HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 September 2018

PAU: Umno Pahang kemuka usul pulihkan parti

MALAYSIAKINI

   
Badan Perhubungan Umno Pahang akan membentangkan beberapa usul pada Perhimpunan Agung Umno 2018 termasuk berhubung cara meraih dan memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap parti berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata walaupun mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, semua anggota dan pemimpin parti itu tidak seharusnya berputus asa.

"Umno perlu cari jalan bagaimana untuk kembalikan keyakinan rakyat. Masih ramai percaya kepada perjuangan Umno.

"Jadi seharusnya sebagai pemimpin dan anggota parti, kita teruskan perjuangan yang dilakukan selama ini dan beri perkhidmatan terbaik khususnya di kawasan dimenangi termasuk di Pahang," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama rakyat dan pemimpin Maran di Dewan Umno, Pekan Tajau di Maran hari ini, sempena lawatan kerjanya ke daerah tersebut semalam.

Majlis turut dihadiri ketua Umno bahagian Maran Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang juga pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri serta beberapa anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang (Exco).

Turut menjadi tumpuan kehadiran dua wakil rakyat PAS, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Mohd Sofian Abd Jalil dan ADUN Chenor, Mujibur Rahman Ishak.

Mengulas mengenai perkara itu Wan Rosdy berkata Umno Pahang sentiasa bersedia bekerjasama dengan pemimpin PAS di negeri ini, dalam sebarang bentuk yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Kerjasama ini subjektif, kehadiran mereka pada majlis saya pun sudah dikira satu kerjasama, begitu juga jika kita hadir pada kenduri mereka.

"Sekiranya sesuatu usaha dilakukan itu memberi kebaikan kepada rakyat, kita akan bantulah (bekerjasama) dan mereka pun begitu juga," katanya.

Beliau berkata wakil rakyat PAS di Pahang banyak memberi pandangan ​​​​bernas yang boleh dipertimbangkan kerajaan negeri semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dua bulan lepas, dan bukannya menjadi pembangkang yang membantah membuta tuli.- Bernama


Trend gugur kes, mungkin wujud campur tangan


Trend gugur kes, mungkin wujud campur tangan
Ahmad Zahid - Foto Sinar Harian Izari Rosli
 
 
KUALA LUMPUR - Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan wujud campur tangan oleh pihak-pihak tertentu menyebabkan beberapa pendakwaan ke atas individu yang kini memegang jawatan dalam kerajaan di tarik balik.

Mengulas mengenai trend pengguguran kes mahkamah ke atas beberapa individu oleh mahkamah kebelakangan ini, Ahmad Zahid berkata, rakyat mengetahui perkara itu bukan salah sistem kehakiman sebaliknya di bawah arahan pihak tertentu.

Menurut Ahmad Zahid, dalam hal tersebut rakyat menuntut keadilan dan mencari kebenaran dan mahkamah adalah rujukan terakhir untuk menentukan keadilan itu diperolehi.

“Mana mungkin tuduhan ditarik sebelum perbicaraan seterusnya dilakukan ataupun penghapusan terhadap sesuatu tindakan semata-mata mahu menyelamatkan seseorang kerana seseorang itu telah menjadi penguasa.

“Saya rasa rakyat boleh menilai sendiri dengan apa yang sedang berlaku sekarang,” katanya dalam satu wawancara bersama Sinar Harian.

Zahid berkata beliau tidak menuduh wujudnya campur tangan berkenaan, namun itulah perkara sebenarnya yang berlaku.

Pada masa yang sama, mengenai dakwaan bahawa pertuduhan-pertuduhan yang sedang dihadapi bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, selain perkembangan terbaharu hari ini apabila tahanan reman ke atas pemimpin Umno iaitu Datuk Seri Azeez Rahim hari ini bertujuan melumpuhkan lagi Umno, Ahmad Zahid menyifatkan perkara tersebut hanyalah sekadar bacaan politik oleh sesetengah pihak.

“Itu mungkin sekadar bacaan politik. Kita tidak menolak dakwaan bahawa rule of law (prinsip undang-undang) di negara ini telah disalah gunakan dan mempunyai objektif politik. Sudah tentu kita mahu prinsip tersebut dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata pihaknya harapkan apa yang dilakukan oleh badan dan agensi siasatan yang selama ini profesional akan dapat meneruskan profesionalisme itu.

“Saya yakin mereka boleh lakukan. Tidak harus ada arahan atau campur tangan daripada mana-mana pihak di luar jika rule of law ini diterjemahkan maka tentunya tatacaranya akan dilalukan sepenuhnya.

Bukannya hukuman telah dibuat sebelum pertuduhan dan keputusan mahkamah itu dijatuhkan ke atas seseorang,” katanya.

Pada masa yang sama, ditanya berkaitan perkembangan terkini siasatan ke atas beliau berhubung dana sebuah yayasan, Ahmad Zahid berkata, perkara itu terpulang kepada badan penyiasat sama ada dakwaan akan diteruskan atau sebaliknya.

“Terpulang kepada badan penyiasat. Saya telah memberikan keterangan dan jika saya mahu dibawa ke muka pengadilan, saya bersedia kerana mereka mempunyai hak untuk membawa seseorang ke muka pengadilan asalkan tiada arahan luar,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan semua pihak supaya reda dengan apa yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Jangan menuduh agensi-agensi berat sebelah ketika mereka melakukan tindakan secara profesional,” katanya.

Jomo: Malaysia perlu promosi pelaburan baru dan pengeluaran

Jomo berkata, banyak pasaran baru muncul akan mengalami 
tekanan hebat disebabkan perubahan dasar monetari antarabangsa
terutama dengan aliran keluar dana ke AS apabila negara itu 
meningkatkan kadar faedah.
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengambil langkah proaktif mempromosikan bidang pelaburan baru dan pengeluaran di tengah-tengah peningkatan konflik perdagangan global, daripada hanya menandatangani perjanjian perdagangan yang tidak memberikan kelebihan kepada negara, kata pakar ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram.

Jelasnya, ekonomi global sudah memasuki tempoh ketegangan perdagangan yang berlarutan disebabkan tumpuan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) terhadap konflik 2 hala.

“Seperti yang diketahui, hanya sedikit pertumbuhan perdagangan dalam tempoh sedekad. Adalah penting untuk mengenal pasti apabila terdapat masalah perdagangan, lain kerajaan, lain cara tindakannya dan terdapat kecenderungan untuk lebih mengutamakan masalah itu sendiri,“ kata Jomo.

Beliau berkata demikian kepada pemberita menjelang pengumuman “Laporan Perdagangan dan Pembangunan 2018: Tenaga, Platform dan Angan-Angan Perdagangan Bebas oleh persidangan mengenai Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Conference on Trade and Development’s (UNCTAD) “Trade and Development Report 2018: Power, Platforms and the Free Trade Delusion”) di sini, semalam.

Menurut laporan berkenaan, ekonomi dunia kekal berada di asas yang goyah sedekad selepas krisis kewangan 2008, dengan perang perdagangan menjadi gejala penyakit yang semakin mendalam.

Walaupun ekonomi global mula membuat peningkatan sejak awal 2017, pertumbuhan berterusan tidak tetap dengan banyak negara beroperasi di bawah potensi mereka, kata laporan itu dan menambah, bahawa tahun ini tidak mungkin menyaksikan perubahan kelajuan.

Laporan itu menyatakan, sebarang peningkatan serius ketegangan perdagangan, iaitu melalui ketidaktentuan yang memuncak dan pengurangan pelaburan, akan membawa kesan lebih merosakkan dalam jangka sederhana dan akan menjadi lebih serius terhadap negara yang sedia menghadapi masalah kewangan.

Jomo berkata, banyak pasaran baru muncul akan mengalami tekanan hebat disebabkan perubahan dasar monetari antarabangsa, terutama dengan aliran keluar dana ke AS apabila ia meningkatkan kadar faedah.

Rizab Persekutuan AS meningkatkan kadar faedah sebanyak 2 kali tahun ini dan berkemungkinan akan melakukan buat kali ketiga sewaktu mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Kebangsaan pada 25-26 September.

“Pasaran baru muncul akan menjadi lebih terdedah kepada krisis kewangan, terutama dalam bidang yang mana harga aset melebihi nilai asas seperti hartanah melebihi nilai asas yang dibiayai oleh hutang.

“Justeru, pihak berkuasa perlu berhemah dan mungkin mengambil tindakan tidak popular dengan mengurangkan kelemahan kita terhadap krisis sedemikian,” kata Jomo.

Beliau menekankan perlunya untuk berhemah bagi mengelakkan potensi ke arah kemelesetan.

“Terjadinya krisis kewangan, berkemungkinan daripada punca-punca luar, akan lebih besar. Apabila kita bertindak melulu dalam menguruskan ekonomi, kita akan lebih terdedah,” jelasnya.

Jomo juga menyatakan akan perlunya Malaysia berfikir secara menyeluruh dan membentuk dasar yang bersesuaian dalam mengambil manfaat daripada ekonomi digital.

“Kita fikir bahawa kita sudah membuat sesuatu yang bijak dengan memberikan data berharga secara percuma sebagai pertukaran kepada perkhidmatan diberikan pihak yang memonopoli digital besar. Data ini digunakan untuk meningkatkan keuntungan pemain-pemain utama.

“Kita seharusnya belajar daripada sekatan yang dikenakan Kesatuan Eropah terhadap Google dan bagaimana ia mungkin relevan kepada ekonomi seperti Malaysia,” tambahnya.

Guan Eng: Saya mungkin jadi menteri kewangan paling tak popular

 
   
WAWANCARA | Di tengah-tengah jangkaan apa akan diumumkan dalam bajet November ini, Lim Guan Eng berkata beliau mungkin akan menjadi menteri kewangan paling tidak popular dalam sejarah negara.

"Ia akan merupakan bajet yang sangat sukar.

"Mungkin saya akan jadi menteri kewangan paling tidak popular kerana saya tidak mempunyai buah tangan untuk diberikan," katanya.

"Jadi kami akan menyaksikan pengorbanan dari rakyat Malaysia yang sudah biasa untuk mendapatkan buah tangan dan tiba-tiba sekarang tidak mendapatnya," kata Lim dalam temu bual dengan Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya.

Pengorbanan ini perlu, katanya, untuk membantu mengurangkan hutang negara sebanyak RM1 trilion supaya Malaysia dapat kembali ke landasan dalam tempoh tiga tahun.

"Anda perlu berkorban jika anda mahu mengurangkan hutang RM1 trilion. Tidak ada jalan lain.

"Buat sedikit pengorbanan, semoga dalam masa tiga tahun Malaysia akan kembali ke landasannya," katanya.

Buat masa ini, katanya, masih belum jelas sama ada kemelesetan global akan belaku walaupun perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China setakat ini memberi manfaat kepada Malaysia.

"Kita sebenarnya telah mendapat minat yang meningkat dari pelabur"[...] terutamanya kerana Malaysia dilihat sebagai tempat yang selamat untuk kedua-dua syarikat Amerika dan China," jelas Lim.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa manfaat dari perang perdagangan itu hanya untuk tempoh jangka pendek dan jika ia berlanjutan untuk tempoh lebih dua tahuh, Malaysia juga akan terjejas sepertimana negara-negara lain.

Sejak menjadi menteri kewangan, Lim telah "mendedahkan" banyak kes dakwaan penyalahgunaan dana oleh kerajaan terdahulu.

Antaranya, beliau mendakwa RM19 bilion "dirompak" daripada dana untuk tujuan bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan.

GST telah dimansuhkan dan pelaksanaan cukai julan dan perkhidmatan (SST) berkuatkuasa bulan ini.

Haramkan terus pengunaan plastik pakai buang, kata aktivis pencinta alam

Banyak pengeluar produk biodegradasi di Malaysia terpaksa 
mengeksport produk mereka ke negara lain kerana tidak mendapat 
sambutan di negara ini. (Gambar AFP)
PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengharamkan penggunaan beg plastik secara menyeluruh dan mengantikannya dengan produk biodegradasi (boleh urai) agar tidak terus mengancam hidupan laut selain ekosistem marin dan kesihatan manusia, kata aktivis pencinta alam.

Pengarah Eksekutif Pencinta Alam Malaysia I S Shanmugaraj Subramaniam berkata kerajaan perlu mengharamkan pengunaan plastik dan menggantikannya dengan produk biodegradasi.

“Penggunaan bungkusan plastik dan polisterin diharamkan oleh kerajaan tahun lepas, tetapi pengusaha makanan sekarang menggunakan pembungkus makanan plastik lut sinar.

“Keputusan kerajaan untuk menghentikan penggunaan plastik ‘single use’ atau plastik pakai buang menjelang 2030 adalah tidak wajar kerana masih menggalakkan masyarakat mengunakan plastik, bukannya mencari alternatif lain,” katanya kepada FMT.

Kerajaan dilaporkan akan melancarkan pelan hala tuju bagi menghentikan penggunaan plastik pakai buang menjelang 2030 pada bulan depan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Amal Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeoh Bee Yin berkata, hala tuju baru itu akan diumumkan sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko (IGEM) di ibu negara.

Beliau berkata, langkah tersebut akan dibuat secara berperingkat menerusi beberapa fasa bermula tahun ini sehingga 2030.

Shanmugaraj berkata, terdapat banyak pengeluar produk biodegradasi di negara ini tetapi kurang mendapat sambutan daripada penjual berbanding di luar negara dan mereka terpaksa mengeksport produk tersebut ke negara lain kerana mendapat permintaan tinggi.

“Dahulu pembungkusan makanan menggunakan ‘teknologi’ lama seperti daun dan kertas, bukannya plastik. Jika Malaysia mahu mengunakan bahan boleh diurai seperti dahulu, ia tidak bermakna kita ketinggalan.

“Dengan menggunakan teknologi seperti itu, kita dapat melindungi alam sekitar daripada terus dimusnahkan demi kelangsungan hidup manusia pada masa hadapan,” kata beliau.

Katanya lagi, sebagai contoh banyak kuil Hindu menggunakan pinggan biodegradasi yang diperbuat daripada daun pisang yang dikeringkan. Ia boleh dibuang tanpa mencemar alam sekitar ataupun dijadikan makanan haiwan seperti lembu selepas digunakan.

Rabu, 26 September 2018

PRK PD: Manifesto Stevie Chan beri empat tawaran kepada pengundi

MALAYSIA GAZETTE
Stevie Chan Keng Leong mengemukakan empat tawaran kepada pengundi Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober ini. - foto Twitter Stevie Chan
Stevie Chan Keng Leong mengemukakan empat tawaran kepada pengundi Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober ini. - foto Twitter Stevie Chan

SEREMBAN – Stevie Chan Keng Leong, yang menyatakan hasrat untuk bertanding  pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson  mengemukakan  empat tawaran kepada  pengundi   dalam manifestonya hari ini.

Chan, 51, seorang personaliti media sosial dalam kenyataannya berkata empat tawaran itu ialah memastikan perancangan untuk pengenalan sistem pengangkutan awam dalam bentuk perkhidmatan bas yang selesa, murah dan boleh diharap menghubungkan Kuala Lumpur dan Port Dickson  dilaksanakan  dan menangani  isu jenayah di Port Dickson terutamanya kecurian.

Dua lagi tawaran ialah bekerja rapat dengan kerajaan tempatan dan kerajaan pusat untuk memastikan kebersihan Port Dickson terjaga serta berpindah ke Port Dickson dan menjadi wakil rakyat sepenuh masa.

Selain itu, Chan berkata beliau juga akan mengusulkan supaya golongan isi rumah 20 peratus termiskin mendapat bantuan tunai bulanan, mencadangkan penubuhan Majlis Penasihat Khas untuk pendidikan, pengurangan kemiskinan, Orang Asli, seni dan kebudayaan.

“Saya akui bahawa ada usul-usul saya mungkin sukar untuk dilaksanakan tetapi sebagai wakil bebas, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk sekurang-kurangnya membawa perbincangan ini ke peringkat nasional,” katanya.

PRK Parlimen Port Dickson setakat ini menarik minat beberapa pihak lain selain Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim  iaitu dua parti politik dan seorang lagi individu perseorangan, selain Chan untuk mengambil bahagian.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang  tanpa bertanding  jawatan Presiden PKR, untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Port Dickson pada 13 Okt dan hari penamaan calon pada Sabtu ini (29 Sept) manakala hari pengundian awal pada 9 Okt.

Parlimen Port Dickson mempunyai  75, 770 pengundi dengan 68,486 orang adalah pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.— BERNAMA


Bukan saya – reaksi pengerusi SPR pada gambar minum arak, bercumbu

MALAYSIAKINI




Pengerusi baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun menafikan beliau adalah individu dalam gambar tular yang yang menunjukkan seorang lelaki minum arak dan berpoya-poya.

“Bukan saya,” katanya yang lebih dikenali sebagai Art Harun kepada The Star.

Gambar-gambar itu menunjukkan individu mirip Azhar minum arak dan bercumbu dengan seorang wanita.

The Star berkata carian Google terhadap gambar itu mendapati membawa ke beberapa laman di Indonesia.

Menurut Facebook RPS 2019, individu dalam gambar itu dikenali sebagai seorang ustaz Indonesia bernama Abu Janda al-Boliwudi.

“Ia menyebut Facebook peribadi Abu Janda telah digodam dan album foto peribadi, yang ditetapkan untuk tatapan peribadi sahaja, telah diakses secara terbuka,” menurut laporan itu.

Kerajaan mengumumkan pelantikan peguam veteran 56 tahun itu pada 21 September lalu.


Tutup tahfiz: Hapus dulu pusat hiburan

DR RIDUAN MOHD NOR

 
 
LANGKAH Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu menutup semua pusat tahfiz haram di Kuala Lumpur atas alasan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin perlu dibahaskan secara terperinci dan menyeluruh. Ini kerana jika tindakan itu dibuat, dikhuatiri akan merencatkan perkembangan pendidikan tahfiz.
riduan mnor
Meskipun langkah DBKL itu dilihat positif kerana ia bertujuan mencegah dari kejadian tidak diingini seperti kebakaran, kemalangan, jenayah dan lain-lain, namun dari aspek lain pula ia mewujudkan birokrasi dalam pembelajaran agama.
 
Kenyataan YB Khalid Samad, Menteri Wilayah Persekutuan itu adalah bertitik tolak daripada kes seorang pengetua pusat Tahfiz yang didakwa atas melakukan kesalahan liwat terhadap sembilan orang pelajarnya di Kepong baru-baru ini. Langkah yang dicadangkan tidak mampu menyelesaikan permasalahan sebenar yang timbul.
 
Realitinya, kes jenayah seksual seperti liwat, rogol, zina, cabul dan lain-lain kerap kali juga berlaku di sekolah-sekolah yang lain. Sekolah asrama penuh, sekolah harian, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan dan lain-lain tidak terkecuali dalam merekodkan kes seumpama ini. Ini bukan bermakna kita bersetuju dengan apa yang berlaku di pusat tahfiz di Kepong terbabit, tetapi memfokuskan hanya pada pusat-pusat tahfiz untuk diambil tindakan tegas juga adalah suatu tindakan keterlaluan.
 
