HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2010

YBK cabar MB Selangor


ZAINAL Abidin Sakom (empat, kiri) bersama penyokong berdoa sebelum membuat laporan polis terhadap Abdul Khalid Ibrahim atas dakwaan berniat jahat membuat laporan palsu, fitnah dan bermotifkan politik semata-mata terhadap Yayasan Basmi Kemiskinan, di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini dicabar supaya mengemukakan bukti bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinannya telah memberi sumbangan ratusan juta ringgit kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

Cabaran itu dilontarkan Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom bagi membuktikan peranan kerajaan negeri menjayakan program membantu dan membela nasib golongan miskin di negeri ini.

Zainal menegaskan, kenyataan dikeluarkan sebelum ini oleh Abdul Khalid berhubung YBK ternyata satu pembohongan dengan niat jahat untuk menjejaskan imej YBK yang sudah lebih 20 tahun berkhidmat membantu masyarakat miskin dan memerlukan bantuan di Selangor.

“Kita hendak tengok kertas putihnya (bukti) yang menyatakan ratusan juta ringgit diserahkan kepada YBK. Saya cabar keluarkan kenyataan tersebut supaya rakyat nampak apa yang telah diperkatakan adalah bohong dengan tujuan hendak menganiaya sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kecil seperti YBK.

“Kerajaan negeri yang ada sekarang tidak pernah bagi apa-apa kepada kita, hendak menyusahkan kita adalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum membuat laporan polis terhadap kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar berkaitan YBK sejak akhir-akhir ini yang dilihat telah menjejaskan imej YBK di mata masyarakat.

Turut hadir berhimpun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sekitar pukul 10.30 pagi ketika tiga laporan itu dibuat ialah kira-kira 200 anak yatim dari Tunas Kasih terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima.

Selain itu, penghuni Desa Kasih, bekas anak-anak yatim, alumni Asrama Kasih serta sukarelawan kelolaan YBK yang semuanya berjumlah kira-kira 200 orang.

Zainal Abidin berkata, laporan polis itu dibuat bagi mempertahankan imejnya dan maruah YBK yang telah dicemari dengan tuduhan tidak berasas, berbaur fitnah serta berniat jahat menerusi lima tuduhan oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, selain mendakwa telah memberi ratusan juta ringgit kepada YBK, kerajaan negeri turut menyelar yayasan itu kononnya tidak mengurus sumber kewangan dengan baik dan tidak memberi manfaat kepada golongan miskin.

Katanya, Abdul Khalid menerusi Pejabat Menteri Besar mengeluarkan kenyataan yang dipetik oleh media, bahawa YBK tidak pernah mengeluarkan laporan audit walaupun laporan itu sebenarnya telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara setiap tahun serta boleh diteliti menerusi lawan web YBK.

Beliau menambah, program-program YBK juga didakwa berbaur politik dan tidak berlandaskan keperluan kemiskinan selain Lembaga Pengarah YBK enggan menerima Abdul Khalid sebagai pengerusi yayasan itu.

“Kita pandang serius terhadap segala tuduhan yang dilontarkan kepada YBK yang peranannya hanya sebagai sebuah NGO membantu mengatasi masalah kemiskinan di Selangor khususnya, di Malaysia amnya tanpa mengira latar belakang politik.

“Laporan polis ini memalukan saya dan saya mesti mempertahankannya,” tegas beliau.

Zainal Abidin berharap dengan laporan itu, polis akan melakukan siasatan terperinci dan mengenal pasti mereka yang berniat jahat dengan kenyataan-kenyataan tersebut.

Beliau berkata, YBK menerusi peguamnya akan mengikuti terlebih dahulu perkembangan siasatan polis sebelum sebarang keputusan diambil termasuk kemungkinan menyaman pihak-pihak terlibat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Nor Azam Jamaluddin ketika hubungi hari ini mengesahkan telah menerima laporan yang dibuat oleh YBK itu.

Saya berhak bersuara – Tengku Razaleigh

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau berhak untuk menyuarakan pandangannya tentang royalti petroleum yang dituntut oleh kerajaan negeri.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, beliau bebas untuk bersuara selagi ia tidak melanggar undang- undang dan disiplin parti walaupun berada di atas pentas pembangkang malam tadi.

Bagaimanapun bekas Pengerusi Petronas itu menolak dakwaan kononnya tindakan tersebut adalah langkah awal untuk beliau menyertai pakatan pembangkang.

“Saya bebas dan boleh bersuara apa yang saya suka asalkan tidak melanggar perlembagaan dan undang-undang yang terpakai di negara ini serta disiplin parti.

“Saya bukan pak turut, malah pada zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, saya tidak pernah menjadi pak turut. Kalau orang ajak kita masuk ‘rok’ (semak), kita masuk ‘rok’ lah ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Muhammed IV di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan Exco kerajaan negeri serta kira-kira 20,000 rakyat negeri ini.

Penyertaan Tengku Razaleigh dalam ceramah itu mencetuskan kontroversi kerana beliau berada di atas pentas kerajaan negeri yang ditunjangi Pas.

Sementara itu, ketika menyampaikan ceramah, Tengku Razaleigh berkata, kehadirannya pada malam tersebut adalah berdasarkan prinsipnya yang mahu menegakkan keadilan dan memperjuangkan nasib rakyat Kelantan yang ditindas selama ini.

“Sebelum saya hendak datang sini ada orang hendak halang saya kerana melanggar disiplin parti tetapi apa saya peduli, saya hanya mahu menyatakan kebenaran selepas melihat rakyat Kelantan ditindas. Sepatutnya apa yang saya nyatakan pada malam ini telah dinyatakan 36 tahun yang lalu.

“Sebagai orang yang terlibat dalam penubuhan Petronas dan berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum, saya tahu kerajaan negeri sememangnya berhak untuk menerima royalti sebanyak lima peratus walaupun pada kawasan bertindih dengan Thailand,” katanya.

Katanya, jika Kerajaan Pusat tidak yakin dengan kebolehan kerajaan negeri untuk menguruskan royalti itu, beliau mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa pemantau ditubuhkan untuk memastikan wang berkenaan diuruskan dengan baik.

Jelasnya, beliau sendiri sedia menjadi ‘jambatan’ bagi menghubungkan pihak berkenaan demi pembangunan dan kepentingan negeri serta rakyat.

“Saya rasa kerana mereka tak begitu yakin dengan kerajaan negeri disebabkan pimpinan Pas, barangkali saya fikir itu sebab berlengah tak nak bagi royalti kepada Kelantan.

“Saya sanggup menjadi jambatan untuk berhubung antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri dan Petronas supaya dapat kita laksanakan dengan baik demi faedah Kelantan,” katanya.

Polis siasat dari mana kepala babi diperolehi

BERNAMA



Polis akan bekerjasama dengan pakar forensik dan veterinar untuk membuat kajian termasuk menentukan spesies dan asal babi hutan yang kepalanya diletakkan di kawasan dua masjid di Petaling Jaya
dua hari lalu.

"Kita percaya ia sedikit sebanyak akan dapat membantu kita dalam menyiasat kes tersebut," kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Katanya polis sedang menyiasat kemungkinan ia diperoleh dari premis
yang menghidangkan makanan haiwan eksotik.

"Kita sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat dari penjual-penjual makanan hutan dan eksotik di sekitar Lembah Klang dan membuat pemeriksaan ke premis-premis tersebut," katanya.

Muhammad Sabtu berkata sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dilakukan memandangkan maklumat yang diperoleh berhubung kes itu tidak kukuh.

"Kita telah mengadakan mesyuarat bersama polis Selangor bagi berbincang mengenai tindakan dan rancangan pada masa hadapan dan apa yang pasti kita tidak akan berdiam diri sehingga penjenayah dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Pada kejadian selepas solat Subuh dua hari lepas, dua bungkusan mengandungi kepala babi hutan bersama satu baldi plastik berisi 30 keping wang RM1 diletakkan di pintu masuk belakang ke perkarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun manakala dua bungkus lagi serta baldi berisi jumlah wang yang sama dijumpai di hadapan pintu masuk ke perkarangan Masjid Al Imam Al Tirmizi, Taman Sri Sentosa.

Muhammad Sabtu berkata tiada kekecohan dilaporkan berlaku di kawasan terbabit dan polis juga sentiasa membuat kawalan dan rondaan bagi memastikan keadaan tenteram.

"Saya minta jangan keruhkan lagi keadaan dan jangan dengar apa jua perkara negatif," katanya.


'Kami dituduh sebab serah memo pada Sultan'

Jimadie Shah Othman


Umno bahagian Ampang menafikan dakwaan Naib Presiden PKR Azmin Ali bahawa terdapat ahlinya terlibat dalam kes serangan terhadap sebuah gereja di Desa Melawati awal bulan ini.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya (dakwaan itu). Itu bukan tindakan kita. Mungkin tuduhan itu dibuat kerana kita (Umno Ampang) terlibat menghantar memorandum kepada Sultan Selangor berhubung perkara ini.

"Walaupun begitu, dalam masa yang sama kita menentang kekerasan. Kita juga tidak bersetuju dengan tindakan (ganas) tersebut," kata ketuanya Datuk Ismail Kijo.

Beliau diminta mengulas dakwaan Azmin bahawa terdapat anggota Pemuda Umno Gombak dan Ampang terlibat dalam kejadian serangan terhadap Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, pada 8 Januari lalu,

Azmin yang juga ahli parlimen Gombak berkata, beliau akan mendedahkan identiti pihak terbabit - merangkumi nombor kad pengenalan dan nombor keahlian parti - kepada umum dalam masa terdekat.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ismail berkata, pihaknya mungkin menjadi sasaran tuduhan ekoran tindakannya menganjurkan perhimpunan menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor berhubung perkara itu.

"Kalau kita tengok, pada 31 Disember apabila keputusan (mahkamah tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah) dibuat, walaupun ada bantahan dibuat, kita lihat tiada tindakbalas.

"Tetapi bila Umno serah memorandum sahaja, mulalah kes bakar gereja. Seolah-olah sengaja dibuat kerana hendak menuduh Umno yang buat," kata Ismail yang tidak mahu menamakan pihak terbabit secara jelas.

Pada 7 Januari lalu, Ismail yang juga ketua biro agama Umno Selangor mengetuai kira-kira 100 penyokong dan kumpulan NGO menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor memohon supaya baginda campur tangan dalam isu penggunaan kalimah Allah.

Sementara itu, pengerusi Umno Gombak, Abdul Rahim Kamaruddin ketika dihubungi enggan mengulas dakwaan tersebut. Usaha mendapatkan penjelasan Azmin juga setakat ini belum berhasil.

Tiada p'raya semula di UPM

Abdul Rahim Sabri


Jawatankuasa pemilihan bagi pilihan raya kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) memutuskan tidak perlu diadakan semula pilihan raya ekoran pembatalan kemenangan tujuh calon umum kelmarin.

Sebaliknya, kekosongan tempat itu secara automatik akan digantikan dengan tujuh calon lain yang mendapat kutipan undi tertinggi.

"Jawatankuasa itu memutuskan, keputusan membatalkan kemenangan mereka (7 calon pro-M) adalah kekal.

"Keputusan tersebut berkuatkuasa pada jam 11 pagi hari ini," kata sumber UPM kepada Malaysiakini.

UPM kelmarin membatalkan kemenangan 7 calon pro-M kerana didapati berkempen secara berkumpulan dalam laman sosial Facebook.

Surat makluman pembatalan itu dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM kelmarin.

Tujuh calon umum pro-M yang dibatalkan kemenangan mereka ialah Muhammad Hazim Md Noh, Siti Hajar Zolqarnain, Mohammad Rafi Abu Bakar, Mohd Hanif Md Radzi, Azlinda Abdullah, Amirul Rahman Mohd Khozam dan Nurul Hanisah M Yunus.

Sumber berkata, tujuh calon lain yang menggantikan mereka ialah Anas Abu Hassan, Low Yak Leng, Hanita Hanim Mohd Ali, Muhd Zulkhairi Zulkifli, Siti Aisah Atan, Adibah Aini Anuar dan Pang Ping Fen.

Dalam pilihan raya kampus itu, pro-A menguasai 37 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan manakala pro-M hanya memenangi 11 kerusi. Dengan pembatalan tersebut, pro-M kini hanya tinggal 4 kerusi sahaja.

Selasa lalu, UPM mengadakan pilihan raya kampus yang menyaksikan 41 calon bertanding bagi merebut 16 kerusi umum.

Umno teliti 'tindakan' pada Ku Li

Salhan K Ahmad


Umno masih meneliti kandungan ucapan seorang pemimpin veterannya Tengku Razaleigh Hamzah yang menyertai perhimpunan menuntut royalti minyak Kelantan di Kota Bharu semalam.

Katanya, beliau masih belum menerima kandungan ucapan tersebut bagi menentukan tindakan sepatutnya ke atas ahli parlimen Gua Musang itu.
.
"Kita sedang meneliti, belum dapat apa yang diperkatakan oleh Tengku Razaleigh jadi bagi tempoh masa kepada kita untuk dapatkan laporan apa yang diucapkannya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya lagi, kandungan ucapan Tengku Razaleigh itu juga akan dibincangkan lanjut oleh parti.

"Pendirian kita, mesti patuh kepada disiplin parti. Tetapi macam mana pun kita akan bincang perkara ini," tambahnya lagi.

Beliau yang juga presiden BN menjelaskan, keputusan untuk memberi wang ehsan kepada rakyat Kelantan dibuat berdasarkan tanggungjawabnya sebagai kerajaan.

"Apa yang berhubung dengan rakyat kelantan, kita akan bagi. Kita tak lari daripada tanggungjawab kita. Tapi kita mesti buat apa-apa berdasarkan perlembagaan," katanya.

Sementara itu, beliau turut menepis dakwaan pemimpin pembangkang yang mengaitkan Umno dengan insiden serangan ke atas rumah-rumah ibadat.

"Ini kaedah biasa yang dilakukan oleh parti pembangkang. Pertamanya mesti dia tuduh Umno. Belum ada apa-apa bukti, tuduh Umno dulu. Itu dia punya modus operandinya," katanya.

Ketika ditanya, Najib turut menjelaskan pendekatan yang diambil kerajaan dalam membuat penahanan ISA terhadap 12 orang minggu lalu, umumnya bagi menjaga imej negara.

Katanya, tindakan itu satu usaha kerajaan bagi membendung kejadian keganasan dan bagi mengelakkan Malaysia daripada dijadikan pusat transit bagi pengganas.

"Langkah ini adalah langkah pencegahan sebelum berlaku apa jua insiden keganasan sama ada (dari) dalam negara kita mahu pun luar negara," kata Najib.

"Kalau berlaku (keganasan) dalam negara kita, sudah tentu ia akan memberi kesan amat buruk kepada imej negara kita selain menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda."

Sementara itu, beliau mengumumkan perhimpunan agung Umno bagi tahun ini ditetapkan pada 28 sehingga 30 Oktober.

Anwar tak dibenar akses dokumen penting

Hafiz Yatim


Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mendapatkan dokumen utama pihak pendakwaan bagi persiapan perbicaraan kes liwatnya yang dijadualkan bermula Selasa ini.

Antara bukti tambahan yang dipohon oleh Anwar ialah rakaman video, nota ahli kimia dan laporan perubatan Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi

Hakim Mahkamah Persekutuan Abdull Hamid Embong, yang mengetuai panel tiga hakim menolak permohonan Anwar dan mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan.

Panel Mahkamah Persekutuan telah mendengar hujah daripada peguambela Anwar, Karpal Singh dan penguam cara negara, Mohd Yusof Zainal Abiden pada 20 Jan lalu.

Bagaimanapun mereka tidak dapat membuat keputusan dan menangguhkannya sehingga hari ini. Panel yang sama juga mengarahkan perbicaran kes liwat Anwar bermula 2 Feb ini.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan Anwar mendapatkan semua dokumen terbabit kecuali sampel DNA pengadu, iaitu bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Azlan Bukhari.

PKPIM Kritik Keganasan Polis Terhadap Mahasiswa

DETIK DAILY


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengkritik sekeras-kerasnya tindakan tidak demokratik pihak keselamatan yang dilakukan terhadap kelompok mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menghadiri perhimpunan aman selepas solat jumaat untuk membantah keputusan pilihan raya kampus di Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Alam Bina.

Memandangkan perhimpunan yang dianjurkan mereka di perkarangan Masjid UKM tersebut dilakukan secara aman, pihak polis tidak sewajarnya menggunakan kekerasan terhadap mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut. Justeru, PKPIM berpandangan tindakan polis yang telah mencetuskan provokasi untuk menghentikan perhimpunan berkenaan adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

Dalam pada itu, PKPIM juga berpandangan bahawa perhimpunan yang dilakukan tersebut tidak memerlukan penglibatan pihak polis disebabkan ianya dianjurkan dalam kawasan universiti. Maka, seharusnya demonstrasi tersebut diselesaikan oleh pihak dalaman universiti sendiri.

Justeru itu, bagi PKPIM insiden yang berlaku ini secara tidak langsung telah menjatuhkan maruah, martabat dan kredibiliti Universiti yang dahulunya gah dengan pemilikan kuasa autonomi. Lantaran itu, situasi semasa ini menuntut supaya pihak bertanggungjawab mengembalikan kedudukan Universiti sebagai institusi yang bebas dan berautonomi agar martabat universiti sentiasa disanjung dan dihormati oleh semua pihak.

Sementara itu, PKPIM turut melahirkan kekecewaan terhadap penangkapan yang dilakukan terhadap dua aktivis mahasiswa Muhammad Huzaifah Jusof Khadidi dan Muhd Zarimi Mohamad @ Abdullah yang didakwa terlibat dalam perhimpunan berkenaan. Penahanan yang dilakukan ini jelas bertentangan dengan prinsip, amalan dan hak demokrasi yang didokong oleh semua pihak selama ini untuk menyuarakan pandangan.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM turut menggesa semua pihak khususnya pihak keselamatan untuk memberi jaminan agar insiden yang sama tidak berulang demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan hak-hak asasi manusia di kampus.

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ (860813-38-5543)
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
013-5303221

Royalti-Mungkinkah Ku Li dipecat dari Umno?

Oleh Safar Jumaat


SIAPAKAH di kalangan orang Umno yang sanggup mencadangkan supaya Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dipecat dari parti ekoran kesediaan beliau mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan yang dicadangkan pakatan pembangkang?

Kelazimannya, mana-mana ahli parti tidak dibenarkan menyertai mana-mana majlis pembangkang, apatah lagi memainkan peranan penting seperti menjadi pengerusi, berucap dan mengambil bahagian – atas apa juga niat.

Semalam (Khamis), Tengku Razaleigh sudah pun berucap di hadapan 20,000 hadirin di Stadium Sultan Mohamed ke IV, Kota Bharu dalam Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum yang turut dihadiri Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Khabarnya, bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Tamrin Tun Ghafar juga hadir mengiringi Tengku Razaleigh.

Apa yang diperkatakan Tengku Razaleigh ketika berucap di stadium tidak perlu diperbahaskan kerana beliaulah orang yang bertanggungjawab membuat perjanjian Petronas dengan Kerajaan Negeri Kelantan dahulu, tetapi suatu perkara yang perlu dibincangkan di sini ialah keberanian dan kesanggupan Ahli Parlimen Gua Musang ini untuk ‘membayar hutangnya’ kepada rakyat Kelantan.

Siapa selain Tengku Razaleigh dari kalangan mereka yang masih berada di dalam Umno sanggup ‘membayar hutang’ serupa kepada rakyat Kelantan, bercakap benar dalam isu royalti, bukan wang ihsan – seterusnya sanggup menerima hukuman dari parti yang mereka wakili, demi mendahulukan rakyat (Kelantan) dan mengutamakan pencapaian?

Tengku Razaleigh sebenarnya memang mempunyai keberanian yang mencukupi. Jika tidak kerana keberaniannya, mustahil beliau boleh menentang Dr. Mahathir Mohamad dalam perebutan jawatan Presiden Umno 1987 dahulu.

Atas sebab keberaniannya jugalah tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46 (S 46) yang menyebabkan ramai juga yang menang kerusi DUN dan Parlimen atas tiket parti itu, termasuk Allahyarham Kahar Ahmad di Muar, Tarikh Junid di Selangor, seorang di Jerantut dan ramai dari Kelantan.

Hari ini, apabila Tengku Razaleigh menyanggupi tawaran mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan ia sekaligus menafikan dakwaan beberapa pihak dalam Umno, kononnya Tengku Razaleigh hari ini bukan lagi Tengku Razaleigh yang pernah bertanding jawatan Presiden Umno dalam tahun 1987.

Malahan, Tengku Razaleigh sudah berjaya mencetuskan kontroversi kerana kesanggupannya menerima jemputan memberi ceramah sempena Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum, semalam.

Agaknya, Tengku Razaleigh sendiri sudah lama tidak berhadapan dengan 20,000 hadirin seperti mana majlis semalam, kerana jika program itu anjuran Umno atau BN, khalayak seperti itu mustahil akan dapat disaksikan!

Inilah kelebihan Pas – sikap dan disiplin penyokong-penyokongnya yang sentiasa bersedia memenuhi ruang untuk mendengar ceramah, lebih-lebih lagi dengan kehadiran tokoh-tokoh besar seperti Tengku Razaleigh duduk bersekali dengan Menteri Besar Kelantan.

Umno mungkin melihat Tengku Razaleigh tidak menyayangi parti itu lagi kerana sanggup menerima jemputan pembangkang, tetapi dalam masa yang sama, orang-orang Umno tidak pernah pun mahu memikirkan apakah yang mereka pernah beri kepada Tengku Razaleigh ketika Tengku Razaleigh yang mempunyai banyak pengalaman untuk berhadapan dengan rakyat.

Barangkali, mereka memikirkan, jika Tengku Razaleigh diberikan peranan, jawatan dan tugasan, menyebabkan Tengku Razaleigh akan menjadi popular hingga menyebabkan jawatan Presiden Umno tergugat.

Atau, mereka fikir, Tengku Razaleigh sudah tidak mempunyai apa-apa pengaruh lagi kepada khalayak yang menyebabkan mereka mahu Tengku Razaleigh dijauhkan dari mata dan ingatan rakyat!

Hari ini, jika Umno mahu menyenaraikan ‘musuh-musuh’ baru mereka, satu senarai panjang akan dilihat. Selain Tengku Razaleigh, Dr. Mahathir Mohamad juga bolehlah dianggap sebagai seorang bekas pemimpin Umno yang tidak memberi keuntungan kepada Umno.

Serangannya terhadap ura-ura Umno mahu mencalonkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon BN di DUN Bagan Pinang tidak lama dahulu sudah cukup merimaskan. Ini belum lagi soal kekosongan jawatan Pengerusi dan Pengarah Urusan Petronas di mana beliau adalah Penasihatnya.

Dr. Mahathir juga dilihat sering berbalah dengan Menteri-Menteri Kabinet, antaranya Datuk Mohd Nazri Aziz – isu terbaru soal kursus anjuran BTN yang menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak campurtangan dan meminta semua pihak mengunci mulut dari memperkatakannya.

Ini belum masuk nama-nama seperti Datuk Seri Chua Jui Meng, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saifuddin Nasution Ismail dan ramai lagi, mereka yang pernah memegang jawatan dalam parti dan kerajaan.

Tengku Razaleigh dan Dr. Mahathir masih ahli Umno. Namun, kecenderungan mereka bercakap benar menyebabkan Umno resah dan gelisah.

Tidak hairanlah kalau Tengku Razaleigh memberitahu kawan-kawan rapatnya, beliau perlu menjelaskan hutangnya kepada rakyat Kelantan dalam isu perjanjian royalti antara Kelantan dengan Petronas.

Hari ini, jika terlintas di fikiran Najib mahu memberikan jawatan kepada Tengku Razaleigh, mungkin ia sudah terlambat. Tengku Razaleigh tidak mungkin mahu berundur setapak ke belakang demi menerima jawatan dan tawaran.

Tengku Razaleigh bukan budak-budak yang boleh disuapkan dengan gula-gula untuk menutup mulutnya dari bercakap perkara-perkara yang benar. Malahan, Najib mungkin tidak mempunyai cukup keberanian untuk menawarkan apa-apa jawatan dan peranan kepada Tengku Razaleigh sekarang, selepas Najib berkeras tidak mahu memberikan royalti kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Siapa Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Dr. Awang Adek Hussein dan Datuk Ibrahim Ali yang mahu tampil bercakap soal royalti dan ihsan selagi Tengku Razaleigh ada di maya pada ini?

Jumaat, 29 Januari 2010

Polis Pertahan Tindakan Tembak Ke Arah Ibu Tunggal

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman hari ini mempertahankan tindakan anggotanya melepaskan lima das tembakan ke arah kereta dinaiki seorang ibu tunggal bersama tiga rakannya di Lebuh Raya Lingkaran Tengah pada Oktober tahun lepas.

Beliau berkata siasatan mendapati anggota berkenaan telah menjalankan tugas mengikut undang-undang dan wanita berkenaan tahu apa sebenarnya yang berlaku.

"Dia boleh mengatakan apa pendapatnya tetapi dia harus tahu dengan siapa dia bercampur, dalam keadaan kereta mana dia berada...dia tahu semuanya dan kita tahu bagaimana anggota kita tidak bersalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Semalam, wanita berusia 30 tahun itu membuat aduan kepada Parti Keadilan Rakyat dengan mendakwa pada 30 Oktober tahun lepas, dia ditembak ketika berada dalam kereta bersama tiga rakannya ketika dalam perjalanan ke Segambut.

Muhammad Sabtu berkata pihak polis tidak akan menghalang sekiranya wanita itu mahu membawa kes tersebut ke mahkamah kerana polis mempunyai alasan kukuh bahawa mereka menjalankan tugas secara beretika.