HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Jun 2019

Peguam bela mohon 40 pertuduhan ke atas Zahid digabungkan


Manzaidi Mohd Amin


MGF27062019_-ZAHID-DIDAKWA-MAHKAMAH-SHAH-ALAM03
Peguam, Kitson Soong bercakap kepada media berhubung kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa atas pertuduhan menerima suapan berjumlah kira-kira RM42 juta berkaitan Sistem Visa Luar Negara di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula 33 pertuduhan yang dibacakan ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut peguamnya, Kitson Soong, pada hari itu, pihaknya akan meminta mahkamah untuk menggabungkan 33 pertuduhan dengan tujuh pertuduhan yang dibaca di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

“Kami dan pihak pendakwaraya akan membuat satu permohonan untuk 40 kes ini digabungkan memandangkan semuanya isu yang sama.

“Kami juga akan meminta mahkamah ini (Mahkamah Sesyen Shah Alam) menetapkan sama ada semua kes ini dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atau di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini, selepas mewakili Presiden UMNO itu yang menghadapi 33 pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Kanun Keseksaan.

Katanya, selepas semua pertuduhan dibacakan dan anakguamnya mengaku tidak bersalah, mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin.

“Jumlah jamin ini memadai untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah. Jaminan ini bukanlah sebagai denda atau sebagainya, tetapi untuk pastikan kehadirannya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai permohonan penggabungan semua kes itu, Kitson berkata, selepas mendapat keputusan dari mahkamah, kedua-dua pihak iaitu pembelaan dan pendakwaan akan meminta tarikh lain untuk perbicaraan.

“Kami percaya dengan Rule of Law dan proses sistem keadilan jenayah di Malaysia, ia akan membenarkan anak guam kami membentangkan pembelaan sepenuhnya.

“Isu-isu yang akan timbul dalam kes syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. ini melibatkan banyak dokumen dan ramai saksi.

“Antara dokumen yang kami harapkan bagi pihak pendakwaan akan bentangkan di bawah Seksyen 51 (A) adalah dokumen yang mungkin perlu diklasifikasikan sebagai rasmi,” katanya.

Pihaknya berharap, semua keterangan dibekalkan oleh pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bersama buktinya akan terkeluar di mahkamah kelak.

Ditanya sama ada pihaknya turut memohon untuk menggabungkan 47 kes yang terdahulu, beliau menjelaskan, setakat ini tiada permohonan daripada pihaknya.

“Walaupun pada Februari lalu Ahmad Zahid dikenakan 47 pertuduhan, tetapi isunya berlainan kerana ada yang berkenaan dengan yayasan, ada berkaitan dengan Seksyen 16 (a).

“Tiada permohonan dari pihak kami untuk menggabungkan 40 pertuduhan hari ini dengan 47 pertuduhan yang sebelum ini.

“Saya fikir dengan 87 pertuduhan ini, peninglah dia (pendakwaraya),” katanya.

Pada 21 Februari lalu, Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan melibatkan pecah amanah wang berjumlah RM260,000 milik Yayasan Akalbudi, tiga tahun lalu.

Ahmad Zahid membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan itu selesai dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Daripada 47 pertuduhan itu, 12 membabitkan pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette

Pelajar bela cikgu dalam video viral

MalaysiaGazette
cikgu-rotan1
Susulan video viral kejadian seorang murid dirotan kerana menyindir cikgu lelaki bersifat keperempuanan, sekumpulan pelajar dan bekas pelajar pula menggunakan media sosial membela cikgu mereka.

GELANG PATAH – Susulan video viral kejadian seorang murid dirotan kerana menyindir cikgu lelaki bersifat keperempuanan, sekumpulan pelajar dan bekas pelajar pula menggunakan media sosial  membela cikgu mereka.

Seorang pengguna Internet yang memperkenalkan diri sebagai bekas pelajar cikgu kontroversi itu berkata, cikgu itu pernah menjadi guru kelasnya yang juga mengajar subjek Bahasa Melayu.

Katanya, walaupun penguasaannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu kurang baik, manakala cikgu tidak faham bahasa Cina, tetapi beliau cuba memberi penerangan dengan sebaik mungkin.

“Walaupun saya tidak suka mata pelajaran ini, tetapi beliau mengajar saya dengan penuh kesabaran.

“Walaupun saya mengulangi soalan yang sama, tetapi beliau tetap memberi penerangan dengan penuh kesabaran,” tulis bekas pelajar itu dalam bahasa Cina.

Menurutnya, hasil didikan cikgu itu telah membolehkan dia memperoleh keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, cikgu itu juga membawa makanan kepada para pelajar dan akan membenarkan mereka yang kepenatan untuk berehat sejenak sebelum meneruskan pelajaran.

“Kami juga pernah banyak bergurau dengan cikgu, tetapi beliau tidak pernah marah,” katanya dalam Facebook yang seterusnya dipetik China Press.

Menurut bekas pelajar itu lagi, cikgu dalam video tidak bersifat kewanitaan, tetapi cuma mempunyai nada suara yang “lebih tinggi” .

Menurut laporan China Press, terdapat murid yang memberi sokongan kepada cikgu itu dengan salah seorang berkata, “tidak mahu kehilangan cikgu yang baik.”

“Saya pernah diajar cikgu ini, dia bukan jenis yang mudah marah. Kalau pelajar ini tidak keterlaluan, tak mungkin cikgu ini kemarahan sampai merotan,” kata seorang pengguna Facebook.

Dalam pada itu, Sinchew Daily juga memetik hantaran mesej bekas pelajar yang mengutuk tindakan memuat naik video cikgu mereka ke Internet sehingga menyebabkan pendidik itu menjadi sasaran kritikan.

Terdapat pelajar dilaporkan memberitahu bahawa dia tidak pernah dirotan atau dimarahi cikgu itu walaupun mendapat keputusan Bahasa Melayu yang tidak memuaskan.

“Layanan cikgu terhadap pelajar memang sangat baik sampai tahap tidak boleh berkata apa-apa,” katanya.

Dalam video yang viral baru-baru ini, seorang wanita dipercayai sebagai ibu telah bersemuka dengan seorang cikgu lelaki.

Video itu menunjukkan kesan rotan pada bahagian tangan dan paha seorang pelajar perempuan.
Wanita dipercayai ibu kedengaran mempertikaikan tindakan cikgu itu merotan pelajar perempuan, sementara cikgu lelaki cuba memberi penjelasan.

Seorang lagi wanita dipercayai juga seorang cikgu pula bertutur dalam bahasa Cina meminta si ibu memahami keadaan cikgu lelaki yang menerima sindiran di khalayak pelajar tanpa sebab dan secara tiba-tiba. – MalaysiaGazette

LIHAT VIDEO DI SINI

 

Kalaulah Karpal masih hidup - adik Teoh Beng Hock

MALAYSIAKINI

   

Berikutan pengklasifikasian semula siasatan polis terhadap kematian Teoh Beng Hock, adik mendiang berkongsi kekesalannya dan mengenang mendiang bekas pengerusi DAP Karpal Singh yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 2014.

Kata Lee Lan, jika Karpal masih ada, keadaan pasti berbeza berbanding apa yang berlaku sekarang.

“Jika kamu masih hidup, (keadaan) ini … akan jadi berbeza. Saya rindu kamu, Encik Karpal Singh. Kamu selalu berada dalam ingatan saya,” kongsinya di Facebook malam tadi.

Dia turut memuat naik gambarnya bersama Karpal.

Sebelum kematiannya, Karpal yang merupakan seorang peguam bertindak mewakili keluarga Beng Hock.

Kini, peranan itu diambil alih oleh anak Karpal, Ramkarpal Singh.

Teoh ditemui mati selepas jatuh dari tingkap sembilan bangunan yang menempatkan Ibu Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam pada 16 Jul 2009.

Sebelum itu dia ditahan semalaman di situ untuk disoal siasat.

Polis kini menyiasat kematiannya mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan berkaitan mengurung seseorang secara salah dan bukan bagi kesalahan membunuh.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor berkata polis hanya mengikut arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin juga menyerahkan perkara tersebut kepada AGC.

Dalam hantaran berasingan, Lee Lan berkata sekiranya polis membuat kenyataan seperti itu semasa era BN, maka ahli politik pembangkang pada ketika itu pasti bangkit menentang.

Bagaimanapun, dia meluahkan rasa kesalnya apabila ahli-ahli politik yang dahulunya begitu lantang kini hanya berdiam diri dalam era Malaysia Baru.

Tambahnya lagi, kerajaan tidak sepatutnya menggunakan alasan kes sivil untuk tidak terus menyiasat unsur-unsur jenayah dalam kematian abangnya.

Semalam, Muyiddin berkata semua proses perundangan sudah pun dipatuhi untuk kes tersebut, termasuklah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan pembayaran pampasan kepada keluarga Teoh.

Mengulas kenyataan Muhyiddin itu, Lee Lan mendakwa kabinet tidak berjaya mengotakan janji mereka tahun lepas untuk menyiasat kematian abangnya yang juga merupakan pembantu politik kepada seorang Adun DAP itu.

“Adakah (janji ini) tiada nilai, sama macam janji yang dibuat oleh bekas perdana menteri (Najib Razak)?” soalnya.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa seorang atau atau lebih individu tidak dikenali - termasuk kakitangan SPRM - terlibat dalam kematian Teoh.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara berhubung hal ini. 


Bicara kes Shafee gubah wang haram ditetap Mac 2020

MALAYSIAKINI

   

Perbicaraan peguam terkemuka Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang diterimanya daripada bekas perdana menteri Najib Razak dan dua pertuduhan membuat penyata palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ditetapkan pada Mac tahun depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas peguam Farhan Read yang mewakili Muhammad Shafee memohon supaya tarikh percicaraan pada 8 hingga 11 Julai dan 15 hingga 18 Julai yang ditetapkan sebelumnya dikosongkan untuk memberi laluan bagi perbicaraan Najib berhubung kes SRC selesai dahulu.

Farhan memaklumkan kepada mahkamah bahawa perbicaraan kes SRC, yang Muhammad Shafee ialah peguam utama, akan diteruskan pada 1 Julai dan tarikh perbicaraan bagi Julai bertindih dengan tarikh perbicaraan Muhammad Shafee.

“Perbicaraan SRC buat masa ini diutamakan dan kami memohon supaya tarikh pada Julai dikosongkan,” kata beliau.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz menjalankan pendakwaan.

Hakim Sequerah menetapkan 16 hari dari 9 hingga 13 Mac, 30 Mac hingga 2 April, 12 hingga 14 Mei dan 18 hingga 21 Mei bagi perbicaraan dan juga menetapkan 30 Ogos 2019 bagi pengurusan kes.

Pada 13 September tahun lepas, Muhammad Shafee, 66, mengaku tidak bersalah menerima wang hasil kegiatan haram melalui cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Pertuduhan bawah akta cukai pendapatan

Dia didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September, 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Februari, 2014.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau sehingga penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1 )(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember, 2013 dan 31 Disember, 2014.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tunku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 3 Mac, 2015 dan 29 Jun, 2015.

Bagi kesalahan itu, Muhammad Shafee berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram.- Bernama


Kes murid kena rotan guru selesai, kata exco Johor

MALAYSIAKINI

   

Kejadian seorang guru merotan pelajar di sebuah sekolah di Johor Bahru dianggap selesai apabila pihak terlibat saling bermaafan hari ini.

BH Online melaporkan suatu pertemuan tertutup berlangsung selama sejam di antara ibu dan pelajar perempuan itu dengan guru berkenaan bersama Jabatan Pendidikan Johor di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Johor Bahru.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan, Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan dan Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Shaharuddin Saari.

Sementara itu, Aminolhuda dipetik berkata meminta semua pihak supaya tidak memanjangkan lagi isu tersebut.

“Bagi memastikan penyelesaian yang dibuat lebih adil, jabatan tidak seharusnya mengenepikan peraturan sedia ada, di samping mengambil kira aspek kebajikan kedua-dua pihak iaitu guru dan murid.

“Pendekatan perbincangan dan permuafakatan antara pihak terbabit juga dilaksanakan di peringkat sekolah dan PPD Johor Bahru bagi menangani insiden secara holistik.

“Jabatan memandang serius insiden ini kerana membabitkan kredibiliti profesion keguruan dan proses kemenjadian murid itu sendiri sebagaimana hasrat yang digariskan Kementerian Pendidikan,” katanya, lapor BH Online.

Aminolhuda juga memaklumkan ibu pelajar itu telah menarik laporan polis, manakala guru tersebut pula memohon maaf secara terbuka.

"Terima kasih kepada PPD Johor Bahru dan pihak sekolah kerana cepat mengambil tindakan dengan mengadakan sesi permuafakatan termasuk penarikan balik laporan polis yang dibuat oleh ibu pelajar, selain guru memohon maaf secara terbuka kepada murid dan ibunya atas tindakan berkenaan.

LGBT punca delegasi M'sia undi tolak resolusi ILO- MEF


   

Perjanjian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) itu bertujuan memperbaiki hak pekerja yang menghadapi keganasan dan gangguan seksual di tempat kerja.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengambil pendirian sama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) apabila menyebut LGBT sebagai sebab delegasinya mengundi menolak perjanjian antarabangsa Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) yang bertujuan memperbaiki perlindungan terhadap pekerja yang berhadapan keganasan dan gangguan di tempat kerja.

"Ya, majikan Malaysia mengundi menolak konvensyen dan syor-syor (ILO). Kedua-dua konvensyen dan cadangan itu berdasarkan gagasan negara-negara maju serta gagal mengambil kira sensitiviti budaya Malaysia dan Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

"Ini tidak boleh ditafsirkan bermaksud MEF merestui sebarang diskriminasi terhadap LGBT khususnya melibatkan keganasan dan gangguan seksual di tempat kerja.

"LGBT berhak dilindungi dan dijaga keselamatannya daripada keganasan dan gangguan seksual di tempat kerja sama seperti pekerja lain," kata Presiden MEF Shamsudin Bardan kepada Malaysiakini.

Pengundian pada 21 Jun itu menyaksikan anggota ILO terdiri daripada pihak kerajaan, persekutuan majikan dan wakil pekerja memberikan mandat yang kuat untuk menerima Konvensyen ILO Mengenai Keganasan dan Gangguan.

Undian itu menyaksikan 439 perwakilan mengundi menerima konvensyen itu dan hanya tujuh undi menentang, dengan 30 berkecuali.

Bagaimanapun, MTUC dan MEF merupakan antara tujuh pihak yang mengundi menentang resolusi itu.

Daripada tujuh undi menentang resolusi, MTUC merupakan satu-satunya badan yang mewakili kesatuan sekerja.

Perwakilan Malaysia yang lain tidak mengundi resolusi tersebut.

Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor, yang mengundi menentang resolusi itu memberitahu Malaysiakini semalam bahawa "MTUC dan MEF mengundi kerana mereka memperkenalkan dan memasukkan LGBT (dalam resolusi itu)," katanya.

Naib presiden MEF A Ramadass juga mengundi menentang resolusi itu.

Dana 1MDB: Gesaan Gerakan tak masuk akal, kata Lim



   
Lim Guan Eng menolak gesaan Gerakan agar beliau menuntut wang 1MDB daripada tiga bekas pemimpin kanan Umno yang kini menjadi orang penting PH.

Menurut menteri kewangan itu saranan dibuat Presiden Gerakan Dominic Lau adalah tidak masuk akal.

"Saya tak tahu mengapa kita perlu minta (wang 1MDB) daripada mereka?

"Adakah wang berkenaan masuk ke akaun peribadi mereka?

"Cadangan ini tak masuk akal langsung. Mereka (Gerakan) tidak minta wang yang dimasukkan ke akaun Najib Razak, dan sekarang mereka mahu minta daripada orang yang tidak berkenaan," katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Semalam Lau meminta Lim membuat gesaan kepada Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir dan Mohd Shafie Apdal "memulangkan" wang didakwa datang dari 1MDB.

Hal itu kerana, menurut Lau, ketiga-tiga mereka adalah pemimpin Umno Johor, Kedah dan Sabah ketika wang yang dipertikaikan itu disalurkan ke Umno negeri-negeri.




Sebelum ini Muhyiddin ialah timbalan presiden Umno, manakala Mukhriz dan Mohd Shafie adalah naib presiden parti berkenaan.

Muhyiddin dan Mukriz kemudian menyertai Bersatu manakala Mohd Shafie menubuhkan Parti Warisan Sabah.

Pada 21 Jun lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyeluarkan senarai individu dan entiti yang menerima dana didakwa berasal dari 1MDB.

Antara pihak yang mendapat sumbangan itu ialah bahagian-bahagian Umno di seluruh negara.

‘Lagi nama akan dimasukkan pada senarai saman lucut hak 1MDB’


   
Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengingatkan Pemuda PAS bahawa senarai saman sivil pelucuthakan yang sebelum ini mempunyai 41 nama individu dan entiti yang diarahkan supaya memulangkan wang 1MDB itu belum muktamad.

Kenyataan itu dibuat susulan sayap pemuda PAS yang menggesa mana-mana individu - termasuk dalam kalangan menteri kerajaan persekutuan - memohon maaf secara terbuka kepada parti itu kerana "memfitnah" parti itu menerima dana daripada 1MDB.

"Dalam senarai itu tidak ada nama individu terkait dengan PAS.

"Kami ucapkan alhamdulillah kerana ketua pesuruhjaya SPRM yang baru telah pun menyatakan yang sama seperti yang sebelum ini, bahawasanya PAS tidak menerima sebarang dana daripada 1MDB.

"Jadi kami memohon kepada mana-mana individu termasuk menteri sekarang yang sebelum ini memfitnah PAS supaya membuat kenyataan maaf secara terbuka," kata Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin, pada sidang media di Muktamar PAS ke-65 di Kuantan, pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Lim hari ini berkata senarai itu hanya permulaan.

"Masih ada nama lain yang belum diumumkan.

"Kami tahu bahawa Penang Free Club juga tidak berada dalam senarai itu tetapi kami tahu ia adalah juga antara penerima dana 1MDB. Kelab itu telah mengaku dan mereka akan membayar balik," kata Lim kepada media di Putrajaya.

"Jangan fikir kamu boleh terlepas jika nama kamu tidak berada dalam senarai pertama," katanya.

SPRM pada 21 Jun lalu memfailkan permohonan kepada mahkamah - mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla) - untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta daripada 41 individu dan entiti.

Ia merupakan saman pelucuthakan terbesar dalam sejarah negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata wang tersebut diagihkan kepada penerima daripada akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak di AmBank.

Sejumlah 41 saman pelucuthakan telah difailkan dan SPRM setakat ini diberi empat tarikh untuk kes itu didengar secara berasingan - 25 Jun, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai.

Bersih: PM abai janji manifesto pelantikan anggota Suhakam

MALAYSIAKINI

   

Badan pemantau pilihan raya, Bersih melahirkan rasa kecewa di atas pelantikan lapan anggota baru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Ini selepas pelantikan itu dibuat tanpa tapisan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai pelantikan jawatan utama perkhidmatan awam.

Bersih berkata walaupun pelantikan itu dibuat mengikut Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengabaikan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) bahawa proses itu perlu dilakukan melalui jawatankuasa parlimen.

Katanya, PSC dibentuk sejak Disember 2018 bagi memilih calon berpotensi dalam perkhidmatan awam walaupun proses itu tidak dinyatakan dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

"Sebarang proses (tapisan) akan menunjukkan komitmen perdana menteri bukan sahaja dalam melaksanakan janji-janji manifesto tetapi juga menghormati peranan parlimen sebagai semak dan imbang yang berkesan kepada eksekutif, terutama Pejabat Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan.

Bersih turut menggesa perdana menteri dan kerajaan mempercepatkan pindaan undang-undang dalam proses pelantikan jawatan utama dalam perkhidmatan awam.

"Ini supaya kuasa tidak terkawal seperti yang kini berada tangan perdana menteri boleh disemak secara berkesan untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa," katanya.

Dalam menggesa proses yang lebih telus, Bersih berkata Seksyen 5 (2) Akta Suhakam perlu dipinda untuk memastikan Jawatankuasa Pemilihan mengeluarkan senarai nama calon bagi mendapat maklum balas.

Seksyen 5 (2) Akta Suhakam menyatakan anggota suruhanjaya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Perdana Menteri yang hendaklah, sebelum memberikan nasihatnya, berunding dengan jawatankuasa yang disebut dalam seksyen 11A.

Seksyen 11A memperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.

Manakala anggota-anggotanya terdiri daripada Pengerusi Suhakam, dan tiga yang lain yang memiliki pengetahuan atau pengalaman dalam perkara hak asasi manusia.

"Orang boleh berbuat silap dan oleh itu kita perlu institusi bebas untuk memastikan mereka bertanggungjawab," kata Bersih yang mendesak proses pelantikan lebih telus.

Semalam Pejabat Perdana Menteri mengumumkan tiga anggota baru dilantik menyertai Suhakam, yang akan diketuai oleh bekas pegawai kanan kerajaan, Othman Hashim.

Dua lagi muka baru itu adalah bekas Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Hishamudin Md Yunus dan tokoh akademik Madeline Berma.

Pelantikan mereka berkuat kuasa pada 27 April 2019.


Rabu, 26 Jun 2019

Rotan: Ibu Pelajar Tarik Semula Laporan Polis




Polis mengesahkan ibu kepada pelajar perempuan yang dirotan oleh gurunya baru-baru ini, telah menarik balik laporan polis dibuat.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, walaupun penjaga pelajar terbabit berbuat sedemikian, pihaknya tetap meneruskan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Berkaitan dengan kes rotan yang mana seorang pelajar kena pukul dengan guru dia, repot memang sudah dibuat. Kita siasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, ibu kepada pelajar tersebut telah mengambil keputusan untuk menarik balik repot. Mungkin dia ada perbincangan.

“Dalam aspek itu, itu adalah urusan peribadi. Tetapi urusan pihak polis, siasatan diteruskan,” katanya pada sidang media Majlis Penghargaan Sempena Pertukaran Ketua Polis Johor anjuran Persatuan Polis Bantuan Kontinjen Johor dan Agensi Polis Bantuan Johor di EcoWorld Business Centre, Eco Tropics di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi dua minit 28 saat menunjukkan seorang wanita meminta penjelasan daripada seorang guru lelaki berikutan anak perempuannya dirotan.

Dalam rakaman itu guru berkenaan dilihat memberi penjelasan mengenai tindakannya merotan pelajar terbabit, namun dipertikaikan ibu berkenaan sambil menunjukkan kesan rotan pada tubuh anaknya.