HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Oktober 2017

Mahathir Rasuah Kit Siang RM1 Billion Untuk Jadi Pengerusi Pakatan Harapan -RPK

 
 


 Pengendali Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin (RPK) mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad telah merasuah penasihat DAP, Lim Kit Siang sebanyak RM1 billion sebagai ganjaran untuk mendapatkan jawatan Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

“Mahathir telah membeli Kit Siang dengan harga RM1 bilion dan itulah sebabnya orang Cina tua itu telah berubah menjadi ‘anjing tua Mamak yang jinak’.

“Jadi benar apa yang mereka katakan pada tahun 1976 selepas itu, yang mana Kit Siang boleh dibeli tetapi ia perlu pakai banyak wang. Mereka yang mengingati skandal Exxon pada pertengahan 1970-an yang melibatkan carigali minyak di Laut China Selatan akan tahu apa yang dimaksudkan.

“Malah, Kit Siang hampir dipenjara kerana isu tersebut dan ketika dia melakukan U-turn ramai orang tidak memahami sebabnya,” dedah RPK dalam rencana terbaharu bertajuk “Mahathir Bribed Kit Siang RM1 Billion To Become Pakatan’s Chairman”

RPK mendakwa maklumat itu diberitahu kepadanya dalam suatu perjumpaan di London oleh satu sumber dalaman DAP sendiri.

“Kami berjumpa dan penyampai maklumat ini memberitahu saya bahawa Mahathir telah menyogok Kit Siang dan jumlahnya adalah RM1 bilion yang akan dibayar dalam empat peringkat.

“RM750 juta telah pun dibayar dan peringkat akhir sebanyak RM250 juta akan dibayar apabila perjanjian itu selesai sepenuhnya. Wang itu, menurut sumber rapat, telah dibayar di Hong Kong dan Singapura.

“Untuk memperoleh yang RM1 bilion pertama, Kit Siang perlu bersetuju dengan PPBM menyertai Pakatan Harapan sebagai ahli gabungan keempat dan Mahathir menjadi Pengerusi gabungan.
“Kemudian Kit Siang harus ‘undur’ dan tidak mendedahkan apa yang dia ketahui semasa pendengaran RCI mengenai RM31.5 bilion skandal forex.

“Mukhriz seterusnya mesti diberi kerusi parlimen yang selamat untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, kalau boleh kerusi yang DAP boleh ‘kawal’ dan boleh mengarahkan pengundi siapa yang perlu diundi,”dakwanya lagi.

Invoke : Rafizi Sahkan Seorang Penipu – Rizal



watan-online – Walaupun diugut untuk disaman oleh Rafizi Ramli, namun Datuk Rizal Mansor hari ini terus menyindir Naib Presiden PKR itu.

Kali ini Pegawai Khas Perdana Menteri itu mempersoal dokumen aliran bayaran gaji kakitangan Invoke yang tidak masuk akal.

Katanya, adalah memalukan apabila mendedahkan kebodohan sendiri tentang gaji kakitangan Invoke yang tidak masuk akal dimana bayaran gaji bulan Oktober telahpun dibuat pada 11 September.

“Semalam Rafizi ada buat sidang media dan menujukkan segala dokumen-dokumen (aliran kewangan Invoke yang dibayar melalui syarikat KEIP Resources Sdn Bhd), satu dokumen yang ditunjukkan dimana tarikh invoice pada 22 Oktober, malah semalam baru 28 September dan bayaran gaji bulan Oktober dibuat pada 11 September sangat tidak masuk akal biasanya gaji dibayar pada bulan yang sama ini bulan baru masuk belum masuk lagi tapi gaji dah siap bayar memang hebat Rafizi ini.

“Hebatkan Rafizi ini baharu 11 september dah bayar gaji Oktober, dahsyat tak kerja seorang akauntan bertauliah, yang buat vaucher Rafizi, disemak Rafizi dan disahkan akauntan yang juga nama Rafizi dan diaudit oleh YB Rafizi Ramli.

“Bagi saya orang ini kalau dia nak menipu dia akan makan diri, menerusi dokumen yang ditunjukkan Rafizi semalam Rafizi mengesahkan dia seorang penipu,” sindir Rizal dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Jumaat.

Menerusi sidang media semalam Rafizi menafikan tuduhan kononnya beliau tidak jujur dan mencuri wang rakyat melalui badan kaji selidik Invoke.

Mengulas lanjut, Rizal berkata beliau terbuka dan menghormati hak Rafizi dan sedia berdepan tindakan saman.

“Saya menghormati hak dia rakyat Malaysia, saya terbuka, kalau dia rasa itu yang terbaik silakan saya tiada hak nak halang,” katanya.

Ratusan ribu meriahkan Fastaqim 2.0: Adakah rakyat kisah?

Oleh Dr Riduan Mohamad Nor


 "BASO natey tak reti baso....bare koho mahal,takdok hok koho muroh..harga minyak ,gas,ikey kering,bawey lado naik belako,,air hujan jah turun!, mapuhlah rakyat kalu puok-puok barisan ni merintah lagi trik nih" seorang lelaki separuh umur sedang memuntahkan amarahnya sambil mengunyah nasi kerabu. Kepulan asap kopi menjulang ke udara dengan aroma yang menjentik selera pagi. Guratan wajah penyokong kerajaan itu tidak bersahabat. Yang lain memasang telinga dengan cermat sambil menikmati sarapan pagi . Sepi, tidak berkutik.

Kedai papan daerah Besut itu sedikit lebih baik daripada kedai minum di Preap Ream Cambodia, beratap zink tanpa siling. Tamparan hujan itu mengasyikkan aku yang telah puluhan tahun bermukim di kotaraya, menjentik telinga seperti dentingan halpa. Hujan bermakna batang pokok getah berehat dan tulang belulang mereka turut menerima cuti rehat yang sangat perih. Golongan rakyat jembel ini sangat menderita dengan situasi ekonomi negara yang semakin menjerut leher, walaupun kaca televisyen jam 8.00 malam dengan wajah Pak Menteri separa dungu mendendangkan kepesatan lonjakan ekonomi negara.

"Aku trik nih ,tak ngundi BN doh, kecek pelawok. Anak-anak sekolah lima orey nih, rasa koho perit. Nok tukar seluar dalam pon payah loni, kalu pakat Unibasiti tak tahu lah nak buat guano kawe ni" tukas bekas pemuda Umno cawangan . Wajahnya berkerut sambil menyeranah parti yang didukungnya lebih dua dekad. Sambil menikmati pagi dia terus bercakap seolah berada di podium ceramah. Beberapa nama binatang berkaki empat turut diselitkan bersama seranahnya yang tajam pagi itu. Aku tak berani mencelah kerana bagiku rakyat jembel secara umumnya begitu terbeban dengan kos hidup. Aku teringat , jika dahulunya merekalah yang begitu berkarat biru. Jangan disentuh kebejatan kerajaan BN, pastilah mereka benteng utama pembela kebejatan rejim.

"Trik ning, kita pakat sokong PAS pulok. Lama dah BN merintah, bukey koho comel...negeri kito nih, pil kuda, maksiat pon koho galak...kalu tak ikut Isley ..mace ni lah balo Tuhey" sampuk seorang guru pencen daripada meja hujung. Bekas guru matematik itu di zaman mudanya pernah terlibat dengan PAS. Ditukar ke daerah pedalaman tetap tak berganjak pegangan akidah perjuangannya. Semua anak-anaknya lulusan universiti dalam dan luar negara. Rezeki datang daripada ar-Razak, bukan dihuluran tangan manusia!.

Seorang temanku, pegawai kerajaan membawa khabar dengan yakin,akan berlaku peralihan besar undi dalam PRU. Tsunami ini agak payah dikesan kerana kebanyakan pegawai-pegawai kerajaan bimbang risiko menunjukkan sokongan terbuka kepada parti bulan. Kelompok kelas menengah di Terengganu seperti juga ditempat lain, mereka akses maklumat daripada langit terbuka yang meruntuhkan jutaan kubik informasi. Diam bukan dengan erti tak melawan kebobrokan. Seorang teman alma materku, guru di sekolah menengah telah menutup akaun FB beliau. "Ada hantu yang memantau, ambe memilih berada dalam saff kedua..membantu YB kita melaksanakan program," katanya perlahan sambil kami menghirup hidangan teh petang.

Melihat kebangkitan kesedaran rakyat jembel ,juga pelbagai strata sosial masyarakat yang ingin merubah tampuk pemerintahan di negeri penyu menangis ini maka jangan diremehkan himpunan petugas PAS yang berkampung di Pantai Tok Jembal. Kibaran bendera hijau disepanjang jalan negeri ini mengukuhkan kepercayaan pengundi bahawa PAS adalah sebuah gerakan massa bernuansa Islam yang mempunyai jentera dan pendukung.

PAS berjaya menghimpunkan petugasnya dalam program skala besar. Mengerah segenap kudrat, pimpinan dan ahlinya menabung wang ringgit untuk memastikan FASTAQIM 2.0 berjaya mencapai matlamat. Ahli-ahli Umno di Terengganu pernah memberikan undi mereka kepada PAS dalam Pilihan raya tahun 1999, trend yang sama kini akan berulang. Bendera PAS hanya dicabut diatas Jambatan Sultan Mahmud oleh pihak PBT, ahli-ahli Umno tidak melakukan perkara yang sama kepada bendera PAS di sepanjang jalan di Terengganu.

Kepimpinan PAS Terengganu di bawah Dato' Husain Awang berusaha keras turun ke medan operasi masyarakat untuk memecahkan tembok kaca antara kedua belah penyokong. PAS dengan pengamalan budaya BPMS berjaya mengaut sokongan kelas menengah, kelompok non partisan, juga penyokong Umno. Jika hujan lebat, petir sambar menyambar pun pendokong PAS tetap tidak berganjak di tapak FASTAQIM 2.0 maka itulah gambaran segunung iltizam dan keteguhan hati abnaul harakah untuk memastikan Terengganu kembali kepada gerakan Islam tertua tanah air ini dalam PRU14. 
 
 

Pegawai awam bukan ahli politik

Oleh A Kadir Jasin


PADA 20 September lepas, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dilaporkan berkata, tidak ada sebab mengapa rakyat Malaysia miskin atau merempat.

Dia berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian diploma Akademi Keusahawanan 1Malaysia (1MeT) di Putrajaya.

Baguslah seorang pegawai tinggi kerajaan macam Irwan peka dan peduli terhadap kehidupan rakyat Malaysia.

Cuma, daripada nada ucapan beliau yang dilaporkan itu, terasa seakan-akan beliau mengecil-ngecilkan rakyat jelata negara kita yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Mungkin niat beliau baik. Tapi maaf cakaplah kalau saya kata, cara penyampaian beliau menggores perasaan saya. Apatah lagi beliau menyalahkan pihak-pihak yang didakwanya memberi maklumat salah dengan tujuan mengelirukan rakyat jelata. Nada ucapan beliau seolah-olah beliau seorang ahli politik.

Ada laporan yang memetik beliau sebagai berkata kalau orang Indonesia boleh mencari makan dan hidup senang di Malaysia, mengapa rakyat Malaysia tidak boleh.

Saya kurang pasti apakah ini tugas seorang penjawat awam. Sepanjang pengetahuan saya, tugas penjawat awam adalah mentadbir mengikut arahan kerajaan yang dipilih rakyat jelata. Hak dan tugas menasihati rakyat jelata adalah di tangan wakil yang dipilih oleh rakyat jelata sendiri.

Lagi pun, mudahlah bagi seorang pegawai tinggi kerajaan macam Irwan yang hidup senang-lenang dengan gaji besar yang ditanggung oleh pembayar cukai dan rakyat jelata untuk berprasangka negatif terhadap orang miskin.

Mereka sepatutnya turut sama menilai diri dan mengkaji kalau-kalau dasar serta rancangan yang mereka rangka dan laksanakan adalah punca kesempitan hidup dan kemiskinan rakyat jelata.

Boleh jadi masalah rumit yang rakyat jelata hadapi sekarang seperti pengangguran, kelemahan kadar tukaran ringgit, kenaikan kos sara hidup dan penguncupan kuasa membeli berpunca daripada kegagalan kakitangan awam merancang dasar dan melaksanakan program.

Bagi Irwan mengeluarkan kata-kata seperti itu lebih memedihkan kerana kementerian yang beliau terajui adalah yang paling berkuasa di dalam menentukan sama ada rakyat hidup senang atau susah.
 
Kementerian beliaulah merangka dan melaksanakan dasar fiskal negara. Kementerian beliau lah yang mengumpul hasil melalui pelbagai cukai, termasuk GST dan mengagih-agihkan hasil negara.

Kementerian beliaulah yang mencadangkan dan kemudiannya melaksanakan GST yang rata-rata diakui telah menyebabkan kenaikan kos sara hidup dan pengurangan kuasa membeli rakyat jelata.

Mungkin lebih elok kalau Irwan tidak masuk campur dalam hal-hal politik dan membiarkan tugas itu terus dijalankan oleh wakil yang rakyat jelata sendiri pilih melainkan kakitangan awam berasa bos politik mereka gagal menjalankan tugas.

Saya rasa adalah lebih baik beliau menumpukan perhatian kepada peranan kementerian beliau serta agensi-agensi di bawahnya dalam usaha menyejahterakan kehidupan rakyat jelata.

Izinkan saya bertanya kepada beliau adakah Bank Negara, misalnya berjaya menjalankan tugas sebagai badan yang menjamin kestabilan kewangan negara dan mengawal inflasi?

Yang kerap diuar-uarkan dengan bangganya ialah GST menyematkan negara dan kutipan GST berjalan rancak. Kalau ikut Jabatan Kastam dan Eksais, pungutan GST tahun ini dianggarkan RM42 bilion.

Seperkara lagi yang saya rasa tidak patut dalam 'kuliah' Irwan itu ialah perbandingan yang beliau buat di antara rakyat jelata kita yang hidup susah dengan pendatang asing yang kononnya hidup senang.
 
Hanya orang yang terpisah daripada kemiskinan dan kehidupan rakyat jelata sahaja akan membuat kesimpulan mudah bahawa kalau pendatang asing boleh hidup senang mengapa tidak orang Malaysia.

Majoriti pendatang boleh hidup selesa dengan pendapatan RM1,000 atau RM1,500 kerana mereka tidak ada tanggungan di sini, sebaliknya ditanggung majikan mereka. Ada yang dapat tempat tinggal dan makan percuma. Atau mereka bersesak-sesak menyewa rumah.

Tapi rakyat tempatan mempunyai tanggungjawab lebih tinggi dan lebih banyak. Sebab itulah kerajaan sendiri menetapkan pendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah sebagai layak menerima BR1M.

Saya sarankan agar Irwan menumpukan lebih banyak masa meneliti dan mencari jalan agar pertubuhan ekonomi negara bukan saja lebih tinggi tetapi lebih berkualiti. Berhentilah 'berkhutbah' kepada rakyat jelata.

Bukan seperti sekarang di mana pertubuhan ekonomi dikatakan tinggi, tetapi rakyat jelata tidak merasa kesan positif. Sebaliknya masalah kehidupan harian mereka menjadi semakin rumit. Wallahuaklam. 
 
 

Ahli Parlimen PKR lapor polis dakwa nombor telefon digodam

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUANTAN: Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh hari ini membuat laporan polis mendakwa nombor telefonnya telah digodam dan disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur hasutan kepada individu tidak dikenali.
 
Katanya akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu beliau menerima puluhan panggilan telefon serta SMS daripada nombor-nombor yang tidak dikenali sejak 7 malam semalam, memarahinya kerana menghantar SMS berbaur hasutan kepada mereka.
 
"Pada awalnya, saya membalas SMS yang diterima dan meminta maaf selain meminta mereka menghantar semula SMS yang kononnya daripada saya. Saya sendiri terkejut dengan apa yang dibaca.
 
"Saya tidak pernah menggunakan ayat yang ditulis kerana sememangnya itu bukan cara saya selain semua nombor itu juga tiada dalam simpanan saya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.
 
Ahli Parlimen PKR itu mendakwa kejadian serupa pernah dialaminya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang pada 2014, dan berharap pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat menjalankan siasatan supaya ia tidak berulang.
 
"Kejadian ini boleh menjejaskan karier politik saya. Menghantar SMS mengutuk bukan cara saya, tetapi hanya dilakukan mereka yang cetek pemikiran dan saya harap mereka yang menerima SMS itu tidak terpengaruh dengan apa yang dibaca,” katanya.
 
Beliau berkata, ‘orang politik’ lazimnya tidak akan menggunakan nombor telefon peribadi untuk menghantar SMS sedemikian

Fastaqim 2.0 jadi saksi penyertaan PCM, BERJASA dalam Gagasan Sejahtera

Oleh Ainor Rahim dan Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA NERUS: Malam kemuncak Fastaqim 2.0 semalam turut mengisytiharkan penyertaan Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) sebagai parti komponen baru gabungan Gagasan Sejahtera (GAGASAN).
 
Penyertaan dua parti itu dilihat memantapkan lagi barisan blok ketiga diterajui PAS dalam percaturannya mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa.
 
Timbalan Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan dalam ucapan julung kalinya di pentas Fastaqim berkata, keputusan  bersama PAS merupakan keputusan tepat atas status pemimpinnya yang 'bersih' dari rasuah, jika dibandingkan dengan DAP.
 
Cheng Guan turut mengambil kesempatan membidas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang dakwanya dalam diam sedang 'mengintai' jawatan tertentu seandainya Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
 
"Bagi pendapat saya PAS seratus peratus, seribu peratus lebih baik dari DAP. Kerana apa? Kerana rasuah. Pemimpin DAP, Setiausaha Agung Guan Eng didakwa di mahkamah. Itu dia kotor, dia tak bersih. Kalau dibanding dengan pemimpin PAS. Mana ada yang kena tangkap rasuah.
 
"Ditangkap rasuah, tak mahu letak jawatan pula. Apa apa dia suruh orang lain letak jawatan. Itulah Guan Eng.
 
"Cina dalam DAP dia gila. Semua lebih kurang gila. Semua boleh saman saya. Ini dia nak jadi Timbalan Menteri lah, Menteri lah, Perdana Menteri lah. Kalau boleh semua kuasa dia nak rampas termasuk bapa dia pun gila jugak. Bapa dia nak jadi Timbalan PM. Dia sedang berpakat dengan 'Mr U-turn'," ujarnya merujuk kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang. 
 
Mengulas lanjut, beliau turut mengkritik pentadbiran DAP di Pulau Pinang yang dakwanya semakin rancak 'menggadai' hak rakyat negeri itu, meskipun baru memerintah selama dua penggal.
 
"Tanah-tanah di Pulau Pinang pun dia dah jual habis dah. Habis jual kepada siapa? Orang Singapura. Kalau kita bagi dia perintah dua penggal lagi, saya rasa rumput pun dia jual habis semua. Rumput pasir semua habis tinggal pokok saja. Itulah DAP," tambahnya.
 
Pada 30 April lalu, Cheng Guan dilaporkan menyatakan bahawa PCM bersedia untuk bekerjasama dengan PAS khususnya bagi menghadapi PRU14 untuk terus mengukuhkan GAGASAN dalam memacu gerakan perubahan dan memimpin kebangkitan rakyat.
 
Sementara itu, satu lagi komponen 'thirdforce' GAGASAN, BERJASA, menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Hashim Karim berkata partinya dan PAS berkongsi matlamat yang sama iaitu memperkukuh kedudukan Melayu dan Islam khususnya di Parlimen yang katanya semakin terhakis. 
 
"Dalam PRU13 kita mula sebut tentang 'thirdforce'. Baru, parti kecil nak jadi thirdforce. Rupanya Allah Maha Mendengar dan Maha MengetahuI. Hari ini sudah jadi thirdforce. BERJASA dijemput masuk. Sekarang BERJASA dah besar dah. Ini semua BERJASA, kita adik beradik. Tiada beza kita akan bekerjasama. Apa berlaku kita kerjasama. 
 
"Kita bertanding bawah satu logo bawah PAS. Mana PAS tak tanding kita masuk..Menang tak menang lain cerita.
 
"Apa kita punya matlamat ialah tak lain tak bukan untuk pertahankan kedudukan Melayu di dalam Parlimen kerana lepas PRU 12 makin lama makin hakis. Ahli Parlimen (Melayu) di parlimen makin  kurang. Maka sebab itu lah DAP sekarang ini makin kurang ajar. Dia tengok Melayu makin lama kurang," katanya.
 
BERJASA yang ditubuhkan pada 1977 merupakan parti alternatif kepada PAS di Kelantan dengan Yang Dipertua pertamanya adalah Allahyarham Datuk Mohammad Nasir. 
 
Dalam PRU 1982, BERJASA membentuk kerajaan bersama dengan Barisan Nasional (BN) setelah menang enam kerusi DUN, namun tidak menyertai PRU 1986 kerana telah keluar daripada BN. 
 
Ia kemudian telah bekerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah sewaktu PRU 1990 sehingga 1999.
 
 

Fastaqim 2.0: Capai matlamat, objektif dan sasaran

Nasrudin Hassan

 
 
ALHAMDULILLAH. Syukur kepada Allah swt atas petunjuk dan kekuatan yang dikurniakanNya kepada semua peserta FASTAQIM 2.0 yang datang dari segenap pelosok tanah air.

Kawasan seluas 50 ekar di Pantai Tok Jembal Kuala Nerus itu dilimpahi oleh peserta FASTAQIM 2.0. Saya percaya bahawa sasaran 200K kehadiran adalah tercapai malah mungkin melebihi jumlah tersebut. (Jika satu ekar tanah boleh memuatkan 5K orang duduk rapat dalam satu masa, maka tapak seluas 50 ekar itu boleh menampung 250K orang dalam satu masa.)

Kehadiran 200K peserta ini bukan sekadar berhimpun, tetapi mereka telah melafazkan ikrar untuk bekerja bagi  menyebar luaskan dakwah Islam dan memenangkan PAS dalam pilihan raya umum kelak. Merekalah jentera PAS yang tegar dan penuh disiplin serta patuh pada arahan parti dan pimpinannya.

Segala isu telah dijawab dan pelbagai fitnah telah disangkal. Motivasi perjuangan telah disuntik, amanah gerak kerja telah diberi, ikrar telah dilafazkan, semboyan telah dibunyikan, justeru 200K peserta FASTAQIM 2.0 dilepas pulang ke destinasi masing-masing untuk menumpukan 200 peratus perhatian kepada usaha memenangkan perjuangan Islam yang didukung oleh PAS.

Masa tidak akan dibazirkan lagi untuk menjawab tohmahan dan fitnah murahan pihak desprado. Seluruh upaya dan kekuatan tenaga, wang ringgit dan masa adalah untuk memastikan kuasa politik ummat Islam akan dapat dikembalikan melalui kemenangan PAS dalam pilihan raya umum kelak.

Saya ambil kesempatan di sini untuk menyampaikan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada semua peserta FASTAQIM 2.0 yang terdiri dari saf kepimpinan PAS, rakan-rakan parti kompenan Gagasan Sejahtera, NGO, ahli PAS, penceramah undangan, selebriti, peserta pertandingan dan orang ramai.

Tidak lupa kepada semua warga kerja FASTAQIM 2.0 yang terdiri dari kalangan AJK Induk dan Pelaksana FASTAQIM 2.0, termasuklah anggota Jabatan AMAL Malaysia, Skuad Keselamatan, Briged, Ameerah, Nusaibah, sukarelawan dan individu yang sangat gigih dan komited menjayakan himpunan ini secara langsung atau tidak.

Terima kasih jua saya rakam buat semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Terengganu, pihak berkuasa tempatan, PDRM dan semua agensi yang terlibat membenar dan membantu himpunan FASTAQIM 2.0 yang akhirnya berjaya dilangsungkan dengan gilang gemilang.

Selamat berjuang saya ucapkan kepada semua. Fastaqim! Turning point maraknya Gelombang Kebangkitan Islam dan jangan lupa muat turun lagu rasmi FASTAQIM 2.0 dari facebook rasmi Fastaqim 2.0 untuk diulang dengar bagi membakar semangat kebangkitan.

Hijau Menuju Kemenangan
Nasrudin Hassan
Pengerusi FASTAQIM 2.0 
 
 

Berita Polis Klang tak luluskan Centro German F&B

Polis tidak akan meluluskan sebarang permit bagi penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang, pada 12 dan 13 Oktober ini.

 
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mazelan Paijan ketika dihubungi berkata ini kerana festival yang dinamakan ‘Centro German F&B Party’ itu turut menyediakan minuman keras atau arak yang mana arahan telah dikeluarkan kepada polis untuk menyekat sebarang penganjuran pesta arak.

Pihak saya tidak membenarkan seperti mana arahan yang dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini supaya polis memastikan tiada sebarang pesta arak dianjurkan,” katanya.

Polis sehingga kini juga belum menerima sebarang surat permohonan daripada penganjur dan sekiranya ada pihak mendakwa sudah dapat kelulusan, itu adalah surat kebenaran palsu, kata Mazelan.

Semalam, Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk membuat keputusan mengikut peraturan serta undang-undang sedia ada berhubung pesta arak atau minuman keras di negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana dan Pengangkutan negeri bagaimanapun berkata kerajaan negeri secara dasarnya menghormati proses demokrasi dan menghormati hak setiap rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan agama.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Klang dilapor telah meluluskan penganjuran pesta makanan dan minuman itu tetapi perlu mematuhi beberapa syarat, termasuk melarang kemasukan umat Islam ke kawasan penganjuran acara selain perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa. 
 
 

Penyertaan PCM, BERJASA dan IKATAN tak beri banyak beza kepada PAS - Penganalisis

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penyertaan dua lagi parti politik bersama PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) ke dalam Gagasan Sejahtera (GAGASAN) tidak mampu memberikan banyak perbezaan kepada parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dalam mendepani pilihan raya umum nanti.
 
Penganalisis politik Azmi Hassan berpendapat, walaupun bersendirian, PAS dilihat masih mampu untuk menjadi 'king-maker' kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
 
Ujarnya, penyertaan dua parti itu ke dalam GAGASAN hanya menonjolkan PAS sebagai satu lagi parti dominan seperti yang ada di dalam BN dan PH.
 
"Bagi saya sama ada PAS itu bersendirian atau bergabung dengan tiga parti, ianya tidak akan memberi apa-apa perbezaan kerana PAS bersendirian juga mampu memberi tekanan kepada dua gabungan lain iaitu Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
 
"Kenapa PAS mahu menubuhkan gagasan atau gabungan parti dan tidak mahu bersendirian adalah untuk menunjukkan mereka (ADA) kuasa politik yang ketiga selepas Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan dia ada juga gabungan PAS," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau berkata demikian mengulas kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) sebagai parti komponen baru gabungan Gagasan Sejahtera.
 
Terdahulu, PAS mengumumkan kerjasama politik bersama IKATAN dalam membentuk blok ketiga yang dikenali sebagai GAGASAN pada Mac tahun lalu.
 
Malah PAS turut menegaskan akan bertanding pada PRU nanti melalui GAGASAN. 
 
Mengulas lanjut, Azmi bagaimanapun berkata meskipun gabungan PCM, BERJASA dan IKATAN tidak mampu memberikan kesan yang besar dari segi politik, namun ketiga-tiga parti itu boleh membantu PAS dalam mendapatkan 'sokongan persepsi' daripada rakyat.
 
"Tiga parti ini dari segi sokongan politik, ia mungkin tiada, ada, tetapi tidak banyak sangat memberi kesan tapi dari segi sokongan persepsi ia memberi bantuan kepada PAS dan menunjukkan gabungan ini mempunyai tiga parti yang lain.
 
"Jadi sebab itu walaupun tiga parti kecil ini tidak memberikan manfaat dari segi undi politik, tetapi dari segi persepsinya ia mampu memberikan pandangan bahawa gabungan yang diketuai oleh PAS ini adalah cabaran yang perlu diberikan perhatian," ujarnya.
 
 

Hishammuddin: Tiada siapa terlepas jika bersalah atas kematian anggota TLDM

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan bahawa tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah atas kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kelmarin.
 
Menerusi Twitter, Hishammudin berkata beliau sudah mengarahkan TLDM untuk memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
 
"Saya konsisten bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapari bersalah. Buat masa ini, biar pihak PDRM teruskan siasatan.
 
"Saya telah arahkan TLDM untuk beri sepenuhnya kerjasama pihak PDRM untuk lakukan siasatan. Tiada perkara akan disembunyikan. Itu janji saya," tulisnya. 
 
 
 
Beliau dalam pada itu turut melahirkan rasa dukacita di atas kematian dua anggota berkenaan serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
 
Kelmarin, Laskar Kelas 1, Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri, 26, dan Laskar Kelas 1, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, meninggal dunia ketika menjalani latihan semasa ditahan di Bilik Tahanan Unit Komunikasi TLDM, Sungai Wangi, Sitiawan.
 
Laporan bedah siasat terhadap mayat Nik Mohd Baihaqy pada malam tadi mendapati punca kematian adalah pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul.
 
Bedah siasat terhadap mayat Muhammad Lailal Tuiman pula mendapati punca kematian adalah pendarahan paru-paru serta trauma pada tisu lembut.
 
Sehubungan itu, polis mengklasifikasi kejadian tersebut sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.
 
Susulan insiden itu, tiga anggota TLDM direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan.