HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Disember 2013

Segala bergantung kepada Najib


Najib Tun Razak  
Datuk Seri Najib Tun Razak


APAKAH maksud memahami denyut nadi rakyat? Jawapan mudah adalah memahami segala permasalahan rakyat dan cuba mencari jalan terbaik untuk mengatasinya.

Jadi adakah kerajaan BN mengabaikan dan gagal menyelami ayat berkenaan yang sebelum ini, menjadi tutur kata pemimpin BN hingga ada mengabdikannya dalam manifesto masing-masing ketika PRU13 lalu.

Jika dilihat daripada aura atau angin melanda rakyat ketika ini, semuanya menuding kepada kerajaan BN kerana gagal mengotakan janji yang memahami denyut nadi rakyat.

Segala kekecewaan, kemarahan dan kekesalan disuarakan secara terbuka terutama sekali di media sosial atau media cetak yang bersikap neutral dan mengetengahkan kebimbangan rakyat.

Isu kenaikan harga bermula daripada tol, elektrik, kemungkinan besar tol pula selepas ini (belum ada pengumuman rasmi) jelas melihatkan kerajaan BN seakan tidak memahami denyut nadi rakyat.

Walaupun ada dalam kalangan menteri yang cuba bersikap objektif dengan merasionalkan kenaikan harga-harga berkenaan tetapi ada juga menteri terus menidakkan berlaku kenaikan harga barangan di peringkat pengguna akhir iaitu rakyat.

Lantaran itu, pelbagai persepsi dan imej negatif dilemparkan kepada kerajaan BN dilabel ‘syok sendiri’ dan tidak memahami denyut nadi rakyat walaupun mendapat mandat memerintah selepas PRU13.

Lebih parah, isu-isu ini, menjadi modal politik pembangkang dan lebih teruk lagi sehingga ada pihak cuba memperalatkannya dengan mengajak rakyat menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

Adakah kerajaan BN menjadi buta tuli hingga tidak mampu lagi menyelami denyut nadi rakyat atau terus dilambung mimpi apabila memenangi PRU13 dengan segelintir pemimpin Umno mendabik dada bahawa parti ini, kembali mendapat sokongan rakyat apabila jumlah kerusi meningkat dalam pilihan raya umum kali ini, berbanding yang lalu.

Sebab itu, apabila saya mengeluarkan kenyataan di akhbar Sinar Harian baru-baru ini, bahawa BN akan kalah lebih teruk di kerusi bandar pada PRU14, saya bersikap objektif dalam soal ini, kerana senario berkenaan jelas terasa di kalangan pengundi di kawasan ini.

Ia disebabkan masyarakat bandar tidak mengira bangsa dan agama, yang jelas terasa dengan isu kenaikan harga barangan ini, dan mereka tidak akan sewenang-wenang meluahkan kekecewaan serta kemarahan jika perkara berkenaan adalah sesuatu yang tidak benar.

Saya bukan mahu bertindak mencari populariti murahan dengan membuat kenyataan sedemikian kerana sebagai Ahli Parlimen kawasan bandar, kerusi BN Parlimen Pulai terancam dengan isu-isu ini.

Memang mudah menyalahkan pembangkang seperti yang dilakukan sesetengah menteri, tetapi perlu diingatkan sudah tentu kerja pembangkang adalah mengkritik dan cuba memanipulasi isu demi ‘political mileage’ tetapi kerajaan BN perlu sedar sesuatu harus dilakukan segera bagi meredakan kemarahan rakyat ketika ini.

Walaupun, rakyat sedar bahawa iklim ekonomi dunia tidak menentu mengakibatkan kenaikan harga barangan yang tidak mampu dielakkan, namun mereka mahu tindakan proaktif diambil dengan segera.

Ketika ini, kerajaan BN dilihat amat lambat bertindak dalam menerangkan keadaan sebenar mengapa kenaikan harga barangan ini, sesuatu yang perlu dijangka rakyat.
Keberanian untuk menyatakan perkara sebenar berlaku dan tidak terus bermain dengan kenyataan yang bersifat retorik adalah apa yang dimahukan rakyat negara ini.

Dengan kadar penembusan internet di negara ini, yang melebihi 60 peratus dan dijangka meningkat, kerajaan BN terus ‘kalah’ dalam pertempuran media sosial dalam memberikan maklumat sebenar.

Kebergantungan terhadap media-media arus perdana yang saban hari peratusan rakyat membaca atau menontonnya terus jatuh, adalah satu strategi yang salah dalam memberikan penerangan kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menghimpunkan ‘penasihat-penasihat’ baharu beliau bagi memberikan idea baharu menangani krisis ini yang amat kritikal terhadap BN dan Umno.

Kepercayaan terhadap ‘penasihat-penasihat’ lama yang terbukti gagal memberikan keputusan lebih baik kepada BN dalam PRU13 lalu, selain melantik konsultan asing untuk memberikan imej positif kepada kerajaan perlu diketepikan sama sekali.

Kini, setiap kata-kata kerajaan BN menjadi satu bahan gurauan dan momokan rakyat sehingga dilihat sukar untuk kembali meraih semula sokongan daripada rakyat.

Rakyat sebenarnya, sedar pembangkang juga tidak sebaik BN tetapi mereka berada dalam keadaan marah sudah pasti mahu mencari mangsa untuk dihukum, dan sudah pasti saya tidak mahu kerajaan BN yang menjadi mangsa menerima hukuman daripada rakyat.

Sebab itu, usaha memberikan penerangan kepada rakyat ini, tidak boleh diletakkan di peringkat kerajaan semata-mata tetapi mesti merangkumi jentera parti BN kerana inilah tulang belakang kerajaan.

Kegagalan mengoptimumkan penggunaan jentera parti memberikan penerangan kepada rakyat akan memberikan padah besar kepada kerajaan BN kerana jentera parti melihat mereka terus dipinggirkan pemimpin yang lebih taksub mendengar nasihat ‘orang luar’ daripada mereka sendiri.

Jika dicampurkan keseluruhan jumlah ahli BN yang mempunyai 13 parti komponen, jumlahnya sudah pasti mencecah hampir lima juta dan inilah jentera sebenar yang perlu digembleng dalam memberikan penerangan serta menyalurkan maklumat sebenar kepada rakyat.

Jika ahli-ahli akar umbi BN terkejut dengan tindakan oleh pemimpin dan mula menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan berkenaan, keadaan itu sebenarnya cukup berbahaya kepada parti.

Sebagai pemimpin, kita mesti mempunyai kebijaksanaan serta kebolehan untuk berani berdepan dengan masalah dan cuba menyelesaikannya. Seorang pemimpin tidak boleh hanyut dengan pujian melangit daripada ‘penasihat-penasihatnya’ kerana ia penyumbang kepada kejatuhannya.

Sudah pasti Najib sedar perkara ini, apabila pada Pilihan Raya Umum 1999 yang menyaksikan beliau menang tipis di Parlimen Pekan dengan majoriti 241 undi.

Masa belum terlambat untuk kerajaan BN berbuat sesuatu bagi mengembalikan sokongan rakyat, tetapi ia bergantung kepada kebolehan pucuk pimpinan membuat keputusan yang bijak.

Apa yang Najib dan barisan Kabinetnya perlu lakukan adalah berterus terang kepada rakyat dan menghentikan kejutan realiti sebenar ekonomi negara serta dunia.

Bukan menjadi satu rahsia lagi apabila kerajaan dilihat menggunakan konsultan asing dan penasihat-penasihatnya yang dibayar gaji lumayan untuk ‘spin’ keadaan ekonomi negara bagi memastikan rakyat tidak ketakutan dengan realiti, walaupun pada suatu masa strategi itu berkesan tetapi kini sudah masanya berterus terang.

Najib tidak perlu bimbang dengan keputusan PRU14 kerana rakyat sudah pasti mahu kerajaan yang berterus terang dengan memberikan jangkaan realiti yang akan mereka hadapi dalam iklim ekonomi dunia yang begitu mencabar.

Mungkin semangat mendiang Nelson Mandela yang sanggup menerima kemarahan penyokongnya semata-mata  menyatupadukan rakyat Afrika Selatan berbeza warna kulit perlu dijadikan panduan.

Bagi mendiang bekas Presiden Afrika Selatan itu, perkara berkenaan perlu demi kepentingan negara itu pada masa depan.

Dengan keputusan berkenaan, jelas membawa Afrika Selatan yang sebelum ini, terbelenggu dengan dasar aparteid menjadi sebuah negara berasaskan satu bangsa.

Pemimpin BN perlu sedar bahawa zaman kerajaan BN dapat menyelesaikan segala masalah untuk rakyat sudah berakhir.

Rakyat perlu mengetahui hakikat realiti sebenar ekonomi negara pada masa akan datang dalam keadaan globalisasi dunia.

Segala tumpuan kini terarah kepada Najib sebagai nakhoda negara untuk membuat keputusan berani bagi meredakan kemarahan rakyat jika tidak, BN pasti akan dihukum dalam PRU14 nanti.

*Penulis adalah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Umno Bahagian Pulai dan ahli Parlimen Pulai selama tiga penggal.

Agus: Jangan rakyat sengsara pemimpin selesa


 Dr Mohammad Agus Yusoff  
Dr Mohammad Agus Yusoff


SHAH ALAM - Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff hari ini bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Pulai (BN), Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan bahawa kerajaan perlu memahami segala permasalahan rakyat dan cuba mencari jalan terbaik untuk mengatasinya dalam istilah mudahnya ialah memahami denyut nadi rakyat.

Menurutnya, mengambil satu contoh, dari aspek ekonomi, sekiranya berlaku bebanan terhadap ekonomi negara kedua-dua pihak sama ada daripada pemimpin mahupun rakyat perlu sama-sama memikul bebanan tersebut, agar tidak timbul istilah ‘berat sebelah’, atau hanya satu pihak sahaja yang terpaksa menanggung beban tersebut.

“Bagi saya pemimpin jangan hanya pandai melepaskan diri mereka sahaja, cuba fahami masalah rakyat.

“Setiap bebanan negara itu dipikul bersama, jangan hanya rakyat yang terpaksa menanggung sengsara tetapi pemimpin selesa.

“…oleh itu saya sangat kecewa sekiranya pemimpin memberi aspirasi palsu kepada rakyat, bagi saya rakyat tidak tuntut lebih, tetapi mereka hanya mahukan sedikit ruang untuk mereka meneruskan kehidupan,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online hari ini.

Menggulas lanjut, Agus menegaskan pemimpin yang tidak mempunyai ‘jiwa rakyat’ pasti akan ditolak oleh rakyat kelak.

“Ingatlah pemimpin jangan sampai satu hari nanti kamu ditolak oleh rakyat, dek kerana sikap kamu yang tidak pernah memahami denyut nadi rakyat.

“Setiap persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat itu perlu difahami dan dijawab sebaik mungkin, bukan dibalas dengan jawapan yang seolah-olah memandulkan rakyat,” tegasnya.

Hari ini dalam satu kenyataan, Nur Jazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan BN perlu memahami denyut nadi agar tidak ditolak oleh rakyat dalam PRU yang akan datang.

Elaun menteri dikurangkan mulai 1 Jan

SINAR HARIAN

Najib Tun Razak  
Datuk Seri Najib Tun Razak


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengumumkan kerajaan akan melaksanakan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam bermula 1 Januari 2014.

Ini termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, dan pegawai kanan kerajaan Gred Utama Sektor Awam C ke atas antara lima hingga 10 peratus. - Bernama

Dr Asri saran menteri fikir secara rasional sebelum keluar kenyataan

ANTARAPOS.COM
Post Pic



SHAH ALAM: Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini, menyarankan agar menteri berfikir secara rasional serta kritis tatkala membuat cadangan mahupun ketika memberi pendapat.

Jelas Asri, perkara itu perlu dilakukan agar tidak wujud persepsi bahawa negara sedang dipimpin oleh mereka yang tidak berkelayakan.

"Satu perkara yang perlu disedari oleh mereka yang menjawat jawatan menteri atau apa-apa jawatan tinggi dalam negara ini ialah rakyat negara ini sudah jauh lebih berpengetahuan dan bijak menilai dibandingkan dahulu.

"...ini disebabkan banyak faktor termasuk perkembangan teknologi maklumat terutama media sosial, latar pendidikan dan lain-lain.

"... namun hari ini kenyataan 'tidak cerdik' yang selalu dikeluarkan oleh kebanyakan menteri hanya akan  menjatuhkan nilai menteri yang terbabit dan memperlihatkan kerajaan tidak berkualiti kerana memilih mereka tidak ada kualiti untuk memimpin negara terutama di era ini.

Sekaligus wujud persepsi bahawa negara sedang dipimpin oleh mereka yang tidak berkelayakan," katanya dalam entri Facebooknya yang terbaru.

Terdahulu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat Malaysia menyokong kenaikan harga berikutan kurangnya aduan yang dibuat kepada kementeriannya.

Kenyataan tersebut mengundang reaksi negatif daripada rakyat yang terbeban dengan pelbagai kenaikan yang diumumkan kerajaan.

Tinjauan Antarapos minggu lalu mendapati rata-rata rakyat mengeluh dengan kenaikan harga petrol RON 95 sebanyak 20 sen September lalu, harga barangan asas perlahan-lahan mengalami peningkatan.

Bagi Siti Syakila Othman, 28, yang baru enam bulan mendirikan rumah tangga berkata beliau terpaksa bekerja untuk membantu suami menanggung kos sara hidup yang disifatkannya semakin menjerut leher rakyat.

Beliau yang bakal bergelar ibu tiga bulan lagi berkata terpaksa meminimumkan perbelanjaan lantaran terikat dengan pinjaman sewa beli kereta dan rumah.

Justeru kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang diumumkan baru-baru ini benar-benar membebankannya.

"Marahlah jugak tidak puas hati sebab semua harga barang mula naik, kita pun bukan berpendapatan tinggi nak kena tanggung itu dan ini.

"Terbeban, semua kena berjimat untuk berbelanja sebab kenaikan harga, macam saya kena bayar kereta lagi, rumah lagi, kat situ sahaja semua dah habis nak berbelanja lagi," katanya.

Syabas Laksana Operasi Terhadap Bil Tertunggak

 MSTAR ONLINE
 
 
KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sedang melaksanakan operasi terhadap bil tertunggak di tujuh wilayah termasuk di ibu negara.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, kawasan lain ialah Gombak, Klang/Shah Alam, Sepang, Hulu Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

"Tindakan akan dikenakan kepada para pengguna yang gagal menjelaskan bil airtertunggak.

"Sekiranya tindakan telah diambil, pengguna akan dikenakan caj pemotongan RM25 dan caj penyambungan semula RM25," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu beliau meminta pengguna yang bilnya tertunggak membuat pembayaran secepat mungkin bagi mengelak dikenakan tindakan berkenaan.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau melalui SMS dengan menaip PUSPEL dan hantar ke 39222. - BERNAMA

Dua Juta Mohon Jadi Penjawat Awam




 
Tan Sri Mahmood Adam.


PUTRAJAYA: Seramai dua juta orang telah memohon untuk menyertai pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam tahun ini.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam berkata, bilangan permohonan yang banyak itu sesuatu yang mengejutkan sekali gus menunjukkan bahawa pekerjaan dalam sektor kerajaan masih mendapat perhatian ramai.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 219,137 orang dipanggil untuk ditemuduga dan 143,177 orang telah hadir.

"Daripada jumlah yang ditemuduga itu, 52,383 calon telah ditawarkan kerja dan kesemua mereka menerima tawaran itu.

"Dan 34,112 daripada mereka ditawarkan jawatan tetap manakala baki 18,271 lagi ditawarkan jawatan kontrak," katanya di sini.

Mahmood berkata, penjawat awam turut menerima lain-lain faedah seperti elaun sara hidup (Cola) dan elaun perumahan.

Penjawat awam menerima RM300, RM250 atau RM100 sebagai Cola mengikut kategori jawatan dan di mana mereka bertugas sama ada di bandar, pekan atau kawasan pedalaman.

Mahmood berkata, suruhanjaya akan mengendalikan seminar dengan memberikan penerangan tentang dunia perkhidmatan awam bagi memastikan pemohon pada masa akan datang bersiap sedia dengan temuduga pekerjaan.

"Ia merupakan seminar sehari dan kita merancang untuk mengadakannya di seluruh negara.

"Ia terbuka kepada rakyat Malaysia yang berminat untuk menyertai sebagai penjawat awam," katanya.

Suaram: Cetak t-shirt ancam keselamatan negara?

KEADILAN DAILY

 

suaram


KUALA LUMPUR - Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mempersoalkan apakah mencetak t-shirt boleh mengancam keselamatan negara hingga perlu disiasat menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Aktivis yang diburu polis ini menjalankan perniagaan secara terbuka dan hanya menerima tempahan daripada orang ramai seperti peniaga lain.

“Sangat tidak logik sesorang yang menjalankan perniagaan secara terbuka merancang untuk menggugat demokrasi berparlimen,” kata penyelaras Suaram, Syukri Razab.

Katanya, aktivis berkenaan yang dikenali di laman sosial facebook dengan nama Eddy Gordo turut mempamerkan nombor akaun dan alamat rumahnya secara terbuka.

“Maka, tidak ada sebab untuk polis menggunakan akta seperti Sosma ke atas beliau,” kata Syukri.
Kira-kira jam 1 pagi tadi, beberapa anggota polis dari IPD Serdang mencari aktivis tersebut di rumah sewanya di Seri Kembangan, Selangor.

osman_tikos

Polis turut menggeledah rumah sewa berkenaan, merampas t-shirt jualan dan difahamkan kes tersebut akan diserahkan kepada pihak Bukit Aman.

“Tindakan polis dilihat seperti cuba mengalihkan isu sebenar yang ingin diutarakan rakyat iaitu tuntutan agar lerajaan segera menangani kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat,” kenyataan Suaram dipetik.

Justeru, Suaram mendesak polis menghentikan intimidasi terhadap aktivis berkenaan yang dijamin perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948.

“Mansuhkan undang-undang yang mencabuli hak asasi manusia termasuk Sosma, POCA 2013 dan DDA 1985,” kata Syukri.

SMS hasutan untuk huru hara keadaan

Awang Saribu



SUNGAI BESAR ( SELANGOR ) : Orang ramai di sini kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan ,sempena  perhimpunan malam 31 Disember depan dengan menghantar pesanan ringkas melalui telefon mengajak kalangan muda membuat huru hara atau rusuhan.

Seorang penerima yang enggan namanya disiarkan memberitahu, beliau menerima pesanan ringkas petang tadi dari telefon bernombor 017-3047518 berbunyi : Wajib hukumnya anak muda yang cool utk berhimpun dan merusuh di Dataran Merdeka malam tahun baru untuk gulingkan kerajaan sial ini. AFDAL LAGI SAHIH. Kita pogo polis dengan kayu !!.

Katanya , beliau pecaya pesanan ringkas tersebut dihantar oleh pihak tertentu secara pukal , bertujuan supaya penerima menyebarkan pula kepada rakan-rakan lain.

“ Penghantarnya beranggapan kalangan anak muda sekarang , terutama yang tinggal di luar bandar  mudah diperdaya dan  buta dengan maklumat semasa . Padahal kami juga dengan mudah mendapat maklumat terkini melalui internet .

“ Janganlah cuba mengeruhkan keadaan dan membuat fitnah kepada pihak penganjur perhimpunan yang akan berhimpun secara aman pada malam 31 Disember nanti, “ katanya kesal.

Katanya, beliau percaya banyak lagi pesanan ringkas melalui tetefon seumpamanya akan dihantar oleh pihak–pihak tidak bertanggungjawab menjelang 31 Disember 2013 dan berharap ianya diabaikan sahaja atau membuat laporan polis.

“ Janganlah dianggap kalangan muda yang tinggal di luar bandar bodoh belaka serta mudah diperdaya dengan fitnah dan hasutan jahat. Kerana kami juga dapat menerima maklumat melalui internet serta tidak bergantung semata-mata kepada siaran media cetak atau siaran TV untuk mendapatkan berita , “ ujarnya lagi.

Siapa Rahim Ghouse?

alt

 RAKYAT NEWS


BE DA MAN- Sejak Jumaat (27/12/2013) beberapa blog telah menyiarkan kandungan pintasan email yang kononnya ditulis oleh Rahim Ghouse kepada Rafizi. Email yang bertajuk C for Chaos itu menjadi viral beberapa hari ini berikutan perancangan meletakkan bom di beberapa lokasi berdekatan Dataran Merdeka pada 31 Dec nanti.

Rahim Ghouse yang dihubungi Mingguan Malaysia walau bagaimananpun menafikan email berkenaan. Berikut adalah petikan dari artikel yang diperoleh dari Utusan Online ;

Beberapa blog hari ini menyiarkan surat tersebut yang antara lain turut mendakwa Abdul Rahim mengatakan 'angkatan media sosialnya' akan merakam setiap detik yang berlaku pada malam itu dan memuat naik terus ke laman YouTube dengan pantas bagi memastikannya menjadi 'viral'.

Apabila rakaman-rakaman tersebut menjadi 'viral' jelas surat itu, beliau dikatakan akan meminta Rafizi meletakkan kesalahan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan dari situ, mereka akan memantau corak kejadian yang berlaku untuk perancangan seterusnya.

Surat itu juga menyatakan sesiapa sahaja dalam kalangan pasukan Rafizi yang ditahan sebelum 'acara utama' diminta untuk tidak merosakkan rancangan kerana mereka akan dijamin selepas itu.

Walau bagaimanapun, Abdul Rahim yang dihubungi Mingguan Malaysia menafikan perkara tersebut dan memberitahu surat itu ditulis pihak lain untuk kepentingan peribadi mereka semata-mata.

Dalam artikel sebelum ini penulis turut melampirkan beberapa email Rahim Ghouse kepada beberapa pemimpin PKR yang dikatakan turut digodam dan salah satu email berkenaan mempunyai tajuk yang yang serupa dengan email terbaru iaitu C for Chaos, walau bagaimanapun penerima emel berkenaan bukan Rafizi tetapi individu bernama Piang Yow Wong.

Samada tulen atau tidak email2 berkenaan, persoalan yang mungkin timbul dalam fikiran orang ramai ialah siapa itu Rahim Ghouse? Nama beliau jarang sekali kedengaran dalam politik tanah air, pernah juga beberapa kali nama beliau dikaitkan dengan Anwar.

Melalui carian di Internet mengenai Rahim Ghouse, berikut adalah beberapa maklumat yang diperoleh dari individu ini. Sumber blog Medan Info Kita ;

Bila sebut tentang negara Australia, sudah pasti kita akan membayangkan wajah bekas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang tahun 1998, Abdul Rahim Ghouse. Anak muda berjambang yang berjaya dijadikan “Maulana Besar” atau Jutawan zaman Anwar menjadi Menter Kewangan...

Rahim Ghouse yang mengumpul kekayaan melalui Abrar Group Inc semenjak awal tahun 90an telah melarikan diri keluar negara setelah Anwar Ibrahim ditahan pada 20 September 1998. Beliau ke Jakarta untuk mendapatkan sokongan luar negara, ketika itu Rahim bersama sama dengan Saifuddin dan Ezam Mohd Nor.

Tetapi apabila Ezam pulang ke tanahair bersama Saifuddin untuk menyertai gerakan reformasi menuntut pembebsan Anwar, bekas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang ini pergi menetap di Melbourne, Australia.

Sekitar tahun 2001 sewaktu satu satunya anak lelaki Anwar iaitu Mohd Ihsan menghadapi masalah displin di sekolah kerana tekanan dengan kes papanya..., Rahim Ghouse telah membawa Ihsan menetap dan bersekolah di Australia...!

Kini Abdul Rahim Ghouse dikenali sebagai Dr Abdul Rahim Ghouse, Chief Executive Officer – CEO Kuwait Finance House Australia.
Dari blog Mat Kilau Penang pula;

Siapa Rahim Ghouse? Rahim diketahui umum sebagai salah seorang kroni dan penyokong kuat bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau merupakan penggerak dan penyalur utama kewangan gerakan awal reformasi.

NAME : DR ABDUL RAHIM GHOUSE
ADDRESS : NO 2 JALAN BUKIT SETIAWANGSA 16,
TAMAN SETIAWANGSA, 54200
KUALA LUMPUR
COMPANY NAME POSITION
Access Equity Sdn Bhd Director 
NBCT Rail Sdn Bhd Director
Sambungan Transit Antara Sdn Bhd Director
Abrar Health Services Sdn Bhd Director
Abrar Construction Sdn Bhd - Director
Abrar Corporate Resource Sdn Bhd - Director
Abrar Brokerage Holdings Sdn Bhd - Director
Abrar Infrastructure Holdings Sdn Bhd - Director
Abrar Financial Holdings (Overseas) Sdn Bhd -Director
Abrar Frontier Management Sdn Bhd - Director
Abrar Financial Holdings Sdn Bhd - Director
Abrar Development Ventures Sdn Bhd - Director
Abrar Technologies Sdn Bhd - Director
Abrar Corporation Berhad - Director
Abrar Group International - Director
Abrar-Kuwait Holdings Sdn Bhd - Director
Abrar Vision Sdn Bhd - Director
Benar Antara Sdn Bhd - Director
BA Engineering Sdn Bhd - Director
BPM International Sdn Bhd - Director
Science-Tech Solutions Sdn Bhd - Director
Nadi Puspa (M) Sdn Bhd - Director
I.I Management Consultancy Sdn Bhd - Director
Camery Deluxe Sdn Bhd - Director
A.G.I Nominees Sdn Bhd - Director
Chalpeak (M) Sdn Bhd -Director
Meteoric Ventures Sdn Bhd Director
Vital Accord Sdn Bhd Director
KFH Ijarah House (M) Sdn Bhd Director
Honan Plantations Sdn Bhd Director
Meadow Point Sdn Bhd Director
Accurate Networks & Systems Integration Berhad Director
Express Rail Link Sdn Bhd Director
North East Meridian Sdn Bhd Director
Mun Loong-Hankyu Jaya Director
Keltimber Sdn Bhd Director
Global Broadcast Networks Sdn Bhd Director
ICM Studies Sdn Bhd Director
GBN Equipment Sdn Bhd Director
ISR Consultant Sdn Bhd Director
Wisma Embun Sdn Bhd Director
Aktimas Veneer Sdn Bhd Director
Rampai Jalir Sdn Bhd Director
ISR Communications Sdn Bhd Director

Jawatan sebagai 'Director' di 45 buah syarikat ini dikatakan adalah melalui recomendation Anwat yang ketika menjawat jawatan sebagai Timb. Perdana Menteri , dek kerana ketakutan selepas Anwar ditangkap maka si Rahim Ghouse melarikan diri ke Australia. Selain itu timbul juga spekulasi di kalangan penggiat blog baru2 ini tentang sebuah banglo bernilai RM73.3 juta di Australia milik Rahim Ghouse kononnya dikhabarkan dari Saifuddim Nasution.

Najib perlu jelas kondo RM110 juta milik anak tirinya, kata PKR

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Rafizi berkata Najib mempunyai tanggungjawab moral untuk menjelaskan dakwaan sebuah portal berita mengenai kekayaan anak tirinya. - Gambar The Malaysian Insider, 30 Disember, 2013. 
Rafizi berkata Najib mempunyai tanggungjawab moral untuk menjelaskan dakwaan sebuah portal berita mengenai kekayaan anak tirinya. - Gambar The Malaysian Insider,



PKR hari ini meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan pembelian sebuah unit kondominium berharga AS$33.5 juta (RM110 juta) di New York oleh anak tirinya, Riza Shahriz Abdul Aziz, seperti dilaporkan sebuah portal berita baru-baru ini.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata Najib mempunyai tanggungjawab moral untuk memberi penjelasan kerana ia berkaitan tentang ketelusan dan akauntabiliti.

"Perdana Menteri harus memberikan penjelasan kerana ia merupakan piawaian ketelusan dan akauntabiliti negara yang mengamalkan politik matang.

"Pihak yang terlibat dengan dana awam menjadi tanggungjawab kepada mereka menjelaskan dan membuktikan sumber dana itu sah dan tidak berkaitan dengan dana awam," kata beliau kepada pemberita di Petaling Jaya hari ini.

Sabtu lalu, portal berita Sarawak Report mendakwa Riza membeli sebuah kondominium tujuh bilik pada 19 November tahun lalu di West 63rd Street di Park Laurel, New York.

Riza merupakan anak kepada isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan sebelumnya.

Rafizi berkata dengan pendapatan Riza Shahriz yang pernah berkhidmat dalam beberapa firma sebelum ini tidak akan mampu membeli kondominium berharga RM110 juta.

"Jika gajinya beberapa juta ringgit sebulan barulah dia boleh kumpul wang sebanyak itu dan umurnya sama dengan saya. Kita tahu berapa pendapatan pegawai bank. Beliau pernah berkhidmat dengan firma audit KPMG dan HSBC di London.

“Pendapatannya kira-kira £8,000 sebulan, ditolak dengan cukai 40% dan insurans 11%. Pendapatan yang tinggal hanya £4,000 sebulan. Saya pernah tinggal di London, £4,000 sebulan ditolak perbelanjaan kereta dan kos sara hidup lain, jumlah yang boleh disimpan £3,000 sebulan atau £36,000 setahun bersamaan RM150,000,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata berdasarkan laporan media, Riza Shahriz menceburi pelaburan bidang perfileman menggunakan wang pelabur dari Asia dan Asia Tengah.

“Kita nak tahu siapa pelabur yang mempunyai wang sebegitu banyak. Mengikut laporan, dana yang disalurkan tidak mengikut cara biasa memerlukan sokongan bank dan jaminan. Sebab itu lebih cepat kerana mempunyai dokongan pelabur yang tidak diketahui.

"Saya pasti itu bukan wang simpanannya. Biarpun simpanan daripada kecil seperti ibunya. Saya jamin tak cukup sebanyak itu,” katanya yang mendakwa penerangan daripada Riza Shahriz akan menghapuskan kecurigaan awam dan menolak tanggapan wang itu datang daripada bantuan keluarga.

Selepas sidang media tersebut, Rafizi membuat laporan di Balai Polis Tropicana, Petaling Jaya kepada empat blog Umno yang bertanggungjawab menyebarkan berita dan emel palsu untuk mewujudkan suasana huru-hara.

Katanya, penyebaran berita palsu itu boleh menjejaskan ketenteraman awam dan mewujudkan suasana panik yang jelas melanggar undang-undang dan berbahaya.

“Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) selalu menangkap anak muda yang sering menulis di Facebook yang tidak disenangi pemerintah. Jika PDRM tegas dalam perkara kecil seperti komen di
Facebook, mengapa mereka tidak memanggil blogger Umno yang secara terang melanggar undang-undang.

“Jika PDRM hanya menyiasat saya dan bukan dalang di sebalik emel palsu, jelaslah polis hanya menjadi alat Umno bagi tujuan politik mereka,” katanya yang turut menyebut plot menggulingkan kerajaan hanyalah taktik Barisan Nasional menutup kemarahan rakyat akibat kenaikan harga barang.