HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Disember 2007

26 dituduh cuba bunuh

SHAH ALAM: Seramai 26 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan cubaan membunuh seorang pegawai polis dalam satu perhimpunan haram di Batu Caves, Gombak, akhir bulan lalu.

Semua lelaki berumur antara 18 hingga 45 tahun itu, dituduh melakukan kesalahan berkenaan ketika menyertai perhimpunan haram di antara jam 1 pagi hingga 8 pagi, 25 November lalu.

Mereka menghadapi tuduhan bersama menunjukkan kekerasan jenayah bagi menakutkan seorang pegawai polis, Dadi Abdul Rani.

Mengikut tuduhan itu, seorang atau lebih daripada mereka didakwa melakukan perbuatan dengan pengetahuan bahawa ia boleh menyebabkan kematian. Mereka didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Mereka juga menghadapi tuduhan kedua menyebabkan kerosakan dua kereta serta dua pintu kuil di tempat dan masa sama. Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum lima tahun penjara dan denda mengikut Seksyen 440 kanun sama. Semua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Sementara itu, 10 daripada 26 lelaki itu juga menghadapi tuduhan ketiga menyertai perhimpunan haram di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 serta tuduhan pilihan menakutkan pegawai polis mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan. Semua 10 tertuduh juga mengaku tidak salah.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azimah Omar dengan pasukan pendakwa raya diketuai sendiri Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail, manakala 26 tertuduh diwakili 17 peguam yang diketuai M Manoharan.

Ketika prosiding bermula, 11 lelaki didakwa mengikut Akta Polis tetapi Manoharan mengatakan seorang tertuduh, G Suman, 20, sudah didakwa dengan kesalahan sama di Mahkamah Sesyen Selayang, minggu lalu.

Abdul Ghani cuba mempertahankan dakwaan ke atas lelaki itu dengan mengemukakan nama yang berbeza, tetapi peguam bela dapat membuktikan yang nombor kad pengenalan tertuduh menunjukkan orang sama.

Beliau mengaku kesilapan dan bersetuju dakwaan ke atas lelaki itu digugurkan. Ketika prosiding, tiga peguam menarik diri daripada mewakili tertuduh atas alasan yang tidak disebut di mahkamah.

Terdahulu, Manoharan mempersoalkan kenapa penjamin dan ahli keluarga tertuduh tidak dibenarkan memasuki kamar mahkamah, tetapi Azimah memberitahu ia bukan isu kerana mahkamah belum mendengar permohonan jaminan.

Mahkamah juga diberitahu ramai di kalangan tertuduh berada dalam keadaan lemah kerana tidak diberi makanan dan minuman sejak ditahan sejak jam 2 pagi semalam.

Manoharan meminta mahkamah membenarkan semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan sementara kerana selain kepenatan, dua daripada 26 tertuduh, masing-masing menghidap penyakit buah pinggang dan jantung berlubang.

Bagaimanapun, Abdul Ghani membantah tertuduh diberikan jaminan sementara tetapi mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk membenarkan mereka diikat jamin.

Azimah tidak membenarkan jaminan sementara kerana isu jaminan belum dibangkitkan kedua-dua pihak dan menetapkan hari ini untuk hujahan mengenainya serta mengarahkan semua tertuduh ditahan di lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Seksyen 11 di sini.

Tiada ulasan: