HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Oktober 2019

Kerajaan tangani isu syariah secara berhikmah – Dr Mujahid

Manzaidi Mohd Amin
MGF01102019_Persidangan-Pendakwa-Syarie-Seluruh-Malaysia_02
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia Kali Pertama di Hotel Palm Garden Putrajaya. foto IQBAL BASRI
 

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menangani isu syariah secara berhikmah supaya dapat memberi penyelesaian terbaik, sesuai dan relevan mengikut hukum syarak serta undang-undang sedia ada.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, tanggungjawab yang dipikul itu akan dilaksanakan mengikut konsep Rahmatan Lil Alamin sebagai prinsip mencegah kemungkaran dengan cara lebih berhikmah.

Bagaimanapun, kata beliau, persoalan hikmah atau berlembut itu selalu disalah tafsirkan oleh banyak pihak.

“Ianya hanya masalah terminologi, di mana sesuatu perbuatan mungkar itu sudah tentunya kita tidak setuju, tetapi pelaku mungkar itu harus kita rangkul dan tegur untuk memperbetulkan mereka secara hikmah.

“Namun, harus diingat cara teguran itu tertakluk kepada undang-undang sedia ada yang telah diperuntukkan bagi setiap kesalahan,” katanya berucap merasmikan Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia kali pertama 2019 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah yang juga Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENS WP), Abd Razak Mat Nayan dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohd Al-Bakri.

Dr. Mujahid yakin dalam persidangan itu panel jemputan berkemampuan untuk menjelaskan kepada hadirin berdasarkan kepakaran dari sudut pemikiran bagi menangani fenomena yang sering diperkatakan berhubung isu berkenaan.

Kata beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa peka dan prihatin dengan keperluan masyarakat dan pentingnya penjagaan Maqasid Syariah dalam setiap pelaksanaan dasar kerajaan.

Pada masa sama, ujarnya kerajaan memastikan tidak ada pihak tertentu mengambil kesempatan dengan menyentuh sensitiviti perkauman, agama dan sebagainya yang boleh menjejaskan usaha murni itu.

“Saya yakin dengan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia ini mampu menyelaraskan semua aspek yang melibatkan pendakwaan di seluruh negeri.

“Ini termasuk aspek pengurusan dan tadbir urus, pengurusan kemahiran pendakwa syarie, penyeragaman undang-undang jenayah syariah, pelaksanaan proses dan prosedur perundangan.

“Penubuhan jabatan ini juga perlu dalam usaha memperkasakan institusi perundangan syariah selaras matlamat pendekatan Rahmatan Lil Aalamin dalam perundangan syariah di negara ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, jabatan itu bertanggungjawab untuk mengawal selia semua perkara berkaitan pendakwaan syariah di negara ini dalam usaha memperkasakannya.

Jelas beliau lagi, kerajaan komited memperkasakan perundangan syariah khususnya melibatkan Undang-Undang Jenayah Syariah di negara ini.

Antara usaha kerajaan dalam memastikan hasrat itu terlaksana ialah penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah di peringkat persekutuan sebagai badan pelaksana kuasa pendakwaan yang bebas dalam tindakan tanpa mengira kepentingan parti politik dan campur tangan pihak luar.

“Ini akan dimulakan dengan satu kertas kerja yang akan dibentangkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) untuk tindakan selanjutnya.

“Kedua, pemerkasaan keupayaan dan kebolehan dalam kalangan pegawai serta kakitangan perundangan syariah agar perundangan digubal dapat dilaksanakan dengan yang terbaik dan sentiasa berada pada tahap kelas pertama.

“Ketiga pula, dari segi pemerkasaan undang-undang syariah itu sendiri, sudah sampai masanya kita berganding bahu ke arah peningkatan bidang kuasa dan takat hukuman di Mahkamah Syariah,” katanya.

Menurut Dr. Mujahid, takat kuasa sedia ada dalam hal jenayah Syariah dibenarkan oleh Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah 1965) iaitu denda tidak melebihi RM5,000, penjara tidak melebihi tiga tahun serta enam kali sebatan.

Katanya, selepas kejayaan kerajaan pada sidang Parlimen yang lepas membentangkan RUU Akta Guaman Syarie, usaha ke arah memperkemaskan lagi takat hukuman jenayah Syariah akan diperhalusi bagi menggantikan takat hukuman sedia ada yang telah lama diperuntukkan. – MalaysiaGazette

Kadir Jasin pertahan kenyataan Syed Saddiq, tiada garis masa dua tahun

Shawaliah Hadir
MGF01102019_KADIR-JASIN-HADIR-NEC12
Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Konsultasi Pakar Nasional (NEC) mengenai Kebebasan Bersuara dan Ucapan Benci di DoubleTree by Hilton Hotel, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM
 

KUALA LUMPUR – Datuk A. Kadir Jasin hari ini mempertahankan kenyataan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa tidak wujud garis masa dua tahun bagi penyerahan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri itu menganggap kenyataan dan pertikaian tentang peralihan kuasa kepada Anwar disuarakan oleh pihak yang tidak mengetahui kandungan sebenar perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini. 

“Mungkin mereka (mempertikaikan) tidak berada di tempat ia berlaku (perjanjian).

“Mereka mungkin tidak teribat, terbabit merangka perjanjian-perjanjian yang tersurat dan yang tersirat dan mereka membuat kenyataan berasaskan kepada pandangan luaran bukan berasaskan pengetahuan apa yang berlaku sebelum dan selepas pilihan raya yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas majlis Konsultasi Pakar Nasional (NEC) Mengenai Kebebasan Bersuara dan Ucapan Benci di sini.

A. Kadir yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu ditanya tentang kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali, yang mendesak peralihan kuasa pentadbiran negara dilakukan segera.

Veteran politik itu mendakwa, jika Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kuasa sebelum pilihan raya umum ke-15 ia umpama membunuh Pakatan Harapan dan parti kerana Anwar tidak mempunyai masa untuk membuat persiapan.

Sehubungan dengan itu, A. Kadir mengingatkan semua ahli dari semua peringkat parti mengelak mencetuskan ketegangan meskipun mereka diberi kebebasan untuk bersuara. 

“Pemimpin daripada pakatan yang sama boleh mengkritik, bagi saya ini adalah satu yang membezakan kerajaan hari ini dengan yang lalu kita menghormati kebebasan dan ia berlaku di semua peringkat sehinggalah ke atas iaitu kepimpinan Pakatan Harapan iaitu sesiapa pun boleh bersuara.

“Ini adalah biasa dalam politik. Tapi akhirnya kita terpaksa kembali kepada apa yang dipersetujui. 

Semua orang sudah tahu sebelum Pakatan Harapan memasuki pilihan raya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi, jika menang berusaha mendapatkan pengampunan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim,  yang semuanya sudah berlaku.

“Dan yang berlaku ialah bila penyerahan kuasa. Yang jelas tidak ada tarikh dinyatakan penyerahan kuasa, cuma saya tidak mahu cakap panjang kecuali mengulangi bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad banyak kali berkata akan tunaikan janjinya.

“Cuma satu, yang perlu dielakkan adalah wujudkan ketegangan yang mungkin boleh menyebabkan apa yang dirancang tidak dapat berlaku seperti yang dijangkakan,” katanya. – MalaysiaGazette 

 

PRK Tanjung Piai: 2 Nov penamaan calon, 16 Nov hari mengundi

Wartawan MalaysiaGazette
MG011019_PC-PKR-PARLIMEN-TANJUNG-PIAI05
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun (dua kanan) menunjukkan peta kawasan Pilihan Raya Kecil pada sidang media PKR Parlimen P.165 Tanjung Piai Johor di Menara SPR, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK
 

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 2 November ini (Sabtu) sebagai hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Manakala hari mengundi pula ditetapkan pada 16 November (Sabtu).

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula selepas

pengisytiharan calon sehingga pukul 11.59 malam, 15 November 2019.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham YB Datuk Wira Dr. Md Farid bin Md. Rafik pada 21 September lalu.

Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka pula pada 1 Oktober dan tarikh tutup permohonan 31 Oktober.

Tambahnya, SPR akan menggunakan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

Borang Penamaan Calon boleh dibeli mulai 8 Oktober ini di Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Pejabat Daerah Pontian atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor atau di Ibu Pejabat SPR Putrajaya.

Untuk memudahkan proses penamaan calon, Azhar menggesa kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRK P.165 Tanjung Piai agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan pihak Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum Hari Penamaan Calon.

Proses semakan awal ini boleh dibuat mulai 28 Oktober 2019.

Selain itu bakal-bakal calon juga adalah dinasihati untuk membuat pembayaran deposit lebih awal bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon pada Hari Penamaan Calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

“Walau bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR,” katanya dalam satu kenyataan.

Azhar berkata, seramai 1,019 orang petugas dilantik bagi mengendalikan proses PRK P.165 Tanjung Piai manakala sebanyak 28 buah Pusat Mengundi yang mengandungi kesemuanya 127 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi. – MalaysiaGazette

Dr. Asyraf, tarik balik atau kena saman – Mujahid

Manzaidi Mohd Amin
MGF01102019_Persidangan-Pendakwa-Syarie-Seluruh-Malaysia_12
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa diiringi Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Abdul Razak May Nayan (kanan) beramah mesra bersama peserta pada Majlis Perasmian Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia Kali Pertama di Hotel Palm Garden Putrajaya. foto IQBAL BASRI
 

KUALA LUMPUR –Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof memberi tempoh seminggu kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki untuk memohon maaf secara terbuka kepada Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Asyraf Wajdi perlu menarik balik kenyataan berunsur fitnah terhadap TH yang telah mengeluarkan kenyataan balas menafikan tuduhan berkenaan.

“Saya bagi tempoh seminggu dari hari ini, jika tidak saya akan memikirkan tindakan undang-undang, sebab beliau sudah melampau membuat tuduhan.

“Saya mahu dia minta maaf secara terbuka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Pendakwa Syarie seluruh Malaysia kali pertama 2019 di sebuah hotel di sini hari ini.

Asyraf Wajdi dalam kenyataannya semalam mendesak Mujahid membuat penjelasan berhubung penjualan aset strategik TH bernilai RM2.6 bilion.

Katanya, jumlah itu termasuk keseluruhan pegangan saham TH dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bernilai RM1.8 bilion.

Kata beliau, penjualan keseluruhan saham TH dalam TNB amat mengejutkan kerana TNB bukan syarikat bermasalah, bahkan salah sebuah syarikat paling stabil dari segi keuntungan setiap tahun.

Menurut Mujahid, pimpinan sayap UMNO itu tidak perlu mengeluarkan kenyataan akhbar berunsur fitnah untuk mendapat penjelasan daripadanya sebaliknya boleh datang berjumpanya di pejabat.

“Nak minta penjelasan, kalau nak mita penjelasan tak payahlah buat penjelasan dalam surat khabar, marilah jumpa saya. Dia pun pernah duduk dalam pejabat itu dulu, takkanlah lupa sudah tempat saya duduk sekarang. Mari tanya, betul atau tidak.

“Sebab saya tengok ketua pemuda ini memang konsisten terhadap TH. Sebelum ini, pada bulan Mac lalu dia timbulkan isu kuota haji kononnya kerana hubungan dingin Arab Saudi dengan Malaysia,
maka kita tidak dapat kuota tambahan.

“Saya sudah jawab, perkara itu tidak ada kena mengena dengan hubungan, ia adalah hak kerajaan Arab Saudi untuk memberi atau tidak.

“Pada Mei pula dia menimbulkkan isu kononnya TH dikuasai oleh Cina dan kita sudah jawab. Dan hari ini, dia datang pula dengan isu RM2.6 bilion. Saya tak tahu apa sebenarnya hasrat dia menimbulkan persepsi ini dan saya mengibaratkan dia seperti lebai malang, dia marah nyamuk, dia bakar satu kelambu,” katanya.

Beliau berkata, sepatutnya selepas UMNO dan Pas bergabung dalam penyatuan ummah dan muafakat nasional sepatutnya tidak ada lagi kenyataan bersifat bohong dan fitnah.

“Asyraf sepatutnya kena jaga dan pelihara kepentingan negara, tapi dengan cakap-cakap (tuduhan) begini, dia telah menjejaskan kepentingan TH dengan kenyataan palsu, (kenyataan) tidak betul.

“Saya minta dia tarik balik kenyataan itu dan mohon maaf. Kalau dia tak buat, kita akan memikirkan tindakan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette

Saya terharu ramai sayang saya, kata Nga

MALAYSIAKINI

   

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik kerana menegur penggunaan bahasa Cina untuk acara dihadirinya.

Nga berkata beliau menerima teguran itu dan telah menjelaskan secara peribadi perkara itu kepada Maszlee.

“ Terima kasih ke atas keprihatinan menteri pendidikan. Saya berasa terharu ramai orang sayang saya.

“Mana-mana saya pergi pun orang perhatikan, memantau mana saya pergi,” kata anggota parlimen Teluk Intan.

Nga berkata demikian ketika ditemui di Kuala Lumpur selepas acara berkaitan peranan parlimen bagi membendung keganasan di rantau Asia Pasifik.
Di Instagram, Nga sebelum ini memuat naik gambar kain rentang acara di sebuah sekolah Cina di Ayer Tawar, Manjung yang dijadual dihadir beliau, yang juga alumni di situ.

Maszlee bagaimanapun menulis komen bawah gambar itu yang meminta Nga menasihatkan pihak sekolah menggunakan bahasa Melayu.

"Maaf YB. Memandangkan logo kerajaan digunakan pada poster dan juga YB merupakan wakil kepada kerajaan, poster mestilah ditulis dalam bahasa kebangsaan. Minta YB menegur pihak sekolah," tegur Maszlee.

Nga hari ini bagaimanapun menjelaskan kain rentang itu sebenarnya diletak oleh salah seorang bekas pelajar, bukan pihak sekolah.

“Ini adalah satu salah faham yang tak perlu kita nak jadikan isu.

“Yang penting kita turun padang membantu mana-mana sekolah,” katanya.

Beliau juga berkata ketika kita menghormati bahasa kebangsaan, semua aliran sekolah juga berhak untuk belajar bahasa ibunda masing-masing.


Nga minta Najib taubat, henti sebar berita palsu

MALAYSIAKINI

   

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming meminta Najib Razak supaya bertaubat dan tidak menggunakan berita palsu untuk menyerangnya mahupun parti DAP.

Nga berkata tindakan undang-undang turut akan diambil terhadap bekas perdana menteri itu, selain laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah dibuatnya.

“Kami akan mendapatkan nasihat undang-undang. Penasihat undang-undang saya akan mengambil tindakan sewajarnya. Saya harap beliau (Najib) akan bertaubat dan kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat,” katanya selepas majlis Persidangan Serantau Kesatuan Antara Parlimen (IPU)-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

Nga mengulas tindakan Najib yang menggunakan hantaran akaun palsu yang didakwa cuba merosakkan namanya serta menghasut rakyat membencinya dan parti.

Najib menerusi perkongsian di Facebook didakwa menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil tindakan terhadap Pengerusi DAP Perak itu kerana mengajak orang Cina yang tidak puas hati membuat bantahan terhadap Sultan Selangor.

Ia susulan keputusan tidak membenarkan papan tanda jalan dwibahasa digunakan di Selangor.
Namun Nga dalam laporan berita semalam menafikan beliau dan DAP terlibat dalam membuat hantaran menghasut masyarakat Cina untuk membenci Sultan Selangor.

Nga turut menegaskan akaun menggunakan nama ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ merupakan akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya dan DAP.

Berhubung teguran Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengenai sebuah sekolah di Ayer Tawar, Manjung Perak yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan dalam kain rentang di majlis yang dihadirinya, Nga berkata beliau telah menjelaskan perkara itu kepada Maszlee menerusi kiriman mesej.

“Saya menerima saranan (Maszlee) dengan hati terbuka. Saya menerima jemputan dari sekolah itu dan kain rentang itu sebenarnya diletakkan oleh seorang bekas pelajar, bukan oleh sekolah..dan sebagai SRJK (sekolah rendah jenis kebangsaan), walaupun dalam bahasa Mandarin tapi satu perkara yang pasti adalah semua sekolah kerajaan menghormati bahasa kebangsaan dan bahasa kebangsaan adalah mata pelajaran wajib.

“Tetapi dari segi Perlembagaan Persekutuan, jangan kita nafikan semua aliran sekolah berhak belajar bahasa ibunda masing-masing dan hak ini telah dijamin oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pada Ahad lepas, Maszlee memberi teguran menerusi hantaran di ruangan komen Instagram milik Nga dan menegaskan poster berkenaan perlu ditulis menggunakan bahasa kebangsaan memandangkan jata negara turut digunakan.

Gambar kain rentang itu dimuat naik oleh Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan di Instagram peribadinya sebagai makluman bahawa beliau akan mengadakan lawatan dan menyampaikan bantuan kepada sekolah itu.- Bernama


Langgar lari: Peserta Maraton Standard Chartered cedera

MALAYSIAKINI

   

Beberapa peserta Maraton Standard Chartered di Kuala Lumpur cedera dalam kejadian langgar lari.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook acara itu, penganjur berkata peserta yang cedera mendapat rawatan perubatan tetapi tidak mendedahkan jumlah mereka yang cedera.

"Sebelum ini, pada acara larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon, terdapat kemalangan yang membabitkan sebuah kereta yang merempuh hadangan keselamatan kami.

"Pelari yang terjejas sedang menerima rawatan perubatan. Kesejahteraan peserta larian kami kekal menjadi keutamaan kami dan kami menawarkan bantuan kepada mereka yang terjejas dalam kejadian ini.

"Kami juga bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan akan memberikan perkembangan terkini apabila mendapat maklumat lanjut yang menjelaskan mengenai kejadian tersebut," katanya.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, dalam satu kenyataan di Twitter pula berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

"Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan segera dalam mencari pihak yang melakukan kesalahan melanggar hadangan keselamatan itu dan kepada penganjur untuk membantu mangsa yang cedera dalam apa jua cara yang mungkin.

"Kami memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.


PRK Tanjung Piai 16 November

siti hafidah

 

Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 2 November: SPR

PUTRAJAYA– Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor akan diadakan pada 16 November, umum Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 2 November manakala pengundian awal akan diadakan pada 12 November, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRK berkenaan di ibu pejabat SPR di sini hari ini.

PRK Tanjung Piai perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42 yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas berikutan komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Md Farid, seorang pakar bius, daripada Pakatan Harapan-Bersatu memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperolehi 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS). Wee memperolehi 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi.

PRK Tanjung Piai adalah PRK yang kesembilan selepas PRU14 pada 9 Mei 2018.

PRK sebelum ini adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia, Semenyih dan Rantau manakala PRK bagi kawasan parlimen pula ialah Cameron Highlands, Port Dickson dan Sandakan.

“Tempoh berkempen ialah 14 hari,” kata Azhar, sambil menambah ia bermula selepas pengisytiharan calon sehingga 11.59 malam, 15 November.

Beliau berkata, SPR akan menggunakan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Beliau berkata, PRK Tanjung Piai dianggarkan memerlukan peruntukan RM2.67 juta.

Seramai 1,019 petugas dilantik bagi mengendalikan PRK itu dan 28 buah pusat pengundi yang mengandungi 127 saluran mengundi terbabit, katanya.

Azhar berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRK Tanjung Piai adalah sehingga suku tahun kedua 2019 yang dikemaskini sehingga 23 September 2019.

“Daftar pemilih tersebut mengandungi 52,986 pengundi yang terdiri daripada 52,698 orang pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan orang pengundi tidak hadir luar negara,” katanya.

Azhar berkata, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRK Tanjung Piai.

Beliau berkata, SPR melakukan penambahbaikan dengan menyediakan dua saluran khas, khusus bagi pengundi berumur 60 tahun dan ke atas di setiap pusat mengundi dan memanjangkan tempoh masa pengundian dari 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding 5 petang pada PRU14.

Penambahbaikan lain membabitkan penambahan 26 saluran baharu bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran, yang menjadikan keseluruhannya 127 saluran berbanding 101 saluran pada PRU14, katanya.

Pengundi orang kurang upaya (OKU) pula akan mengundi di saluran satu, katanya.

Pada PRK Tanjung Piai itu, seramai 981 orang pengundi OKU telah dikenal pasti dan mereka berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, katanya.

Azhar berkata, SPR akan menghantar kad pengundi yang mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh dan masa pengundian kepada semua pegundi di Tanjung Piai.

Mulai 16 Oktober, pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal www.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui mesej pesanan ringkas (SMS) ke 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Azhar berkata, borang penamaan calon boleh dibeli mulai 8 Oktober di pejabat pegawai pengurus pilihan raya atau pejabat daerah Pontian atau pejabat pilihan raya negeri Johor atau di ibu pejabat SPR.

“Untuk memudahkan proses penamaan calon, bakal calon yang ingin bertanding diminta agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan pihak pejabat pegawai pengurus atau pejabat pilihan raya negeri Johor sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Bakal calon juga dinasihatkan membuat pembayaran deposit lebih awal bertujuan memastikan proses penamaan calon pada hari penamaan dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar, katanya. – Bernama


Foodpanda akan jumpa Syed Saddiq untuk bincang skim baru


   

Syarikat penghantaran makanan Foodpanda akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berhubung skim pembayaran baru yang menyaksikan penghantar makanan dari syarikat itu mengadakan mogok bermula semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Foodpanda, Lisa Santa Maria berkata, syarikat itu tidak dapat mengeluarkan kenyataan buat masa ini sehingga perbincangan itu selesai.

“Tunggu dulu. Lepas perbincangan dengan kerajaan. Sebab sekarang ada perbincangan dengan kerajaan jadi kita (Foodpanda) tidak boleh cakap apa-apa dulu,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut, perbincangan itu dijangka diadakan petang ini bersama Syed Saddiq di ibu kota.
Iklan
“Petang nanti (bincang dengan Syed Saddiq) di Kuala Lumpur,” katanya ringkas.

Semalam, penghantar makanan Foodpanda melancarkan mogok di beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Sabah dan Kuala Lumpur susulan skim pembayaran baru yang dilaksanakan.

Bagaimanapun penghantar makanan di Kuala Lumpur dikecualikan daripada skim bayaran itu.

Pelaksanaan skim itu dikatakan mengurangkan jumlah pendapatan mereka disebabkan bayaran tetap RM4 sejam dimansuhkan dengan menaikkan bayaran pesanan antara RM4.50 hingga RM7 mengikut kumpulan tertentu.

Media melaporkan penghantar Foodpanda merungut dengan skim baru itu kerana mereka perlu menunggu dua hingga tiga jam tanpa menerima sebarang pesanan makanan.

Mogok itu mendapat perhatian dari Syed Saddiq yang mengundang penghantar makanan berkenaan bertemu di rumahnya malam ini untuk sesi dialog bersama mereka.


'Arul Kanda kata PMO mahu kami tinggalkan M'sia untuk elak PAC'

MALAYSIAKINI

   

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dikatakan mengarahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan penggantinya Arul Kanda meninggalkan negara ini apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mahu menyoal mereka selepas skandal 1MDB meletus pada tahun 2015.

Shahrol memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini bahawa Arul menyampaikan mesej itu kepadanya.

"Saya masih ingat kali pertama pada tahun 2015 apabila kami dikeluarkan surat oleh PAC untuk hadir - Arul dan saya sendiri.

"Tetapi saya bersama Arul pada masa itu dan Arul beritahu saya bahawa arahan daripada Pejabat Perdana Menteri adalah untuk melancong ke luar negara supaya kami tidak akan dapat hadir," katanya.

Ketika disoal balas oleh timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram, saksi kesembilan dalam perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak itu berkata beliau pergi ke Singapura pada hari berikutnya.

Sri Ram: Siapa di PMO (yang minta supaya tinggalkan negara ini)?

Shahrol: Itulah yang Arul kata, saya tak tahu siapa yang dimaksudkan.

Ram Sri: Arul Kanda, di telefon, beritahu kamu untuk cepat-cepat keluar melancong dari sini?

Shahrol: Dia kata PMO mahu kami cepat-cepat melancong tanpa banyak kata.

Shahrol juga dipanggil oleh PAC untuk menghadiri pendengaran mengenai 1MDB pada hari-hari awalnya pada tahun 2010.
Shahrol tidak mengelakkan pendengaran PAC pada tahun 2010 tetapi diberi taklimat oleh ahli perniagaan yang dikehendaki Jho Low bagaimana untuk memberikan respons terhadap soalan.

Shahrol mendedahkan semasa pendengaran itu, beliau juga diberi taklimat oleh Anggota Parlimen Kota Belud yang juga ahli PAC pada masa itu, Abdul Rahman Dahlan.

Shahrol berkata beliau akhirnya memberi keterangan selepas pada awalnya cuba  mengelakkan pendengaran PAC pada 2015.

Kali ini, beliau berkata,  lebih banyak persediaan mesyuarat dilakukan berbanding pendengaran PAC yang pertama pada tahun 2010. Terdapat juga mesyuarat yang diadakan selepas pendengaran PAC.

Shahrol: Akhirnya saya menghadiri (pendengaran PAC).

Sri Ram: Apabila kamu pergi, ada taklimat (sebelum pendengaran itu)?

Shahrol: Ya, tetapi banyak orang yang terlibat. Talking point adalah sama. Bagaimanapun, saya menerima arahan melalui Arul atau Jho untuk pergi ke rumah Datuk Farid Ridzuan.
Shahrol berkata, beliau difahamkan Farid bertanggungjawab membentuk imej Najib dan bertugas dengan Jabatan Perdana Menteri.

"Saya pergi ke sebuah rumah di Hartamas. Ia pada waktu malam dan ada beberapa siri mesyuarat pada sebelah petang sebelum dan selepas pendengaran PAC," katanya.

Shahrol bersetuju apabila ditanya jika ahli-ahli PAC turut hadir semasa mesyuarat berkenaan dan menamakan pengerusi PAC ketika itu, Hasan Arifin sebagai antara mereka.

"Beliau (Hasan) maklumkan kepada saya apa yang dia dibentangkan dalam mesyuarat pendengaran PAC itu. Dia beritahu saya apakah buah fikir jawatankuasa itu dan apa yang akan masuk dalam laporan itu.

"Mesejnya adalah kuat bahawa ini adalah serangan politik terhadap perdana menteri dan meremehkan bahawa Najib mempunyai sebarang peranan dalam keputusan 1MDB," katanya.

Najib menghadapi 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa ke atas dakwaan penyelewengan RM2.28 bilion daripada 1MDB.