HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Februari 2014

Daim kritik Najib selepas kritik Anwar....sebenarnya mereka tu sama sahaja



Daim sudah terlalu jauh mengkritik Najib dan cuba menunjukkan bukti-bukti mengikut interpretasi beliau sendiri diatas segala kegagalan Najib sebagai Perdana Menteri. Sebenarnya baik Daim mahu pun Dr Mahathir, mereka tidak boleh dari segi moralnya mengkritik Najib sedemikian rupa. Yang boleh mengkritik Najib itu adalah orang lain…orang-orang seperti saya dan ramai yang lain kerana kami yang mengkritik ini tidak pernah bertanggungjawab menaikkan Najib sehingga menjadi Perdana Menteri.

Seperti Dr Mahathir, Daim juga merupakan pemimpin yang bersama Dr Mahathir menaikkan semua pemimpin yang mewarisi kepimpinan Dr  Mahathir yang mereka (Daim, Mahathir) menjadi Perana Menteri itu. Abdullah Badawi dan Najib merupakan pemimpin yang sudah diatur-atur oleh Dr Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri semasa mereka ini semuanya sebalok dengan Mahathir dan Daim ini.

Tanpa kemahuan Dr Mahathir dan sokongan Daim semasa itu Abdullah dan Najib tidak mungkin dengan mudah menjadi Perdana Menteri. Sesungguhnya Daim dengan Dr Mahathir itu adalah sama. Mahathir yang 'terkentut-kentut', Daim pula yang 'ke tandas'. Daim itu sendiri tidak akan kemana-mana jika beliau tidak di bawa oleh Dr Mahathir untuk menggantikan Tengku Razaleigh sebagai Menteri Kewangan selepas perhimpunan agung UMNO pada tahun 1984 dahulu.

Kami masih ingat Daim telah menjadi kaya raya selepas hanya beberapa bulan sahaja menjadi Menteri Kewangan. Sebelum itu seperti ramai yang lain menghadapi terlalu banyak masalah perniagaannya. Pendeknya kekayaan beliau sekarang bermula setelah beliau menjadi Menteri Kewangan dan Bendahari Agung UMNO pada tahun 1984 dahulu. Ramai yang tidak tergulung kedalam kumpulan ‘Melayu mudah lupa’ yang di sebut oleh Dr Mahathir suatu ketika dahulu.

Untuk mengingatkan Dr Mahathir dan Daim ini, masih ramai orang melayu atau ahli-ahli UMNO (asal) dahulu tidak lupa-lupa kepada apa-apa yang Daim lakukan untuk dirinya terutamanya selepas sahaja beliau diangkat menjadi Menteri kewangan dahulu. Kita boleh singkap segala kerja yang tidak senonoh yang bertentangan dengan etika kepimpinan sebuah negara demokrsi berparlimen negara kita.

Perlantikan beliau ke dalam kabinet pada Jun 1984 dahulu adalah untuk memudahkan segala niat dan kemahuan peribadi pucuk pimpinan semasa itu mudah diperlakukan. Selagi ada pemimpin seperti Tengku Razaleigh dalam kabinet beliau (Mahathir) selagi itulah beliau susah untuk melakukan sesuka hati beliau dalam kabinet itu.

Maka menggantikan TR dengan Daim itu merupakan tindakan yang menambah ‘expediency’ untuk beliau melakukan apa yang beliau mahukan dan melanggar etika kepimpinan sebuah kerajaan demokrasi itu. Malahan perlantikan beliau sebagai Menteri Kewangan melalui jalan Dewan Negara (senator ship) itu sendiri sudah melanggar etika jika dipandang dari sudut amalan sebuah negara berdemokrasi yang maju. Dalam banyak negara maju perlantikan Menteri Kewangan itu selalunya adalah dari ‘elected representative’.

Contohnya (the exchequer) atau Menteri yang bertanggungjawab tentang kewangan di Britain selalunya dilantik dari kalangan ‘elected representatives’ dan tidak dilantik mengikut kemahuan Perdana Menteri sahaja. Hanya di negara-negara dunia ketiga sahaja mungkin terdapat seorang Menteri Kewangan itu masuk kabinet melalui ‘pintu belakang’. Tetapi Daim yang belum pernah dipilih oleh rakyat semasa itu dilantik oleh Perdana Menteri Mahathir diatas kedudukan beliau sebagai Ahli Dewan Negara yang di lantik.

Daim telah menyelesaikan masalah beliau sebaik sahaja menjadi Menteri Kewangan dan dalam jangka masa yang pendek sahaja Daim terkenal sebagai  'the economic czar' oleh mereka yang menjadi kroni kepada beliau sedangkan beliau menjadi seorang yang begitu tinggi kehartawanannya hanya sesudah menjadi Menteri Kewangan. Beliau sendiri tahu hal ini.

Hanya beliau menggunakan ‘ignorance’ pihak ramai itu sahaja yang membuatkan beliau sebagai seorang yang kononnya sangat ber ‘consequence’ dalam politik dan kerajaan negara ini. Hanya semasa itu mereka yang sedang mengelilingi Daim itu masih ‘kencing bercabang’ dan kurang arif untuk membuat penelitian terhadap pemimpin yang dianggap ‘czar’ oleh setengah pihak ini.

Hanya sekarang kumpulan Daim dan Mahathir ini sedang mencari pilihan yang baru untuk memerintah negara dan jika boleh yang terpilih nanti biarlah dikalangan mereka yang kumpulan ini boleh genggam dan mempengaruhi kepimpinan baru itu nanti. Ini lah yang Dr Mahathir dan Daim belum mendapatnya….iaitu seorang Perdana Menteri yang boleh mengikut kata-kata dan kehendak mereka sekarang ini.

Semasa Anwar berkuasa, dan masih bersama Dr Mahathir, Daim sering ke rumah Anwar dan pernah menulis betapa hebatnya Anwar dan Anwar sahajalah yang boleh menjadi pemimpin negara walaupun pada kami yang memahami keadaan sebenarnya kami tahu yang Anwar itu dipilih atau dilantik oleh Dr Mahathir untuk kepentingan mereka sendiri.

Sekarang Anwar sudah menunjukkan siapa beliau sebenarnya maka Anwar menjadi sasaran mereka dan mengalih pula sokongan untuk Najib dengan membuang Pak Lah yang terbukti seorang yang ‘degil’ dan tidak mahu mempedulikan kehendak kumpulan ini. Sekarang Najib pula seorang yang ‘degil’ dan tibalah masa dan giliran Najib pula untuk menerima padah dari bersandar kepada kumpulan ini untuk menaiki takhta kepimpinan negara.

Justeru sekarang ini apa yang sedang berlaku dan kekalutan politik sekarang ini semata-mata kerana kepentingan mereka yang besar-besar ini sahaja. Mereka adalah dari acuan yang sama seperti yang disebut oleh blog ini acapkali. Mahathir, Daim, Anwar, Najib dan Muhyiddin serta pucuk pimpinan beberapa orang pemimpin dalam kerajaan yang tinggi itu sama sahaja.

Hanya kita yang dibawah-bawah ini cuba hendak bermain politik dan sanggup bergaduh sesama sendiri dengan ‘name calling’ yang buruk seperti mem'babi'kan sesama sendiri dan banyak lagi istilah-istilah yang terhambur dari mulut penggiat-penggiat yang baru hendak masuk politik sekarang ini.

Akhirnya mereka sesama mereka juga yang untung, baik dari pihak Anwar misalnya mahu pun dari pihak yang bertentangan. Pergaduhan diantara mereka tidak kena mengena dengan perjuangan untuk rakyat. Kata-kata memperjuangkan untuk rakyat itu hanyalah lagu yang dinyanyikan oleh 'lidah yang tidak bertulang' mereka sahaja.

Masing-masing pemimpin besar-besar sekarang yang sedang sibuk itu, hanya menggunakan rakyat sebagai kubu pertahanan masing-masing, kerana rakyat rela diperlakukan begitu.

Buat sekarang ini rakyat Kajang sedang dibawa kekancah perebutan harta rampasan yang ada di Putrajaya itu. Tidak kurang dan tidak lebih dari itu. Dalam perebutan itu adalah dikalangan pengikut masing-masing mendapat habuan atau berharap untuk habuan, jika kumpulan masing-masing berjaya mendapatkan harta rampasan itu.

Laporan tahunan Tadmax bukti nilai tanah dibeli 1MDB naik mendadak


tony pua 2



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua hari ini mengemukakan Laporan Tahunan Tadmax Resources Berhad, yang membuktikan nilai tanah 310 ekar di Pulau Indah yang dibeli 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memang naik mendadak dalam masa dua setengah tahun.

Beliau sebelum ini mendedahkan kenaikan mencurigakan itu, namun Ketua Pegawai Eksekutif Tadmax, Datuk Faizal Abdullah mendakwa nilai itu munasabah.

Malah, Faizal yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Kapar menuduh Tony melakukan kesilapan, kerana kenaikan nilai itu adalah dalam masa lapan tahun.

“Mujurlah selepas saya lihat Laporan Tahunan Tadmax sekali lagi, saya belum hilang kebolehan untuk membaca dan mengira dengan betul,” katanya sinis.

Memetik laporan tahunan itu, Tony berkata, proses penilaian semula pada 11 Mei 2007 menunjukkan harga tanah adalah RM163.1 juta (RM9.88 sekaki persegi), manakala pada 4 Ogos 2011 pula meningkat kepada RM163.86 juta (RM9.93 sekaki persegi)

“Mungkin Faizal tidak tahu baca laporan tahunan syarikatnya sendiri. Terima kasih kepada beliau, penemuan ini sebenarnya timbulkan lebih banyak persoalan terhadap pembelian 1MDB.

“Antara 11 Mei 2007 hingga 4 Ogos 2011, nilai tanah kosong itu hanya naik 0.5 peratus daripada RM9.88 kepada RM9.93 sekaki persegi.

Namun tanpa sebab yang belum diketahui, antara 4 Ogos 2011 hingga 24 Januari 2014 (dua tahun setengah), nilainya naik mendadak sehingga 136.7 peratus, daripada RM9.93 kepada RM23.50 sekaki persegi – nilai yang dibayar 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 20 Februari lalu, Tadmax mengumumkan pengambilalihan tanah itu melalui perjanjian jualan saham dengan Ivory Merge Sdn Bhd untuk menjual 310 ekar tanah bernilai RM317.3 juta secara tunai.

Tadmax dulu dikenali Wijaya Baru Global Berhad, terbabit dengan skandal RM12.5 bilion Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Dengan sinis, Tony ‘memuji’ Faizal dengan berkata, “Walaupun saya masih boleh membaca dan mengira, saya tak dapat tandingi kebolehan beliau untuk jual tanah kepada pihak berkaitan kerajaan dan buat untung besar.

“Dulu, syarikatnya menjual tanah 753 ekar di Pulau Indah kepada Port Klang Authority (PKA) dengan harga menggunung, RM1.09 bilion pada 2004 yang menyebabkan skandal PKFZ. Kini, beliau dapat jual tanah 379 ekar kepada 1MDB dengan harga RM317.3 juta,” katanya lagi.

1MDB perlu beri penjelasan

Sehubungan itu, beliau mendesak 1MDB menjelaskan sebab pembelian tanah itu dan memberi jaminan yang ia bukan untuk menyelamatkan Tadmax.

“Kedudukan kewangan Tadmax sangat parah, dengan jumlah kerugian RM8.52 juta dan perolehan hanya RM3.55 juta. Melihat sejarah Tadmax – pembabitannya dengan badan kerajaan dan krisis kewangan yang dialami, 1MDB perlu jelaskan pembelian itu dan beri jaminan kepada rakyat yang ia bukan satu ‘bail-out’ kepada Tadmax,” katanya lagi. -Roketkini.com

28 loji air Pahang catat bacaan rendah


Paip


KUANTAN - Sebanyak 28 daripada 80 loji rawatan air di Pahang mencatat paras bacaan rendah akibat kemarau dan beberapa faktor lain.

Pegawai Perhubungan Awam Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Datuk Jafar Abdullah berkata, loji berkenaan terletak di lapan daerah yang mendapatkan sumber air dari anak Sungai Pahang dan Sungai Pahang.

Katanya loji terbabit terletak di daerah Lipis (7), Jerantut (5), Temerloh (4), Maran (4), Pekan (3), Bentong (3) dan masing-masing satu di Rompin dan Bera.

"Sekiranya musim kemarau berlarutan lebih lama, ia akan menyebabkan loji-loji yang mencatatkan paras rendah ini terpaksa ditutup," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata selain kemarau, faktor yang dikenal pasti menjadi punca penyusutan bacaan air ialah aliran air sungai di muka sauk yang tersekat oleh longgokan pasir hingga menyebabkan air mengalir ke arah lain.

Sehubungan itu menurut Jafar, kerja membuang longgokan pasir di muka sauk loji sedang dilakukan, selain membina benteng pasir di tebing sungai berhampiran muka sauk, bagi melancarkan semula aliran air ke dalam loji.

"Air di 28 buah loji terbabit bagaimanapun masih mampu untuk menampung bekalan kepada pengguna di kawasan itu," katanya.

Mengikut rekod, Pahang membekalkan air kepada hampir dua juta pengguna dengan kadar penggunaan lebih 34 juta meter padu sebulan. - Bernama

Taib letak jawatan: Kenapa tiada komentar?


Saifuddin Nasution


SHAH ALAM - Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution hari ini secara sinis mempersoalkan tindakan yang diambil terhadap  Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud akan meletak jawatan di Dun Balingian, pada 28 Februari ini.

Menurutnya, apabila perkara itu dilakukan oleh Abdul Taib tiada komen dikeluarkan.

"Taib Mahmud kosongkan Dun Balingian untuk menjadi Tuan Yang di-Pertua...khianat demokrasi?

"Bazir wang rakyat buat pilihanraya kecil?

"Kenapa sunyi sepi suara komentar?," katanya dalam laman Twitternya hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan perletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh telah menerima kritikan hebat daripada pemimpin dan NGO pro-kerajaan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak turut menyifatkan PRK Kajang pada 23 Mac ini adalah pembaziran wang awam oleh PR.

Najib berkata keputusan mengadakan pilihan raya itu hanya sekadar untuk menyelesaikan perebutan kuasa dalam PKR.

Tamparan wanita mampu gugat Anwar di Kajang


Chew Mei Fun PRK Chew Mei Fun


SHAH ALAM- "Sejarah telah membuktikan bahawa calon wanita boleh menang di Dun Kajang, ini terbukti dengan kemenangan calon wanita di Dun tersebut sebelum ini," demikian menurut penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Mohd Fuad Mad Jali.

Sehubungan itu katanya, tidak mustahil calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun mampu mengembalikan kegemilangan BN di kerusi berkenaan.

Fuad yang merupakan pensyarah Sains Sosial (Geo-Politik) itu berkata, berbanding calon lelaki, calon wanita seolah-olah mampu 'mencairkan' pesaingnya sehingga mati akal untuk membuat serangan, di tambah dengan rasa ihsan lelaki terhadap wanita.

"Saya rasa Chew Mei Fun mampu memberi tamparan terhadap Anwar.

"Ini kerana sebelum ini calon wanita pernah menang di kerusi tersebut, di samping 'track record' Mei Fun yang bersih sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian Online.

Untuk rekod, kerusi Dun Kajang pernah disandang oleh Datin Paduka Low Lee Leng dari MCA sebelum ditewaskan Lee Kim Sin dari PKR pada PRU12.

Menurut Fuad lagi, calon wanita punya kelebihan kerana ia sukar "disentuh" pihak lawan.

"Berbanding calon lelaki, serangan terhadap calon tersebut mudah untuk dibuat kerana banyak isu boleh dijadikan senjata, manakala calon wanita kita kena berhati-hati untuk menyerang kerana banyak perkara yang sensitif tidak boleh disentuh, di samping hati wanita mampu untuk menyentuh hati masyarakat kerana mereka ini penuh dengan nilai kasih sayang, sebab itulah saya rasa Mei Fun mampu membuat kejutan nanti," ujarnya.

Sementara menyentuh mengenai calon Bebas, Datuk Zaid Ibrahim, Fuad yakin kehadiran Zaid hanya menjadi penambah perisa kepada PRK Dun Kajang sahaja.

"Saya rasa Zaid tidak mampu memberi tentangan, PRK Dun Kajang adalah pertembungan BN dan PR bukan untuk parti Bebas," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Dun Kajang akan diadakan pada 23 Mac ini manakala penamaan calon pada 11 Mac.

Tujuh Wilayah Bakal Alami Tekanan Air Rendah, Putus Bekalan - Syabas

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Kira-kira 1.2 juta pengguna dari 300,000 isu rumah di beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mula mengalami kesan terputus bekalan air atau tekanan rendah, ekoran pengurangan pengeluaran air terawat oleh lima loji rawatan air (LRA) atas arahan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (Upen), Rabu.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Priscilla Alfred berkata ia melibatkan tujuh wilayah sekitar Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

"Rezab bekalan air sedia ada yang sangat kecil dan dalam keadaan biasa sudah tidak mampu untuk menampung paras permintaan pengguna kerana kelima-lima loji rawatan air tersebut membekalkan 60 peratus daripada keperluan air terawat bagi kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) iaitu pihak yang bertanggungjawab terhadap sumber air mentah kerajaan Selangor telah mengeluarkan surat arahan pada 24 Feb lepas kepada Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) yang mengurus tiga loji berkenaan agar mengurangkan pengambilan air mentah sebanyak 200 juta liter sehari (JLH) dari Sungai Selangor.

Loji terbabit ialah LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 3 dan LRA Sungai Rasa manakala LRA Sungai Selangor Fasa 2 dan LRA Rantau Panjang diurus Puncak Niaga (M) Sdn Bhd.

Pada masa sama, ekoran arahan yang dikeluarkan oleh Luas dan Upen ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) telah mengarahkan Syabas menyediakan pelan pengagihan bekalan air berjadual bagi pengguna yang terlibat untuk dibentangkan kepada Span, Khamis.

"Jika pelan pengagihan bekalan air berjadual ini diluluskan Span, ia akan diumumkan kepada pengguna secara bersama oleh pihak Span dan Syabas pada 28 Feb ini untuk dilaksanakan mulai Ahad, 2 Mac 2014," kata Priscilla.

Syabas turut berharap pengguna yang terlibat dapat memahami situasi sebenar yang berlaku dan mengambil langkah untuk mengurangkan kesan yang bakal dialami.

Sementara itu, bagi pengguna yang tidak terlibat, mereka disaran menggunakan air secara berhemah dan mengelak pembaziran kerana setiap penjimatan boleh disalurkan kepada kawasan yang terlibat dengan gangguan. - BERNAMA

Memo mansuh PBS diserah pada sidang Parlimen, Mac depan

KEADILAAN DAILY

normala_sudirman
PUTRAJAYA : Memorandum bantahan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dihantar ke peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum diserah kepada Perdana Menteri.

Menurut Pengerusi Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) Normala Sudirman memorandum bagi pemansuhan PBS akan dihantar kepada Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat awal Mac depan.

Beliau hari ini bersama NGO pendidikan lain antaranya Majlis Kebajikan & Pembangunan Pendidikan (MAKPEN), Persekutuan Persatuan Lembaga Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Yayasan Tamil menyerahkan memorandum ke KPT.

Memorandum diserahkan kepada Timbalan Pengarah Pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Haji Sufa’at Tumin.

Antara kandungannya termasuk cadangan rundingan meja bulat berkaitan sistem PBS dan seterusnya meminta kerajaan membentangkan kajian yang dilakukan kerajaan sebelum PBS dilaksana pada tahun 2011.

Selain itu, memorandum mendesak KPM menghentikan tindakan tidak profesional dan penganiayaan kepada warga pendidik yang dipandang remeh pihak Kementerian.

Ketua Pemuda Gerakan Serah Memorandum Kepada Anwar Berhubung MoU Isu Air Selangor




PETALING JAYA: Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang pada Khamis menyerahkan memorandum kepada Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Selangor yang ditandatangani pada Rabu.

Tan berkata, usaha Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam pelaksanaan MOU tersebut seharusnya dijadikan iktibar kepada Pakatan Rakyat dalam projek masa depan yang dapat membantu rakyat.

"Pakatan Rakyat harus menerima secara terbuka usaha tersebut tanpa mengenakan sebarang kelewatan. Datuk Seri Anwar sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat haruslah meneliti semula polisi Pakatan Rakyat dalam menerima projek-projek dan usaha-usaha daripada Kerajaan Pusat untuk membantu rakyat.

"Kami berharap Mou semalam (Rabu) antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Pusat di bawah Barisan Nasional (BN) akan menjadi satu titik mula yang baharu antara hubungan di negeri-negeri Pakatan Rakyat dan Kerajaan Pusat.

"Ia (Mou) merupakan satu iktibar yang baik buat Pakatan Rakyat pada masa depan, " katanya selepas menyerahkan memorandum berkenaan yang diterima oleh Setiausaha Politik Anwar, Mohd Shukri Md Saad sebagai wakil di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Khamis.

Kerajaan Persekutuan dan Selangor pada Rabu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menstrukturkan semula industri air di Selangor.

Langkah berkenaan juga dilihat sebagai membuka laluan kepada pelaksanaan Loji Air Langat 2 (Langat 2) yang tertangguh sejak 2010.

Tan turut berkata, Pakatan Rakyat seharusnya perlu melangkah ke hadapan dengan mengetepikan perbezaan politik.

"Apa yang dilakukan oleh Tan Sri Khalid apalah betul. Kita menyokong sepenuhnya terhadap penerimaan beliau dalam usaha yang dilakukan oleh Kerajaan BN di negeri-negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat.

"Kerajaan Pusat tidak mengetepikan mana-mana pihak termasuk kerajaan Pakatan Rakyat selagi kerajaan negeri dapat menerima usaha-usaha dan inisiatif daripada Kerajaan BN, " katanya.

Menurut Tan, beliau berharap penerimaan dikalangan Pakatan Rakyat seharusnya konsisten dan tidak bergantung pada satu projek sahaja.

"Kerajaan negeri di Kelantan, Pulau Pinang juga Selangor perlu konsisten terima mana-mana yang baik untuk rakyat tanpa menyebabkan sebarang kelewatan," katanya.

Projek 1MDB: Tarif elektrik lebih mahal, rakyat tanggung beban

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Kenaikan tarif elektrik mungkin akan terus berlaku jika kerajaan menganugerahkan projek jana kuasa arang batu 2,000MW, atau projek 3B kepada Syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa meminta kerajaan tidak menganugerahkan projek tersebut kepada 1MDB kerana rakyat yang akan menanggung beban kenaikan tarif elektrik.

Menurut Husam, syarikat lain yang bersaing dengan 1MDB ialah YTL Corporation Berhad.
Bagaimanapun, 1MDB memenangi kontrak dengan bidaan pada harga 25.65 sen per kwh walaupun YTL Power membida pada kadar 25.23 per kwh.

elektrik“Kalau 1MDB dipilih, kita akan membayar elektrik yang lebih mahal kepada 1MDB iaitu perbezaan 0.42 sen per kWh.

“Perbezaan ini menunjukkan perbezaan sejumlah RM2 bilion sepanjang 25 tahun tempoh konsesi.

“Adakah rakyat Malaysia perlu membayar kos elektrik yang lebih mahal semata-mata nak bayar kepada 1MBD sedangkan ada saingan yang lebih murah dengan saingannya YTL,” kata Husam, dipetik Harakah Daily pada sidang media di Pejabat Agung PAS, semalam.

Selain itu, beliau turut mempersoal 1MDB yang membayar harga lebih mahal sebanyak RM2.65 bilion untuk syarikat penjana kuasa bebas(IPP) Ananda dan Genting.

Pada Mac 2012, 1MDB membelanjakan RM8.5 bilion untuk membeli Tanjong Energy Holding.
Pada Ogos 2012, 1MDB berbelanja sebanyak RM2.35 bilion untuk membayar faedah 75 peratus Genting Sanyen Power.

“1MDB menghasilkan perolehan sebanyak RM1 bilion setahun. Jumlah yang hanya cukup untuk membayar bunga tetapi masih tidak mencukupi untuk membayar hutang secara keseluruhan,” kata Husam.

Tambah beliau, mengikut perolehan dari Internal Rate of Return (IRR) yang lazimnya digunakan untuk mengukur keuntungan pelaburan dan rata-rata kadar yang biasa diperlukan adalah antara 10 hingga 12 peratus.

IRR bagi Tanjong Energy Holding ialah sebanyak 5.2 peratus manakala IRR bagi Genting Sanyen Power ialah 0.5 peratus.

“Mengikut kadar semasa untuk mendapatkan IRR 10 peratus, 1MDB perlu membayar hanya RM8.2 bilion iaitu RM2.65 bilion lebih tinggi. Megapa ini terjadi?” soalnya.

Meet Anwar Negeri Sembilan di Seremban, Ahad ini

KEADILAN DAILY


MeetAnwar_Neg9


KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim Club (AIC) akan mengadakan program ‘Meet Anwar Negeri Sembilan’ pada hari Ahad, 2 Mac ini bertempat di Seremban.

Program yang akan diadakan di Plum Hall, The Royale Bintang Hotel, Seremban terhad kepada 200 peserta dan bermula pada jam 3 petang.

Mereka yang berminat boleh berdaftar di www.anwaribrahimclub.com atau emel ke aic.msia@gmail.com.

Sebarang maklumat lanjut berhubung program digalakkan menghubungi sekretariat program di talian 012-2294064