HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Disember 2007

30,000 pekerja asing berpenyakit
Oleh: JAAFAR AHMAD

JOHOR BAHRU . – Kira-kira 30,000 pekerja asing di negara ini didapati tidak sihat dan menghidap beberapa penyakit berjangkit yang boleh menular kepada rakyat tempatan jika tidak dibendung.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, bilangan pekerja asing bermasalah kesihatan itu mewakili tiga peratus daripada pekerja asing yang kini bekerja dalam pelbagai sektor termasuk pembantu rumah.

Menurutnya, antara penyakit berjangkit yang dikesan ialah HIV dan AIDS, batuk kering, Hepatitis B dan C serta sifilis.

‘‘Penyakit-penyakit ini boleh menular kepada rakyat negara ini,” katanya ketika mengulas saranan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) semalam, agar kerajaan menghapuskan peraturan yang kini mewajibkan pekerja asing menjalani pemeriksaan kesihatan.

Sebaliknya, NGO terbabit menyarankan agar pemeriksaan tersebut dibuat secara sukarela oleh pendatang berkenaan bagi menjaga imej negara ini.

Soi Lek menyifatkan saranan NGO itu sebagai tidak logik dan tidak berasas sama sekali.

‘‘Pemeriksaan terhadap pekerja asing tidak sahaja diamalkan di negara ini tetapi di sebilangan negara lain bagi mengesan penyakit yang dihidapi oleh tenaga asing,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan juga mendapati sebahagian besar pekerja asing berkenaan masih tidak sihat apabila pemeriksaan susulan dibuat ke atas mereka.

‘‘Ini menunjukkan pemeriksaan wajib itu perlu bagi memastikan keluarga kita tidak dijangkiti penyakit yang dibawa mereka,” katanya.

Menurutnya, peraturan kerajaan itu sebenarnya, lebih meyakinkan pelabur asing kerana ia sudah menjadi amalan di negara-negara maju.

Bagaimanapun, menurutnya, kementerian sedang mengkaji kemungkinan mengurangkan bayaran kepada Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) ke paras yang lebih munasabah.

‘‘Ketika ini kadar bayaran bagi lelaki ialah RM185, manakala bagi pekerja wanita pula RM195 seorang,” katanya.

Tiada ulasan: