HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Februari 2008

Demonstrasi anti Idris Jusoh: Adakah polis keluarkan permit?
Oleh Tarmizi Mohd Jam


DEMONTRASI oleh para penentang Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh benar-benar menunjukkan double standard dan kesulitan menangani permit untuk rapat umum pihak polis.

"Saya tak fikir demonstrasi itu ada permit polis. Saya tak fikir polis secekap itu dan saya tak fikir polis akan membenarkan demonstrasi yang memalukan Menteri Besar Barisan Nasional. Ini berdasarkan apa yang kita lihat selama ini", kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika mengulas perkembangan di Kuala Terengganu sejak pengumuman calon kelmarin.

"Dan insiden itu menunjukkan bahawa hak berhimpun ini penting untuk semua rakyat sebagaimana yang dijamin di bawah Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan. Selama ini orang Umno fikir mereka tak perlukan hak itu", tegas pensyarah undang-undang di UIAM itu.

Insiden di Terengganu itu benar-benar menempelak Datuk Seri Zainuddin Maidin yang menyiarkan pelbagai klip yang memburuk-burukkan demontrasi aman oleh pihak pembangkang.

Beliau menjelaskan sebagai satu undang-undang keperluan Seksyen 27 Akta Polis 1967 itu perlu dilaksanakan oleh pihak polis dengan saksama ke atas semua pihak.

"Mereka tidak boleh memilih-milih kerana jika itu dilakukan, undang-undang hanya akan dijadikan bahan mainan dan lama kelamaan akan kehilangan keberkesanannnya. Jika ini berlaku bukan sahaja pihak polis tetapi seluruh rakyat akan menanggung padahnya", katanya lagi.

Dr Abdul Aziz menambah, oleh kerana kesulitan itulah makanya Suruhanjaya Polis yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Dzaiddin Abdullah mencadangkan dalam laporannya bahawa seksyen yang memberi kuasa kepada polis untuk mengeluarkan permit perhimpunan itu dimansuhkan sahaja.

Selain cadangan ini suruhanjaya berkenaan juga mencadangkan supaya cawangan khas dirombak kerana setakat ini operasi dan pertanggungjawaban bahagian ini begitu misteri.

"Kita tahu bahawa anggota-anggota cawangan khas sering digunakan oleh pihak berkuasa untuk menangani musuh-musuh politik mereka, baik di dalam atau di luar Umno", kata Aziz lagi.

Cadangan paling penting suruhanjaya ialah supaya IPCMC ditubuhkan. IPCMC adalah suruhanjaya bebas untuk menyiasat salah laku pihak polis.

"Anihnya pihak polis yang pada waktu itu di bawah Tan Sri Mohd. Bakri Omar menentang dan mengugut kerajaan dan Perdana Menteri yang pada mulanya akur dengan cadangan itu akhirnya tunduk", kata Aziz kesal.

Beliau menyatakan penentangan pihak polis terhadap pendirian kerajaan itu bertentangan dengan kehendak Perlembagaan yang melarang mereka berbuat demikian.

Aziz berkata "itulah pertama kali dalam sejarah negara ini perkhidmatan awam membuat penentangan terhadap kerajaan secara terbuka di dalam laman web mereka"

Demonstrasi anti-Idris Jusoh di Terengganu sepatutnya membuka mata pihak polis dan mereka harus sedar dan malu dengan tindakan ganas mereka dalam perhimpunan aman BERSIH di Batu Burok, Oktober lalu.

"Tetapi saya tak pasti polis mempunyai perasaan itu kerana selama ini mereka terang-terang memihak malah berbohong sebagaimana yang berlaku dalam kes penolakan permohonan permit oleh GMI di Kuala Lumpur. Mereka tidak segan-segan memihak kepada kerajaan meskipun pasukan polis sebenarnya dibiayai oleh pembayar cukai, bukan parti Barisan Nasional," tegas pakar Perlembagaan itu.

Apa pun, kata Dr. Abdul Aziz lagi, mereka yang tidak puas hati dengan Idris Jusoh patut mengundi Haji Abdul Hadi Awang kerana beliau telah membuat janji untuk membenarkan perhimpunan aman dan apa yang berlaku jelas menunjukkan bahawa orang Umno pun memerlukan hak itu.
MCA pecat dua ahli bertanding calon bebas di Pahang



KUALA LUMPUR: MCA akan memecat dua anggotanya kerana bertanding sebagai calon bebas dengan menentang calon Barisan Nasional (BN) di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang, kata timbalan presidennya Datuk Seri Chan Kong Choy.

Beliau, yang juga pengerusi jawatankuasa disiplin parti itu, berkata dua anggota tersebut ialah Ho Yip Kap yang bertanding sebagai calon bebas di Tanah Rata dan Koh Boon Heng bagi kerusi DUN Damak.

Kedua-dua mereka menentang calon BN dari MCA pada pertandingan tiga penjuru di kawasan berkenaan.

"Sama ada bertanding sebagai calon bebas atau bertindak sebagai pencadang atau penyokong kepada calon pembangkang, kami sudah tentu akan memecat mereka," katanya di pejabatnya di Wisma MCA di sini, Rabu.

Chan berkata parti itu juga menerima laporan mengenai dua anggotanya dari Kedah yang sama ada menjadi pencadang atau penyokong kepada seorang calon pembangkang dan seorang calon bebas semasa hari penamaan calon Ahad lepas.

Katanya sebaik sahaja parti itu menentukan calon pada pilihan raya umum 8 Mac ini, semua anggota parti perlu memberi sokongan padu kepada calon-calon pilihan parti.

"Saya telah memberi amaran keras kepada mana-mana anggota parti yang bertindak menyokong calon pembangkang dan kami tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka," katanya.

Beliau, yang merupakan Menteri Pengangkutan, berkata beliau mempunyai masa untuk memantau aktiviti-aktiviti anggota parti itu semasa tempoh berkempen selepas beliau tidak bertanding kali ini atas alasan kesihatan. BERNAMA
Siapa dia calon BN di Parlimen Baling (1)
Roslan SMS



Berikut saya terbitkan semula artikel saya dalam blog ini bertarikh 21 Jun 2005 mengenai calon BN bagi kerusi Parlimen Baling Azeez Abd Rahim:

Dalam laman web Agendadaily di http://www.agendadaily.com/ dimuatkan wawancara eksklusif bersama Ketua Putera Umno yang baru ditubuhkan iaitu Abdul Azeez Abdul Rahim. Putera Umno, iaitu Biro dari Pergerakan Pemuda Umno ini diberikan tugas menawan anak-anak muda sekitar 18 hingga 25 tahun dan mereka ini mahu dilatih dan diberikan pendedahan agar menjadi instrument kearah mencapai cita-cita Malaysia maju pada tahun 2020.

Menurut seorang sumber yang menghubungi kami sebahagian besar dari jawapan Azeez terhadap wawancara ini adalah bohong dan palsu belaka. Menurut sumber tadi sesiapa yang tidak mempercayainya bolehlah melakukan siasatan sendiri samada melalui pendaftar syarikat ataupun mana-mana pihak yang berkaitan.Beliau memberi contoh Azeez ada berkata:

Itulah mulanya saya berjaya sehinggalah saya dapat jual kereta pada mat salleh dan saya ada 7 showroom . Saya ada di tapak Gaint Kelana Jaya sekarang, Jalan Kelang Lama dan dalam Subang Parade, itu ada jual kereta mewah.

Di dalam Subang Parade tidak ada showroom kereta. Kalau ada pun berkala pada musim-musim tertentu, tidak ada showroom yang kekal. Takkanlah Azeez nak mendakwa showroom seumpama itu sebagai sebahagian dari kononnya 7 showroomnya itu.

