HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 April 2021

Muhyiddin hendak belanja apa tanpa kelulusan Parlimen

SHAHRIL HAMDAN

 Malaysiakini

ULASAN l Pindaan Ordinan Darurat semalam memberikan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menambah perbelanjaan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri - mengingatkan kita bahawa demokrasi di Malaysia sedang tergendala.

Dari sudut kesahihan dan keabsahan pindaan ordinan ini, tiada pertikaian. Benda sudah berlaku. Kerajaan ada kuasa tersebut dan jelas mereka tidak segan hendak menggunakannya.

Tetapi belum ada sebarang penjelasan apa tujuan mereka "bypass" atau membelakangkan Parlimen dan DUN?

  • Hendak belanja beli laptop untuk Pembelajaran di Rumah (PdPR)?
  • Menjamin peluang kerja untuk ratusan ribu anak muda, termasuk yang akan tamat pengajian? Belum jelas apa laporan Majlis Pekerjaan Negara yang agak sunyi dalam KPInya mewujudkan 500 ribu pekerjaan.
  • Menarik pelabur dari Korea Selatan dan Jepun? Bagaimana mengurus keyakinan pelabur yang semakin merudum untuk melabur dalam negara yang menghentikan fungsi semak imbang wakil rakyatnya?
  • Mempercepat pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik?

Meskipun sudah terlepas tanggungjawab prosedur demokrasi berparlimen buat masa sekarang, kerajaan wajar mengambil tanggungjawab moral untuk sekurang-kurangnya memaklumkan perancangan perbelanjaan tambahan.

Sepatutnya kalau perancangan itu baik, ahli-ahli Parlimen pun akan luluskan. Tapi sekarang dengan pindaan ordinan, tak perlu takut. "Confirm" boleh belanja.

Maka, jelaskanlah kepada umum apa perancangan perbelanjaan itu. Barangkali kerajaan boleh mempertimbang komentar dan kritikan membina ke arah penambahbaikan - sepertimana Belanjawan 2021 tempoh hari.

Akhirnya, kuasa masih di kerajaan - tetapi bukalah sedikit ruang akauntabiliti.MALAYSIAKINI


(*) SHAHRIL HAMDAN merupakan ketua penerangan Pemuda Umno.

Shahrir: 'PRU15 di Perlis menarik, kalau ikut kehendak nafsu Shahidan'

MALAYSIAKINI

image placeholder

Sekiranya Umno Perlis akan bersama PN dan tidak dengan BN pada PRU15, maka langkah itu akan membuka satu keadaan politik baru, kata veteran Umno Shahrir Samad.

Dia mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Shahidan Kassim semalam yang mencabar keputusan Majlis Tertinggi bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Bersatu menjelang pilihan raya akan datang.

"Maknanya, Shahidan dan gengnya dari Umno Perlis akan bertanding sebagai calon PN dan guna lambang PN. Agaknya, PAS Perlis pun akan ikut sama, iaitu bertanding tanpa logo PAS.

"Sebaliknya, calon-calon Umno yang tidak ikut Shahidan akan pula bertanding sebagai calon BN dan guna lambang BN.

"Ia akan jadi tiga penjuru. Menarik, kalau ikut kehendak nafsu Shahidan," kata Shahrir pada hantaran di media sosial malam tadi.

Shahidan menegaskan Umno Perlis berpendirian tetap akan berunding dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

"Kalau Perlis buat keputusan, mereka (Umno pusat) nak buang Perlis, maka buanglah," katanya yang dilantik pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) sejak Oktober tahun lalu oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Shahidan yang juga Pengerusi Perbadanan Perumahan Malaysia mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menyatakan bahawa majlis tertinggi parti itu telah mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Keputusan itu dijangka dimuktamadkan pada perhimpunan agung Umno yang akan diadakan pada 27 Mac nanti.

'Banyak lagi bahagian Umno nak kerjasama Bersatu'

Sebelum ini, bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Annuar Musa pada 6 Mac lalu membayangkan lebih banyak lagi bahagian parti itu atau kepimpinan peringkat negeri bakal mengambil pendirian untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu.

Setakat ini, Umno Perlis dan Sabah menyatakan pendirian mereka yang bertentangan dengan kecenderungan rasmi MT Umno.

Ia juga berlaku sesudah Ahmad Zahid mengutus surat kepada Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, menyampaikan keputusan MT Umno menamatkan kerjasama dengan PN pada PRU15.

Zahid dikatakan bakal berdepan dengan lebih banyak kesukaran untuk membawa agenda yang dinyatakan Umno sebelum ini.

Umno Perlis pernah mempunyai sejarah bertembung dengan keputusan kepimpinan pusat setelah sembilan Adun BN tidak menghadiri majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis pada tahun 2018.

Ini selepas, dilaporkan bahawa Umno Perlis tidak setuju dengan keputusan Umno pusat mencalonkan Azlan Man sebagai MB negeri.

Shahidan juga merupakan pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional di Dewan Rakyat walaupun BN dan Umno bukan anggota dalam gabungan PN.

2023 tahun ‘sesuai’ adakan PRU-15

Siti Hafidah

Selesaikan kes mahkamah bekas menteri dahulu, pastikan pemimpin politik isytihar harta

BANGI – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya sesuai dilaksanakan selepas kes mahkamah yang membabitkan bekas menteri dan beberapa pemimpin tertinggi pelbagai parti politik diselesaikan terlebih dahulu.

Meskipun memakan masa bertahun-tahun, saranan itu dilihat wajar supaya rakyat dapat menilai siapa calon yang benar-benar layak untuk diberikan mandat bagi memimpin negara.

Ahli Jawatankuasa Pusat BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim turut menggesa semua menteri Kabinet, Ahli Parlimen serta semua pemimpin tertinggi parti-parti politik di Malaysia mengistiharkan harta mereka.

Bahkan katanya, pihak berkenaan perlu disiasat jika ada sesuatu yang mencurigakan atau pertentangan dengan undang-undang negara.

“Setelah tiba penggalnya, semua parti politik buat pemilihan masing-masing. Biar ahli parti memilih pemimpin berdasarkan cadangan ini secara bebas dan tidak tergesa-gesa.

“Kemudian baharulah dibuat PRU-15. Supaya kita tahu siapa yang telah diberikan mandat yang sebenar oleh parti masing-masing.

“Siapa yang benar-benar berwibawa berdasarkan rekod integriti dan kemampuan memimpin negara masing-masing,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Susulan polemik politik yang melanda negara kini, Ir Lukman Al Hakim menganggarkan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun bagi melaksanakan cadangan solusi tersebut.

“2023 adalah tahun yang praktikal untuk melengkapkan semua cadangan ini,” katanya.

Undi pemimpin berintegriti

Siti Hafidah

Mereka yang gagal dalam integriti akan tenggelam dalam cabaran

BANGI – Rakyat memberi kepercayaan kepada pemimpin bukan kerana takut akan kezaliman atau menerima sogokan, sebaliknya atas dasar integriti.

Dalam konteks ini, pemimpin berintegriti disegani dan hebat jati dirinya kerana bertakwa kepada Allah SWT dengan beriman dan budiman yang disebutkan dengan (‘adalah) mengikut istilah politik Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hal yang tersebut kerana ilmu dan sokongan rakyat boleh dibeli, dibuli, ditipu dengan slogan dan manifesto serta janji bohong.

Tegasnya, rakyat yang mengundi dan memilih pemimpin juga mestilah berintegriti, bukan semata-mata berdasarkan faktor umur, malah juga berasaskan kematangan akal dan ilmunya.

“Integriti tidak boleh dibentuk dengan ujian untuk menyerahkan sijil atau ijazah yang bertulis di atas kertas sahaja. Ujiannya perlu melalui proses perjuangan yang mencabar.

“Mereka yang gagal dalam ujian tersebut, akan tersingkir dalam perjalanannya, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, integriti adalah petunjuk kurniaan Allah SWT yang dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Ia merupakan cahaya Allah SWT yang tidak padam, walaupun manusia dilanda dengan pelbagai krisis dan perpecahan, kerana ia lahir dengan petunjuk daripada-Nya.

“Kukuhnya integriti itu laksana teras yang tidak akan musnah dan cahaya yang tidak akan padam, sekalipun dilanda dengan segala ribut taufan dan gelombang lautan yang besar, hatta gempa bumi yang paling kuat.

“Mereka yang gagal dalam integriti, akan tenggelam dalam cabaran yang mengepung kehidupannya dan dalam partinya sendiri serta berlaku krisis nilai diri,” katanya.

Calon PM, TPM daripada UMNO akan diputuskan pada Jun

fazleensafina

‘Kita tak teragak-agak serah semula kepada akar umbi tentu pemimpin’

BANGI – Calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, dijangka akan diputuskan sekitar Jun ini.

Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemilihan kedua-dua calon itu akan dilakukan oleh ahli parti itu sendiri.

“Ramai yang tak putus-putus bertanya siapa calon PM dan TPM dari UMNO (pada) PRU akan datang.

“Saya lihat ini secara positif. Ertinya ramai yang masih melihat UMNO antara parti yang perlu menampilkan calon pemimpin utama negara.

“Suka saya nyatakan UMNO ada caranya sendiri.Usah terlalu khuatir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, UMNO adalah parti yang mempunyai tradisi dan Perlembagaan tersendiri.

Beliau berkata, Perlembagaan UMNO menetapkan bahawa tempoh memegang sesuatu jawatan dalam parti dihadkan kepada hanya tiga tahun sahaja.

Katanya, pemilihan parti yang lalu dilakukan pada 30 Jun 2018, manakala tempoh perkhidmatan jawatan akan tamat pada Jun 2021.

“Sebagai parti yang kuat berpegang kepada peraturan dan amat kuat bergantung pada suara akar umbi, kita tidak teragak-agak untuk menyerahkan semula kepada akar umbi menentukan kepimpinan.

“UMNO akan memilih seorang Presiden dan seorang Timbalan Presiden yang mempunyai segala sifat dan kelayakan yang sesuai memikul tugas sbg PM, TPM bila tiba masanya,” katanya.

Tangguh pemilihan UMNO dulu pun kita kalah PRU, kata KJ

MGF310032021_KBSIMUNISASI_13
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin bercakap ketika di temubual oleh media selepas Majlis Penyerahan Penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan MyVAC KBS-MOSTI di Menara KBS, Putrajaya.Foto FIKRI YAZID

PUTRAJAYA – Langkah menangguhkan pemilihan UMNO pada tahun 2018 telah menjerumuskan parti itu kalah teruk pada PRU-14 dan ia perlu dijadikan iktibar.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata demikian mengulas kenyataan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang berkata pemilihan parti itu sebelum PRU-15 boleh membawa keretakan dan memecah-belahkan parti selain membolehkan calon yang kalah ‘dicuri’ oleh parti lain.

“Ini antara hujah yang dikemukan oleh Datuk Seri Najib tapi saya nak jawab.

“Pada 2018 kita tangguhkan pemilihan parti selepas PRU-14 tapi lingkup (kalah) juga,” katanya dalam sidang media Majlis penyerahan penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan Malaysia Vaccine Support System (MYVAC) di kementeriannya hari ini.

Hadir dalam sidang media itu adalah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, UMNO perlu menyegerakan pemilihan parti itu sebelum PRU-15 untuk menyelesaikan kemelut dalaman yang membelenggu parti sejak beberapa bulan lalu.

Dalam pada itu, Reezal Merican juga turut bersetuju agar Pemilihan peringkat parti diadakan segera.

Ia bagi membuka jalan baharu untuk mencorak hala tuju parti itu di masa akan datang.

“Itu selalunya yang dimainkan tapi kita sudah lalui banyak sama ada sebelum atau selepas ia tetap memerlukan pemilihan.

“Kita asyik sebut bertahun-tahun UMNO parti yang matang maka inilah kita tunjukkan kematangan. Pemilihan ini adalah bagi mencorakkan hala tuju parti dan mengembalikan hak kepada ahli-ahli yang telah sampai tempohnya,” katanya.

Untuk rekod, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan pemilihan parti itu akan diadakan selewat-lewatnya hujung tahun ini. – MalaysiaGazette

Apa pun situasi, Bersatu akan bersama Pas – Muhyiddin

MGF31032021_BERSATU-JOHOR-MEETING11
Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersatu dan Perikatan Nasional Johor di Hotel Zenith, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan terus memandang ke hadapan dalam membuat persiapan menjelang PRU-15.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam masa sama parti peringkat Johor juga turut mengalu-alukan pengukuhan kerjasama dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).

“Ini menunjukkan semangat setiakawan untuk melihat ke hadapan supaya terbentuk jalinan kerjasama kukuh antara Bersatu dan Pas bersama-sama juga lain-lain parti dalam PN seperti Gerakan, SAPP, STAR dan sebagainya.

“Kita juga telah bertekad apa pun situasi kita akan bersama-sama dengan Pas kerana komitmen kedua-dua parti terhadap hala tuju masa hadapan itu amat jelas.

“Apa pun yang berlaku itu soal UMNO tapi dari sudut kerjasama antara Pas dengan Bersatu itu amat jelas termasuk tubuh jawatankuasa bersama, berbincang persiapan PRU-15 dan rundingan kerusi kerana ini yang hendak diutamakan,” katanya yang juga Pengerusi Bersatu Johor.

Terdahulu Muhyiddin  mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor dan PN Johor di sebuah hotel di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Negeri PN Johor berkata, mesyuarat bersama PN Johor hari ini turut membincangkan mengenai rundingan bagi menyelesaikan struktur pembahagian kerusi di Parlimen  di negeri itu.

“Siapa yang akan mengetuai sama ada Bersatu, Pas atau Gerakan ini akan dirundingkan termasuk juga bayangan tentang rundingan kerusi antara parti-parti yang ada dalam PN Johor tapi keputusan nanti muktamadnya akan dibuat oleh pimpinan peringkat nasional,” ujarnya. – MalaysiaGazette

DISYORKAN UNTUK ANDA:

   BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT

Bersatu, Pas perbaharui iltizam, UMNO pula isytihar perpecahan – Annuar

MGF28032021_PAU-UMNO29
Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa semasa menghadiri Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto HAZROL ZAINAL.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa meluahkan rasa sedih dengan sikap partinya yang didakwa mengisytiharkan perpecahan demi perpecahan.

“Biar apa pun reaksi yang cuba ditunjukkan,hati kecil saya tetap merasa pilu dan sedih menatapi kenyataan dua parti politik Melayu memperbaharui iltizam mengikat kerjasama kearah PRU-15 sementara parti saya sendiri mengisytiharkan perpecahan demi perpecahan.

“Mereka begitu konsisten berjuang dan meletakkan agenda penyatuan di hadapan.Nada yang dulunya digarap bersama satu ketika dulu,” katanya dalam status di media sosialnya hari ini.

Dua parti yang memperbaharui iltizam itu merujuk kepada kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

“Apa pun saya tidak akan berputus asa. Dengan saki baki kudrat yg masih ada,saya istiqamah berjuang atas paksi membawa UMNO dalam jajaran asal berpaksikan penyatuan parti parti Melayu bersama parti sahabat yang lain untuk menentang PH (Pakatan Harapan) dan yang bersama mereka,” katanya.

Menurut Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, hubungan baik dan gerak perjuangan akan diteruskan dengan semua 13 parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Tidak mungkin bergerak sendirian, apa lagi bertempur sesama parti Melayu yang hanya menguntungkan parti sosialis, DAP dan liberalis, PKR. Insya Allah kita terus berjuang,” katanya.

Sebelum itu, dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu selain PKR dan DAP dalam PRU-15.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan antara pemimpin UMNO yang dikriti hebat oleh pimpinan dan perwakilan partinya kerana menganggapnya pro Bersatu di dalam parti.- MalaysiaGazette

Hadi, Muhyiddin bertemu kukuh kerjasama hadapi PRU-15

  KHAIRULANUAR YAHAYA

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menyatakan komitmen itu selepas mengadakan pertemuan semalam.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pertemuan itu dibuat berikutan senario muktahir politik negara.

Dalam satu kenyataan, mereka berkata, selain mengukuhkan kerjasama terdapat tiga lagi ketetapan diambil dalam pertemuan itu.

Bersatu dan Pas bertegas menolak sebarang bentuk penjajaran baru untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU-15 terutama yang melibatkan Pakatan Harapan dan sekutunya.

Kedua-dua parti selaku parti pengasas utama Perikatan Nasional akan menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat.

Jawatankuasa itu akan merangka strategi dan halatuju PN khusus bagi menghadapi PRU-15 termasuk rundingan pengagihan kerusi.

“Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dimuktamatkan secara kolektif dalam kalangan semua parti komponen,” katanya.

Kedua-dua parti itu dalam masa yang sama melahirkan komitmen untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk.

Bersatu dan Pas bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendokong konsep tersebut dan menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang telah sedia terjalin.

Kedua-dua parti itu juga menolak sebarang percubaan menggugat kerjasama Perikatan Nasional yang dibina secara bersama.

“Bersatu dan Pas menyeru semua pertubuhan dan persatuan Melayu, Islam dan Bumiputera terutamanya dan rakyat Malaysia yang cintakan negara agar bersatu hati untuk bersama-samaberjuang dalam saf yang sama demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang,”katanya.

Pertemuan Abdul Hadi dan Muhyiddin berlaku beberapa hari selepas Persidangan Agung UMNO 2020  berlangsung di Pusat Dagangan Dunia pada Sabtu dan Ahad lalu.

Persidangan itu membuat keputusan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 nanti.

Perwakilan UMNO telah memberi mandat kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Tertinggi UMNO untuk memilih tarikh bagi menarik balik kerjasama dengan Bersatu.-SM