HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Januari 2020

DAP sila keluar dari kerajaan

Manzaidi Mohd Amin
Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad bercakap kepada media selepas membuat laporan polis terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 MEI 2019
Kamaruzaman Mohamad
 

KUALA LUMPUR – Pas mendesak parti cauvinis DAP keluar daripada kerajaan Persekutuan berikutan ugutan pemimpinnya berhubung cadangan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, cadangan DAP untuk mengiktiraf UEC adalah pengkhianatan besar kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan, selain bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 dan melebarkan jurang perkauman di Malaysia.

“Ia nyata bertentangan dengan Perlembagaan Negara dan jelas ditolak oleh rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan.

“Sistem pendidikan sedia ada diperkenalkan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik dan menyanjungi bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang menjadi tonggak keharmonian negara.

“Manakala, UEC ditadbir oleh Dong Jiao Zong yang angkuh dengan sikap ekstrem sehingga tidak boleh bertolak ansur dengan modul tulisan Jawi yang hanya tiga muka surat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Bagaimanapun semalam, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming mengeluarkan kenyataan menafikan laporan berita yang disiarkan portal pro Pakatan Harapan (PH), mendakwa parti cauvinis itu akan tinggalkan kerajaan jika Putrajaya tidak mengiktiraf UEC.

Kor Ming menganggap, kata-katanya dalam satu temubual itu diambil “di luar konteks”.

Menurut Kamaruzaman, Pasukan Petugas Dasar UEC yang dilantik Kementerian Pendidikan hampir dua tahun lalu masih gagal mengeluarkan laporan rasmi meskipun tarikh akhir adalah pada Oktober 2019 lalu.

Jelas beliau, budaya ugut dalam kalangan DAP bukan suatu yang baharu, malah mereka amat terdesak untuk mendapatkan semula sokongan masyarakat Cina.

Katanya, kekalahan PH dalam lima pilihan raya kecil berturut-turut membuktikan DAP menjadi satu liabiliti besar dalam kerajaan.

“Pas berpendirian supaya DAP berhenti mendesak pengiktirafan UEC atau keluar daripada kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Pemuda UMNO kaji fail injunksi halang penjualan 11 anak syarikat THP

Nizam Zain
MG281119_PC-PEMUDA-UMNO05
Asyraf Wajdi Dusuki 
 

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO dijangka memfailkan injunksi bagi menghalang penjualan anak-anak syarikat milik Tabung Haji Plantations (THP) dalam masa terdekat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu bagi memastikan aset pegangan 9.4 juta pendeposit Tabung Haji (TH) tidak hilang sekali lagi.

“Pihak kami sedang meneliti dengan lebih dalam bersama pasukan bagi memutuskan untuk memfailkan injunksi bagi menghalang baki penjualan 11 anak syarikat milik THP oleh pendeposit TH,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Jumaat lepas, Asyraf mendedahkan penjualan anak syarikat THP, iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MW) yang memiliki tanah perladangan kepada sebuah syarikat swasta.

Menurut Asyraf, isu tersebut dianggap skandal kerana justifikasi kepada keputusan THP untuk menjual 76.2 peratus tanah-tanah perladangan milik THP.

Ini termasuk harga jualan, penukaran jurunilai dan kaedah nilaian tidak munasabah serta meragukan.

Dalam pada itu, Asyraf menegaskan, langkah injunksi itu bagi memastikan tanah perladangan milik THP tidak lagi dijual secara pukal pada harga rendah, sebagaimana yang berlaku dalam BSV dan MW.

“Mengapa THP menukar jurunilai bagi syarikat BSV dan MW.

“Apakah kaedah nilaian dan andaian yang digunakan oleh jurunilai baharu menjadikan nilai buku dari RM366.5 juta pada 2017 kepada RM122 juta pada 2018.

“Bagaimana harga jualan RM170 juta kepada Tamaco Plantations Sdn Bhd ditetapkan dan adakah YB Menteri bersetuju dengan harga jualan ini?” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Imam muda dituduh tipu pengurus syarikat untuk sijil nikah

Bernama
mahkamah
Foto hiasan
 

KUALA LUMPUR – Seorang imam muda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang pengurus syarikat minuman berjumlah RM3,500 bagi mendapatkan sijil nikah yang sah.

Mohd Mustakim Ithnin, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Tertuduh didakwa telah menipu Faizal Mohd Hussain, 40, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh mendapatkan sijil nikah Malaysia yang sah.

Oleh itu tertuduh dengan curangnya telah mendorong mangsa untuk menyerahkan pembayaran sebanyak RM2,500 melalui serahan tangan dan RM1,300 yang dimasukkan ke dalam akaun milik tertuduh, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut jika tidak diperdaya oleh tertuduh.

Mohd Mustakim dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah kedai makan di Jalan Ipoh di sini, antara 7 dan 18 Oktober tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah dengan alasan menanggung dua anak.

Semasa Tawfiq bertanyakan isteri tertuduh mengenai pekerjaan suaminya, wanita itu memberitahu suaminya adalah seorang imam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mac untuk sebutan semula kes.— BERNAMA

Belum ada keperluan henti semua penerbangan dari China – Dr Mahathir

Mohammad Arif Nizam

MGF30012020_RAMAH-MESRA-PM-BERSAMA-KPLB_03
Reaksi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dirakam pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakan Strategik KPLB di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL
 

PUTRAJAYA – Tidak ada keperluan bagi kerajaan buat masa ini untuk menghentikan semua penerbangan dari China, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, satu kajian akan dilakukan untuk membuat keputusan itu.
“Waktu ini kita belum ada keperluan itu dan akan buat kajian sama ada perlu henti flight semua dari seluruh China,” katanya.

Beliau diminta mengulas tindakan Kerajaan Sabah yang menggantung semua penerbangan dari China ke Sabah berkuatkuasa serta-merta sehingga diberitahu kelak.

Timbalan Ketua Menteri Christina Liew berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet semalam memandangkan ancaman koronavirus.

Beliau berkata penggantungan ini hanya sementara dan operasi akan disambung semula selepas keadaan kembali normal.

Dr Mahathir berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Rakan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Ditanya mengenai maklum balas dari Kerajaan China untuk membawa balik rakyat Malaysia dari Wuhan, beliau berkata pihaknya baru memulakan rundingan dan belum mendapat respon lagi. – MalaysiaGazette

PM: K'jaan kaji langkah larang semua penerbangan dari China

HARIZ MOHD



Kerajaan sedang meneliti langkah melarang semua penerbangan dari China ke Malaysia, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau ditanya sekiranya Putrajaya akan mengikuti langkah kerajaan negeri Sabah dan Sarawak yang diumumkan awal hari ini untuk melarang sementara semua penerbangan yang berasal dari China.

"Belum ada keperluan. Kita buat kajian sama ada perlu kita hentikan semua penerbangan dari china atau cuma dari Wuhan dan wilayah Hubei saja," jelas perdana menteri.

Mahathir bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama PM bersama rakan strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Terdahulu hari ini, Borneo Post melaporkan Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew mengumumkan negeri itu memutuskan untuk menggantung sementara semua penerbangan berjadual dan pesawat sewa dari China ke Sabah.

Menurut Liew, perintah penggantungan perjalanan itu berkuatkuasa serta-merta dan keputusan tersebut dibuat demi kebajikan rakyat.

Pihak berkuasa Sarawak juga telah mengeluarkan suatu perintah yang tidak membenarkan pelajar dari China memasuki negeri tersebut.

Menurut Berita Harian, jawatankuasa pengurusan bencana negeri Sarawak menasihatkan semua pelajar China yang baru pulang dari negara mereka terutama dari wilayah Hubei, untuk mengkuarantin diri mereka di rumah.

Sementara itu, pada majlis sama, Mahathir mengingatkan kira-kira 1,000 hadirin mengenai pentingnya merapatkan jurang pendapatan antara penduduk di kawasan luar bandar dan bandar.

Menurutnya, inilah sebabnya kerajaan memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di mana golongan miskin diberi peluang untuk meningkatkan pendapatan dan penghidupan mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata, penerima projek dan bantuan kerajaan tidak sepatutnya menyalahgunakannya dan mengambil jalan pintas keuntungan dengan menjual projek tersebut kepada pihak ketiga.

Menurut Dr Mahathir budaya 'ali baba' inilah yang telah melanda inisiatif kerajaan sebelum ini di bawah Dasar Ekonomi Baru.

Tegasnya, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan amalan sedemikian lagi.

Mereka yang didapati meluluskan projek mereka kepada pihak ketiga akan melihat kontrak mereka dibatalkan, kata perdana menteri.

"Inilah sebabnya kami ingin memastikan semua kontrak dan peluang digunakan dengan betul.
Sekiranya kami dapati bahawa (kontrak) dijual, kami akan mengambil semula peluang ini.

"Ini merupakan salah satu perkara yang menjadi penghalang kepada (kejayaan) dasar kerajaan," kata Mahathir.





Keluar sekarang, tak perlu tunggu rakyat tolak UEC – Ridhuan

Wartawan MalaysiaGazette
Ridhuan Tee Abdullah
Ridhuan Tee Abdullah


KUALA LUMPUR – Jika kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), maka ia adalah seperti mengiktiraf komunis kerana itu adalah perjuangan pertubuhan-pertubuhan kerajaan (NGO) yang menolak pembelajaran tulisan Jawi.

Lantaran itu, Pensyarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr Ridhuan Tee Abdullah merayu kepada Menteri Pendidikan, jangan sama sekali menerima UEC, kecuali UEC sedia patuh kepada semua ketetapan kerajaan.

Menurut beliau, jika UEC diiktiraf, inilah kemenangan besar kepada jelmaan Parti Komunis Malaya (PKM), justeru, kerajaan perlu bertegas dalam soal ini.

“Jangan sama sekali mengiktiraf perjuangan komunis selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ridhuan berkata, UEC tidak boleh diiktiraf kerana ia sendiri memilih untuk keluar daripada sistem tetapi kemudian mahukan kerajaan mengiktirafnya.

Selain itu, sistem pendidikan tersebut dikelolakan oleh NGO komunis ini sendiri, yang mana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia apabila ada pertubuhan tidak menjunjung agenda bernegara.

Lagipun, dakwanya,  UEC juga tidak pernah patuh kepada arahan kerajaan.

“Mana ada dalam dunia, sijil dikeluarkan oleh NGO, tanpa melalui Lembaga Peperiksaan,” ujar beliau.

Seterusnya, jika kerajaan iktiraf, kata Ridhuan, bermakna kerajaan tidak berlaku adil kepada sekolah aliran kebangsaan yang mengikut sistem.

Termasuk juga tidak berlaku adil kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) yang berada dalam sistem sedangkan NGO-NGO berkenaan yang berkeras mahu berpisah daripada SMJKC.

Menerima UEC juga bercanggah dengan Perlembagaan.

Berikutan itu, Ridhuan meminta kerajaan mengharamkan kewujudan NGO-NGO yang bersikap rasis ini.

Mengulas kenyataan DAP yang mengancam mahu keluar daripada kerajaan jika UEC tidak diterima, Ridhuan berkata, parti itu tidak perlu tunggu sehingga rakyat menolak UEC, sebaliknya boleh keluar sekarang.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai berani dan tidak beradap langsung untuk disampaikan kepada Menteri Pendidikan, yang kini dipegang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dalam hati saya berkata, Alhamdulillah, tak perlu tunggu. Keluarlah sekarang juga. Saya nak sangat melihat, ultra kiasu ini angkat kaki,” katanya. – MalaysiaGazette

14 penduduk Wuhan dihantar pulang

Nurul Hidayah Bahaudin
 
 

EMPAT BELAS warga China dari Wuhan yang tiba di negara ini dengan menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 28 Januari lalu sudah dihantar pulang ke negara asal.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu diambil berikutan langkah kerajaan yang menghalang pelancong dari Wuhan serta Wilayah Huibei, China bagi mengelak penularan koronavirus baharu di negara ini.

“Hasil semakan dokumen dilakukan petugas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di KLIA mendapati 14 individu berkenaan berasal dari Wuhan, China. Justeru, pihak JIM mengeluarkan notis ‘Not To Land’ kepada semua individu yang seterusnya dihantar pulang.

“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang digunapakai, pelawat dari Wuhan dan Wilayah Huibei tidak dibenarkan masuk melalui semua pintu masuk ke negara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, langkah keselamatan sempadan juga dititikberatkan pihaknya memandangkan Malaysia mempunyai kawasan sempadan yang luas termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kita banyak berdepan dengan kemasukan pelancong dari luar negara di setiap pintu masuk akan melalui pemeriksaan.

“Sekiranya ada warga asing yang masuk secara haram, mereka juga akan diperiksa dan dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan bahawa ada tujuh kes penyebaran berita palsu berkaitan virus berkenaan diambil tindakan oleh pihak polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Orang ramai diingatkan supaya tidak memutarbelitkan fakta dan menyebarkan berita palsu mengenai virus berkenaan di media sosial kerana tindakan itu boleh mengakibatkan masyarakat panik serta takut,” katanya.



Kerana fitnah dan persepsi ingin tukar k’jaan?

Oleh: DR RIDUAN MOHAMAD NOR
 
 

BEGITU galak sekali avatar PH terutama penyokong PAN menyerang Kelantan hatta yang berstatus ustaz. Kelantan ditohmah membazirkan duit rakyat dan menyalahgunakan peruntukan Pusat membeli kereta Mercedes untuk Menteri Besar serta dibayar bonus RM50k kepada setiap Exco kerajaan. Paralel dengan serangan di pelbagai penjuru, anak-anak muda terutama pengundi kali pertama diseru untuk menukarkan kerajaan Kelantan dalam PRU15. Sabar dulu anak muda, Kelantan adalah cermin yang berdiri bagi tanah air ini, memantulkan contoh yang akhirnya ditiru oleh kerajaan Pusat dan negeri-negeri lain di Malaysia.

30 tahun PAS memerintah tanah serendah sekebun bunga yang terkenal dengan keunikan budaya dan merupakan jantung hati orang Melayu negara ini. Menghampiri tiga dasawarsa yang penuh dengan kekangan dan serangan bertali arus daripada musuh dan pesaing. Serambi Makkah ini mendapat reputasinya kerana menjadi pusat pendidikan Islam yang tersohor dalam abad ke 19 dan awal abad 20. PAS berjaya merengkuh Kelantan dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1959 dengan tokoh-tokoh besar besar PAS bertanding di Kelantan seperti Prof. Zulkifli Mohamad, Haji Ahmad Prai dan tokoh-tokoh lain. PAS kehilangan Kelantan dalam pilihan raya tahun 1978, bahkan hanya berjaya bertahan hanya dengan dua kerusi DUN sahaja. PAS terus bergerak, merancang, mengukuhkan pentarbiahan ahli, menggerakkan kesedaran awam untuk kembali menyokong PAS.

Aktivis PAS Kelantan dengan pelbagai latarbelakang pendidikan dan sosio ekonomi terus menggempur Kelantan, negeri yang juga terkenal dengan bangsal tomoi, kemeriahan kedai kopi dan keunikan budaya. Nama-nama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Zakaria Ismail, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Mawardi Ahmad, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Wan Mustapha Wan Rusdi, Ustaz Omar Mohamad, Pak Suhail, dan ratusan tokoh-tokoh penggerak parti. Kelantan disuburkan dengan kuliah-kulipah ilmu, apatah lagi dengan simbahan kebangkitan Islam yang sedang merajai fenomena permulaan abad 15 Hijrah. Tidak sedikit aktivis PAS yang mendekam dalam ISA di zaman Dr Mahathir dalam dekad 80-an, antaranya seperti Ustaz Bunyamin Yaakob, Saudara Zainudin Abdullah, Kamaruzaman Ismail dan lain-lain lagi. Tekanan dan penindasan kepada PAS Kelantan seolah menyuburkan baja perjuangan, ditambah dengan perisa perbalahan dalaman Umno, krisis pemimpin Umno dan istana Kelantan maka mempercepatkan kejatuhan Umno dalam pilihan raya tahun 1990.

Pilihan Raya Umum pada tahun 1990 telah memberikan kejutan yang besar kepada politik negara ini apabila telah berjaya menguasai semula Kelantan setelah tewas pada tahun 1978. Gelombang politik yang agak panas semenjak tahun 1987 telah menyebabkan Umno sebagai parti teras orang Melayu telah berpecah dua apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Semangat 46. PAS telah bergabung dengan Semangat 46 dan dua buah parti lain iaitu HAMIM dan Berjasa. Permuafakatan politik ini dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan telah berjaya memenangi negeri Kelantan dengan menyapu bersih semua kerusi Dewan Undangan Negeri dan kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1990. PAS yang telah memenangi kerusi yang terbanyak telah mencadangkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sebagai Menteri Besar Kelantan.

Pelantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang tokoh pendidikan telah merancakkan perkembangan pendidikan Islam di Kelantan dan negeri itu cuba dipopularkan kembali dengan gelaran ‘Serambi Makkah’. Tuan Guru Nik Abdul Aziz seorang tokoh yang sangat memberikan perhatian yang besar dalam memperkasakan pengajian Islam sama ada formal atau tidak formal. Beliau akan sentiasa bercakap mengenai keperluan pendidikan Islam untuk membentuk masyarakat yang memahami Islam. Dalam pembentangan belanjawan negeri Kelantan, belanja pengurusan sekolah YIK sentiasa diberikan keutamaan.

Sebagai langkah meningkatkan mutu sekolah agama, kerajaan negeri telah memberikan peruntukan besar kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK), berbanding dengan agensi-agensi kerajaan yang lain. Peruntukan ini ditambah dari setahun ke setahun. Apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan, perhatian kepada sekolah–sekolah agama diberi keutamaan. Kerajaan Kelantan memberikan perhatian istimewa kepada pendidikan Islam yang digerakkan oleh sekolah agama rakyat, pondok, tahfiz, termasuk pendidikan pra sekolah seperti PASTI.

YIK telah diberikan peranan yang besar untuk memastikan kelangsungan dan menjana pendidikan Islam di Kelantan, sesuai dengan slogan kerajaan Kelantan, “Membangun Bersama Islam”. Program pendidikan Islam adalah menekankan kepada melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, akidah dan jasmani berdasarkan ajaran Islam. Sekolah-sekolah YIK terbukti mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan awam seperti PMR, SPM dan STPM. Di antaranya ialah Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan yang sentiasa berada di carta teratas sekolah cemerlang di Negara ini.

Di antara institusi pendidikan Islam yang semakin berkembang di Malaysia khususnya di Kelantan ialah sekolah tahfiz al Quran. Di negara ini kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990-an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas di kalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis pendidikan Islam di Negara ini. Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz Al Quran sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan ataupun yang ditubuhkan oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS.

Kerajaan Kelantan memandang serius keperluan untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz berasrama penuh di mana kemasukan pelajarnya ditapis dengan syarat yang ketat. Kerajaan Kelantan akhirnya melalui idea Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Tahfiz Pulai Condong (MTAQ) pada tahun 1992, pelajar-pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya empat ‘A’ dalam UPSR dengan kemampuan membaca al Quran dengan baik akan diterima belajar di sini. Maahad ini akhirnya menjadi sebutan negara apabila sentiasa muncul cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM.

Kelantan semenjak abad ke 19 merupakan negeri yang sangat subur dengan pengajian pondok sehingga digelar ‘Serambi Makkah’. Kewujudan sekolah pondok juga adalah kerana rangsangan berterusan daripada masyarakat sekitar dan kewujudan tenaga pengajar utama yang digelar sebagai ‘tuan guru’. Tokoh pondok ini pula diketahui mempunyai ilmu yang tinggi kerana mendapat pendidikan Islam di luar negara, namun kegemilangan pondok merosot akibat beberapa faktor seperti kehilangan tokoh pondok (Tuan Guru), sikap masyarakat yang semakin berubah pandangan terhadap pondok, kecenderungan untuk menghantar anak-anak ke institusi pengajian Islam formal.

Kerajaan PAS di Kelantan telah memberikan perhatian yang besar kepada pembangunan pondok, bahkan juga oleh pemimpin PAS negeri itu sendiri di mana sebahagian besar pemimpin PAS Kelantan mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan institusi ini. Contohnya, Menteri Besar Kelantan sendiri merupakan pelajar pondok dan anak kepada pengasas madrasah, Baihaqi Atiqullah ialah anak kepada tokoh utama pondok Pasir Tumbuh, Abdul Latif Abdul Rahman merupakan anak kepada pengasas Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Ahmad Yaakob iaitu Timbalan Menteri Besar anak kepada tokoh utama pondok dan madrasah, Nasruddin Daud (ADUN Meranti), Haji Abdul Fattah Harun, Dato’ Nik Amar Nik Abdullah adalah anak kepada tokoh guru pondok dan ramai lagi yang lain.

Di antara institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan oleh kerajaan Kelantan ialah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Kolej ini terletak di Nilam Puri yang bertujuan untuk menampung keperluan pendidikan tinggi yang berteraskan ajaran Islam, melahirkan generasi berpendidikan tinggi bagi menampung keperluan golongan intelektual Islam. Antara matlamat lain penubuhan kolej ini ialah untuk memberi pendidikan tinggi yang secukupnya kepada rakyat negeri Kelantan.

Kelantan telah membangun dengan tidak meninggalkan aspek pembangunan spiritual. Negeri ini telah berjaya melakukan transformasi sosial dengan begitu efektif melalui wahana pendidikan. Legasi almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diteruskan oleh kepimpinan Kelantan pada hari ini. Semoga rakyat Serambi Makkah ini terus mendukung aspirasi “Membangun Bersama Islam” untuk dekad yang mendatang, tiada sebab untuk menjatuhkan kerajaan Islam yang telah membuktikan iltizam dalam melaksanakan tuntutan Ilahi. Kelantan ialah kampus politik terbuka untuk rakyat negara ini.

* Oleh: DR RIDUAN MOHAMAD NOR
(Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pengerusi LESTARI) – HARAKAHDAILY

Kor Ming nafi kenyataan DAP keluar kerajaan isu UEC

Wartawan MalaysiaGazette
MGF01102019_PERSIDANGAN-SERANTAU-IPU10
Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Nga Kor Ming menjelaskan laporan berita yang memetiknya berkata DAP akan tinggalkan kerajaan jika Putrajaya tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak benar.

Timbalan Setiausaha Agung DAP itu menganggap kata-katanya dalam satu temubual itu diambil “di luar konteks”.

Kor Ming berkata, dalam interbiu dengan akhbar Cina, Oriental Daily itu topik utamanya adalah mengenai reformasi Parlimen yang sudah tercapai.

Beliau berkata laporan berita itu hanya berdasarkan satu ayat sahaja.

“Nyata sekali ia diambil di luar konteks dan tajuknya tidak tepat,” katanya kepada FMT hari ini.

Dalam twitternya, Kor Ming menganggap laporan Malaysiakini mengenai interbiu yang sama “sangat mengelirukan” kerana ia mengambil kenyataannya di luar konteks dengan melaporkan petikan daripada temubual yang panjang oleh Oriental Daily.

Dalam pada itu, mengulas mengenai interbiu yang sama, beberapa penganalisis politik menganggapnya salah kerana soal UEC belum diputuskan oleh kabinet.

Ada juga menganggap kenyataan itu sebagai ‘ancaman’ kepada kerajaan dan tidak matang. – MalaysiaGazette

Reaksi awam pada wabak Wuhan serlah mentaliti rakyat





Pada satu pagi pada 1986, bilik berita Utusan Melayu menerima panggilan dari pejabat menteri kesihatan yang memaklumkan beliau akan mengadakan sidang akhbar tergempar dalam masa beberapa jam lagi.

Sebagai pemberita di situ ketika itu, penulis ditugaskan membuat liputan. Ketika itu pejabat Kementerian Kesihatan terletak di Jalan Tugu (nama asalnya ialah Cenotaph Road) iaitu berhampiran Masjid Negara dan Bukit Aman. Menteri ketika itu Mak Hon Kam yang juga pemangku timbalan presiden MCA.

Jalan Tugu bernama sedemikian kerana sebelum Merdeka, batu peringatan peninggalan British yang dipanggil Cenotaph terletak di situ. Kini ia terletak di kawasan Tugu Negara.

Menjelang 1986, MCA dilanda krisis rebutan pucuk pimpinan. Mak Hon Kam yang merupakan naib presiden menyebelahi ketuanya, Neo Yee Pan berdepan Tan Koon Swan yang mencabar kepimpinan. Setelah kalah dalam krisis itu, Mak beserta kumpulan Neo mengambil alih Parti Progresif Rakyat (PPP). Beliau kemudian kembali ke MCA.

Bilik sidang akhbar itu penuh dengan para pemberita akhbar, radio dan televisyen dari dalam dan luar negara. Ternyata ia merupakan perkara besar kerana menteri mengumumkan kes AIDS yang pertama di Malaysia.

Beliau mengumumkan pesakit AIDS itu seorang warga Malaysia yang baru pulang dari Singapura dan dimasukkan wad di Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu. Radio menyiarkan laporan itu pada warta berita pertama selepas sidang akhbar itu. Televisyen pula menyiarkannya dalam siaran beritanya pada malam itu. Sementara semua akhbar harian menyiarkan laporan itu di muka depan pada keesokan harinya. Berita penulis disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan Utusan Melayu.

Berita itu menggemparkan dan menjadi perbualan masyarakat. Ini kerana gejala AIDS itu sendiri menggemparkan dunia. Ia pula dikaitkan dengan golongan homoseksual. Sebelum itu, AIDS menjadi heboh di Amerika Syarikat dan Eropah. Laporan mengenainya sampai di Malaysia melalui berita Reuters, AFP dan AP yang disiarkan oleh media tempatan. Majalah Time dan Newsweek yang diedar di negara ini juga melaporkannya.

Tetapi kebanyakan orang Malaysia hanya bergantung maklumat pada akhbar-akhbar tempatan, radio dan televisyen RTM dan TV3. Tidak ada CNN, BBC, Al-Jazeera, NHK dan Deutsche Welle.

Penyakit AIDS dirasakan jauh dan merupakan penyakit negara-negara Barat yang tidak akan sampai ke Malaysia. Tiba-tiba keluar laporan Singapura mengesan pesakit AIDS pertamanya.

Bila AIDS sampai Singapura, orang Malaysia mula berasa bimbang. Ada antara yang merasakan Tambak Johor itu perlu dikawal supaya tidak ada sesiapa yang boleh membawa penyakit AIDS itu ke Malaysia.

Tetapi ternyata apa yang dibimbangi itu berlaku juga. Seorang penghidap penyakit AIDS menyeberangi Tambak Johor dan menjadi pesakit AIDS pertama Malaysia.

Perasaan bimbang terhadap penyakit ini tidak tergambar dalam media. Baik akhbar, radio dan televisyen mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan dalam membuat laporan mengenai penyakit ini. Perkara utama ialah orang ramai tidak wajar panik daripada sepatutnya.

Walaupun ada orang yang berpandangan berlainan menulis surat pembaca di akhbar, tetapi ia tidak begitu dihiraukan. Tidak ada laporan palsu dan teori konspirasi yang disiarkan oleh media.

Kepercayaan orang ramai terhadap pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan, kerajaan dan menteri adalah tinggi.

Ketika itu perdana menteri ialah Mahathir Mohamad yang pada 1986 menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional dalam pilihan raya umum. Kini AIDS sudah begitu luas berlaku. Walaupun ia masih menjadi ancaman serius pada kesihatan tetapi orang ramai tidak panik.

34 tahun kemudian

Tahun 2020 tentulah berbeza daripada 1986. Perdana menteri walaupun tetap Mahathir tetapi beliau dari Pakatan Harapan. Menteri kesihatan pula Dzulkefly Ahmad dari Amanah. Kedua-duanya kini dan kerajaan menjadi sasaran bertubi-tubi kecaman oleh pengguna Internet terutama di media sosial.
Bertambah buruk lagi penularan laporan palsu yang mengelirukan dan memberi imej buruk pada kerajaan.

Pengkritik terdiri daripada 3 pihak. Pihak pertama ialah penyokong pembangkang yang sememangnya memusuhi PH. Mereka akan sentiasa berfikiran dan mencari keburukan PH dalam apa jua isu. Maka isu wabak virus Wuhan ini durian runtuh bagi mereka.

Pihak ke-2 ialah golongan politik rasis dan keagamaan Melayu-Islam. Mereka akan sentiasa melihat semua isu dari kaca mata rasisme Melayu. Kerajaan PH bagi mereka diteraju DAP. Mereka menentang DAP dari sudut mereka orang Cina. Bila berlaku wabak virus Wuhan, dengan mudah ia dilihat dari sudut perkauman dan keagamaan. Ada kalanya pihak pertama dan kedua itu orang sama.

Sementara pihak ke-3 orang biasa bukan politik atau ideologikal. Malah antara mereka penyokong kerajaan dan pengundi PH. Bagaimanapun mereka terpengaruh dengan laporan-laporan palsu dan termakan dengan hujah mereka. Maka mereka turut mempersoalkan langkah-langkah kerajaan dan segala jawapan Kementerian Kesihatan ditolaknya.

Bagaimanapun, tidak seperti Mak Hon Kam dahulu, Dzulkefly tidak mempunyai masalah dengan partinya. Sebaliknya yang bermasalah ialah Mahathir. Kalau pada 1986, Mahathir tidak mempunyai masalah dengan BN. Tetapi dalam PH, ada isu peralihan kuasa dengan pemimpin PKR, Anwar Ibrahim.

Seperti AIDS, penyakit virus Wuhan masuk ke Malaysia melalui Tambak Johor dari Singapura. Tetapi ada 4 perkara yang membezakan 2020 dengan 34 tahun dahulu.

Pertama, dulu China tidaklah begitu maju seperti pada hari ini dan Malaysia tidaklah banyak berkait dengannya. Tetapi kini bilangan pelancong China begitu besar dengan memberi kesan bermakna pada kedua negara. Malah sudah banyak warga China yang memiliki hartanah.

Ke-2, pengangkutan udara penumpang kini jauh lebih meluas berbanding 1986. Dengan adanya perkhidmatan tambang murah, banyak orang boleh ke mana-mana dalam waktu yang singkat. Maka terdapat banyak penerbangan dari China ke Malaysia. Ia memudahkan pergerakan manusia dan juga mempercepatkan penyebaran penyakit.

Ke-3, landskap teknologi maklumat yang berbeza daripada 1986. Orang ramai tidak lagi bergantung maklumat daripada akhbar, radio dan televisyen. Mereka memperolehi maklumat daripada media digital dan media sosial yang bercampur-baur dengan kepalsuan serta dapat dimanipulasi oleh pelbagai jenis pihak hinggakan kelunturan kepercayaan terhadap pihak berkuasa.

Ini membawa kepada perkara ke-4. Komen-komen negatif dalam media sosial terhadap pihak berkuasa menunjukkan terdapat sentimen besar penolakan terhadap kerajaan. Suasana ini tidak dirasakan pada 1986. PH bukan seperti BN. Tetapi BN sekarang pun tidak sama dengan yang dahulu.

Zaman itu sudah berlalu. Kerajaan akan terus melakukan apa yang difikirkan terbaik tetapi akhirnya pada pilihan raya umum ke-15, rakyat akan memilih siapa yang patut memerintah walaupun banyak dalam kalangan mereka termakan dengan berita palsu dalam media maya.

Dengan mentaliti yang ada ini, kerajaan yang mereka pilih kelak tidak akan lebih baik, malah mungkin lebih buruk.