HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Januari 2018

Tiga termasuk dua murid maut bas rempuh lori rosak

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
BINTULU: Dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong II merupakan antara tiga yang maut selepas bas sekolah dinaiki mereka merempuh sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Pesisir Bintulu - Miri berhampiran Ladang Sebubu, Samalaju, di sini pagi tadi.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 6.12 pagi itu, pemandu bas, Ramnelan Samat, 50, dan seorang penumpangnya, Aien Laila Alesha Abdullah, 11, mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala, manakala seorang lagi mangsa, Nurnadia Syakila, 9, meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Bintulu.
 
Bas sekolah dipercayai dalam perjalanan menghantar anak-anak pekerja sebuah ladang sawit di Samalaju ke sebuah sekolah rendah di pusat bandar sebelum merempuh bahagian belakang lori berkenaan yang membawa muatan besi paip.
 
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu ketika dihubungi memaklumkan ketika kejadian, bas sekolah berkenaan dalam perjalanan menghantar 22 murid ke sebuah sekolah di pusat bandar.
 
"Hasil siasatan awal mendapati bas berkenaan merempuh bahagian belakang lori berkenaan, menyebabkan bahagian depan bas remuk, dengan ada di antara mangsa tersepit.
 
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pemandu lori mendakwa kenderaannya rosak dan diletakkan di bahu jalan," katanya.
 
Katanya, kejadian turut menyebabkan tujuh lagi murid sekolah terbabit cedera dan diletakkan di bawah pengawasan pasukan perubatan Hospital Bintulu, manakala 12 lagi penumpang terselamat, namun mengalami trauma susulan kemalangan itu.
 
"Punca sebenar kejadian sedang dikenalpasti dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Waris kesemua mangsa sudah dihubungi berhubung kejadian itu," katanya.
 
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak memaklumkan jabatan itu menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.12 pagi tadi sebelum sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian, masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan Samalaju.
 
"Berdasarkan maklumat yang diterima, seorang mangsa tersepit di tempat duduk (pemandu bas) berikutan keadaan kenderaan yang remuk akibat pelanggaran," katanya.
 
 

Kecoh di Konvensyen PH N.Sembilan sudah diselesaikan cara baik - Wan Azizah

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah wan Ismail berkata kekecohan yang berlaku sewaktu Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan semalam, hanya perselisihan kecil ekoran ketidakpuasan hati bersabit soal agihan kerusi di negeri itu. 
 
Bagaimanapun ujarnya, perkara itu sudah diselesaikan secara baik oleh parti yang terlibat. 
 
"Itu telah ditangani oleh Datuk Seri Mukhriz, dan keadaan telah reda. Ia dalam soal pembahagian kerusi, saya kira perkara ini kita rasa boleh diselesaikan dalam meja rundingan.
 
"Tapi mungkin sebab ada yang diberikan 'jolokan' untuk beri sedikit (gambaran) seperti tunjuk perasaan, tapi tiada apa yang berlaku lepas itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.
 
Semalam Konvensyen PH Negeri Sembilan kecoh apabila akar umbi PPBM tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
 
Lebih 50 ahli melaungkan perkataan 'ini tidak adil' beberapa kali dari bahagian belakang dewan sebaik Wan Azizah selesai berucap.
 
Sebelum itu Ketua Setiausaha PH, Datuk Saiffuddin Abdullah mengumumkan pengagihan 36 kerusi DUN iaitu 12 milik PKR, DAP (11), Parti Amanah Negara (tujuh) dan PPBM (enam), manakala bagi Parlimen setiap parti mendapat dua kerusi.
 
Ketua Pemuda PPBM negeri, Mohd Shahrul Anuar Abu Samah yang dipetik Berita Harian berkata, lapan bahagian parti itu tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi yang dibuat pusat, kerana dilakukan tanpa perbincangan dan pengetahuan peringkat negeri.
 
Katanya, walaupun akur dengan jumlah kerusi hanya enam berbanding jangkaan mereka 10 kerusi, semua kawasan yang diberikan sukar untuk menang.
 
 

PKR Tergugat Di Parlimen Kuantan ? – Dr Kamarul


 



Menarik juga membaca laporan-laporan akhbar mengenai ceramah umum Pakatan Harapan di Kuantan malam tadi, 27 Januari 2018, yang membariskan nama-nama besar seperti Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Teresa Kok, selain Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fuziah Salleh, dan ADUN Teruntum dari PKR, Sim Chon Siang, sendiri.

Perkara pertama yang menarik perhatian ialah kerana Datuk Saifuddin selaku Ketua Sekretariat Pakatan Harapan dilaporkan mengakui secara terbuka bahawa pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan dibuat secara terpaksa kerana “bintang harapan Pakatan Harapan cedera” dan bahawa pemilihan Tun Dr Mahathir ini “mendatangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan sebilangan besar penyokong”.

Perkara kedua yang menarik perhatian ialah kerana laporan bahawa ceramah umum ini hanya dihadiri oleh “kira-kira 300 orang” sahaja walaupun ia membariskan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Setiausaha Agung AMANAH dan Timbalan Setiausaha Agung DAP yang menguatkan dakwaan bahawa kedudukan Fuziah di Parlimen Kuantan sangat tidak selamat setelah terputusnya hubungan antara PKR dan PAS.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).

PPMM desak kerajaan beri kelonggaran bukan Islam hadir ke Mahkamah Syariah

ANTARAPOS

Post Pic
 
SHAH ALAM: Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia mendesak kerajaan meminda undang-undang yang membataskan Mahkamah Syariah terhadap orang Islam sahaja.
 
Presidennya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar percaya sekiranya kerajaan berbuat demikian, orang bukan Islam bakal mendapat keadilan di mahkamah syariah.
 
"Saya mendesak semua undang-undang yang mengehadkan Mahkamah Syariah hanya terhad kepada orang Islam sahaja dipinda dengan memberi kelonggaran kepada orang bukan Islam hadir sebagai pihak di Mahkamah Syariah. 
 
"Dengan cara ini orang bukan Islam juga boleh mendapat keadilan di Mahkamah Syariah. 
 
Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes penukaran agama sepihak membabitkan M Indira Gandhi dan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah, hari ini.
 
Selepas 10 tahun bersidang, Mahkamah Persekutuan memutuskan pertukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi kepada Islam adalah tidak sah dan terbatal.
 
Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya iaitu Tevin Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa kepada Islam.
 
Menerusi 99 mukasurat penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, mahkamah memutuskan perkataan “parent” seperti dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan perlu dibaca sebagai bermaksud kedua-dua ibu dan bapa.
 
Menurut perkara itu, seorang penjaga atau parent (ibubapa) berhak menukar agama anak mereka yang belum mencapai umur 18 tahun.
 
Zainul juga menggesa undang-undang tubuh negeri turut dipinda seperti mana yang digunapakai oleh kerajaan negeri Terengganu.
 
"Saya mendesak semua kerajaan negeri agar meminda undang-undang tubuh masing-masing dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah di dalam Undang-Undang Tubuh sebagaimana yang terdapat dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu. 
 
"Dengan cara itu mahkamah syariah akan dilihat sama taraf (at par) dengan mahkamah sivil. 
 
Selain itu, beliau juga menggesa undang-undang berhubung penukaran agama Islam melibatkan kanak-kanak dikaji semula.
 
"Kanak-kanak yang tidak boleh bertutur lagi umpamanya tidaklah perlu mengucapkan syahadah bagi pemelukan Islam, cukuplah sekadar ibubapanya beragama Islam," katanya lagi.
 
 

Pecah cermin kereta, curah petrol kemudian bakar

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Suspek dipercayai memecahkan cermin kereta Mercedes Benz milik pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) sebelum mencurah minyak petrol dan membakarnya.
 
Hasil analisis Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mendapati api kemudian merebak ke tiga kereta lain yang diletakkan berhampiran dalam kejadian di Presint 11, 23 Januari lalu itu.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu empat kereta milik Nor Azman Mat Jini, 59, yang juga Penolong Kanan Pengarah Kastam (Bahagian GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan ahli keluarganya musnah termasuk dua yang rosak terus.
 
Nor Azman, isterinya, Noor Hayati Khairuddin, 57, anak perempuan, menantu serta dua cucu sedang tidur di tingkat atas dan bawah kediaman berkenaan ketika kejadian.
 
Dua kenderaan iaitu Perodua MyVi dan Mercedes Benz milik anak perempuan dan isteri mangsa musnah sepenuhnya, manakala dua lagi iaitu Honda CRV milik mangsa dan Proton Saga milik menantu mangsa terbakar di bahagian depan.
 
Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata itu adalah hasil analisis akhir dalam kes itu.
 
Katanya, pihak bomba turut menemui serpihan kaca di dalam kereta, menunjukkan suspek memecahkan salah satu cermin tingkap kereta terbabit.
 
"Ia adalah perbuatan jenayah, maka siasatan lanjut akan dijalankan pihak polis untuk membuat tangkapan dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan ke pangsapuri kuaters penjawat awam yang terbakar di Presint 16 malam tadi.
 
 

Kenapa bimbang bila pemimpin 93 tahun jumpa sekumpulan duta?

DETIK DAILY



BEGINI halnya: Mungkin lebih tepat jika dikatakan kumpulan duta Kesatuan Eropah (EU) itu yang mahu bertemu Dr Mahathir Mohamad dan bukan sebaliknya.

Mengapa? Sebab mereka mungkin mahu mengetahui sisi berbeza ke atas isu yang berlaku di Malaysia. Satu cerita yang mereka tidak dapat perolehi dari kertas perca yang dipanggil akhbar di sini.

Lalu, Anifah Aman, Hishammuddin Hussein dan yang lain tidak perlu bimbang mengenai campur tangan dalam hal ehwal Malaysia. Eropah tidak akan menghantar flotila kapal untuk menyerang Malaysia.

Kita tidak perlu bimbang apabila rakan perdagangan Malaysia yang paling besar ini menunjukkan minat dalam senario politik semasa – sepertimana sikap kita ke atas isu kedaulatan negara apabila China mendominasi projek infrastruktur dan betapa Putrajaya begitu mudah mendapat dana untuk menimbus hutangnya.

Tapi hal yang paling membingungkan begini: Najib dan konco-konconya dalam Umno giat mencemuh tokoh berusia 93 tahun yang kini memimpin Pakatan Harapan.

Mereka kata dia sudah tua. Tiada daya lagi. Sudah lapuk.

Namun kata-kata dan tindakan pemimpin ini menunjukkan mereka gerun pada Dr Mahathir Mohamad.

Kenapa bimbang jika Dr Mahathir dan pasukannya bertemu sekumpulan duta? Dia hanyalah pemimpin lapuk, menurut anggapan Putrajaya dan usahanya akan sia-sia, jika melihat kepada apa yang ditulis dan dilaporkan media arus perdana.

Dan akhir sekali, tolonglah jangan arahkan akhbar bercakap tentang prinsip atau prinsip yang dicabul. Kata-kata ini bunyinya lompong dan tidak membawa apa-apa makna.

Lebih kurang seperti Ali Baba dan 40 penyamunya memberi syarahan mengenai etika.-themalaysianinsight.com

Felda tubuh jawatankuasa runding perjanjian dengan syarikat pemaju

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi mengadakan rundingan mengenai penambahbaikan terhadap pelaksanaan Perjanjian Pembangunan dengan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).
 
Felda dalam kenyataan hari ini berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan oleh mesyuarat lembaga itu, yang diadakan pada Khamis lepas, demi kepentingan dan kebaikan kedua-dua pihak.
 
Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Anggota Lembaga Felda Datuk Dr Yusof Ismail yang mewakili Kementerian Kewangan dan dianggotai Anggota Lembaga Felda Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid yang mewakili Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengarah Besar Felda Datuk Ab Ghani Mohd Ali serta Datuk Zainal Abidin Abu Hassan selaku wakil JPM.
 
“Felda juga akan memohon kepada kerajaan untuk melantik seorang wakil daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), JPM di dalam jawatankuasa tersebut,” kata kenyataan itu.
 
Penubuhan jawatankuasa itu dibuat susulan perjanjian persefahaman yang ditandatangani di antara Felda dan SPSB pada 15 Jan 2018 di mana pihak pemaju iaitu SPSB telah secara sukarela bersetuju mengembalikan hak milik kesemua 16 lot tanah kepada Felda tanpa kos.
 
SPSB, yang juga pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), turut bersetuju menyerahkan kesemua suratan hak milik hartanah tersebut untuk didaftarkan semula atas nama Felda.
 
Pada 21 Disember lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.
 
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.
 
 

Rasuah: Pengarah JPS antara tiga yang direman

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Tiga individu termasuk seorang Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa.
 
Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Rendah Alor Setar Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim mengeluarkan perintah tahanan reman sehingga 5 Februari itu hari ini.
 
Media semalam melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah berumur 60 tahun  bersama pemilik dua buah syarikat berumur 39 dan 50 tahun di sebuah pejabat SPRM.
 
Pengarah terbabit disyaki menerima wang rasuah sebanyak 10 peratus bagi setiap projek yang dianugerahkan JPS di sebuah negeri kepada kontraktor-kontraktor dilantik sejak 2014 hingga 2017.
 
Manakala dua individu yang merupakan pemilik syarikat dipercayai bersubahat dengan pengarah tersebut.
 
SPRM turut menyita akaun bank berjumlah RM2.9 juta dan merampas wang tunai berjumlah hampir RM900,000 di rumah seorang pemilik syarikat yang ditahan itu.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
 
 

Antara BN dan Pakatan, siapa mampu tumbangkan PAS di Kelantan?

DETIK DAILY


BIASANYA parti pemerintah akan menerima manfaat sekiranya berdepan dua atau lebih lawan dalam pilihan raya kerana ia akan memecahkan undi pembangkang.

Tetapi senario itu tidak tepat untuk menggambarkan situasi di Kelantan di mana PAS adalah parti yang membentuk kerajaan negeri.

Dua gabungan pembangkang di Kelantan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berharap gelombang kekecewaan dengan pentadbiran PAS dalam kalangan penduduk negeri itu akan membolehkan salah satu daripada mereka membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Penganalisis politik Hisommudin Bakar berkata masih terlalu awal untuk meramalkan siapakah yang akan menerima kelebihan terbesar hasil daripada ketidakpuasan hati terhadap PAS disebabkan dinamik politik negeri itu yang unik.

“Senario biasa pertembungan tiga penjuru tidak akan berlaku di Kelantan,” kata Hisommudin dari Ilham Centre.

Pertamanya, Kelantan mempunyai ramai pengundi yang tinggal dan bekerja di luar negeri tetapi pulang untuk mengundi.

Wan Johari Wan Omar, seorang pemimpin PH Kelantan berkata pengundi yang balik mengundi membentuk hampir 40% pemilih di negeri itu.

Kedua, sehingga 2015 di Kelantan memiliki Nik Abdul Aziz Nik Mat, salah seorang tokoh politik paling berpengaruh dalam politik Malaysia moden.

Malah aktivis Umno Kelantan mengakui yang segelintir ahlinya di negeri itu mengundi PAS dalam pilihan raya sebelum ini disebabkan aura Nik Aziz.

Faktor terakhir dan paling penting adalah pengundi di Kelantan cenderung untuk mengundi dalam blok yang sama, kata Hisommudin, seperti yang pernah berlaku dalam Pilihan Raya Umum 2004 dan 2013.

Seperti pengundi Cina Malaysia, apabila pengundi Kelantan memutuskan siapa pilihan yang berhak menerima undi mereka, parti atau gabungan parti akan menerima sokongan besar terutama daripada pengundi atas pagar.

Perubahan sokongan

PAS sudah memerintah Kelantan sejak Pilihan Raya Umum 1990 dan parti itu berulang kali diserang cubaan musuh tradisinya Umno- yang menerajui BN- untuk merampas kuasa di negeri itu.

PAS hampir kehilangan kuasa negeri kepada Umno pada Pilihan Raya Umum 2004 apabila parti Islam berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Hisommudin berkata Pilihan Raya Umum 2004 adalah salah satu contoh rakyat Kelantan mengundi dalam blok, dicetuskan oleh semangat positif yang melanda negara selepas Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri dan presiden Umno.

Ketika itulah, faktor Nik Aziz dan komuniti besar penduduk Kelantan yang bekerja dan tinggal di luar negeri itu bergabung untuk memastikan PAS terus berkuasa.

“Pada pilihan raya 2008, Nik Aziz membuat pengakuan peribadi kepada semua pengundi Kelantan yang keluar untuk kembali dan mengundi, selepas pilihan raya 2004 yang buruk," kata Hisommudin.
Pada 2008, PAS meningkatkan jumlah kerusi dimenanginya kepada 39 berbanding 24 pada 2004.
Pada Pilihan Raya Umum 2013, sokongan rakyat memihak kepada gabungan pembangkang yang disertai PAS, Pakatan Rakyat (PR) yang kini sudah bubar. Ini seterusnya membantu parti itu membentuk majoriti dua pertiga di DUN Kelantan.

Wan Johari yang merupakan ketua bahagian Amanah Tumpat, salah sebuah komponen PH berkata pada 2013, PAS (sebahagian daripada PR) meraih 70% undi rakyat Kelantan yang balik mengundi.
Gelombang itu nampaknya akan berubah sekali lagi, menurut Hisommudin dan tinjauan dilakukan .

Ia banyak disebabkan pengurusan kerajaan negeri ke atas majlis kerajaan tempatan yang lemah serta peluang pekerjaan yang terhad dan kelemahan pembangunan infrastruktur.

"Sentimen terhadap Nik Aziz  sudah tiada. Sentimen rakyat Kelantan terhadap Nik Aziz menyumbang hampir 10 peratus undi kepada PAS," kata Hisommudin mengenai menteri besar Kelantan yang meninggal dunia pada Febuari 2015 itu.

Peluang sama rata

BN dan PH bekerja keras untuk meraih faedah terbanyak daripada kelemahan PAS di Kelantan.
Ketua BN Kelantan Mustapa Mohamed berkata Amanah dan PH sedaya upaya mengalihkan sokongan daripada PAS melalui pelbagai pendedahan kegagalan dasar kerajaan negeri serta dakwaan gaya hidup mewah exco negeri.

"Amanah akan menolak sokongan PAS ke arah PH. Tetapi (Bersatu) tidak dapat menarik anggota Umno,” kata Mustapa mengenai rakan sekutu Amanah dalam PH, Bersatu.

Sumber BN Kelantan memberitahu yang strategi mereka adalan membenarkan Amanah dan PH meraih sokongan pengundi anak perantau Kelantan daripada PAS, seterusnya mengurangkan undi kepada parti Islam itu.

Situasi tersebut, kata sumber akan mengakibatkan perpecahan undi Kelantan menjadi tiga kumpulan dan jika BN boleh menarik pengundi atas pagar mereka boleh muncul sebagai blok terbesar dan mengambil alih kerusi negeri membentuk kerajaan negeri.

Namun teori tersebut mengabaikan hakikat bahawa kemarahan terhadap BN juga tinggi kerana pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kos barangan yang tinggi, kata Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

"Perniagaan di Kelantan telah melaporkan penurunan sebanyak 30% sejak GST. Di beberapa tempat, jualan mereka menurun sebanyak 50%. Ada juga kedai yang ditutup," kata Wan Abdul Rahim.

"Kelantan menolak Umno pada 1990 dan penolakan Umno ini telah meningkat semasa zaman pemerintahan Najib."

Dengan rekod prestasi tidak tercemar, PH meletakkan kedudukannya sebagai alternatif terbaik kepada Umno dalam mengambil alih Kelantan, kata Wan Abdul Rahim.

Hisommudin berkata setakat ini, PH dan BN mempunyai peluang hampir sama rata untuk menang di Kelantan.

"Di Kelantan terdapat sentimen kuat untuk menukar kerajaan negeri tetapi Umno seolah-olah tidak mahu menyambut sentimen itu.

"Manakala PH sangat agresif dalam usaha mereka meraih sentimen tersebut tetapi mereka adalah alternatif baru. Buat masa ini, secara emprikalnya kita tidak tahu siapa yang akan menang." (Laporan

Mustapa Mohamed khianati Kelantan?

DETIK DAILY

 
Oleh Syed Azidi Syed Aziz

 “SAYA nak mengaku hari ini, bahawa satu masa dulu, satu masa pok-pok (puak-puak) kita ini ada lah sedikit sebanyak, dok sekat sana sekat sini. Itu hakikatnya maka salah kita royak salah, ada sikit sebanyak.... (tenggelam oleh kegamatan dewan).

“Saya mengaku ni, saya mengaku. Saya juga anggota kerajaan (persekutuan), saya tahu benda-benda berlaku”.

Begitulah antara ucapan Mustapa Mohamed selaku Adun Air Lanas pada 21 November, 2007.
Mustapa yang ketika itu juga ahli Parlimen Jeli dan menteri pengajian tinggi melafazkan kata-kata tersebut ketika perbahasan belanjawan Kelantan 2008 di dalam Dewan Undangan Negeri.

Keratan video ucapan Mustapa tersebar meluas. Mustapa digelar pengkhianat kerana bersubahat menyekat peruntukan ke Kelantan. Gelaran yang masih mengekorinya setiap kali menjelang pilihan raya.

Saya berada di dalam Dewan pada hari tersebut dan mengikuti perjalanan Dewan sepenuhnya sebagai pembantu kepada exco kanan kerajaan negeri dan saya menulis hari ini selaku pembantu kepada YB Mustapa selama lebih tujuh tahun.

Mari kita melihat kembali konteks perbahasan hari itu. Ia bermula dengan Adun Kok Lanas (ketika itu) Annuar Musa menegur ucapan penuh sindiran bekas menteri besar allahyarham Nik Abdul Aziz ketika pelancaran Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada 29 Oktoberm 2007 di hadapan perdana menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi.

Pada hari itu Nik Aziz membaca teks ucapan yang disediakan oleh setiausaha politiknya. Antara lain ucapan itu menimbulkan keraguan terhadap keupayaan pentadbiran Abdullah melaksanakan pembangunan yang dijanjikan serta sikap perdana menteri yang mengabaikan menteri besar Kelantan. Antara lain, ucapan itu berbunyi:
 “Beradablah ketika melangkah. Bukankah ini wilayah Timur. Setiap rumah ada tuannya. Masuk berpintu. Keluar bertangga. Kadang-kadang ya terasa juga. Makan sirih berpinang tidak; Buah keranji atas perahu, singgah tidak kenang pun tidak; sampai hati buat tak tahu.”

Jadi isu ini ditimbulkan di dalam Dewan oleh Annuar yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan ketika itu. Annuar menjelaskan betapa beliau berusaha memastikan menteri besar diberi penghormatan untuk berucap ketika perasmian ECER itu. Lantaran Annuar kecewa apabila platform itu digunakan untuk mengungkit kisah-kisah lama, apa lagi memalukan perdana menteri di hadapan ribuan hadirin.

Apabila giliran Mustapa bangun untuk berbahas, beliau memanjangkan rasa kecewa Annuar. Sebagai anggota kabinet kerajaan persekutuan, Mustapa mengambil peluang menjelaskan perbezaan pentadbiran perdana menteri sebelumnya dan Abdullah ketika itu.

Mustapa memberi jaminan oentadbiran Abdullah tidak sama dengan pentadbiran sebelumnya. Kerajaan persekutuan di bawah Abdullah mengambil pendekatan berbeza dan mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan penduduk Kelantan.

Maka dalam konteks itu, keluarlah kata-kata pengakuan itu dari bibir Mustapa. Tetapi adakah Mustapa sebenarnya mengaku beliau yang menyekat pembangunan di Kelantan sehingga digelar pengkhianat?

Ada yang benar-benar tidak tahu dan tidak ramai juga yang sengaja buat-buat lupa. Selepas Barisan Nasional kalah di Kelantan pada pilihan raya umum 1990, Dr Mahathir Mohamad mengambil alih teraju Umno Kelantan dan menjadi pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan sehinggalah terbubar Semangat 46 dan kembalinya Tengku Razaleigh Hamzah ke dalam Umno.

Siapa Mustapa ketika itu? Beliau pemimpin pelapis yang diketengahkan oleh Dr Mahathir di peringkat persekutuan dalam tempoh transisi “pembinaan semula” Umno Kelantan.

Bagaimanapun Umno Kelantan ketika itu masih dikuasai oleh tokoh-tokoh lama. Mustahil untuk memikirkan bahawa Mustapa ketika itu mempunyai begitu besar pengaruh sehingga boleh meyakinkan pengerusi Perhubungan Umno negeri yang juga presiden Parti untuk menyekat peruntukan pembangunan di Kelantan.

Pada 30 Januari, 2008 dua bulan selepas “pengakuan Mustapa” di dalam DUN itu, saya menghadiri sidang media Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana. Pada sidang media itu, saya sempat mengemukakan soalan kepada Tun. Saya bertanya mengenai pengakuan Mustapa. Ini jawab Tun dan video jawapan itu masih terdapat di Youtube:

“Bukan Mustapa, tapi kesemua ahli Umno merasakan tidak perlu memajukan Kelantan.
“Kerana jika Kelantan dimajukan, mereka (PAS) akan beritahu kepada orang ramai, walau kita tidak undi Barisan Nasional, kita tetap akan dapat pembangunan. Jadi kenapa perlu undi Barisan? Oleh sebab itu pembangunan terpaksa dibekukan.”

Maka, keputusan membekukan pembangunan di Kelantan adalah keputusan perdana menteri yang juga presiden Umno dan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan ketika itu.

Jadi jelaslah konteks yang cuba disampaikan oleh Mustapa, 10 tahun dahulu. Pendirian kerajaan persekutuan di bawah pemerintahan Abdullah adalah berbeza dengan zaman Dr Mahathir. Pentadbirannya lebih terbuka. Pentadbiran Najib Razak lebih-lebih lagi terbuka.

Apa yang perlu ialah kita belajar dari masa lampau dalam membentuk hari ini dan hari depan yang lebih bermanfaat serta lebih baik untuk kita. Itulah inti pati lafaz Mustapa hari itu jika kita memilih untuk melihat dari konteks keseluruhannya.

PAS hari ini juga sudah berbeza dengan PAS ketika Nik Aziz masih ada. Dr Mahathir hari ini juga berbeza dengan Dr Mahathir ketika itu.

Mustapa juga berbeza. Pengaruh dan kekuatannya dalam politik sudah di puncak berbanding pada zaman Dr Mahathir membekukan pembangunan di Kelantan. Sudah tentu jika hari ini ada usaha untuk membekukan pembangunan di Kelantan oleh “pok-pok kita”, Mustapa akan memberi pandangannya demi kebaikan semua pihak.