HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 September 2017

PKR Mula U-Turn, Mahu Kembali Semula Ke Pangkuan PH





SHAH ALAM: Ketetapan yang dicapai oleh PKR pada mesyuarat biro politiknya semalam adalah untuk memperkukuhkan Pakatan Harapan, kata Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada parti itu bersetuju menggugurkan hasrat bekerjasama dengan PAS untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 supaya selari dengan pendirian PH.

“Iya memang selaras (dengan PH), sebab itu kita kata kita akan memperkukuhkan Pakatan Harapan,” katanya kepada Antarapos.

Beliau ditanya mengenai pendirian PKR selepas mesyuarat Biro Politik parti itu semalam tidak mengumumkan sebarang keputusan berhubung kerjasama dengan PAS pada PRU14.

Kenyataan media selepas mesyuarat itu semalam hanya menyebut ‘PKR komited kepada usaha memperkukuh Pakatan Harapan serta menyusun strategi untuk menewaskan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14’.

Ditanya lagi sama ada pendirian PKR itu memberi makna bahawa tiada lagi rundingan bersama PAS, Shaharuddin enggan mengulas lanjut sebaliknya mengulangi ketetapan mesyuarat Biro Politik parti.

“Yang pentingnya, kukuhkan Pakatan Harapan dan melaksanakan apa saja strategi untuk memastikan kekalahan BN,” kata beliau.

Isnin lalu, mesyuarat Majlis Presiden PH memutuskan gabungan itu tidak akan menjalinkan kerjasama dengan PAS, selain menegaskan sedang merangka strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam PRU14.

Keputusan Majlis Presiden PH itu sekaligus mengundang kejutan kerana ia dimuktamadkan di kala kalangan pemimpin PKR sedang berdebat mengenai rundingan bersama PAS, sehingga mewujudkan dua kumpulan yang bertentangan pendapat di dalam parti tersebut.

Seorang lagi Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan, PKR kini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu yang pertama berpendirian keutamaan parti adalah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor meskipun perlu berunding dan bekerjasama dengan PAS.

Manakala kumpulan kedua pula bertegas mahu PKR komited bersama DAP, Amanah dan PPBM sahaja dalam PH menghadapi PRU14.

Diajukan mengenai pendedahan Rafizi itu, ulas Shaharuddin, sepatutnya apa saja perbincangan perlu diselesaikan dalam mesyuarat dan tidak perlu didedahkan kepada orang lain.

“Kita kena pergi kepada etika dan adab berorganisasi. Dalam konteks Islam ada disebutkan amal jamaa’i (secara bersama), jadi gunakan apa saja saluran dalam parti untuk berbincang tanpa mendedahkan kepada pihak luar,” katanya lagi- AP

Kerugian BNM, Tun M tak nampak marah – bekas KSU

Muhammad Azizul Osman
Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Clifford Francis Herbert hadir sebagai saksi keempat yang memasuki hari keempat dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian urus niaga pertukaran mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990an di Mahkamah Rayuan 6, Istana Kehakiman, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 
 

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat tidak menunjukkan sebarang reaksi marah apabila diberitahu mengenai kerugian urus niaga pertukaran mata wang asing (forex) melibatkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut saksi keempat belas, mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Clifford Francis Herbert,  reaksi bersahaja ditunjukkan oleh Mahathir yang juga perdana menteri ketika itu setelah diberitahu mengenai apa yang berlaku.

“Mahathir menjawab selepas diberi taklimat (oleh saya) dengan berkata ‘kadang-kadang kita membuat keuntungan, kadang-kadang kita rugi’,” katanya.

Ditanya oleh salah seorang petugas RCI mengenai reaksi Mahathir pada masa itu, Clifford berkata; “Saya menjangkakan dia akan marah (tapi) dia kelihatan agak biasa,” tambah Clifford kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini.

Menurut Clifford, Mahathir seakan tidak peduli apabila dimaklumkan mengenai kerugian pertukaran asing yang ditanggung oleh BNM ketika itu.

Dalam pada itu, Clifford memberitahu, BNM mengalami kerugian kira-kira RM30 bilion berdasarkan dokumen daripada bank pusat itu.

Perkara itu diketahui beliau lewat tahun 1993 apabila dia diarahkan oleh Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memeriksa kerugian yang dialami oleh BNM.

Prosiding akan disambung kembali 6 September depan. -MalaysiaGazette


Aktivis pembangkang cabar Azmin adakan EGM Khas PKR

MALAYSIA GAZETTE

Reaksi muram Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali pada Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat Serta Perasmian Masjid An-Nur Temasya Glenmarie, Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR


KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dicabar supaya mengadakan Kongres Khas bagi membincangkan hubungan parti itu dengan Pas.

Cabaran itu dilontar oleh Gerakan Aktivis Harapan (GAH) yang terdiri daripada ahli parti pembangkang kerana meragui keikhlasan Mohamed Azmin walaupun Pakatan Harapan (PH) sudah memutuskan tidak akan berunding lagi dengan Pas.

“Azmin akan diasak untuk menghentikan rundingan dengan Pas oleh anggota PKR sendiri yang menuntut agar EGM diadakan secepat mungkin.

“Jika EGM diadakan, Azmin tidak akan dapat meyakinkan PKR tentang keperluan untuk berunding dengan Pas, terutama selepas pemimpin parti Islam itu menafikan mereka sedang berbincang mengenai persiapan pilihan raya.

“Kredibiliti dan populariti beliau akan terjejas teruk jika Kongres Khas atau EGM tidak menyokongnya,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Terdahulu, cadangan kongres itu diadakan dilontar oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli susulan tidak berpuas hati dengan Mohamed Azmin yang berunding secara senyap-senyap dengan Pas.

Kumpulan itu juga menyokong cadangan Rafizi.

Tegas kumpulan itu lagi, Mohamed Azmin juga perlu patuh kepada keputusan Majlis Presiden PH yang menghentikan sebarang rundingan dengan Pas. – MalaysiaGazette


Lelaki Singapura maut selepas hospital Johor minta bayaran sebelum dirawat

 
Beberapa jam selepas kemalangan itu, Justinian Tan dihantar ke Hospital Besar Singapura untuk rawatan, tetapi beliau diisytiharkan mati otak pada Isnin kerana terlalu banyak masa dibazirkan.


justinian-tan2

PETALING JAYA: Seorang warga Singapura yang menjadi mangsa langgar lari di Johor Bahru, meninggal dunia selepas Hospital Sultanah Aminah menangguhkan rawatan sehingga mendapat bayaran tunai.

Justinian Tan, 25, bersama 5 rakannya ketika kemalangan itu berlaku Jumaat lalu.

Media melaporkan mereka baru selesai makan lewat malam dan berjalan ke kereta kira-kira jam 3 pagi, apabila sebuah Proton Saga merempuh kumpulan pemuda itu, sebelum melarikan diri.

Tan dan Brandon Yeo, 24, dilanggar kereta itu. The Independent melaporkan Tan yang tidak sedarkan diri, kemudiannya didapati menggigil, batuk berdarah dan sukar bernafas.

Rakan Tan yang dipetik portal berita itu berkata, pihak berkuasa lambat bertindak, dengan ambulans hanya tiba 30 minit kemudian, walaupun jarak tempat kejadian dengan hospital hanya 5km atau 9 minit perjalanan, berdasarkan kiraan Google Maps.

Tan kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, tetapi dimaklumkan imbasan perubatan awal hanya boleh dilakukan selepas mendapat bayaran tunai.

Seorang daripada 6 rakan itu yang bernama Joshua dilaporkan berkata, mereka diminta membayar RM1,350 untuk setiap mangsa sebelum tindakan lanjut boleh diambil.

Sarawak akan bincang agihan cukai pelancongan dengan PM

 
Menteri Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kutipan cukai pelancongan akan dilakukan Kementerian Kewangan di bawah Najib.


Karim-Rahman-sarawak


PETALING JAYA: Kerajaan Sarawak bercadang mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung perkongsian negeri itu dalam hasil kutipan cukai pelancongan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Najib ialah menteri kewangan dan kutipan cukai itu akan dilakukan Kementerian Kewangan.

“Kadangkala lebih baik bincang perkara seperti itu secara tertutup (dengan Najib) dan mengelakkan isu lain seperti negeri lain tidak mendapat jumlah sama,” katanya dipetik The Malaysian Reserve.

Pada 11 Ogos lalu, Sarawak menuntut negeri itu mendapat pembahagian adil daripada cukai pelancongan, iaitu tidak kurang 30% daripada jumlah dikutip.

Karim dilaporkan berkata, 10% yang diumumkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz “tidak adil”.

“Kami mahu hasil yang lebih besar diberi balik kepada Sarawak, kami mahu sekurang-kurangnya 30 peratus atau lebih daripada jumlah keseluruhan yang dikutip,” katanya pada bulan lalu.

KWSP intai peluang beli pusat beli belah terkemuka Poland

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang meninjau untuk membeli sebuah bangunan pusat beli belah terkemuka di Poland bertujuan untuk memaksimumkan pulangan dengan mengembangkan pelaburan hartanahnya di rantau Eropah Timur, lapor Berita Harian.
 
Memetik sumber, laman web berita itu melaporkan KWSP melalui firma pelaburan miliknya di Eropah, KWASA Europe, sudah menghantar permohonan kepada pihak berkuasa Poland untuk kebenaran membeli pusat membeli-belah Galeria Katowicka daripada Meyer Bergman.
 
"Tiada sebarang nilai yang didedahkan buat masa ini. Namun berdasarkan penilaian pasaran semasa, harganya adalah sekitar 300 juta euro (RM1.53 bilion)," kata sumber itu, seperti dipetik oleh Berita Harian.
 
Akhbar itu melaporkan Galeria Katowicka dibuka kepada umum pada September 2013 dan memiliki kawasan yang boleh disewakan seluas 53,000 meter persegi dengan 250 penyewa.
 
Ia dibangunkan dengan kos 240 juta euro (RM1.224 bilion) oleh sebuah konsortium empat syarikat termasuk Meyer Bergman, yang kemudian membeli semua baki ekuiti dalam Galeria Katowicka daripada tiga syarikat lain.
 
Laporan itu juga menyebut cadangan pembelian bangunan ini bukan pelaburan pertama KWSP dalam pasaran hartanah di Poland kerana sebelum ini ia pernah membeli bangunan di Warsaw pada harga 186 juta euro (RM948.89 juta).
 
Awal Ogos lalu, KWSP dilaporkan menuai hasil pelaburan hartanah di London apabila menjual bangunan pejabat miliknya di Tower Bridge House kepada syarikat Mirae Asset Global Investment Group yang berpejabat di Seoul, Korea Selatan pada harga £205 juta (RM1.15 bilion).
 
Berita Harian melaporkan penjualan itu mendatangkan keuntungan RM360 kepada KWSP hasil kenaikan harga hartanah dan tukaran asing.
 
KWSP awal tahun ini mengumumkan hasrat menjual hartanah yang dibeli di London bagi “menuai hasil pelaburan”.
 
"Kami akan menjual aset pelaburan apabila nilai hartanah tinggi dan berasaskan kitaran pasaran," kata KWSP, sementara keuntungan pelaburan itu dibawa balik manakala modalnya dilabur semula dalam pelaburan lain.
 
KWSP, yang juga mempunyai pelaburan hartanah di Australia, baru-baru ini membeli 49% kepentingan dalam sebuah syarikat hartanah di negara itu yang memegang hak membangunkan sebuah projek di selatan Melbourne.
 
 

Akar umbi kurang yakin komitmen Azmin kukuhkan Pakatan Harapan

MALAYSIA DATELINE

Azmin Ali


Komitmen timbalan presiden PKR Datuk Seri Azmin Mohamed Ali untuk memperkukuhkan Pakatan Harapan (PH) diragui kumpulan akar umbi gabungan parti pembangkang tersebut melainkan beliau melaksanakan empat perkara.
Dalam satu kenyataan media, Gerakan Aktivis Harapan (GAH) mendesak naib presiden PH itu untuk membentuk sekretariat PH Selangor, mengusir Pas daripada kerajaan Selangor, mengarahkan PKR Kelantan menolak lantikan politik dalam kerajaan negeri dan menerima secara inklusif penyokong PH dalam keputusan dasar politiknya.
Dalam satu kenyataan yang dipetik portal Selangorkini.com, Azmin mengakui menerima keputusan PH untuk menolak sebarang perbincangan dengan Pas dan berjanji akan memperkukuhkan jentera pilihan raya bagi menghadapi sebarang kemungkinan pertandingan tiga penjuru.

Bagaimanapun GAH mengakui 'tidak teruja' dengan pengakuan Azmin dan menyifatkan kenyataan itu sebagai 'melepaskan batuk di tangga'.

Sehubungan itu, GAH turut menyokong hasrat ahli akar umbi PKR yang mendesak diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) atau kongres khas bagi membincangkan hal kerjasama dengan Pas dan mahu Azmin menjawab segala persoalan berhubung sikap tidak konsisten biro politik PKR yang dipengerusikan olehnya dalam melaksanakan keputusan parti khususnya merujuk hubungan PKR dan Pas.

"Sebagaimana yang difahamkan oleh (Naib Presiden PKR) Saudara Rafizi Ramli, Azmin adalah individu yang memporak-perandakan keputusan-keputusan partinya sendiri dengan mengubah keputusan biro politik yang asal. Termasuklah peranannya dalam siri pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar," ujar kenyataan ditandatangani enam jurucakap GAH itu.

GAH juga masih berpendirian bahawa kelompok Azmin atau 'kartel' adalah parasit yang membawa barah kepada PH jika tidak berhati-hati.

Menurut GAH, tanpa sebarang tindakan konkrit daripada Azmin, kenyataannya hanyalah 'auta dan sandiwara' yang tidak bersandarkan kepada kesungguhan dan realiti.

"Maka adalah berhak untuk semua pihak menperlecehkannya dan menolaknya dalam PRU nanti," ujar kenyataan yang ditandatangani Zanirun Baba, Othman Ismail, Annuar Ismail, Mohd Saad Ismail, Lee Thian Soo dan Dr Maniam.

Kisah Sariah Ali, konstabel polis wanita pertama negara

BERNAMA

Sariah Ali


Kesusahan hidup semasa zaman pemerintahan Jepun serta semangat mahu berkhidmat untuk negara tercinta mendorong Sariah Ali menyertai perkhidmatan pasukan polis wanita 61 tahun lalu.

Berasal dari Parit Kadzi, Muar, Johor, beliau yang berusia 22 tahun ketika itu adalah seorang daripada 54 orang yang lulus untuk pengambilan pertama Pasukan Polis Konstabel Wanita yang dibuat setahun sebelum negara mencapai kemerdekaan.

"Sebenarnya mak cik hanya mencuba nasib mengikuti seorang kawan sekampung yang dapat surat tawaran menghadiri temu duga mata-mata (polis) di Mantin (Negeri Sembilan).

"Masa temuduga itu, ada lima orang termasuk mak cik tetapi di akhir temuduga itu empat lagi termasuk kawan sekampung mak cik tidak berjaya.

"Mak cik berjaya kerana kesihatan baik, mata tak juling dan ada kemahiran bercakap," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Taman Cecily di sini baru-baru ini.

Meskipun sudah mencapai umur 85 tahun, warga emas ini masih berada dalam keadaan sihat dengan penglihatan yang masih jelas tanpa perlu memakai cermin mata.

Menurut Sariah, anak bongsu daripada enam beradik ini, ibunya, Kalsom Jusoh, seorang peniaga kopi turut menemaninya ke Mantin dengan menaiki kereta api.

Ayah Sariah yang dikenali dengan nama 'Ali Gagah' meninggal dunia sewaktu beliau berumur lapan bulan.

"Bila nak balik saya beritahu emak saya lulus. Tercengang emak kerana saya tak ada surat temu duga dan hanya tumpang kawan tapi akhirnya saya yang dapat kerja mata-mata tu," katanya yang bersekolah hingga tahun 6 di Sekolah Kebangsaan Parit Kadzi, Muar, Johor.

LEMBARAN BARU

Selang seminggu selepas sesi temuduga, Sariah menerima surat tawaran rasmi untuk jawatan konstabel polis.

Tanggal 1 Ogos 1956 membuka lembaran baru dalam kehidupan anak kelahiran Johor ini apabila meninggalkan kampung halaman untuk menjalani latihan di Pusat Latihan Polis Wanita di High Street (kini Jalan Tun H S Lee) Kuala Lumpur.

Berdasarkan sejarah awal penubuhan pasukan polis wanita, usaha mengambil polis wanita bermula pada zaman darurat 1948. Pada tahun 1955, ada pengambilan tujuh orang polis wanita untuk pangkat inspektor dan kemudian pada 1956, pengambilan pertama seramai 54 orang anggota polis wanita berpangkat konstabel dibuat.

"Untuk 54 orang perintis Pasukan Polis Konstabel Wanita, rata-rata usia pelatih kami dalam lingkungan antara 18 hingga 23 tahun.

"Kami dipecahkan kepada tiga lokasi latihan, iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak. Setiap lokasi ditempatkan 18 orang," tambah Sariah.

Menurut beliau, majlis pentauliahan anggota konstabel wanita itu disempurnakan oleh Tunku Abdul Rahman pada sekitar Mac 1957.

Krisis PKR: Amanah menangguk di air keroh?

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
[ULASAN] Parti Amanah Negara (Amanah) sekali lagi menunjukkan ‘keletah politiknya’ apabila menyebarkan kebimbangan kononnya parti komponennya, PKR akan berpecah akibat pertikaian di antara pemimpin parti itu berhubung isu rundingan dengan PAS.
 
Amanah mencampuri kemelut PKR itu demi menyandarkan punca pergolakan parti Anwar Ibrahim itu sebagai onar PAS. Malah Amanah tidak kekok memutar belit sejarah. 
 
Setiausaha Agung PAN, Anuar Tahir berkata, PAS sebelum ini berjaya menyebabkan Pakatan Rakyat (PR) terkubur selepas mereka memutuskan hubungan dengan DAP dua tahun lalu. Beliau kini khuatir PAS akan mengulanginya dengan menjadi 'punca' perpecahan PKR.
 
"Saya berharap kalau PAS telah memecahkan perpaduan Pakatan Rakyat (PR), terkubur PR kerana PAS telah memutuskan hubungan dengan salah satu anggota yang bertiga iaitu DAP sekarang janganlah PKR pula berpecah kerana PAS," katanya.
 
Sesungguhnya kenyataan ini kelihatan tidak berniat baik terhadap PAS kerana fakta sejarahnya ialah DAP secara unilateral mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat sudah berkubur berikutan pendiriannya (DAP) memutuskan hubungan politik dengan PAS.
 
Malah Anuar juga cuba masuk kelambu PKR apabila menyatakan bahawa sememangnya wujud individu tertentu dalam PKR yang mahu meneruskan rundingan bersama PAS dengan melakukannya secara peribadi dan bukan mewakili parti.
  
"Nampaknya masih ada di kalangan parti dalam PH masih cuba nak berunding lagi dan berunding secara peribadi dan bukan bagi pihak PH. 
 
"Sekarang ini kita tengok perkara ini berlaku sehingga telah menyebabkan berbelah-bahagi sikap pemimpin-pemimpinnya," ujarnya.
 
Konflik PKR semakin rumit apabila beberapa wakil Cabang dari seluruh negara menggesa parti mengadakan kongres khas bagi memuktamadkan kerjasama dengan PAS dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU14) akan datang.
 
Cadangan Naib Presiden, Rafizi Ramli itu bagaimanapun mendapat reaksi kurang positif Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali yang mahu pemimpin parti jangan membawa urusan dalaman parti kepada pihak luar, termasuk media.
  
Sikap Amanah yang tidak mesra PAS itu dikipas pula ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang mahu Amanah tegas menolak cadangan PKR mengadakan rundingan dengan PAS.
 
"Tidak timbul soal tegas tak tegas, kami dari dahulu sudah tahu mereka bagaimana, jadi tidak sesiapa meminta begitu, tapi saya tetap berterima kasih dengan nasihat itu.
 
"Kami dah lama mengambil sikap itu cuma kami tidak boleh memaksa kawan-kawan yang nak terus berjumpa," kata Anuar Tahir lagi.
 
Isu kerjasama PKR-PAS hangat selepas tersebarnya gambar kunjungan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan, Timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden, Dr Shaharuddin Badaruddin terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
 
Azmin menafikan beliau bertindak secara berseorangan dalam rundingan dengan PAS, sebaliknya mendakwa ia adalah keputusan parti. Wan Azizah pula dilaporkan berkata, PKR tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan PAS demi menumbangkan UMNO-BN.
 
Pendirian ini menyebabkan Ahli Parlimen Selayang, William Leong mengumumkan peletakan jawatannya dari Biro Politik PKR tanda protes.  
 
Dalam hubungan itu, Rafizi mendakwa PKR kini terbahagi kepada dua kumpulan. Yang pertama berpendirian keutamaan parti adalah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor meskipun perlu berunding dan bekerjasama dengan PAS.
 
Manakala kumpulan kedua pula bertegas mahu PKR komited bersama DAP, Amanah dan PPBM sahaja dalam Pakatan Harapan (PH) menghadapi PRU14. 
 
Menurut Rafizi termasuk kumpulan pertama ialah empat Naib Presiden, Tian Chua, Shamsul Iskandar Md Akin, Xavier Jeyakumar dan Dr Shaharuddin Badaruddin.
 
Pemimpin lain membabitkan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, anggota Biro Politik, R Sivarasa, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Fahmi Fadzil (Pengarah Komunikasi).
 
Sementara kumpulan tidak bersetuju berunding dengan PAS ialah Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution, Nik Nazmi Nik Ahmad (Ketua AMK), Datin Tan Yew Kew (Bendahari), Syed Ibrahim Syed Noh (Ketua Penerangan), Datuk Johari Abdul (Ketua Whip PKR) dan William Leong.
 
Bagaimanapun Xavier, menegaskan rundingan berkenaan perlu diteruskan.
 
"Bukan kerana wujudnya beberapa kumpulan, sebaliknya isu perbezaan. Kita terima perbezaan, kita bekerja dalam kesulitan, kita bersetuju untuk tidak bersetuju. Kita kena teruskan apakah penyelesaian terbaik untuk kita," katanya.
 
ADUN Sri Andalas itu juga berkata, mengikut perlembagaan parti, jika ada yang meminta diadakan Kongres Khas dan mendapat sokongan daripada Cabang, kongres khas boleh diadakan. 
 
Nampaknya PKR ada mekanisme untuk mendepani kemelut politik sebegini. Namun gelagat Amanah yang mempamerkan nafsu besar untuk menyebarkan ramalan PKR akan berpecah seharusnya mencurigakan PH secara keseluruhannya. 
 
Malam Selasa lalu, Majlis Presiden PH memutuskan gabungan itu tidak akan menjalin kerjasama dengan PAS dan sedang merangka strategi menghadapi kemungkinan pertandingan tiga penjuru dalam PRU14. 
 
Ia ditandatangani Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan-timbaslan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.
 
Kini terpulang pada PKR menyusun pendekatan menyelesaikan kemelutnya sendiri. Namun yang nyata Amanah amat ghairah dengan sebaran ramalan bahawa PKR mungkin berpecah. 
 
PAS seharusnya tidak perlu terjun dalam jerangkap persepsi yang cuba dipasang Amanah yang jelas cuba memburukkan PAS dalam hal rumahtangga PKR dan PH.
 
Sebagai parti matang dan sejahtera, PAS tidak seharusnya latah kerana umum maklum bahawa provokasi Amanah adalah penghalang terbesar sebenarnya pada strategi keramat “satu lawan satu” PRU 14.
 
"Masalahnya ‘satu lawan satu’ adalah masalah dalam Pakatan Harapan di mana Amanah isytihar nak bertanding di kerusi-kerusi PAS," kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Beliau mempersoalkan apakah jaminannya bahawa kerusi PAS tidak akan 'diganggu' komponen gabungan itu (Amanah) sekiranya PAS bersetuju dengan pendekatan pertandingan ‘satu lawan satu’.
 
"Jadi kalau kerusi PAS diganggu, PAS bebas bertanding di mana-mana sahaja PAS nak bertanding," katanya.
 
Gelagat Amanah dalam kemelut PKR ini menyerlahkan seolah-olah ia mahu mengurangkan ‘kuasa tawar menawar PKR’ bagi mendapat lebih banyak kerusi untuk ditandingi. Jika PKR bercakaran sudah tentu peluang Amanah bertanding lebih kerusi lebih besar. 
 
 

Jawatankuasa gesa tubuh RCI Memali giat buat persiapan

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Jawatankuasa yang ditubuhkan PAS untuk mengemukakan permohonan agar diadakan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) mengenai tragedi berdarah Memali, kini giat membuat persiapan.
 
Jawatankuasa yang diketuai Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad turun ke Kampung Memali, Baling Kedah untuk menemui mangsa, ahli keluarga serta penduduk kampung yang terkesan dengan peristiwa yang sudah berusia 32 tahun itu.
 
"PAS sedang bersedia dan membuat tindakan sekarang ini. Sebab itu PAS telah bermesyuarat dan telah melantik Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden menjadi Pengarah untuk mengetuai program ini bersama dengan beberapa peguam untuk mendesak supaya satu RCI ditubuhkan.
 
"Ia sedang berjalan sekarang ini termasuk kita panggil semua mangsa-mangsa Memali yang masih hidup lagi," kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi kepada Antarapos dalam temubual eksklusif baru-baru ini.
 
Sejarah Memali yang berusia lebih tiga dekad lalu itu timbul semula selepas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertanyakan soalan perihal Memali kepada pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sewktu forum Nothing To Hide 2.0, baru-baru ini.
 
Dr Mahathir cuba menjawab namun jawapannya tidak memuaskan hingga mencetus kekecohan yang menyaksikan kerusi, selipar, botol air dibaling ke arah pentas, malah suar juga turut dinyalakan peserta forum yang hadir.
 
PAS kemudiannya tampil dan menggesa agar diadakan RCI bagi menyiasat secara adil selain membersihkan nama mangsa kejadian Memali yang tidak bersalah. 
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ditanya perihal gesaan PAS berkata pihaknya masih menunggu reaksi daripada masyarakat dan individu yang terlibat dalam peristiwa Memali 1985.
 
Beliau tidak menolak kemungkinan penubuhan RCI itu untuk mengkaji tragedi yang berlaku ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri.
 
Kejadian Memali menyaksikan 14 penduduk kampung itu maut ditembak polis. Empat orang polis juga turut terbunuh dalam operasi menangkap seorang guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.