HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Oktober 2007

Penel bebas perlu dibubarkan bukan tangguh mesyuarat

KUALA LUMPUR - Penal bebas yang menyiasat kesahihan klip video perbualan VK Lingam mengenai pelantikan hakim perlu dibubarkan dengan segera kerana tiada kewibawaan dan kredibiliti.

Perkara tersebut dibuktikan lagi apabila penal itu menangguhkan mesyuarat keduanya yang dijadualkan berlangsung pada pagi semalam di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali berkata demikian ketika mengulas penangguhan mesyuarat yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Haidar Mohd Noor.

Dua lagi anggota penal itu ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mahadev Shankar dan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Lee Lam Thye.

Mesyuarat itu dipercayai ditangguhkan kerana Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak dapat menyiapkan siasatannya terhadap klip video Lingam itu.

Walau bagaimanapun, tarikh penangguhan mesyuarat itu masih belum ditetapkan lagi dan panel itu diberi tempoh sebulan untuk menyiasat kesahihan klip video tersebut.

Mesyuarat yang kedua itu sepatutnya berlangsung antara anggota penal dengan BPR, Pejabat Peguam Negara dan pihak polis untuk mengumpulkan maklumat.

Menurut Syed Husin, jalan terbaik yang perlu diambil adalah penal itu sepatutnya dibubarkan dan bukan hanya menangguhkan mesyuarat mereka yang menyebabkan siasatan terhadap krisis kehakiman negara terus tertangguh.

“Pembubaran penal itu seterusnya perlu diganti dengan penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes klip video ini,” kata beliau.

Jelasnya, sejak pendedahan klip tersebut KeADILan dari awal lagi mendesak kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat krisis yang berlaku dalam badan kehakiman itu.

Beliau juga menegaskan bahawa sejak dari awal lagi KeADILan menolak penubuhan penal bebas yang diumumkan oleh kerajaan pada 26 September lalu untuk menyiasat klip video perbualan Lingam dengan Ketua Hakim Negara, Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada tahun 2000 mengenai pelantikan hakim.

Penal tersebut yang memulakan mesyuarat pertamanya di pejabat Suhakam pada 3 Oktober lalu mendapat bantahan daripada ‘Jawatankuasa Pemandu untuk Membebaskan Badan Kehakiman’ kerana mereka inginkan suruhanjaya diraja.

Kehadiran Peguam Negara Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Musa Hassan dan Timbalan Ketua BPR Abu Kasim Mohamad di mesyuarat itu dicurigai merupakan satu bentuk tindakan untuk mempengaruhi panel tersebut.

Kerajaan diarah bayar RM2.5 juta !

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan kerajaan membayar RM2.5 juta kepada Abdul Malek Hussin sebagai pampasan selepas beliau didera dan dihina semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1998 lalu.

Mahkamah mendapati, penahanan itu tidak sah dan beliau telah didera semasa dalam tahanan polis itu. Beliau juga dinafikan hak untuk berhubung dengan peguamnya.

Dalam samannya, Malek mendakwa beliau telah diserang secara fizikal dan mental. Beliau mendakwa ditampar, ditendang dan ditumbuk dengan kuat pada kepalanya sehingga pengsan.

Dia juga mendakwa ditelanjangi, makan bahan yang kotor dan didera secara seksual.

Sementara itu, Malek ketika dihubungi berkata, penghakiman ini mengesahkan penderaan terhadap beliau telah berlaku dan bercadang untuk membuat laporan polis baru berikutan keputusan ini.

"Saya mahu pegawai polis yang mendera saya itu didakwa," katanya kepada Siasah.

Malaysia bukan "boleh" tapi "bodoh" - Akhbar Australia
Oleh siasahdaily


KUALA LUMPUR Sebuah akhbar Australia bukannya menyifatkan Malaysia sebagai "boleh" tetapi "bodoh" apabila membelanjakan RM95 juta untuk menghantar rakyatnya di angkasa lepas.

Kolumnis akhbar The Age, Melbourne, Michael Backman dalam tulisannya menyifatkan para pemimpin Malaysia sering berbangga dengan pencapaiannya tetapi apabila ditanya kepada orang luar Malaysia, di manakah Malaysia? mereka tidak akan tahu pun negara kecil itu.

"Thas not Malaysia "boleh", that's Malaysia "bodoh" (stupid)," tulis Backman mengakhiri tulisannya yang disiarkan 15 November 2006 lagi ketika Malaysia sedang mengwar-warkan akan menghantar rakyatnya ke angkasalepas.

Ia disebarkan secara meluas dalam internet selepas Angkasawan Malaysia, Dr Sheikh Muzaffar Shukur dihantar ke ISS menggunakan kapal angkasa milik Rusia baru-baru ini.

Menurut Backman, pemimpin Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) sering menunjuk-nunjuk dengan pencapaian yang diperolehi oleh Malaysia.

Antaranya, Malaysia menggunakan syarikat minyak miliknya, Petronas untuk membina Kuala Lumpur City Centre (KLCC), iaitu bangunan yang tertinggi ketika ia dibina.

"Malaysia sangat berbangga dengan bangunan ini. Padahal mereka hanya membuat sedikit sahaja untuknya.

"Duitnya datang dari bumi (minyak Petronas), juruteranya dikontrakkan kepada syarikat Korea Selatan.

"Bahkan, mereka tidak pun menguruskan kompleks perniagaan yang ada di bangunan ini. Ia diuruskan oleh syarikat Australia, Westfield," tulis Backman dalam tulisannya.

Tentang angkasawan, Backman menulis, rakyat Malaysia itu hanya menumpang kapal angkasa milik orang lain dengan membayar kapal itu seumpama teksi sahaja.

"Apa yang Malaysia dapat dengan menggunakan program angkasalepas milik orang lain sebagai teksi? Sah tiada manafaat teknologi yang diperolehi. Tetapi sudah tentu Malaysia sekali lagi akan berkata 'boleh". Masalahnya mereka tidak, ini bukan program angkasawan mereka," tulis Backman.

Selasa, 16 Oktober 2007

Terbukti Khir Toyo gagal bariskan wakil rakyat Selangor berakhlak

Azamin Amin

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Khir Toyo dilihat gagal membariskan pemimpin dan wakil rakyat yang berwibawa berikutan pelbagai masalah dan salah-laku moral yang melibatkan beberapa pemimpin mengakibatkan rakyat semakin meragui kemampuan BN dalam membimbing rakyat ke arah modal insan seperti yang diuar-uarkan Perdana Menteri selama ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata adalah jelas selama ini bahawa slogan modal insan yang dipopularkan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sekadar ungkapan kata-kata tanpa makna sedangkan pemimpin BN secara kesuruhannya tidak mempraktikkan apa yang dicanangkan kepada rakyat.

"Khir Toyo gagal mengemukakan barisan wakil rakyat Selangor yang baik selama ini. Bagi saya, ia merupakan satu pengkhianatan terhadap rakyat negeri ini yang telah mengamanahkan tanggungjawab untuk membimbing, mendidik dan membawa hal tuju masa depan yang baik kepada mereka," katanya ketika dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.

"Semua pemimpin mesti ada strictly moral standard supaya mereka ini boleh dijadikan contoh teladan oleh masyarakat dan wakil-wakil rakyat ini pula tidak boleh mengabaikan tanggungjawab mereka sesuka hati," katanya ketika diminta mengulas dakwaan salah-laku tiga 'anak buah kesayangan' Dr Khir Toyo.

Menurut sumber, antara yang terbabit dengan salah-laku moral itu ialah Ahli Dewan Negara, Senator Datin Paduka Norhayati Onn, anggota Exco Wanita Umno Malaysia Ahli Parlimen Gombak, Dato' Dr Rahman Ismail. Gambar intim mereka berdua, dalam keadaan yang mencurigakan, yang diambil di tiga buah hotel berasingan, kini hangat diperkatakan apabila ia disebarkan secara meluas.

Manakala wakil rakyat yang ketiga ialah Ahli Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib juga disyaki berkelakuan tidak sepatutnya yang dilihat boleh menjejaskan imejnya sebagai seorang Ketua Wanita Umno bahagian dan kedudukannya sebagai seorang isteri, di sebuah hotel di ibu kota pada awal pagi 26 Ogos lalu.

Yang ironinya pihak yang "membongkar" salah-laku moral dua wakil rakyat Wanita Umno itu adalah suami masing-masing, melalui laporan polis dan afidavit yang dikemukakan. Justeru, kesahihan dakwaan berkenaan lebih mudah untuk dipercayai.

Sebelum ini, Adun Pelabuhan Klang Dato' Zakaria Mat Deros telah didakwa menyalahgunakan kuasa dan harta termasuk mempunyai pelbagai masalah yang boleh dikaitkan dengan elemen salah-guna kuasa, sungguhpun 37 tuduhan terhadapnya telahpun digugurkan.

Zakaria, menjelang Aidilfitri lalu, mendedahkan kepada masyarakat bentuk "istana" yang dibinanya, yang makin menimbulkan syak bahawa beliau sebenarnya mempunyai sumber pendapatan yang dipertikai. Difahamkan Zakaria mempunyai hubungan cukup rapat dengan Perdana Menteri meskipun Khir tidak begitu menyenanginya.

Walaupun dibayangkan pemimpin-pemimpin bermasalah ini bakal digugurkan daripada menjadi calon dalam pilhan raya umum akan datang oleh Khir Toyo, itu bukanlah satu penyelesaian yang betul dalam menangani gegajal rosak akhlak di kalangan pemimpin.

"Tidak memadai hanya sekadar pecat atau menggugurkan mereka dan akhirnya kesalahan mereka itu didiamkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan tegas. Ini bukan caranya untuk sebuah parti politik seperti Umno yang kononnya juga turut memperjuangkan Islam menangani kemelut salah-laku moral pemimpinnya," kata Khalid Samad lagi.

Ternyata selama ini BN mahupun Umno gagal mempamerkan imej yang baik di mata masyarakat berikutan tidak seriusnya mereka dalam membanteras segala salah-laku baik moral, kuasa dan rasuah yang berlaku di kalangan pemimpin mereka.

"Khir Toyo berada dalam keadaan tidak selesa kerana beliau sendiri pernah mempunyai masalah dari segi pengambilan tanah, isu setinggan dan pelbagai isu lagi yang perlu segera ditangani," tanbah Yang Dipertua PAS Shah Alam itu.

"Kegagalan BN ada hubung-kaitnya dengan dasar mereka selama ini makin rapuh dan dicurigai ramai. Dasar mereka sekadar mementingkan diri dan kelompok mereka sendiri, bukannya merujuk kepentingan rakyat jelata," katanya.

Dalam pada itu, Khalid turut mengucapkan 'Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin' kepada semua pendokong perjuangan Islam dan menyarankan agar semua pihak mempertingkatkan pengorbanan demi memastikan kemenangan Islam.

Pelampau Umno buang banner selamat hari raya PAS ke dalam longkang

Basiron Abdul Wahab


KUALA LIPIS (Hrkh)- PAS Cameron Highlands kesal dengan tindakan anasir "pelampau" yang cuba mewujudkan ketegangan di kalangan penyokong PAS-Umno dengan membuang "banner" PAS ke dalam longkang di Felda Sungai Koyan, dekat sini.

Yang Dipertuanya, Ustaz Ahmad Ludin percaya, tindakan itu dilakukan oleh pelampau Umno yang lahir daripada kursus-kursus anjuran parti itu.

Katanya, golongan itu diasuh supaya membenci parti-parti lain selain Umno dan parti komponen Barisan Nasional. Justeru, apabila melihat "banner" PAS terpampang di mana-mana, ia menyakitkan hati mereka lalu bertindak melulu dengan membuangnya.

"Bagi golongan itu, hanya BN-Umno sahaja yang berhak mempamerkan "banner" bagi mengucapkan selamat hari saya kepada rakyat di negara ini.

"Saya pasti apa yang dilakukan pelampau Umno itu kerana asuhan daripada pemimpin Umno. Walhal PAS juga berhak untuk mengucapkan selamat hari raya buat umat Islam di negeri ini. Tiada sebab kami dihalang daripada berbuat demikian," katanya.

Justeru, apabila terlihat gambar dan ucapan selamat hari raya daripada pemimpin PAS menimbulkan semacam "fobia, kehairanan dan sakit hati" kepada golongan pelampau Umno itu.

Menurut Ahmad, beliau amat bimbang provokasi golongan itu membangkitkan kemarahan di kalangan penyokong PAS pula.

Ini kerana Umno turut meletakkan "banner" sama seperti PAS di kawasan strategik seperti di persimpangan jalan utama dan sebagainya.

Katanya, perkara itu telah dinyatakannya kepada pemimpin kanan Umno yang menghubunginya baru-baru ini.

Difahamkan Umno telah menubuhkan pasukan pemuda elitnya yang boleh dikenali kerana memakai gelang warna kuning berlambang Umno di tangan.

Adalah dipercayai pemuda-pemuda ini telah diberi latihan tertentu "ala pemuda tahan lasak" dahulu.

Selain itu Umno juga telah menguasai pertubuhan Melayu tertentu yang dipanggil pemimpinnya dengan panggilan "abang long" atau "abang ngah" seperti terdapat dalam cerita kongsi gelap Cina.

Ahad, 14 Oktober 2007

KOTA PORTUGIS DIBINA SEMULA SELEPAS 50 TAHUN MERDEKA

Oleh: Mas Joko


MELAKA - Dibina oleh Portugis, diperkukuhkan oleh Belanda, dimusnahkan oleh Inggeris dan dibina semula oleh Kerajaan Malaysia' itulah catatan yang tertera di depan tapak pembinaan semula Kota Portugis berhampiran Muara Sungai Melaka.

Apabila membaca catatan tersebut saya termangu sebentar dan hampir menitiskan airmata mengenangkan kebodohan anak bangsaku yang begitu berbangga mengagungkan penjajah walaupun mereka telah lama pergi meninggalkan negara kita.

Saya begitu kesal dengan tindakan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) dan Kerajaan Negeri Melaka untuk membina semula Kota Portugis dengan peruntukan RM12.9 juta setelah mendapat kelulusan dari kabinet baru-baru ini.

Ia tidak perlu diberi peruntukan jutaan ringgit bagi pembinaanya semula kerana hanya akan menaikkan semula imej penjajahan Portugis seterusnya menghina bangsa Melayu Islam yang telah mengecapi kemerdekaan 50 tahun yang lalu.

Apakah mereka sudah lupa dengan perjuangan nenek moyang kita dahulukala yang berjuang bermati-matian untuk menghalau penjajah dari bumi Melaka yang bertuah ini, bukan sedikit bahkan jutaan pahlawan yang telah syahid sejak ratusan tahun yang lalu.

Apa perlu kita membanggakan kesan penjajahan bangsa asing ke atas bangsa kita yang jelas mengaibkan dan menghina bangsa kita, sepatutnya sejarah hitam itu kita kuburkan dan hilangkan terus dari ingatan kita.

Sepatutnya kita berasa malu kerana pernah dijajah pada suatu ketika dulu dan hari ini setelah merdeka kita selayaknya sudah mempunyai azam baru, semangat baru, kekuatan baru serta keyakinan untuk hidup berdikari sebagai sebuah bangsa yang bermaruah dipandang mulia oleh masyarakat dunia.

Sia-sialah pengorbanan para pejuang terdahulu, para pendekar, pahlawan Melayu yang berjuang dengan harta dan nyawa bagi mempertahankan Kota Melaka dari serangan Portugis 1511, seperti pesan orang terdahulu 'Kalau roboh Kota Melaka, Papan di Jawa saya dirikan, Kalau sungguh bagai di kata, Harta dan Nyawa saya serahkan.

Rupanya setelah 50 tahun merdeka dengan mudah tanpa perasaan bersalah pemimpim Melayu Umno yang kononnya ingin membela orang Melayu, mengkhianati perjuangan tersebut dan dengan bangga mengatakan ini sebagai satu cara untuk kita menarik pelancong.

Bukan sekali bahkan beribu kali pejuang Melayu menyerang Kota Portugis untuk menghancurkan dan menghalau penjajah keparat itu tetapi malangnya,
sedikit pun tidak tersentuh di hati sanubari kera dan beruk ini bahawa tindakan tersebut samalah seperti mereka kencing di atas kubur nenek moyang mereka!

Kera dan beruk ini sebenarnya bukan nak sangat mempromosikan Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan kerana banyak cara lain yang lebih menjimatkan kos dan tanpa perlu melukakan atau mengkhianati perjuangan bangsa Melayu boleh dilakukan.

Tapi disebabkan ketamakan, haloba, rakus dan nafsu serakah perut serta bawah perut untuk membolot segala projek, wang rakyat dengan cara penipuan licik, puak kera dan beruk ini sanggup mengadai melacurkan maruah harga diri mengkhianati perjuangan bangsa.

Lihatlah apa yang terjadi kepada projek gila Rahim Tamby Chik dahulu iaitu 'Projek Cahaya dan Bunyi' yang menelan belanja jutaan ringgit bagi menarik kedatangan pelancong tetapi akhirnya siang dan malam menjadi tempat muda- mudi beromen, begitu menjijikkan, mereka kencing di atas kuburan nenek moyang mereka.

KOTA PORTUGIS

Pada awalnya tembok Kota ini dibina oleh Kerajaan Kesultanan Melayu Islam Melaka mengelilingi Istana Raja, ia dibina daripada tanah dan diperkuat dengan batang kelapa dan batang nibung serta pagar kayu.

Manakala Kota Batu ini dibina oleh Portugis setelah menawannya dalam tahun 1511 mengelilingi Bukit Melaka (Bukit St Paul) dan siap pada tahun 1548 dan kota ini diperkukuh semula oleh Portugis setelah serangan Belanda dalam tahun 1605- 1606.

Belanda seterusnya memperkukuhkan lagi tembok kota dan menambah beberapa bastion setelah menawan Melaka pada tahun 1641 termasuklah Bastion Middleburg yang terletak di pintu masuk Sungai Melaka.

Namun hampir keseluruhan Kota Melaka akhirnya dimusnahkan oleh Inggeris dalam tahun 1806- 1807 dan yang terselamat hanyalah sebuah pintu kota yang dikenali A' Formosa.

Kini Kota Melaka ini sedang dikaji dan didokumentari secara komprehensif oleh Jabatan Warisan Negara dan sebahagian tembok kota ini akan dibina semula oleh KeKKWa.

MUNSHI ABDULLAH

Dalam buku Hikayat Abdullah, Munsyi Abdullah (1796-1854) menulis tentang bagaimana Residen William Farquhar (1774- 1839) meruntuhkan kubu Portugis di Melaka pada tahun 1807. Farquhar, seorang jurutera yang hidup sezaman dengan Stamford Raffles, menjadi residen di Melaka antara 1803-1818.

Kata Munsyi Abdullah: "Sebab Inggeris itu terlalu cerdiknya itulah sebabnya dipecahkannya kota ini; kerana jikalau kiranya kota ini dapat ke tangan bangsa lain, nescaya beberapa lama pun diperanginya tiadalah akan alah, oleh sebab demikianlah kukuhnya dan hikmatnya kota ini."

Di kota itu juga, kata Munsyi Abdullah, terdapat penjara untuk menyeksa tahanan.

Beliau menyambung: "Ada pun seri negeri Melaka itulah kota itu. Maka apabila sudah pecah kota itu, maka negeri Melaka tiada berseri lagi, umpama seorang perempuan yang kematian suaminya, tiadalah berseri mukanya.

Akan tetapi sudahlah dengan takdir Allah, itulah alamat dunia ini tiada kekal, yang ada ditiadakan, dan yang tiada diadakan, berubah-ubah adanya."

Salah laku moral tiga 'anak buah' resahkan Khir Toyo

Azamin Amin

KUALA LUMPUR - Desas-desus hangat memperkatakan bahawa sekurang-kurangnya empat Menteri Besar (MB) bakal digugurkan dalam rombakan kabinet bakal diumumkan oleh Perdana Menteri sejurus selepas pilihan raya umum ke-12 berakhir.

Mereka yang disebut bakal digugurkan adalah Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo, Dato' Seri Ali Rustam, Dato' Abdul Ghani Othman dan Dato' Seri Musa Aman yang dikira mempunyai masalah-masalah di negeri masing-masing yang gagal ditangani dengan baik sehingga dianggap menjejaskan nama baik serta imej Barisan Nasional (BN).

Menurut sumber, sungguhpun begitu, biarpun bakal digugurkan, Dr Mohd Khir dijangka akan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar bagi memberikan ruang berkhidmat di peringkat pusat sebagai menteri kabinet.

Cuma ramai berpendapat pertukaran Dr Khir ada kaitan dengan pembangunan negeri Selangor tidak seimbang dan kegagalan beliau menangani Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), termasuk masalah setinggan dan kemiskinan tegar di negeri ini.

Paling meresahkan Khir Toyo ialah dakwaan salah-laku tiga 'anak buah kesayangannya' yang diharap dapat mengangkat Umno Selangor selama ini tetapi telah mencemarkan prestasi dan menjadi bualan hangat masyarakat setempat yang boleh menjejaskan peluang Umno di kawasan tertentu untuk memenangi pilihan raya akan datang.

Menurut sumber, ketiga-tiga mereka yang dimaksudkan ialah Senator Datin Paduka Norhayati Onn yang merupakan anggota Exco Wanita Umno Malaysia yang didakwa terlibat dengan isu kontroversi berhubung gambar intimnya dan dakwaan khalwat dengan Ahli Parlimen Gombak, Dato' Dr Rahman Ismail (orang kuat Khir Toyo) di beberapa hotel yang berbeza sekitar semenjak Disember 2005.

Manakala "anak buah" Khir yang ketiga ialah Ahli Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib disyaki berkelakuan tidak sepatutnya yang boleh menjejaskan imejnya sebagai seorang wakil rakyat, di sebuah hotel di ibu kota pada 26 Ogos lalu.

Menurut sumber, hasil maklumat orang ramai, suami Rozaidah yang merupakan seorang pengurus bank, Radzmi Othman, 47, telah datang ke hotel terbabit kira-kira jam 4 pagi bagi 'menyerbu' bilik yang dipercayai didiami oleh Ketua Wanita Umno Ampang itu dengan dibantu pengurus dan pengawal keselamatan hotel.

Sehingga kini kata sumber, kisah skandal ketiga-tiga pemimpin Umno Selangor ini walaupun berjaya dihidu tetapi sedaya-upaya cuba disembunyikan termasuk mengelak daripada dibicarakan di Mahkamah Syariah mahupun Sivil supaya berpeluang untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Difahamkan Norhayati akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang bagi menggantikan Dato' Zakaria Mat Deros yang mempunyai pelbagai masalah sungguhpun 37 tuduhan terhadapnya digugurkan baru-baru ini.

Laporan polis terhadap tiga pemimpin Umno jadi tanda tanya

Terdapat sembilan laporan polis terhadap Norhayati Onn yang masih tidak diketahui perkembangan terkini dan status siasatan oleh pihak Polis, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Selangor yang dilihat menimbulkan syak dan menjejaskan nama baik mereka yaang wajar dijawab segera yang sehingga kini menjadi tanda tanya umum.

Berikut adalah antara laporan polis yang pernah dibuat oleh suami Ketua Wanita Umno Bahagian Kelang itu, Mohd Suffian Abdul Aziz, di Balai Polis Shah Alam bertarikh 8 Oktober 2006:

"Terkandung di dalam telefon bimbit berkenaan (milik isterinya) ada beberapa gambar-gambar yang tersimpan yang menunjukkan gambar-gambar Dato' Dr Rahman bin Ismail, Ahli Parlimen Gombak, berpelukan dengan isteri saya di dalam bilik-bilik hotel iaitu di Hotel Riverview, Kota Bharu, Kelantan semasa pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, Kelantan dan dalam bilik tidur di Hotel Eastin, Kuala Lumpur."

Ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah Shah Alam 11 September lalu, Suffian mendakwa penarikan itu dibuat semata-mata untuk menutup kes khalwatnya dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Gombak itu.

"Jika kes ini diteruskan, saya ada peluang untuk kemukakan cerita Norhayati dengan Abdul Rahman.Tetapi peluang itu tiada setelah kes ini ditarik balik," katanya.

Beberapa sumber memaklumkan, Norhayati (anak kepada Pengerusi Tetap Umno Malaysia Tan Sri Onn) menarik balik kes tersebut kerana tidak mahu rahsia salah-lakunya tidak terbongkar memandangkan beliau tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana kes mahkamah menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 kerana beliau dikatakan akan bertanding untuk di Pelabuhan Klang menggantikan Dato' Zakaria Deros pada pilihan raya umum akan datang tersebut.

Sumber menyatakan bahawa sudah ada bukti untuk mengaitkan Norhayati dengan kes salah-laku seperti hampir 10 laporan polis dibuat semenjak Disember 2005 yang sehingga kini belum mempunyai perkembangan terkini termasuk beberapa keping gambar intim kedua-dua pemimpin Umno Selangor itu di lokasi hotel yang berlainan.

Manakala berikut adalah cabutan dan petikan laporan Polis bernombor JTRAZAK/005585/07 yang dibuat suaminya Radzmi Othman 47 tahun yang diterima Koperal Azizan Hassan terhadap Ahli Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib disyaki berkelakuan tidak sepatutnya yang boleh menjejaskan imejnya sebagai seorang wakil rakyat, di sebuah hotel di ibu kota pada 26 Ogos lalu.

"... saya mengesyaki bahawa Yasmin (anaknya) tiada dalam bilik tetapi berkemungkinan isteri saya bersama lelaki lain di dalam bilik tersebut, Saya sebagai suami tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik malah beliau meminta waran daripada pihak polis untuk memasuki bilik tersebut dan selepas itu kami semua beredar dari Hotel Crown Princess ..."

"... Saya datang ke balai polis buat laporan kerana tidak puas hati dengan sikap dan tindakan serta kecurangan isteri saya dan mahu rujuk perkara ini ke pejabat agama. Sekian laporan saya."

Pemerhati menjangkakan Dr Rozaidah dan Dr Rahman mungkin tidak terpilih lagi sebagai calon BN dalam pilihan raya ke-12 akan datang.

"Seteru politik masing-masing, dalam Umno sendiri, menunggu peluang untuk mencantas mereka, apatah lagi kedua-duanya dilihat calon bidan terjun dalam pilihan raya lalu," kata sumber, sambil menambah, waktu itu, mereka tidak mempunyai jawatan tinggi dalam Umno bahagian.

Oleh kerana kedua-dua wakil rakyat itu baru ditampilkan dalam pilihan raya 2004, mereka sering dianggap sebagai "orang Khir Toyo".

Justeru, jika Rozaidah dan Rahman dikaitkan dengan pelbagai skandal yang memalukan, apatah lagi dakwaan itu tidak langsung membabitkan pembangkang, ia dikira boleh memalitkan imej negatif kepada Dr Khir, bukan sahaja sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, tetapi juga sebagai "kawan rapat" mereka berdua. -az

Khamis, 11 Oktober 2007

Menantu PM nak jadi PM pada umur 40 tahun

Oleh: Anak Jati Rembau

Dalam mancapai cita-cita untuk menjadi PM pada umur 40 tahun. menantu PM melakukan pelbagai cara dan strategi. Jika di UMNO Wilayah Perseketuan, Norza Zakaria menjadi agennya untuk memastikan UMNO Wilayah Persekutuan sentiasa bersamanya di Terengganu Wan Faridlah orangnya.

Malahan Wan Farid mempunyai tugasan yang lebih besar lagi. Bagi membendung Najib untuk terus kuat didalam UMNO, menantu PM mahu meletakkan orang-orangnya untuk menguasai Kelab Menteri Besar. Kelab Menteri Besar dikatakan paling kuat dalam mennetukan undi yang akan pergi dalam perhimpunan agung UMNO.

Isa Samad menang undi tertinggi sebagai Naib Presiden satu ketika dahulu oleh kerana beliau sudah lama bersama Kelab Menteri Besar. Menantu PM yang sudah menghidu strategi ini mahu memastikan orang-orangnya lepas di dalam Pemilihan Agung UMNO yang akan datang.

Wan Farid adalah orang yang disebut-sebut untuk menggantikan Idris Jusoh pada pilihanraya umum yang akan datang. Patrick Lim (Badawi) adalah orang yang akan mendanai Wan farid bagi memastikan misi ini tercapai.

Salah satu ujian yang diberikan oleh menantu PM kepada Wan Farid ialah Tragedi Batu Burok. Dengan apa-apa cara sekalipun, menantu PM mahu program ceramah yang dianjurkan oleh BERSIH (Gabungan Untuk Pilihanraya Yang Bebas dan Adil) menemui kegagalan. Selain daripada itu menantu PM mahu imej ganas diprojekkan kepada PAS untuk memberi peringatan kepada pegundi Cina agar tidak mengundi pembangkang.

Menantu PM tidak memandang enteng "poll" dan "survey" yang dilakukan oleh Merdeka Center yang mengatakan bahawa pengundi Cina memihak kepada pembangkang. Untuk memastikan bahawa undi pengundi Cina beralih kepada BN, sesuatu insiden harus diwujudkan.

Wan Farid bakal Menteri Besar Terengganu harus membuktikan kepada menantu PM bahawa dia mampu memerintah dan tidak akan mengecewakan. Maka dengan perancangan yang teliti dengan PDRM Terengganu, maka imej ganas kepada PAS dan Isu bakar jalur Gemilang berjaya dijadikan topik perbincangan utama dan isu PDRM menembak rakyat berjaya dikaburkan.

Menantu PM yang dikatakan gembira dengan tindakan pihak polis menembak dua orang penyokong pembangkang memberi jaminan yang Wan Farid akan menjadi Menteri Besar. yang lebih menggembirakan menantu PM lagi ialah apabila pihak Special Branch sudah bersamanya.

Selama ini, kabar angin kuat mengatakan bahawa PDRM bersama Najib dan bukan Pak Lah. Namun kontrak Musa Hassan yang disambung lagi setahun telah mengubah situasi. Wan Farid diberi untuk menjaga negeri yang kaya dengan minyak untuk memastikan Dana menantu PM untuk menjadi PM akan terjamin.

Wan Farid tahu, isu polis menembak penyokong pembangkang di Batu Burok tidak akan mengubah keputusan pilihanraya yang memihak kepada UMNO oleh kerana sikap mudah memaafkan orang Melayu. Beliau yakin sebelum pilihanraya, sehelai kain batik dan RM 50 sudah cukup untuk menjayakan misi menantu PM.

Bersambung akan datang: Siapa pula di Perak, Selangor, Perlis, Kedah dan Johor?

Rabu, 10 Oktober 2007

Perdana Menteri yang hilang....
Oleh: SANG KELEMBAI

Abdullah Hj Ahmad, Perdana Menteri Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang sebagai Perdana Menteri Malaysia setelah 50 tahun Malaysia Merdeka yang suka berterbangan ke sana dan berterbangan ke sini atas nama lawatan kerja dan memaksa kerajaan kalau tidak membeli konon disewa tetapi wangnya atau pembiayaannya tetap dari wang pembayar cukai (rakyat) sebuah pesawat udara yang serba canggih, kalau tidak sepadan dengan Air Force One milik Amerika Syarikat untuk Presidennya, sekurangnya dia bertaraf lima bintang dan khabarnya siap dengan tempat tidurnya.

Mungkin kerana tidak puas, masa yang begitu terhad, pesawat itu digunakan pertama kalinya ke Australia masa sidang Apec, maka ia dipandu jauh sampai ke New York. Pemergian dia sebenarnya melaksanakan sebahagian jadual perayaan 50 tahun Malaysia merdeka dan menyertai Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dalam masa yang sama dia mengambil kesempatan sebagai orang penting Pengerusi OIC-Organisation Islamic Conference dan NAM-Non Aliance Moverment, yang mana kedua-dua Organisasi Antara Bangsa itu diberikan kepada Malaysia kerana ketokohan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mereka bersetuju supaya Malaysia menjadi tuan rumah persidangan dan secara automatiknya menjadi Pengerusi.

Di sinilah nampaknya hebatnya Ahmadinejad, Presiden Iran yang kebetulan ada di New York pergi berjumpa Abdullah Hj Ahmad, maka akhbar-akhbar Malaysia menyiarkanlah berita itu bagi tujuan hendak menunjukkan hebatnya Perdana Menteri Malaysia sehingga Presiden Iran datang dan memeluknya. Abdullah Hj Ahmad tidak perasan sebaliknya dia tidak sedar bahawa Ahmaddnnejad menggunakan pendekatan “ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya”

Semua orang tahu, bahawa fokus atau tumpuan ke semua kuasa besar bukan kepada Abdullah Hj Ahmad yang sudah menjadi “budak” Amerika sebaliknya kepada Ahmadinejad yang kini sangat popular di dunia Islam, kerana telah meletakan dirinya sebagai seorang pejuang yang menghasilkan diri sebagai lambang pejuang hegemoni Barat yang melakukan tidak adil kepada negara - negara Islam dan dia se olah-olah mengulang dua tokoh Asia ia itu Ir Soekarno pada tahun 60an dan Tun Dr Mahathir Mohemad di era 90an.

Secara sinis Ahmaddinejad dengan perlakuan ucapan sama ada di PBB atau di Columbia University boleh memberi maksud dalam masa OIC di Pengerusi oleh Abdullah Hj Ahmad yang telah menukarkan akronim OIC hanya sekadar menjadi “Oh I See” atau ayat mudahnya “Ya Saya Lihat” yang selalu digunakan oleh Abdullah Hj Ahmad setelah mendapat nasihat Rumah Putih di Washington dan jadilah OIC sebagai hanya organisasi yang hanya tekun menyemak, melihat dan paling jauh atau berani sikit mengeluarkan kenyataan yang mengutuk sana dan sini perbuatan Israel atau pembantaian negara Islam. Tiada langsung tindakan yang nyata yang hendak dilakukan.

Inilah padah yang diterima oleh umat Islam khasnya orang-orang Melayu memilih Abdullah Hj Ahmad sebagai pemimpin. Pernah Rasullah s.a.w menyatakan “bahawa Allah mencabut rasa takut dari hati-hati musuh kalian, dan Allah menanamkan “Al-wahnu” dalam hati kalian, maka sahabat bertanya: apa itu Al-wahnu, wahai Rasul Allah? Nabi Muhammad s.a.w menjawab “Al-wahnu” ialah cinta dunia dan takut mati”

Inilah yang menjadi pegangan Abdullah Hj Ahmad walau pun dipuisikan “mencari damai abadi” tetapi hakikatnya luar dari fikiran orang Melayu dan juga beberapa ahli-ahli UMNO bahawa Abdullah Hj Ahmad ada kelainan sebelum dan sesudah menjadi Perdana Menteri, sebagai cucu ulama besar dan anak orang yang beragama nampaknya Abdullah Hj Ahmad sekadar “ular dalam semak” yang bila-bila masa boleh mematuk dan juga membelit orang-orang Melayu.. nauzulbillahzaliq

Betapa ironisnya, di tengah banyaknya orang-orang Melayu yang kelaparan (seperti yang siarkan setiap minggu rancangan “Bersama mu” di Tv3) Orang Melayu menyaksikan banyaknya pemimpin Melayu dari UMNO yang berstatus Menteri dan Menteri Besar menghamburkan kekayaan dan tidak menggunakan pada jalan yang tepat bagi membantu Melayu sebaliknya untuk kekayaan anak, menantu dan adik beradik, seperti yang dilakukan oleh Abdullah Hj Ahmad yang menjadikan Kerajaan sekarang seperti harta emak bapak dia dan wajarlah dipanggil kerajaan hari ini “Kerajaan Tiga Beranak”

Kalau Abdullah Hj Ahmad jenis membaca buku atau sekurangnya dia diberi taklimat oleh “Desk Iran ” Kementerian Luar, sudah pasti bahawa dia dimaklumkan bahawa Ahmadinejad adalah seorang yang mudah hidupnya. Anak seorang tukang besi ini tiba-tiba menjadi seorang yang tersohor bukan sahaja dalam negaranya sendiri tetapi di peringkat antarabangsa, di mana dia tidak menggunakan slogan “Bekerja Bersama Saya dan Bukan Kerana Saya” sebaliknya tanpa bahasa puisi Ahmadinejad hanya berkata dia hanya sekadar “Tukang sapu jalanan dan Pelayan Rakyat".

Dengan slogan itu dalam misi antarabangsanya, dia hanya sekadar dengan nada yang sangat meyakinkan, Ahmadinejad menyatakan “bahawa kini era kebangkitan kaum Mustad’afin (kaum tertindas) dalam melawan kaum mustakbirin (kaum penindas) dan beliau menyambung lagi “semua kita akan berkesempatan menyaksikan tumbangnya dominasi Negara-negara super power, sekali gus menyaksikan kedatangan sang juru selamat yang akan membebaskan umat manusia dari belenggu penindasan, kebodohan dan kegelapan”

Itu sebab setelah hampir dua minggu meninggalkan Malaysia dan berita khabarnya berada di London merasmikan sebuah Universiti tempatan yang membuka cawangan di sana. Di mana Universiti itu telah melatih pelajar-pelajar yang datang dengan dibayar wang atas nama sagu hati, sebenarnya wang itu juga dipanggil rasuah dan pihak MSD - Malaysia Student Deparment bersekongkol mengarahkan semua pelajar MESTI HADIR, jika tidak akan direkodkan.

Lepas perasmian itu Perdana Menteri kita hilang..... Tiba-tiba sudah pulang dan khabarnya dari mengerjakan Umrah di Mekah, Arab Saudi. Agaknya begitu nikmatnya menjadi Perdana Menteri sehingga soal ibadat peribadinya menggunakan kemudahan kerajaan yang dibayar oleh rakyat. Maka marilah kita bertanya dengan Ulama-Ulama khasnya Mufti Perlis, apakah hukumnya seorang pembesar yang menggunakan kemudahan rakyat atas urusan peribadinya menyembah tuhan? Dalam keadaan rakyat dalam negerinya untuk mengerjakan Umrah belum lagi mengerjakan Haji terpaksa menahan selera sepanjang tahun kerana menyimpan wang untuk ke sana, tiba-tiba seorang Perdana Menteri yang keturunan ulama dengan senang hati menggunakan Pesawat Udara yang minyak dan krewnya dibayar oleh kerajaan? Berdosa atau tidak? Atau ada jawapan lain?

Sesudah balik ke Malaysia dan pesawat itu bukan mendarat di Lapangan KLIA-Kuala Lumpur International Airport sebaliknya di TUDM Subang, soalnya adakah Pegawai Kastam bertugas di sana? Kerana sudah pasti bini yang cantik jelita itu akan membeli belah bila berada di London dan Paris , dan juga di New York .. Kebiasaan bila seorang rakyat yang berkunjung keluar negara dan balik melalui KLIA, pihak Kastam akan meminta supaya beg-beg dibuka dan sudah pasti akan ada yang dikenakan cukai walau pun dia hanya sekadar cenderahati untuk keluarga.

Bagaimana pula dengan barang-barang yang dibeli oleh Perdana Menteri dan petugas dia, semenjak berzaman selepas Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri dan Menteri-menteri seperti diberi imuniti pelepas cukai kastam di Airport. Hanya pembantu perlu berkata bahawa beg-beg itu kepunyaan Perdana Menteri dan Menteri. Maka sekali lagi kita kena bertanya dengan Ulama-ulama dan Mufti khasnya Mufti Perlis, apakah hukum dalam konteks Islam, pembesar Islam yang berkemampuan sendiri tidak membayar cukai? Dalam masa rakyat biasa terpaksa membayarnya.

Akhbar Utusan Malaysia telah menyiarkan berita ini - KUALA LUMPUR 6 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pemimpin politik dan ahli Kabinet supaya memberitahu perkara sebenar kepadanya walaupun ia mungkin sesuatu yang sukar untuk diterima oleh beliau.

Perdana Menteri berkata, beliau bersedia untuk mendengarnya walaupun cerita yang paling teruk sama ada berkaitan negara atau dirinya sendiri.

“Saya tidak mahu kita berpura-pura bahawa segala-galanya baik belaka, tak apa jangan bimbang semuanya okey Pak Lah kerana bila orang kata kepada saya jangan bimbang, saya akan lagi bimbang.

“Mereka ini cuba nak bagi saya tenang, kasihan kepada saya dan tak bagi saya susah hati. Beritahu kebenaran walaupun ia menyakitkan kerana seorang Perdana Menteri mesti mempunyai keberanian untuk mendengarnya,” katanya.

Berdasarkan kenyataan itu jelaslah Abdullah Hj Ahmad ini semenjak diserang sindrom gila “Koridor” ini tidak memahami bahawa dia bukan hanya pemimpin kepada ahli politik, dan ahli kabinet sahaja tetapi kepada rakyat. Kenapa dia tak minta rakyat menegur dia, kerana rakyat seperti kumpulan sahabat akan bercakap terus terang.

Kumpulan Sahabat itu mendakwa ini sebagai think tank Abdullah Hj Ahmad dan sebilangan besarnya pencacai dia dan bila tidak tertahan dengan beberapa percakapan orang ramai terhadap menantunya. Bila dibangkitkan oleh kumpulan sahabat maka Abdullah Hj Ahmad dengan bengis dan marah berkata “Kalau you all tak hendak sokong saya tak pa” biar saya dengan Khairy.

Malah terdapat seorang Menteri merasa bingung bila menerima arahan Perdana Menteri untuk memberi keputusan pengambilan hotel Pan Pac PWTC kepada adik iparnya dan bila dirujuk semula kepadanya, maka dia mengarah bagi juga kepada syarikat adik iparnya. Maka akan terdapat kah Menteri yang nak menegurnya.

Itulah percakapan si munafik Abdullah Hj Ahmad dalam soal orang menegur dia. Jika banyak dia bercakap fasal sedia menerima teguran, akan ditulis dialog-dialog dia apa bila berjumpa dengan beberapa Perhubungan UMNO, supaya rakyat yang menyokong Abdullah Hj Ahmad boleh berfikir.

Sang Kelembai: Berkata Muhammad S.A.W. “Barang siapa menguasai perkara kaum muslimin, lalu mempercayakan kepada seseorang, sementara dia tahu ada yang lebih baik daripada orang itu, dia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-nya dan kaum mukminin” Mungkin itu agaknya balasan Allah kepada Abdullah Hj Ahmad sehingga terpaksa ditidurkan selalu dan jarang masuk ke pejabat, sehingga semua rakyat menggagap dia sebagai Perdana Menteri Penglipur lara. Wa hal sebilangan Menteri macam Radhi Sheik Ahmad, Azmi Khalid, Nazri Aziz seperti dikatakan Umar ibn Khattab r.a. “Orang yang mendelegasikan kuasanya kepada seseorang hanya atas dasar suka atau hubung kerabat, sudah mengkhianati Allah dan Rasulnya dan kaum Muslimin”

Selasa, 9 Oktober 2007

Penerbit jamin bekalan buku teks cukup


PUTRAJAYA: Buku teks percuma akan dibekalkan ke semua sekolah di seluruh negara tiga atau empat hari sebelum sesi persekolahan tahun depan bermula, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata, penerbit buku teks turut memberi jaminan bekalan buku teks di kedai buku untuk keperluan pelajar sekolah swasta dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) adalah mencukupi.

"Kementerian terutama Bahagian Buku Teks sudah mengadakan pertemuan dengan semua penerbit buku teks bagi memastikan bekalan buku teks mencukupi dan dapat diedarkan lebih awal sebelum sesi persekolahan 2008 bermula," katanya.

Alimuddin berkata demikian pada sidang media bagi menjelaskan pelbagai isu termasuk berkaitan bekalan buku teks, yuran sekolah, sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), beg berat, penggal persekolahan 2008 dan program angkasawan di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Buku Teks, Abdul Hamid Md Shah dan Timbalan Pengarah (Dasar), Sulaiman Wak.

Penggal persekolahan 2008 akan bermula pada Rabu 2 Januari di Kelantan, Terengganu, Kedah, manakala negeri lain pada Khamis 3 Januari.

Pada pembentangan Bajet 2008, kerajaan mengumumkan keputusan memperluaskan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua murid tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak di semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah menengah agama rakyat mulai 1 Januari depan.

Alimuddin berkata, perluasan skim itu akan memanfaatkan 5.7 juta pelajar berbanding 4.5 juta pelajar sebelum ini dengan kos tambahan sebanyak RM128 juta.

"Ketika ini, kementerian membelanjakan antara RM170 juta hingga RM190 juta setahun untuk membiayai skim berkenaan terutama bagi menggantikan buku teks rosak," katanya.

Sementara itu, Alimudin berkata, PIBG tidak mempunyai kuasa untuk mewajibkan ibu bapa membuat sumbangan bagi mengisi tabung persatuan itu.

Katanya, Peraturan 5 (4), Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa-Guru) 1998, hanya membenarkan persatuan mengutip sumbangan selepas dipersetujui mesyuarat agung dan dimaklumkan kepada pendaftar, iaitu Pengarah Pelajaran Negeri.

"Sebenarnya, ibu bapa tidak diwajibkan membuat sumbangan kepada PIBG kerana ia bukan yuran dan jumlahnya juga fleksibel, iaitu mengikut kadar yang dipersetujui pada mesyuarat agung PIBG.

"Malah, pengecualian diberikan kepada keluarga kurang berkemampuan dan anak ramai supaya ia tidak membebankan mereka," katanya.

Alimuddin berkata, sekolah juga mesti mendapatkan kelulusan Pengarah Pelajaran Negeri sebelum mengutip sebarang yuran tambahan selaras dengan hasrat kerajaan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat.

Katanya, kementerian akan menghantar pekeliling kepada semua Jabatan Pelajaran Negeri untuk memaklumkan mengenai kadar `siling' yuran tambahan kepada ibu bapa, antaranya sumbangan PIBG, komputer, alat tulis dan sukan tahunan.