Satu lagi pembohongan yang lebih serius (dalam wawancara itu) adalah:

Kemudian saya beli syarikat Almarhum Sultan Selangor iaitu syarikat Wilayah Arm, setelah maju dalam berniaga, saya mula memberi bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik, pada rumah anak yatim, badan kebajikan, sekolah agama, sekolah anak yatim, Belia 4B, Pandu Puteri.

Menurut sumber syarikat tersebut bukannya milik Almarhum Sultan Selangor, tidak masuk akal Almarhum Tuanku memiliki sebuah syarikat sedemikian rupa. Barangkali pemilik lesennya adalah kerabat di raja Selangor tetapi BUKAN Almarhum Sultan, mengapa Azeez menjual nama Almarhum dalam hal ini? Dan Azeez tidak pula memberitahu yang syarikat itu kemudiannya telah beliau jual dan kini pemiliknya bukan lagi beliau!

Dan lebih serius lagi Azeez mendakwa:

Sejak dulu lagi saya memberi sumbangan dan bantuan, kemudian saya sambung belajar, saya buat Masters di sebuah Universiti di Amerika.

Menurut sumber Azeez tidak pernah memasuki mana-mana universiti di Amerika apalagi berjaya mendapatkan ijazah sarjana di sana.

Dalam wawancara ini Azeez turut berkata:

Sesuatu yang salah tetap saya kata salah, haram tetap haram halal tetap halal prinsip saya jelas, saya tidak mahu kerana kawan saya nak pusing cakap, itu saya tak mahu! Bagi saya apa mak cakap adalah benar belaka.

Dan dalam hal ini berdasarkan kenyataan sumber sebagaimana yang telah dinyatakan, tidaklah salah kalau kita mula meragui kenyataan Azeez di atas. Kalau yang salah itu benar-benar salah, maka banyak yang perlu diperbetulkan oleh Azeez dan sedih melihatkan Umno akan menyerahkan nasib anak-anak muda kepada seorang yang kredibilitinya sangat-sangat dipertikaikan.

Demikianlah karekter calon BN di parlimen Baling yang akan menentang bekas Imam Besar Masjid Negara Ustaz Taib Azamuddin dari PAS. Orang Baling kena berhati-hati, jangan tersilap sekali lagi.
Umno gagal dalam bidang ekonomi
Oleh Abdul Hadi Awang
Presiden PAS




Ekonomi adalah merupakan tunggak kemajuan sesebuah negara. Ekonomi yang diuruskan secara efisyen dapat memacu pertumbuhan Malaysia untuk mencapai wawasan 2020 di samping kemakmuran negara dapat dinikmati bersama oleh rakyat.

Permasalahan

Sejak 1957, di sepanjang pemerintahan kerajaan UMNO/BN, telah berlaku pelbagai kepincangan ekonomi. Antara kepincangan yang utama ialah:

1. Gagal mengawal peningkatan harga minyak walaupun Malaysia adalah pengekspot minyak. Dari tahun 2000 – 2006, harga minyak telah meningkat dari RM1.10/liter hingga RM1.92/liter iaitu peningkatan sebanyak 75% dalam masa 6 tahun.

2. Gagal menyekat harga tol yang meningkat tahun demi tahun. Walaupun kerajaan berjanji tiada peningkatan tol pada tahun 2008, tetapi tahun 2009 akan pasti menyaksikan peningkatan harga tol yang seterusnya. Kerajaan membelanjakan lebih 300 juta ringgit wang rakyat setahun untuk membayar konsesi tol.

3. Gagal menyekat kenaikan harga barangan asas hasil daripada kenaikan harga minyak dan tol. Kenaikan harga barangan ini terpaksa dibayar oleh segenap lapisan rakyat

4. walaupun sebahagian daripada mereka tidak menggunakan jalan bertol terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar.

5. Pengurusan wang rakyat yang tidak cekap menyebabkan pembaziran secara berleluasa telah berlaku. Ini termasuk:

a. Pembatalan pembinaan jambatan bengkok yang menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM 257 juta.
b. Kerugian membeli saham Agusta sebanyak RM 510 juta.
c.
Pembatalan projek Incinerator di Broga yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM 500 juta untuk membayar pampasan.

6. Hutang Kerajaan Persekutuan terus meningkat dari RM146 billion kepada RM165 billion

7. Pengisytiharan pelbagai projek Koridor Ekonomi seperti WPI, NCER, ECER, SDC dan SCORE, yang menelan belanja mencecah 1 trillion ringgit adalah sangat meragukan. Tidak ada sebarang penjelasan yang lengkap bagaimana sumber kewangan yang begitu banyak dapat dijanakan untuk menampung projek-projek berkenaan.

Penegasan dan Gesaan

PAS sentiasa mengambil sikap yang serius dan amat perihatin terhadap perkembangan ekonomi Negara. Dengan ini, PAS secara jelas menegaskan bahawa kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah gagal dalam memacu menigkatkan lagi daya saing ekonomi negara.

Dengan demikian, PAS dan seluruh masyarakat yang prihatin serta mencintai kemajuan dan kesaksamaan ekonomi dengan tegasnya menggesa agar rakyat Malaysia menolak kerajaan UMNO/BN yang gagal mengurus ekonomi Negara dengan berkesan.
PAS ingin menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk membuat perubahan ini melalui pilihanraya umum ke-12 ke arah pembentukan sebuah kerajaan berkebajikan yang lebih bertanggungjawab dan perihatin.

Selasa, 26 Februari 2008

Tekanan untuk Awang Adek, 122 ahli Umno Bachok sertai PAS
Wan Nordin Wan Yaacob


BACHOK (Hrkh) - Dalam keghairahan Umno/BN berkempen untuk menawan Kelantan dengan menamakan Dato' Dr Awang Adek Husin sebagai calon Menteri Besar, persediaan kem Umno/BN sekali lagi menerima tamparan hebat berikutan kemasukan 122 orang ahli Umno Bachok menyertai PAS.

Kesemua penyokong kuat Umno dik awasan Jelawat dalam Parlimen Bachok itumenyerahkan borang menyertai PAS kepada Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dalam satu majlis yang diadakan di Kampung Gunong, Jelawat malam tadi.

Kesemua ahli Umno yang menyertai PAS itu adalah ahli dari Cawangan Umno Kampong Gunong dan Bukit Cendol.

Penyerahan turut disaksikan oleh bekas wakil rakyat BN Dun Jelawat, Mohammad Hasan atau lebih dikenali 'Abe Mat' yang turut berceramah dan menghentam kegilaan Awang Adek untuk menjadi Menteri Besar.

Penyertaan penyokong kuat Umno Jelawat ke dalam PAS dikepalai Jamaluddin Ahmad dan ia merupakan satu lagi tamparan hebat selepas Umno/BN kehilangan satu kerusi ketika penamaan calon 24 Februari lalu berikutan calon BN di Dun Kijang tidak layak bertanding kerana bankrap.

Lebih memalukan Umno adalah kerana 122 ahli Umno yang menyertai PAS malam tadi adalah merupakan ahli Umno di Parlimen Bachok yang mana ia adalah merupakan kawasan yang ditandingi Dr Awang Adek.

Lebih 1000 penyokong PAS dan Umno sekitar Jelawat hadir bagi menyaksikan malam bersejarah yang dinamankan bekas wakil Rakyat BN di Jelawat sebagai 'program penghijauan' itu.

Sementara itu mengulas mengenai kemasukan ke dalam PAS, Jamaluddin Ahmad berkata, beliau masuk PAS kerana sedar perjuangan Umno/BN hanyalah untuk kebendaan selain janji-janji yang ditaburi Awang Adek tidak pernah ditunaikan.

Sejak menang dalam pilihan raya umum 2004, Awang Adek tidak memberikan khidmat yang baik dan gagal menjadi wakil rakyat yang benar-benar memperjuangkan hak rakyat, katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan borang keahlian PAS di Jelawat.

