HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Januari 2017

Abu Kassim tidak pohon jadi ahli, kata Amanah Kedah

MALAYSIA DATELINE
 
 
(dari kiri) Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Abu Kassim Abdullah.(dari kiri) Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Abu Kassim Abdullah.


Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah sentiasa bersikap lapang dada dan membenarkan pentasnya digunakan oleh semua pihak yang memperjuangkan Islah dan pembaharuan.

Pengarah Komunikasinya Ridzwan Abu Bakar berkata, kehadiran Datuk Abu Kasim bekas pengerusi tetap Pas pusat di pentas ceramah parti Amanah, semata-mata untuk menyatakan komitmen dan keazaman beliau untuk bersama perjuangan rakyat bagi menyelamatkan negara Malaysia.

"Ustaz Datuk Abu Kasim tidak pernah memohon menjadi ahli Amanah.

"Beliau pernah menyertai beberapa program anjuran Amanah Kedah, khususnya di kawasan Jerlun. Bahkan beliau pernah menganjurkan majlis mahabbah dan santai petang bersama ustaz Ahmad Awang.

"Isi kandungan ceramah beliau ialah melahirkan rasa 'cemuih' beliau terhadap krisis dan juga adab dalam parti Pas yang makin terhakis.

"Beliau juga menyatakan komitmen dan keazaman untuk bersama perjuangan rakyat bagi menyelamatkan negara Malaysia," ujarnya dalama satu kenyatana.

Ridzwan mengulas mengenai panggilan dan mesej telefon bimbit yang diterimanya sejak akhir-akhir ini yang mana terdapat pihak  mahu mengetahui lebih lanjut sama ada kehadiran Abu Kassim dipentas Amanah.

Abu Kassim pernah mengumumkan keluar Pas dan masuk Amanah satu ketika dulu kemudiannya mengisytiharkan semula masuk Pas.

"Sebagai sebuah parti yang demokratik, Amanah sentiasa bersikap terbuka untuk setiap orang menyatakan prinsipnya dan kami sesekali tidak akan mengamalkan budaya melabel dan mentakfirkan sesiapa.

"Semoga Allah kurniakan kesihatan yang terbaik untuk Us Datuk Abu Kasim Abdullah," katanya.

Padah pinjam ah long, bapa ditikam depan mata

Padah pinjam ah long, bapa ditikam depan mata
Mohad Idris (kanan) menunjukkan kedua-dua wajah suspek yang kini giat dikesan. - Foto Sinar Harian

TANGKAK - Tindakan seorang bapa yang cuba berunding dengan anggota kumpulan ceti haram selepas kediaman mereka diserang menemui padah apabila dia ditikam oleh salah seorang daripada individu ahli kumpulan terbabit.         

Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, mangsa berusia 46 tahun yang bekerja sebagai mekanik mesin jahit telah ditikam oleh salah seorang daripada suspek menggunakan senjata tajam dipercayai pisau sejurus keluar daripada rumahnya.

“Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi pada sambutan Tahun Baru Cina, tiga suspek telah menyerang rumah mangsa bagi menuntut sejumlah hutang yang dipinjam oleh anak lelakinya.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga ahli kumpulan terbabit turut menimbulkan kekecohan dengan membakar motosikal mangsa sebelum mangsa bertindak keluar rumah bagi melihat keadaan motosikalnya.

“Bagaimanapun tindakan berani mangsa akhirnya menemui padah apabila dia ditikam oleh salah seorang daripada suspek berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Menurut beliau, keadaan mangsa kini dilaporkan stabil selepas mendapat rawatan di Hospital Tangkak.
Mohad Idris berkata, cubaan menjejaki ketiga-tiga suspek kini giat dijalankan dan dua daripada mereka telah dikenal pasti identiti iaitu Ker Chian Hau berusia 25 tahun dan Vincent Jauy Joo Sen, 24 tahun.

Banjir berulang satu musim dianggap anomali

SINAR HARIAN
Banjir baru


KUALA TERENGGANU - Bencana banjir yang melanda negeri pantai timur pada musim tengkujuh adalah suatu yang lazim bagaimanapun musibah yang melanda Terengganu menyebabkan banjir berulang tiga kali pada tahun ini,  berbanding kebiasaannya hanya dua kali untuk satu musim monsun, dianggap anomali atau keadaan abnormal.

Selain itu beberapa kampung seperti di Hulu Terengganu dan Besut yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir, turut mengalami bencana itu.   

Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur, Dr Hafizan Juahir  berkata ada beberapa faktor, yang membawa kepada musibah banjir di pantai timur iaitu pertama, sistem saliran yang tidak berfungsi; kedua, penggunaan atau aktiviti guna tanah yang tidak terancang dan ketiga, perubahan cuaca dunia.

"Selain itu ia turut didorong faktor semula jadi seperti taburan hujan yang tinggi pada musim monsun," katanya.

Menurutnya, daripada pengamatan beliau terutama di Terengganu, sistem saliran kebanyakannya tidak bersambung dengan longkang besar dan juga sistem sungai.

Hafizan berkata ini menyebabkan apabila berlaku hujan lebat, air terperangkap dan tidak mengalir serta lambat surut.

"Berdasarkan pemerhatian saya juga, kebersihan kurang diberi perhatian, sampah, rumput dan tumbuh-tumbuhan yang hidup dalam ekosistem berair tumbuh meliar di dalam sistem saliran.

"Keadaan ini menyebabkan aliran air tersekat. Bila berlaku hujan air akan cepat naik dan mengakibatkan banjir," katanya.

Menurut Hafizan, faktor kedua iaitu pembangunan yang tidak terancang juga mempengaruhi berlakunya banjir khususnya banjir kilat di kawasan yang padat dengan penduduk.

"Banjir kilat tetap terjadi walaupun setiap kali banjir kerajaan akan memperuntukkan jutaan ringgit untuk memperbaiki sistem saliran, mendalamkan sungai dan lain-lain kaedah mitigasi banjir.

"Keadaan ini berlaku akibat daripada aktiviti guna tanah yang tidak terancang dan di luar kawalan. Ini akan mengakibatkan sistem saliran dan sungai menjadi cetek akibat daripada pembukaan tanah (kawasan tanah diterangkan)," katanya.

Hafizan berkata, situasi berkenaan disebabkan apabila hujan, partikel tanah yang tidak lagi dipegang oleh akar tumbuhan, dengan mudah dibawa air larian permukaan ke dalam sistem saliran, seterusnya masuk ke dalam sungai.

"Partikel atau kelodak (lumpur) akan mendap di dalam sistem saliran dan dasar sungai. Ini akan mengakibatkan sistem saliran tersumbat dan sistem sungai menjadi cetek," katanya.

Faktor ketiga katanya, iaitu perubahan cuaca global (GCC) perlu diambil kira. GCC telah mengakibatkan peningkatan suhu dunia yang meningkatkan paras air laut akibat daripada pencairan ais di kutub utara dan selatan.

"Situasi ini telah memburukkan lagi keadaan apabila berlakunya pertembungan fenomena air pasang dan banjir mengakibatkan air tidak dapat mengalir ke laut," katanya.

Sehubungan itu, Hafizan meminta pihak berkaitan memberi perhatian terhadap ketiga-tiga faktor itu agar perubahan dapat dibuat, sekali gus mengelak rakyat terus dihantui trauma dan kerugian akibat musibah banjir saban tahun.

Walaupun bencana banjir tahun ini dianggap anomali, namun ia melakar hikmah tersendiri, iaitu perubahan positif dari segi koordinasi pasukan keselamatan dan kebajikan dalam membantu memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lef Kol Che Adam Abdul Rahman berkata kelicinan operasi adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk pihak Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan Kampung (JKKK) yang telah diberi latihan di peringkat awal khususnya dalam tindakan segera sekiranya bencana banjir berlaku di kampung mereka sebelum keadaan bertambah buruk.

"APM yang telah dilantik selaku sekretariat bencana negeri dalam tempoh dua tahun ini, telah melatih JKKK menerusi simulasi bencana supaya mereka dapat memberi pendidikan keselamatan kepada penduduk kampung untuk tindakan segera jika berlaku banjir.

"Dengan cara ini, alhamdulillah, setakat empat fasa banjir yang berlaku pada November 2016 hingga pertengahan Januari lalu, semua mangsa banjir dapat dipindahkan dengan selamat ke pusat pemindahan yang ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tiada berlaku kelewatan pemindahan atau mangsa yang terperangkap.

"Kami juga mengucapkan syabas kepada JKM yang turut bertungkus lumus dan bekerja tidak kira siang atau malam dalam memastikan kebajikan dan keselamatan penghuni pusat pemindahan terjamin sepanjang mereka berada di situ," katanya. - Bernama


Siti Aishah bersuara mengenai hidup kurungan 40 tahun

mStar Online ·


Siti Aishah dikurung selama 40 tahun

Mangsa perhambaan kumpulan Maoist di London, Siti Aishah Abdul Wahab akhirnya bercakap kepada media mengenai pengalamannya sebagai hamba dalam sebuah dokumentari di BBC2.

Dokumentari berdurasi sejam itu bertajuk ‘The Cult Next Door’ yang memaparkan kehidupan kumpulan yang diketuai Aravindan Balakrishnan yang juga dikenali sebagai ‘Komrad Bala’.

Balakrishnan yang merupakan ketua ektresmisme komunis Maoist berjaya mempengaruhi anggotanya bahawa dirinya adalah abadi dan mempunyai kuasa ghaib.

Pada Januari tahun lalu, dia dipenjarakan selama 23 tahun selepas didapati bersalah kerana merogol dua pengikutnya dan mengurung anak kandung, Katy Morgan-Davies selama lebih tiga dekad sejak dilahirkan.
Bagaimanapun, dia dipengaruhi kumpulan itu sehingga terputus hubungan dengan keluarganya.

Menerusi dokumentari tersebut, Siti Aishah yang kini berusa 72 tahun mendedahkan bagaimana Balakrishnan membuat tuduhan liar dan membuatkan para pengikut mengikut peraturan peliknya.

Sebagai contoh, mereka tidak dibenarkan berjumpa doktor gigi.

Sebaliknya, katanya, mereka seharus membiarkan gigi mreka ‘tercabut sendiri’ dan gigi mereka tumbuh semula apabila berusia 100 tahun.

Balakrishnan memberitahu bahawa salah seorang anggota, Sian Davies mengandung Katy disebabkan perutnya membesar kerana gas.

Sebaik sahaja Katy dilahirkan, Balakrishnan tidak mendedahkan siapa bapanya dan menghalang para pengikutnya daripada memeluk atau membelai bayi itu walaupun mereka membesarkan Katy.

Siti Aishah menjelaskan bahawa semasa Katy berusia empat tahun, kanak-kanak itu dikecam kerana tidak sengaja membuang air.

“Saya sangat marah mengenainya, saya bagaikan mahu melarikan diri dari rumah itu tetapi saya tidka buat,” katanya sambil menambah bahawa dia tidak pergi kerana tidak mempunyai wang dan bimbang akan diusir pulang.

Aravindan Balakrishnan dipenjara 23 tahun.

Walaupun dikurung dan didera secara fizikal, Siti Aishah bagaimanapun memberitahu dia gembira tinggal di dalam kumpulan itu.

“Saya merasakan setiap hari sangat menarik dan saya tidak pernah bosan. Sentiasa ada sesuatu yang baru untuk dipelajari. Ada sesuatu yang perlu dilakukan.

“Saya tidak dapat bayangkan saya mempunyai kehidupan lebih baik daripada itu,” kata Siti Aishah dalam dokumentari berkenaan.

Mengenai Balakrishnan, Siti Aishah berkata, lelaki itu begitu menjadi inspirasi buatnya dan merasakan dia berpengalaman untuk menjelaskan minda para pengikutnya mengenai apa yang perlu dalam kehidupan.

Orang kafir tak boleh menjadi ketua kerajaan Islam

 


Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, syarat utama sebuah kerajaan Islam ialah ia mesti ditadbir oleh seorang muslim.

“Tidak boleh Ketua Negara, Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menterinya seorang bukan Islam. Itu syarat utama sebuah kerajaan Islam.

“Kekuasaan Islam tidak akan tertegak menerusi seorang Ketua Menteri bukan Islam kerana ketiadaan akidah Islam tidak akan menjamin pelaksanaan Syariat Islam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, katanya, menaikkan elaun guru al-Quran, memberi tanah untuk pembinaan Mahkamah Syariah, membina masjid atau menyediakan peruntukan untuk agama Islam, bukannya ukuran utama keislaman sesebuah kerajaan.

Beliau berkata, pelaksanaan Islam di sebuah negara atau negeri tidak boleh bersifat tempelan, sebaliknya keislaman sesebuah kerajaan tergambar dengan Islam dijadikan dasar dan prinsip dalam semua aspek pengurusan dan pentadbiran bagi kementerian dan jabatan.

“Sesebuah kerajaan perlu menerima bahawa al-Quran dan al-Sunnah mesti menjadi rujukan. Sebuah kerajaan Islam mesti diperintah oleh seorang muslim yang adil yang tidak fasik melakukan dosa-dosa besar.
Seorang yang fasik melakukan maksiat berterusan tanpa taubat mana mungkin mampu menegakkan sebuah keadilan.

“Islam mesti diterima pada undang-undang ibadahnya, undang-undang kekeluargaannya, undang-undang kontrak dan transaksi kewangan, undang-undang jenayah, undang-undang antarabangsa, kehakiman dan politik pemerintahan. Riba tidak boleh menjadi paksi ekonomi dan kewangan kerana ia adalah ibu kerosakan.

“Jangan terpedaya dengan momokan untuk adil seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz jika akidahnya tidak seperti Umar bin Abdul Aziz, sementelah pula akhlaknya kerana keadilan itu tidak akan berlaku dan terlaksana tanpa akidah dan akhlak Islam,” katanya.

Biadap salah guna nama Saidatina Khadijah

ARIF ATAN
 
 
Aiman Athirah Al JundiAiman Athirah Al JundiAngkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Nasional menyifatkan penyalahgunaan nama Saidatina Khadijah bagi tujuan kepentingan politik sempit dalam satu program anjuran Dewan Muslimat Pas sebagai tindakan biadap.

Timbalan Ketuanya, Aiman Athirah Al Jundi berkata, program yang dinamakan sebagai Jelajah Saidatina Khadijah (Jelas) itu jauh lebih biadap dan membodohkan masyarakat berbanding penyalahgunaan istilah Wanita Pertama Malaysia (FLOM) sebelum ini.

"Sebagai hujah perbandingan, penyalahgunaan gelaran First Lady Of Malaysia (FLOM) oleh Rosmah Mansor misalnya pun, rakyat sangat berasa sensitif dan terhina atas rasa  penghormatan dan kasih kita kepada Seri Paduka Baginda Permaisuri Agung.

"Apatah lagi salahguna nama Saidatina Khadijah isteri kesayangan baginda saw. Atau mereka mahu mengatakan bahawa yang disebut Saidatina Khadijah dalam program ini adalah nama seseorang individu lain?

"Dalam isu salahguna nama dan posisi FLOM, kita katakan Rosmah Mansor sebagai biadab terhadap Seri Paduka Baginda Permaisuri Agung dan cuba memperbodohkan rakyat Malaysia. Dalam hal salahguna nama Saidatina Khadijah, saya anggap ia jauh lebih biadab dan satu usaha pembodohan ummat," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan sayap wanita Pas tersebut jelas menyalahgunakan nama salah seorang daripada Ummahatul Mukminin iaitu isteri-isteri Nabi SAW yang juga digelar sebagai 'Ibu Kepada Orang-Orang Yang Beriman' demi kepentingan politik kepartaian yang sempit.

"Bila disebut atau dinamakan program 'Jelajah Saidatina Khadijah', daripada sudut bahasanya ia menggambarkan jelajah siapa sebenarnya? Siapa yang dimaksudkan sebagai Saidatina Khadijah di situ?

"Siapa yang menjadi Saidatina Khadijah atau barangkali merasakan diri mereka setaraf dengan Saidatina Khadijah dalam jelajah tersebut yang difahamkan dibuat ke seluruh negara? Memandang ke hadapan, bolehkah nanti akan ada pula  yang memberikan nama program mereka 'Jelajah RasululLah SAW' atau 'Jelajah Muhammad SAW'?" bidasnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat pihak yang mungkin menganggap hal tersebut sebagai tidak sensitif sebenarnya hilang rasa hormat dan cintanya kepada Rasulullah SAW dalam erti kata sebenar.

"Yang ada cuma sesuka hati mempergunakan agama, bersifat selektif dalam melahirkan sikap prihatin mereka terhadap Nabi SAW dan isteri-isteri Baginda SAW," tegasnya.

Mengulas tanggapan pihak yang cuba mewajarkan pemakaian nama tokoh berkenaan kononnya sama seperti 'Jejak Rasul', Aiman Athirah berkata, program oleh sebuah produksi televisyen tempatan itu memberi maksud menyoroti kisah dan sejarah para rasul, sekaligus lokasi-lokasi sasaran yang dituju pula adalah tempat-tempat bersejarah para anbia bahkan tidak salah daripada sudut bahasa dan istilah.

"Ada juga yang cuba menjustifikasikan tindakan kelompok mereka melalui cara menyamakannya dengan penggunaan nama 'Muhammad Azhar' misalnya dan ia disimpulkan sebagai tidak salah. Persoalannya, adakah Saidatina Khadijah yang disebut dalam 'Jelas' itu adalah individu lain?

"Usaha 'pusing' dan 'pembodohan' ini adalah dua perkara yang sama dan kini menjadi tabiat politik mereka (Pas). Jika beza ini pun mereka tidak faham malah mahu dan cuba disamakan pula, saya simpulkan inilah antara sikap para pentaksub yang hanya mahu mempertahankan tindakan kelompok mereka sekalipun jelas mereka salah," ujarnya.

Jika Umno dan NGO Melayu lain, jelasnya, berasa sangat sensitif apabila masyarakat bukan Islam khususnya dalam kalangan pemimpin politik Pakatan Harapan memetik ayat al-Quran dalam hujah mereka, tindakan salahguna nama Saidatina Khadijah itu jauh lebih berbahaya.

"Malahan, salahguna nama siapapun tetap salah dan satu tindakan yang biadab. Apatah lagi apabila terkait dengan salah seorang Ummahatul Mukminin yang kita kasihi dan hormati," tambah Aiman Athirah lagi.

Tragedi Katamaran: identiti 6 masih hilang dikenal pasti

BERNAMA
 
 
Foto Bernama Foto Bernama


Identiti enam mangsa yang masih hilang dalam tragedi bot pelancong karam telah dikenal pasti, merangkumi lima warga China dan seorang kru, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Dalam satu kenyataan, APMM berkata warga China terbabit dikenal pasti sebagai Sheng Jiang Jiang (lelaki/50 tahun); Dong Mei (wanita/umur tidak dinyatakan); Li Qun (gender/ umur tidak dinyatakan); Luo Hong Yuan (lelaki/ 51) dan Lu Gua Hang (lelaki/25).

Kru yang hilang pula dikenal pasti sebagai Absoy Kasim (lelaki/umur tidak dinyatakan).

Pihak berkuasa juga mengenal pasti identiti seorang lagi mangsa yang maut yang dibawa balik awal hari ini sebagai lelaki warga China, Xie Luo, 48 tahun.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan meliputi kawasan pencarian seluas 1,500 batu nautika persegi, kata APMM.

Sementara itu, Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar dijangka mengadakan sidang akhbar sempena hari ketiga operasi SAR pada pukul 3 petang ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din juga dijangka mengadakan sidang akhbar pada pukul 5 petang ini.

Bot jenis katamaran itu yang membawa tiga anak kapal dan 28 pelancong dari China dipercayai karam disebabkan angin kencang dan ombak besar pada 10 pagi Sabtu, sejam selepas mereka meninggalkan jeti Tanjung Aru di sini menuju Pulau Mengalum, destinasi pelancong kira-kira 56 kilometer di barat laut Kota Kinabalu.

Semalam, 22 mangsa termasuk 20 warga China ditemukan di perairan Semarang dekat Labuan, manakala tiga warga China ditemukan terkorban dalam tragedi itu.

Mengapa desak siasat Tun M, membisu terhadap Najib?

 
 
Raja Bahrin ShahRaja Bahrin Shah

ULASAN Saya membaca dengan kaget cadangan Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Nurul Islam agar dibuka kembali kes BMF yang dikaitkan dengan Tun Mahathir. Memberi cadangan itu adalah hak beliau dan saya tidak mahu berhujah mengenainya.

Walau bagaimanapun, suka untuk saya berbahas mengenai keutamaan yang lebih penting dan kritikal hari ini untuk disiasat iaitu berkenaan kes yang menjadi perhatian media antarabangsa, tidak lain skandal 1MDB.

Cadangan tersebut ibarat seperti meminta agar siasatan tentang tenggelamnya Kapal Titanic dibuat namun tidak pula mendesak untuk menyiasat kes baru, sebuah kapal besar bernama Malaysia yang sedang hampir tenggelam hari ini yang mana kesannya ternyata jelas lebih besar kerana melibatkan kredibiliti dan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Nilai mata wang kita terus menjunam jatuh dan pelabur lari meninggalkan negara kita. Adakah dengan membuka kembali siasatan terhadap skandal kes BMF akan menyelesaikan masalah hari ini? Menurut pandangan saya, hanya dengan membuka kertas siasatan terhadap skandal 1MDB akan membantu memulihkan kembali nama Malaysia.

Sebagai Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan yang mewakili kelompok belia dan pemimpin masa depan, Nurul Islam seharusnya menyentuh isu-isu semasa yang mampu memberi kesan kepada generasi akan datang. Adakah beliau maklum mengenai kes 1MDB dan penyingkiran Peguam Negara semasa siasatan dijalankan? Dan kes pembunuhan pegawainya, Kevin Morais. Adakah Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan juga maklum mengenai penyiasatan dan pendakwaan kes berkait 1MDB di Switzerland, Amerika, Singapura, Hong Kong, Australia dan Abu Dhabi?

Adakah Nurul Islam tidak mengambil peduli tentang penglibatan 1MDB dalam kes pengubahan wang haram di pusat pengubahan wang haram terbesar dunia di Pulau Cayman serta pelaburannya di dalam dua kelab malam melalui individu dari Abu Dhabi di Las Vegas yang menjadi sumber penajaan jemaah haji menggunakan hasil wang pelaburan ini?

Semua ini adalah isu semasa yang harus diambil perhatian kerana ia masih boleh diperbetul dan ditangani. Mengapa gesaan untuk meneruskan siasatan terhadap kes BMF dituntut sedemikian rupa namun bersikap seolah tutup mata terhadap penyelewengan-penyelewengan 1MDB oleh Najib Razak?

Mengapa begitu beria serangan dibuat terhadap Tun Mahathir, pemimpin yang sudah tidak lagi mempunyai kuasa namun menutup mata terhadap skandal besar Perdana Menteri hari ini? Nurul Islam harus menghidupkan keizzahan namanya bukan sebaliknya menghinakan nama yang diguna melalui sikap sedemikian. Seorang Ketua pemuda Pas Wilayah Persekutuan menyerang seorang bekas Perdana mentri berusia 91 tahun yang tidak lagi berkuasa sementara Perdana Menteri Najib Razak yang menerajui 1MDB yang disiasat sembilan buah negara tidak disentuh.

Kenapa tidak juga menyiasat Tun Abdullah Badawi yang sudah bersara tentang Syarikat ahli keluarga dan Kontrak rakan rapatnya? Sebenarnya Islam menyuruh pejuang Islam dan para Ulama bercakap benar di hadapan pemerintah yang zalim walaupun ia pahit untuk didengar. Mengapa Saudara Nurul Islam memilih untuk membisu isu 1MDB Najib yang menggegarkan dunia antarabangsa? Saya bersimpati dengan masa depan ahli pemuda pemuda Pas yang telah banyak berkorban.

Pemimpin mereka memilih jalan yang mudah menyerang seorang yang berusia 91 tahun yang tidak lagi berkuasa tentang isu 30 tahun dahulu sementara menutup mata terhadap pemerintah yang berlaku zalim hari ini. Sama jugalah seperti apa yang berlaku apabila Usul Rohingya dibawa ke Parlimen oleh Pembangkang dari Amanah, PKR dan DAP, untuk dibahas dan Pas tidak menyokongnya kerana hendak mengelak mengkritik Umno yang sehingga masa itu masih tidak bertindak. Seminggu selepas itu Pas dan Umno berhimpun di Stadium Titiwangsa untuk 'bahas' isu Rohingya ,tetapi tidak di Parlimen secara rasmi.

Itulah sebenarnya keakraban pakatan Pas dan Umno yang begitu intim. Sementara mereka bersandiwara di hadapan pengikut Pas yang berkorban serta taat terus keliru dan di pergunakan. Mengapa hanya desak siasat Tun Mahathir dan tidak juga Najib Razak yang berkuasa hari ini?

* Raja Bahrin Shah ialah Ketua Biro Antarabangsa Amanah 


Jutawan Malaysia bina 5,000 rumah orang miskin Filipina

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Jutawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan berjanji untuk membina 5,000 rumah untuk golongan miskin Filipina, lapor portal berita Filipina Inquirer.net.
 
Beliau akan melaksanakan projek itu dengan bantuan Yayasan Pembangunan Masyarakat Gawad Kalinga (GK).
 
“Orang kaya jadi kaya kerana ramai orang miskin menyokong perniagaan mereka,” kata Tan pada Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Dunia ke-4 di GK Enchanted Farm di Angkat, Bulacan, Manila.
 
Tan, pengasas syarikat Berjaya Group mendermakan 100 juta pesos (RM8.9 juta) kepada GK pada 2012.
 
Ia sebahagian daripada janjinya untuk memberikan 300 juta pesos (RM26.7 juta) bagi pembinaan 3,000 rumah bagi rakyat Filipina yang dilanda bencana alam.
 
Tan berkata Berjaya dan GK setakat ini berjaya membina 1,000 rumah, menurut portal itu.
 
“Kami berjanji membina 3,000 rumah beberapa tahun lalu dan jika anda membinanya dengan cepat, kami menjanjikan 5,000 rumah.
 
“Saya janjikan separuh kekayaan saya untuk kerja amal. Orang ramai sokong perniagaan kami dan siapa mereka? Kebanyakannya ialah golongan miskin,” katanya.
 
Beliau berkata mereka merancang untuk melakukan perkara sama di Malaysia, seperti dilakukan GK di Filipina dan menyediakan rumah perlindungan percuma untuk masyarakat miskin Malaysia.
 
Pengasas GK, Antonio Meloto berkata Berjaya ialah salah seorang rakan kerjasama GK yang paling pemurah.
 
Menurut yayasan itu, terdapat 12 perkampungan Berjaya-GK di negara itu, termasuk 2 yang pertama bagi mereka yang terselamat ribut taufan “Pablo” di Compostela Valley.
 
 

Syabas kepada PAS, ujar bekas ahli DAP [TONTON VIDEO]

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Syabas kepada PAS kerana tidak terperangkap sekali lagi dengan tipu daya DAP, ujar bekas ahli DAP, Zulkifli Mohd Noor.
 
Zulkifli yang kini Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP) berkata pemimpin PAS sebelum ini pernah diperdaya DAP, justeru tidak hairanlah parti itu enggan menyambut salam perdamaian daripada parti pimpinan Lim Kit Siang itu.
 
"Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan PAS sudah terperangkap oleh tipu-daya suatu ketika dahulu yang digunakan DAP. 
 
"DAP sudah menipu pemimpin Melayu seperti saya dan Tunku Aziz dan lain-lain lagi, diperalat dan dipergunakan. Kita ingat ketika itu belum menjadi kerajaan mungkin perjuangannya berlandaskan demokrasi sosial. Apabila mereka jadi kerajaan mereka bukan lagi begitu, maka dipinggirkan kesemuanya pemimpin Melayu dalam parti," katanya kepada Antarapos.
 
Zulkifli berkata demikian mengulas ketegasan PAS menerusi presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa partinya menutup pintu kepada DAP dan tidak akan bekerjasama dengan DAP pada pilihan raya umum kelak.
 
"Jika PAS sanggup bekerjasama dengan mereka, ia merupakan sebuah parti yang tak pernah serik. Sudah digigit ular dua kali di lubang yang sama dan masih lagi ingin bekerjasama dengan DAP dan Amanah.
 
"Pada saya Hadi dan PAS kena berdiri sendiri. Apa salahnya kalau perjuangan sendiri. PAS biasa kalah sebelum ini, apa masalahnya jika kalah sekali lagi. Ini satu perjuangan," ujarnya.
 
Pimpinan PAS berkali-kali menyatakan kesediaan mereka untuk bergerak sendirian pada pilihan raya umum akan datang.
 
Namun parti itu buat masa ini masih membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti politik selain DAP dan Amanah.
 
Parti itu dijangka mengadakan rundingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) awal Februari ini, ke arah menjayakan pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya kali ini

LIHAT VIDEO DI SINI