Isu sebenarnya adalah keruntuhan akhlak moral dan harga diri yang melanda masyarakat. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun 2016 merekodkan sebanyak 12,025 kes seksual terhadap kanak-kanak berlaku di negara ini. Ia dipecahkan mengikut kes iaitu 2,759 kes rogol, 412 kes sumbang mahram, 1,423 kes mencabul kehormatan dan 422 kes luar tabii melibatkan mangsa di bawah 18 tahun bagi tempoh 2015 dan 2016.
 
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pula menunjukkan sebanyak 5,779 kes penderaan seksual kanak-kanak direkodkan dari 2010 hingga 2015 dengan purata kes sebanyak 963 kes setahun.
 
Angka ini menjadi sebab jenayah seksual terhadap kanak-kanak adalah wabak yang membimbangkan negara. Jika sekolah tahfiz yang mengajar didikan agama secara langsung juga gagal mengekang golongan yang bertuhankan syaitan dan nafsu dari bermaharajalela, tidak dapat dibayangkan bagaimana dengan kelompok yang jauh dari pegangan dan pendidikan agama. Soalnya, jika menutup pusat tahfiz yang haram dari beroperasi, adalah ia menyelesaikan masalah? Bagaimana dengan kes seumpama ini yang berlaku di sekolah-sekolah kerajaan, sekolah swasta dan lain-lain yang mempunyai lesen sah? Apakah langkah yang boleh diambil bagi menghalang kejadian ini berlaku?
 
Kerajaan sepatutnya memikirkan langkah lebih jauh dalam mencegah jenayah seksual dari berlaku di mana-mana. Kewujudan kelab malam yang berleluasa di tengah bandaraya, penganjuran konsert-konsert dan aktiviti hiburan, pusat pelacuran, rumah-rumah urut, program hiburan di televisyen, akses internet yang mudah tanpa sekatan, pergaulan bebas antara lelaki dan peempuan adalah punca utama kejadian seksual berlaku.
 
Bagaimana jika kerajaan bertindak tegas dalam mengharamkan kesemua pusat hiburan, konsert-konsert serta menyekat rumah-rumah urut dan pelacuran terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan tegas ke atas pusat-pusat tahfiz. Ia jauh lebih berkesan dalam mengawal gejala sosial dalam masyarakat.
 
Sebaiknya Khalid Samad melihat kes ini dengan cermat dan tidak melulu mahu menghukum kesemua tahfiz. Sepatutnya proses pendaftaran pusat tahfiz dipermudahkan, justeru mana-mana institusi tahfiz yang tidak berdaftar diusahakan agar dibantu untuk pendaftarannya.
 
Selainnya adalah pemantauan berterusan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), pihak Jabatan Mufti dan lain-lain agar kesinambungan pusat tahfiz. Soal keselamatan, kebajikan, kebersihan, modul dan silibus, gaji dan elaun kakitangan serta lain-lainnya perlu menjadi perhatian agar institusi tahfiz dibela sebaik mungkin, bahkan dijadikan pusat pembelajaran yang istimewa.
 
Apa yang diharapkan adalah kerajaan mampu memberi penyelesaian terbaik, dengan menguntungkan umat Islam dan masyarakat keseluruhannya. Jadikan kes yang berlaku sebagai rujukan, agar insititusi tahfiz terus diperkemas, dikembangkan dan dinaik taraf supaya ianya terus sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat.
 
Masyarakat umumnya masih meyakini, pendidikan agama terutama tahfiz melalui insititusi tahfiz mampu menyelamatkan akhlak dan moral generasi muda dalam mendepani kehidupan pada masa hadapan. - HARAKAHDAILY 
 
*  Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.
 
 

Hormati titah baginda Sultan Johor

USTAZ ABDULLAH HUSIN

 
 
BADAN Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ) memandang serius terhadap isu yang telah menyebabkan Sultan Johor menjadi murka akibat daripada tindakan seorang Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam surat rasminya.
 
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa sebarang urusan rasmi sama ada membabitkan kerajaan negeri mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor seharusnya ditulis dalam bahasa Melayu.
 
Baginda juga menjelaskan bahawa selama ini tidak pernah surat rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Johor atau mana-mana PBT ditulis dalam dua bahasa.
 
Difahamkan bahawa surat jemputan majlis perbincangan mengenai infrastruktur jalan raya bertarikh 12 September lalu itu beredar sejak hari Isnin yang lalu.
 
Walaupun Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor, YB Tan Hong Pin dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling YB Cheo Yee How telah menjelaskan bahawa Ahli Majlis MBIP Chan Wei Khan tidak berniat untuk memperlekeh bahasa Melayu namun tindakan tersebut dilihat sebenarnya akan mencetuskan perbalahan di dalam masyarakat.
 
BPPNJ berpandangan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor mestilah meletakkan keutamaan terhadap penggunaan Bahasa Melayu/Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi.
 
Tiada sebab dan alasan untuk penggunaan bahasa yang lain seandainya rakyat di negeri Johor memahami dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa harian mereka.
 
BPPNJ juga mengingatkan agar semua pihak menghormati titah yang telah disampaikan oleh baginda Sultan Johor dan jangan membawa perkara ini ke kancah politik kerana titah baginda adalah untuk kesejahteraan semua rakyat Johor.
 
Islam Memimpin.HARAKAHDAILY
 
* USTAZ ABDULLAH HUSIN , Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor

AHLI PARLIMEN PERLU KUASAI BAHASA MELAYU



Menguasai bahasa Kebangsaan bukan soal perkauman, malahan tidak perlu lagi ditimbulkan isu berkenaan, kata Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malahan, beliau turut menggesa Ahli Parlimen menguasai bahasa Melayu dan menjaga mutu tutur bahasa yang digunakan dalam perbahasan mereka di Dewan Rakyat.

Katanya, tidak salah untuk setiap Ahli Parlimen menguasai bahasa asing lain seperti bahasa Inggeris tetapi jangan meremehkan bahasa Kebangsaan.

“Lihat saja ahli Parlimen berbangsa Cina dalam kalangan parti DAP, mereka sudah menguasai dengan baik bahasa Melayu, malah petah ketika berbicara dan berbahas di Parlimen mengatasi Ahli Parlimen dalam kalangan orang Melayu.

“Kebimbangan mengenai kedudukan bahasa Melayu ini tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana kini ramai generasi baru dalam kalangan orang Cina, India, Iban dan Kadazan yang pintar menguasai bahasa Kebangsaan.

“Lebih 20 tahun saya bersama dengan masyarakat pelbagai kaum dan orang Cina secara umum menerima bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan,” katanya pada Syarahan Negarawan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, langkah utama bagi menggilap penguasaan bahasa Kebangsaan dalam kalangan Ahli Parlimen adalah dengan memberikan kursus bahasa Melayu di DBP.

Katanya, usaha memartabat bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Kebangsaan perlu dikembalikan semula kepada DBP.

“DBP kena menjadi markas memartabatkan bahasa Kebangsaan selaras dengan cabaran dan perkembangan dunia baharu.

“Dalam mengekalkan akar budaya, bahasa, sastera dan peradaban Melayu, DBP kena mengembangkannya kepada seluruh masyarakat Malaysia, Cina, India, Iban dan Kadazan supaya menjadi ia menjadi milik seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut meminta Dr Maszlee memantau kecenderungan universiti tempatan mengutamakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Kebangsaan.

“Saya diberitahu ada universiti yang mengendalikan mesyuarat Senat dalam bahasa Inggeris. Ini saya tidak boleh terima,” katanya.