Untuk rekod, Umno/BN Kelantan sebelum ini kelam kabut apabila dua calon mereka menarik diri dari bertanding di Parlimen Pengkalan Chepa dan Parlimen Pasir Mas.

Ketika hari penamaan calon pula calon BN telah dibatalkan penyertaan mereka di Dun Kijang sementara calon BN di Dun Chempaka hampir-hampir tidak dapat bertanding kerana tidak menurunkan tandatangan selepas tamat tempoh penyerahan borang pencalonan.

Calon BN di Dun Chempaka itu bernasib baik kerana diselamatkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga kerana mendapat simpati dari calon PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membenarkan calon BN tersebut menurunkan tandatangan biarpun sudah tamat tempoh penyerahan borang pencalonan. - mks.
Manifesto Million, Billion Dan Trillion PRU12
Tanpa Komitmen Pada Demokrasi Berparlimen?

Ruhanie Ahmad


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membentangkan Manifesto bagi PRU12 tanpa menghuraikan komitmen BN kepada keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta sistem kerajaan demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan.

Saya meneliti manifesto tersebut berkali-kali dan mendapati bahawa tidak sepatah pun perkataan mengenai perkara-perkara strategik di atas dihuraikan dalam manifesto berkenaan.

Hakikat ini amat berbeza dengan Manifesto BN bagi PRU11 yang menghuraikan perkara-perkara seperti berikut:

BN bertekad mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Demokrasi

BN komited kepada demokrasi berparlimen.

BN menghormati pembahagian kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan, dengan setiap institusi - eksekutif, perundangan dan kehakiman - memainkan peranan semak dan timbang bagi memastikan pentadbiran negara yang berlandaskan kepada undang-undang.

BN akan terus mentadbir mengikut sistem demokrasi, berdasarkan prinsip undang-undang.

BN menjamin kebebasan badan kehakiman dan menyediakan prasarana moden untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran keadilan.

Bagaimanapun, saya yakin kepimpinan Abdullah tidak menganggap perkara-perkara tersebut di atas sebagai remeh. Tetapi, saya musykil mengapakah ianya tidak disebut langsung dalam manifesto PRU12.

Disengajakan?

Adakah ianya sesuatu yang tidak disengajakan kerana Abdullah kelihatannya amat ghairah untuk menghuraikan prestasi kerajaan sejak 2004 hingga 2007 yang diterjemahkan dalam angka-angka million, billion dan trillion ringgit sahaja?

Atau, mungkinkah hakikat ketiadaan faktor-faktor strategik tersebut memang disengajakan kerana dianggap tidak penting dan tidak perlu?

Memang Abdullah dan BN mungkin mempunyai sebab dan wisdom tersendiri untuk melupakan faktor-faktor strategik yang menjadi tunggak kerajaan Malaysia sejak merdeka higga ke hari ini.

Tetapi, tidakkah hakikat ini akan menimbulkan keraguan sesetengah pihak mengenai bentuk kerajaan Malaysia sesudah PRU12 yang akan diterajui oleh BN seandainya parti tersebut memenangi pilihan raya kali ini? Fikir-fikirkanlah…
Abdullah jangan sombong kepada Anwar


Sekiranya Abdullah berhajat untuk mempertahankan dirinya maka beliau memerlukan seseorang pada ketika itu. Satu-satu orang yang boleh diajak untuk menjadi benteng kepadanya ialah Anwar Ibrahim. Anwar masih relevan untuk dijadikan rakan kongsi atau pun cagaran untuk Abdullah mempertahankan dirinya daripada serangan hendap oleh pihak Najib.

Oleh Mohd Sayuti Omar

Agak kasar dan angkuh sedikit kenyataan Abdullah Ahmad Badawi terhadap Anwar Ibrahim ketika mengulas mengenai Anwar Ibrahim selepas mesyuarat MT Umno petang tadi. Katanya beliau sudah lupa Anwar dan keputusan beliau membubarkan Parlimen tidak ada kena mengena dengan bekas TPM itu. "Saya sudah lupa Anwar dan keputusan ini tidak ada kena mengena dengan Anwar," begitulah katanya.

Apakah beliau kini benar-benar berada dalam zon selamat dengan merasakan keputusan pilihan raya 8 Mac nanti berpihak kepadanya? Mungkin ya... pilihan raya tetap akan berpihak kepada Barisan Nasional tetapi bukan semuanya kemenangan itu nanti menjadi milik Abdullah secara peribadi.

Abdullah tidak perlu merasa 'over confident'. Pilihan raya ini setakat memberi kemenangan kepada BN untuk membolehkan parti komponan itu terus menubuhkan kerajaan. Tetapi ada perkara lain yang perlu dihitung oleh Presiden Umno itu.

Bagaimana sekiranya prestasi pilihan raya umum ke-12 ini merudum jatuh. Katakan peratus pencapaiannya di bawah 70 peratus? Tentu sekali keputusan sebegitu tidak menyeronokkan malah membimbangkan Abdullah. Kemerosotan prestasi akan memberi risiko tersendiri kepada Abdullah.

Ramai pemerhati menjangkakan BN gagal mengekalkan prestasi lebih 90% yang diraih dalam pilihan raya ke-11 lalu. Orang akan melihat kewibawaan kepimpinan dan Kerajaannya selama ini lemah.

Baru sepenggal menjadi Perdana Menteri beliau sudah dinilai sedemikian rupa! Dalam politik semua boleh berlaku. Abdullah juga tidak perlu melihat orang di luar Umno itu sebagai musuh nombor satu. Sebaliknya beliau juga perlu melihat bahawa orang dalaman juga musuhnya. Pepatah Melayu ada mengatakan di dalam reban ayam juga kadang-kadang tempat musang berse lindung. Atau pun ada gunting di dalam lipatan. Apakah akan terjadi kalau keputusan itu menjadi realiti? Bukankah kelak ia akan digunakan oleh seterunya yang tersembunyi untuk melawannya.

Najib adalah sang singa bisu yang juga mempunyai nafsu dan selera makan seperti serigala segar. Bila-bila masa saja Najib akan menerkam dan meratah Abdullah bila sudah sampai masanya nanti. Masanya ialah apabila Najib merasakan Abdullah sudah lemah atau beransur tua.

Kemerosotan prestasi BN dalam pilihan raya kelak salah satu kecederaan buat Abdullah. Nah saat inilah Najib akan mengambil kesempatan untuk mengusik Abdullah. Peluang terbaik bagi Najib ialah mencabar Abdullah untuk jawatan Presiden dalam pemilihan Umno penghujung tahun ini.

Katakan kalau ini berlaku bagaimana dan kepada siapa Abdullah hendak berlindung.
Apakah beliau sudah merasakan kedudukan menantunya Khairy Jamaluddin sudah begitu kuat untuk dijadikan tempat bergantung dan mempertahankan dirinya? Abdullah harus sedar Khairy hanya baru setahun jangung. Tidak dinafikan menantunya itu pintar dan bijak namun pengalaman dan networkingnya di peringkat antarabangsa sebagai ahli politik masih belum luas dan melebar. Dan Abdullah kena arif bahawa hubungan antarabangsa Najib lebih luas dan bersifat glokal!

Sekiranya Abdullah berhajat untuk mempertahankan dirinya maka beliau memerlukan seseorang pada ketika itu. Satu-satu orang yang boleh diajak untuk menjadi benteng kepadanya ialah Anwar Ibrahim. Anwar masih relevan untuk dijadikan rakan kongsi atau pun cagaran untuk Abdullah mempertahankan dirinya daripada serangan hendap oleh pihak Najib.

Sedikit sebanyak pengaruh Anwar masih ada dalam Umno. Kalau pun mereka yang menyokong Anwar sudah dibuang dan dibersihkan oleh Najib, namun benih atau zuriat para penyokong Anwar masih tersisa dalam Umno. Mereka tetap akan bersimpati dengan Anwar.

Abdullah tidak akan berdaya untuk mengelak serangan Najib sekiranya tiba-tiba Najib lupa kepada sumpah dan janjinya yang akan setia dan tidak akan menikam Abdullah dari belakang. Najb sudah berada diperingkat paling berkuasa dalam Umno ketika ini. Beliau tidak akan menikam dari belakang tetapi bersedia untuk menikam dari hadapan.

Tegasnya langkah Abdullah bersikap keras dan sombong kepada Anwar itu adalah tidak baik. Beliau jangan bercakap pandang ke depan sahaja sebaliknya harus melihat ke belakang. Dalam politik semua boleh jadi. Bukankah politik itu ditafsirkan dengan berbagai maksud dan ianya serba mungkin. Abdullah kena ingat Anwar yang begitu akrab dan rapat dengan Dr Mahathir Mohamad pun akhirnya menjadi mangsa orang yang baik itu.
SPR tidak tarik balik arahan setem duti seperti didakwa PAS


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernah menarik balik peraturan menghendaki calon mengemukakan Akuan Berkanun yang disertai setem hasil RM10 yang perlu dimatikan.

Setiausahanya Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata arahan yang dikeluarkan oleh SRP pada Khamis lalu itu tidak pernah ditarik balik dan tiada juga arahan memansuhkannya.

Semua calon yang bertanding dikehendaki mengemukakan Borang 5 bagi kerusi Parlimen dan 5A bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama setem berkenaan yang telah dimatikan, katanya.

"Keputusan muktamad itu dibuat oleh panel yang terdiri daripada pengerusi, timbalan pengerusi dan lima ahli SPR," katanya mengulas dakwaan PAS bahawa peraturan itu ditarik balik pada saat-saat akhir Ahad bagi memastikan beberapa calon Barisan Nasional yang tidak mematuhi arahan itu tidak hilang kelayakan.

PAS juga mendakwa pencalonan calon BN di Marang yang mengemukakan borang Akuan Berkanun tanpa duti setem yang dimatikan diterima.

Khamis lalu, SPR membatalkan pengecualian setem duti RM10 untuk borang Akuan Berkanun (Borang 5A untuk kerusi Dewan Undangan Negeri dan Borang 5 untuk kerusi Parlimen) seperti yang dipraktikkan dalam pilihan raya sebelum ini.

Kamaruzaman berkata jika PAS tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka boleh mencabarnya di mahkamah mengikut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.

Ditanya adakah calon yang mengemukakan Akuan Berkanun tanpa duti setem yang dimatikan boleh hilang kelayakannya, beliau berkata: "Jika SPR setuju maka ia dibenarkan, ia merupakan keputusan SPR."

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk bertanding, tetapi dari segi alasannya, perlu dirujuk kepada SPR.

Bagaimanapun, katanya tiada laporan diterima oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya berhubung perkara itu pada hari penamaan calon.

Semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata tiada calon yang ditolak pencalonan mereka selepas SPR melaksanakan buat pertama kalinya surat Akuan Berkanun yang tidak dikecualikan setem duti.
Bantahan pembelian calon oleh BN


Kuala Lumpur - KeADILan membantah sekeras-kerasnya usaha sesetengah pemimpin dan calon dari BN yang hendak membeli calon-calon KeADILan serta parti-parti pembangkang yang lain, supaya mereka menarik diri dari bertanding, tegas Timbalan Presidennya Dr Syed Husin Ali.

Ini berikutan disebabkan kemenangan tanpa bertanding calon-calon BN yang diakibatkan oleh ketidakhadiran calon-calon KeADILan secara mengejut pada hari penamaan calon semalam.

“Kami mempunyai bukti jelas bahawa seorang calon negeri di Selangor telah diberi bayaran tinggi supaya tidak hadir masa pencalonan semalam. Kami juga menganggap bahawa permainan kotor berlaku di Johor sehingga seorang menteri menang tanpa bertanding,” jelas Syed Husin.

Tambah Syed Husin lagi, sekarang ini yakni selepas calon-calon diumumkan, beberapa orang calon KeADILan di peringkat Parlimen dan negeri telah dihubungi dan ditawarkan sejumlah wang yang banyak supaya mengumumkan penarikan diri dari bertanding.

“Salah seorang daripada mereka ditawarkan RM1 juta di sebuah kawasan Parlimen di mana seorang menteri kanan bertanding,” ujar beliau.

Peraturan baru yang dilaksanakan oleh SPR sebermula Pilihanraya Umum ke-11 tahun 2004, setiap calon diberikan tempoh 3 hari untuk mereka menarik diri.

Peraturan ini dilihat sebagai satu ‘cara tersembunyi’ untuk menghapuskan potensi pembangkang melalui proses ‘pembelian’ calon-calon pembangkang oleh Umno-BN.

KeADILan, tambah Syed Husin mendesak sekuat-kuatnya supaya pihak berkenaan, terutamanya SPR, BPR dan polis memantau dan menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya supaya pilihanraya ini tidak dicemari korupsi.

Isnin, 25 Februari 2008

BN diselamatkan SPR di Titiwangsa?
Oleh Tarmizi Mohd Jam


KL: Calon PAS Titiwangsa, Dr. Lo Lo Datuk Haji Ghazali menyifatkan SPR sebagai "pelawak" apabila tiga bantahan yang dikemukakan ditolak mentah-mentah oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Pusat Penamaan Calon.

Menurut Dr. Lo' Lo' yang menyampaikan ceramah sejurus keluar dari Pusat Penamaan Calon kira-kira jam 11.15 pagi, tiga bantahan dikemuakan ke atas calon BN, Datuk Aziz Jamaluddin Md. Tahir.

Bantahan pertama apabila pada Borang Pencalonannya menggunakan gelaran "Datuk" Aziz Jamaluddin Md. Tahir sedang ia tidak sama dengan nama di dalam kad pengenalan.

Namun ia ditolak atas alasan, asalkan namanya ada. Soal ada title apapun tak apa.

Dibenarkan.

Bantahan kedua boleh dianggap serius apabila calon BN itu tidak melengkapkan borang dengan duti setem (peraturan baru yang diperkenalkan secara mengejut oleh SPR).

Pegawai yang bertugas, enggan menerima bantahan itu kerana katanya, peraturan itu tidak jelas dan mereka mengambil sikap menerima pencalonan Aziz Jamalauddin.

Paling menyedihkan apabila bantahan ketiga juga ditolak mentah-mentah pegawai yang bertugas. Dr. Lo' Lo' difahamkan pada peringkat awal, calon BN menyerahkan sekeping cek untuk pembayaran deposit calon kerusi parlimen dan apabila dipersoal ianya menyalahi peraturan (cek tidak boleh digunapakai), pegawai bertugas menjelaskan ianya bukan cek tetapi bank draf.

Apabila pihak PAS memohon untuk melihat cek atau bank draf berkenaan, pegawai bertugas enggan berbuat demikian.

Ini menambahkan lagi, kepercayaan PAS bahawa SPR dan kuncu-kuncunya sentiasa tidak berpihak kepada undang-undang sebaliknya terus memenangkan pihak BN, kecuali dalam perkara yang amat terang tidak boleh dielak.

Para penyokong PAS yang mendengar perkhabaran Dr. Lo' Lo' itu terus menjerit-jerit BN sebagai "penipu!" berulang kali dan SPR sebagai "barua BN!"

Adalah dipercayai, Pegawai Pengurus Pilihan Raya di pusat itu sebenarnya enggan memberikan kemenangan tanpa bertanding atas isu teknikal tersebut.

Dan jika hal demikian terjadi kepada calon PAS, maka sudah pasti kertas pencalonannya ditolak.