun mereka tahu perlakuan pemimpin UMNO tidak sehaluan dengan ajaran al-Quran.

“Pimpinan UMNO pada hemat saya gagal atau langsung tidak mahu memahami ayat al-Quran. Jika masih ada golongan ulama yang berminat mahu berada di dalam kubang UMNO, saya hanya mampu bersimpati,” katanya dipetik dalam blognya www.blogtokguru.com.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian sebagai merujuk tindakan 40 ulama muda, terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kelulusan akademik, menyertai UMNO dan menyerah borang permohonan keahlian kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lalu.

Nik Aziz turut mengulas isu lesen judi yang menjadi polemik kepada negara sebelum Najib umumkan ia tidah diluluskan dalam sidang medianya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

“Kekayaan yang diperoleh negara tidak setimpal sekiranya kesan terhadap sosial dan kehidupan rakyat teruk serta tidak mendapat keberkatan.

“Di Kelantan kami percaya keberkatan itu ada kaitan erat dengan ketakwaan kepada Allah SWT. Atas asas inilah kami memperkenalkan dasar Membangun Bersama Islam yang berteraskan prinsip Ubidiah, Masuliah dan Itqan,” kata Nik Aziz.

Sebelum Najib mengumumkan ia tidak diluluskan, beberapa pemimpin Barisan Nasional dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju agar kerajaan memberi lesen judi bagi mengawal kegiatan perjudian, selain untuk memberi hak kepada orang bukan Islam. - Sinar Harian


TPM arah pengambilan segera guru bahasa ibunda

BERNAMA



Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan pengambilan segera bagi guru bahasa Mandarin dan Tamil supaya mereka dapat ditempatkan di kira-kira 7,000 sekolah kebangsaan, mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom bagi meningkatkan pengambilan bagi guru kedua-dua bahasa itu, dalam usaha untuk melaksanakan dasar Bahasa Ibunda Pelajar (POL) di semua sekolah-sekolah kebangsaan.

"Tak ada silapnya dalam sistem pendidikan kita kerana semuanya ada didalamnya. Seperti yang saya pernah nyatakan sebelum ini, bagaimana cara kita hendak menyediakan para guru bagi mengajar Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan.

"Sudah tentu ada sebabnya dalam keputusan awal kenapa kita mencadangkannya supaya tidak kira India atau Cina, pelajar itu perlu tahu bahasa ibunda mereka dan apabila mereka pergi ke sekolah kebangsaan, kita mengajar bahasa ibunda mereka.

"Kita tidak perlu berdebat mengenai adanya sekolah Cina, Tamil dan kebangsaan, itu legasi dan boleh menimbulkan kekeliruan dan kita kena terima,” katanya.


Umno Putera keringkan wang Felda

Datuk Paduka Husam Musa


Saya boleh membantu menjelaskan, sebahagian, bagaimana ceritanya rizab tunai Felda dikeringkan.

Sejumlah setengah billion, (RM 512 juta) dibelanjakan melalui projek-projek (tak perlu dan di luar tugas Felda) yang disiapkan oleh firma arkitek yang sama.

Firma arkitek diterajui seorang Ketua Pemuda Umno Bahagian di Terengganu ini sudah pasti ada hubungan kekeluargaan yang rapat dengan tokoh dari Terengganu juga yang memayungi Felda.

Kasih sayang kekeluargaan mereka diluaskan dengan mencari jalan bersama bagaimana wang Felda boleh 'diuruskan'. Jumlahnya bukan sedikit, demi warga Felda tercinta....

Lantaran itu, projek bukan bidang tugas Felda sama sekali, turut dibiayai oleh Felda atas sifat pemurahnya. Seperti Kolej Komuniti di Terengganu (RM 18 juta) dan Sabah (RM 22 juta), Menaik Taraf Bekalan Air Di Pahang (RM 200 juta) dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (RM 120 juta).

Apa kena mengena Mara dan Felda? Kos Maktab ini ialah RM 120 juta dan Felda dengan segala senang hatinya membiayai sepenuhnya. Mungkin kerana wang tunainya terlalu banyak, Felda berbesar hati membiayai projek bukan bidang tugasnya sekalipun.

Kononnya pula Felda sudah memasuki alaf moden dan untuk itu, bentuk impian Felda akan datang dibina dengan ciri-ciri peneroka Felda masa depan. Ia dipanggil Feldajaya.

Rumah bungalow mewah berharga mahal, rumah kedai dan lain-lain ciri bandar baru dalam satu kawasan 'masa depan' di bina. Setakat ini, empat Feldajaya telah dibangunkan (Mempaga, Trolak, Serting dan Cini) dengan reka bentuk oleh firma arkitek yang sama. Setakat ini, kosnya ialah RM 152 juta.

Samada rumah kedai dan bungalow ini laku dijual atau tidak, Felda tidak peduli sangat. Yang penting, itulah rumah peneroka masa depan Felda!

Asal dikata moden, wang habis tak mengapa. Itulah bagusnya bila ada wang melimpah.

RM setengah billion oleh firma arkitek bertuah ini.

Sebelum ini, saya telah tunjukkan, RM 800 juta pelaburan Felda di US dan Kanada. Pegawai Felda tak sampai setengah dozen yang membeku dek kedinginan di Quebec di musim sejuk, barangkali ada cerita boleh dikongsi dengan kami di Malaysia.

Maknanya, di sini sahaja, saya telah membantu Felda menjelaskan bagaimana sebanyak RM 1.3 billion rizab tunai Felda dibelanjakan!

Selebihnya, Felda sendiri boleh tolong jelaskan.....

Kalau Felda tak ada masa untuk jelaskan untuk tunjukkan pengurusannya telus dan amanah warga Felda menjadi taruhannya, saya tak ada masalah untuk jelaskan sedikit demi sedikit.
.

http://cetusan-hati.blogspot.com/

Macam ada agen asing dalam kabinet Najib

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar membuat andaian bahawa kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seakan turut disertai oleh agen asing, sama ada dari Singapura mahupun Brunei Darussalam.

Beliau membuat andaian demikian ekoran melihat insiden penyerahan dua telaga minyak, Blok L dan Blok M pada kerajaan Brunei Darussalam; serta isu penyerahan tanah KTM di Tanjong Pagar pada kerajaan Singapura yang nyata lebih merugikan kepentingan dan kedaulatan negara.

“Mesti ada yang tidak kena, seolah-olah ada agen asing tak kiralah agen Singapura atau (agen) Brunei dalam kabinet Najib, yang mendapat manfaat kewangan dalam kedua-dua rundingan ini,” tegas beliau pada Harakahdaily.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, kalau Najib atau delegasi Malaysia bukan agen asing seperti yang beliau andaikan, sepatutnya natijah dari rundingan negara dengan Brunei dan Singapura itu sudah tentu dilihat lebih menguntungkan kepentingan negara.

“Kalau tidak, mengapa Najib sanggup setuju 40 nisbah 60 dalam membangunkan tanah bernilai tinggi di Tanjong Pagar sedangkan kita boleh bangunkan sendiri sebab itu milik mutlak kita sebelum Singapura Malaysia berpisah,” beliau menambah.

“Kita pun tak tahu betulkah Limbang diserahkan pada kita kerana perkata itu tidak pernah dibentang di Parlimen tapi penyerahan kedua-dua telaga minyak ini jelas menguntungkan Brunei.”

Sehubungan itu, beliau berkata, andaian peribadinya itu adalah tidak keterlaluan memandangkan Tun Dr. Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri sebelum ini pun seakan mengaku bahawa agen Singapura benar-benar wujud dalam negara.

Ujarnya lagi, Dr. Mahathir pernah membuat andaian demikian apabila Datuk Kalimullah Maseerul Hassan yang diwar-warkan pro Singapura tiba-tiba dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Kumpulan Akhbar dalam New Strait Times Press (NSTP), empat tahun yang lalu.

Katanya lagi, beberapa media alternatif pada ketika itu pun turut dilihat bersama-sama Dr. Mahathir dengan mengaitkan NSTP yang baru disertai oleh Kalimullah bertanggungjawab dalam membocorkan maklumat keselamatan negara pada Strait Times Singapore apabila akhbar perdana Singapura itu lebih awal memasyhurkan Najib sebagai Perdana Menteri, sebelum Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Ekoran itu, beliau mencabar Najib menyangkal andaiannya dengan mendedahkan di Dewan Rakyat berhubung inti sebenar di sebalik kedua-dua rundingan yang merugikan negara dalam masa terdekat.

“Najib boleh sangkal dakwaan saya ini bahawa kebinet Najib mungkin disertai agen asing ini, tetapi dia mesti sangkal saya dengan mendedahkan inti rundingan sebenar, siapa yang terlibat dan apakah kewajaran kebinet menggadaikan kedaulatan negara pada Singapura dan Brunei dalam kedua-dua isu ini,” tegas beliau sambil menganggap bahawa kedua-dua rundingan tersebut adalah tidak sah kerana tidak pernah dibahas di Parlimen.

Nik Aziz anggap pandangan peribadi Karpal Singh

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang tidak akan berkompromi terhadap penubuhan negara Islam, hanya bersifat peribadi.

Menurut Tuan Guru, beliau belum lagi mendengar secara rasmi DAP sendiri menolak Islam, kecuali penolakan daripada peribadi tertentu sahaja.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana DAP sudah bersatu dalam Pakatan Rakyat sehingga berjaya membentuk beberapa buah negeri dalam pilihan raya umum lalu.

“Itu (tak terima konsep Islam) hanya pandangan peribadi Karpal sahaja, malah saya sendiripun sudah banyak kali bertanya, tak kena di mana Islam?

“You sebut Islam tak betul dengan hujah yang tak pasti, tetapi selagi you tak boleh menyebut Islam ini tak betul sama ada dari segi akidah, muamalah, saya nak tinggal Islam pun tak boleh, you tak terima Islam pun tak betul,”ujarnya lagi.

Sambungnya, Islam ada asasnya iaitu dunia ini bukan manusia yang punya tapi hak Allah.

Tegasnya, bila ianya hak Allah, makna setiap manusia itu tidak boleh pandai-pandai menolak Islam.

“Mulut saya yang bercakap ini, telinga dia yang mendengar bukan saya atau dia yang buat, mulut saya dibuat oleh Allah, telinga pada dia tu Allah yang buat, udara yang kita bernafas ini Allah yang buat,”ujarnya lagi.

Tuan Guru berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal Singh dalam wawancaranya dalam sebuah portal semalam yang mendakwa tetap akan menolak kerajaan yang berkonsepkan Islam.

Bagi Karpal, Malaysia adalah sebuah negara sekular berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan dan adalah mustahil DAP mengubahnya untuk menjadikan negara Islam.