Eksklusif: Sistem pendidikan universiti Malaysia bertaraf 'sampah'
Oleh Wartawan KLpos.com
APA sudah jadi dengan universiti di Malaysia? Soalan itu berlegar di kepala setiap orang yang hadir di Persidangan Pendidikan Tinggi Serantau di KLCC semalam. Mana tidaknya, laporan kajian terbaru Bank Dunia menunjukkan sistem pendidikan tinggi universiti-universiti negara kita berada pada tahap memalukan dan semakin ketinggalan berbanding negara jiran.
Dalam buku laporan setebal 258 muka surat itu jelas membayangkan bahawa tanpa satu daya usaha yang besar untuk memulihkan kelemahan tersebut sistem pendidikan tinggi di Malaysia mungkin akan jauh ketinggalan berbanding negara-negara jiran yang giat membangunkan universiti masing-masing.
Menurut laporan Bank Dunia itu, sistem pendidikan tinggi di negara ini perlu mempunyai fokus dan strategi pembaharuan yang jelas jika mahu bersaing di peringkat antarabangsa.
Universiti Malaysia gagal semua perkara
Laporan tersebut melengkapkan siri memalukan sistem pengajian tinggi negara. Sebelum ini, Malaysia terkeluar dari senarai 200 universiti terbaik dunia tahun ini dalam “2007 Times Higher Education Supplement (THES) - Quacquarelli Symonds (QS)” yang diumumkan baru-baru ini.
Untuk kali pertama, bukan sahaja tidak terdapatnya sebuah universiti pun dalam senarai 200 Universiti terbaik, tetapi juga tidak terdapatnya sebuah universiti pun yang berada dalam 100 buah universiti terbaik bagi kedudukan berasingan dalam lima subjek - Sains Semula Jadi, Sains Sosial, Kesenian dan Kemanusiaan, Sains Nyawa dan Bioperubatan dan Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.
Bagi senarai 200 universiti terbaik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) telah terkeluar dari senarai tersebut, dengan UKM jatuh dari tangga 185 pada tahun lepas kepada tangga 309 sementara Universiti Malaya jatuh dari tangga 192 pada tahun lepas kepada tangga 246.
Prestasi universiti-universiti Malaysia dalam 100 universiti terbaik bagi lima subjek juga menjadi lebih lemah, dengan tidak terdapatnya sebuah universiti pun yang berada dalam senarai 100 terbaik bagi lima subjek tersebut walaupun tahun lepas Universiti Malaya berada di tangga 49 dalam Sains Sosial dan 95 dalam Sains Semula Jadi, UKM berada di tangga 62 dalam Sains Semula Jadi, manakala Universiti Sains Malaysia berada di tangga 96 untuk Sains Nyawa dan Bioperubatan.
Jauh ketinggalan dengan universiti Singapura dan Thailand
Universiti Nasional Singapura (NUS) (tangga 33) berada di tangga 100 universiti terbaik bagi semua lima kategori sementara Universiti Teknologi Nanyang (NTU) (No. 69) berada di tangga 100 universiti teratas bagi tiga kategori, iaitu: Kejuruteraan & Teknologi Maklumat, Sains Semula Jadi dan Sains Sosial.
NUS berada di tangga 10 bagi Kejuruteraan & Teknologi Maklumat; tangga 12 bagi Sains Nyawa dan Bioperubatan, tangga 25 bagi Sains Semula Jadi; tangga 20 bagi Sains Sosial dan tangga 21 bagi Kesenian & Kemanusiaan.
NTU berada di tangga 25 bagi Kejuruteraan & Teknologi Maklumat; tangga 99 bagi Sains Semula Jadi dan tangga 88 bagi Sains Sosial.
Sedangkan Universiti Chulalongkorn Thailand juga berada di tangga 100 Universiti terbaik bagi dua kategori - Kejuruteraan & Teknologi Maklumat (tangga 100) dan Sains Sosial (tangga 83).
Saranan Bank Dunia
Laporan bertajuk Malaysia dan Ekonomi Berasaskan Pengetahuan: Membina Sistem Pendidikan Bertaraf Dunia itu antara lain mengariskan beberapa perubahan yang perlu dibuat termasuk
* Memilih model tadbir urus dan kewangan yang lebih efektif.
* Meningkatkan keseluruhan kualiti universiti dengan memberi fokus kepada program akademi, pengurusan fakulti, dan pembelajaran.
* Melengkapkan graduan dengan ilmu ekonomi berasaskan pengetahuan.
* Mengukuhkan sistem inovasi kebangsaan dengan mewujudkan rangkaian kukuh antara firma-firma di Malaysia dan universiti-universiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan