KUALA LUMPUR – Datuk A. Kadir Jasin hari
ini mempertahankan kenyataan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa tidak wujud garis masa
dua tahun bagi penyerahan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Penasihat Media dan Komunikasi Perdana
Menteri itu menganggap kenyataan dan pertikaian tentang peralihan kuasa
kepada Anwar disuarakan oleh pihak yang tidak mengetahui kandungan
sebenar perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini.
“Mungkin mereka (mempertikaikan) tidak berada di tempat ia berlaku (perjanjian).
“Mereka mungkin tidak
teribat, terbabit merangka perjanjian-perjanjian yang tersurat dan yang
tersirat dan mereka membuat kenyataan berasaskan kepada pandangan
luaran bukan berasaskan pengetahuan apa yang berlaku sebelum dan selepas
pilihan raya yang lalu,” katanya.
A. Kadir yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu ditanya tentang kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali, yang mendesak peralihan kuasa pentadbiran negara dilakukan segera.
Veteran politik itu mendakwa, jika Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kuasa sebelum pilihan raya umum ke-15 ia umpama membunuh Pakatan Harapan dan parti kerana Anwar tidak mempunyai masa untuk membuat persiapan.
Sehubungan dengan itu, A. Kadir
mengingatkan semua ahli dari semua peringkat parti mengelak mencetuskan
ketegangan meskipun mereka diberi kebebasan untuk bersuara.
“Pemimpin daripada pakatan yang sama
boleh mengkritik, bagi saya ini adalah satu yang membezakan kerajaan
hari ini dengan yang lalu kita menghormati kebebasan dan ia berlaku di
semua peringkat sehinggalah ke atas iaitu kepimpinan Pakatan Harapan
iaitu sesiapa pun boleh bersuara.
“Ini adalah biasa dalam politik. Tapi
akhirnya kita terpaksa kembali kepada apa yang dipersetujui.
Semua orang
sudah tahu sebelum Pakatan Harapan memasuki pilihan raya dengan Tun Dr
Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi, jika menang berusaha mendapatkan
pengampunan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang semuanya sudah berlaku.
“Dan yang berlaku ialah bila penyerahan
kuasa. Yang jelas tidak ada tarikh dinyatakan penyerahan kuasa, cuma
saya tidak mahu cakap panjang kecuali mengulangi bahawa Tun Dr Mahathir
Mohamad banyak kali berkata akan tunaikan janjinya.
“Cuma satu, yang perlu dielakkan adalah
wujudkan ketegangan yang mungkin boleh menyebabkan apa yang dirancang
tidak dapat berlaku seperti yang dijangkakan,” katanya. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan