HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Oktober 2019

PRK Tanjung Piai: 2 Nov penamaan calon, 16 Nov hari mengundi

Wartawan MalaysiaGazette
MG011019_PC-PKR-PARLIMEN-TANJUNG-PIAI05
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun (dua kanan) menunjukkan peta kawasan Pilihan Raya Kecil pada sidang media PKR Parlimen P.165 Tanjung Piai Johor di Menara SPR, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK
 

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 2 November ini (Sabtu) sebagai hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Manakala hari mengundi pula ditetapkan pada 16 November (Sabtu).

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula selepas

pengisytiharan calon sehingga pukul 11.59 malam, 15 November 2019.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham YB Datuk Wira Dr. Md Farid bin Md. Rafik pada 21 September lalu.

Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka pula pada 1 Oktober dan tarikh tutup permohonan 31 Oktober.

Tambahnya, SPR akan menggunakan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

Borang Penamaan Calon boleh dibeli mulai 8 Oktober ini di Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Pejabat Daerah Pontian atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor atau di Ibu Pejabat SPR Putrajaya.

Untuk memudahkan proses penamaan calon, Azhar menggesa kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRK P.165 Tanjung Piai agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan pihak Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum Hari Penamaan Calon.

Proses semakan awal ini boleh dibuat mulai 28 Oktober 2019.

Selain itu bakal-bakal calon juga adalah dinasihati untuk membuat pembayaran deposit lebih awal bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon pada Hari Penamaan Calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

“Walau bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR,” katanya dalam satu kenyataan.

Azhar berkata, seramai 1,019 orang petugas dilantik bagi mengendalikan proses PRK P.165 Tanjung Piai manakala sebanyak 28 buah Pusat Mengundi yang mengandungi kesemuanya 127 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: