HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Disember 2007

Abdullah Badawi tidak popular, kajian Merdeka Centre lemah
Anis Nazri

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Hasil kajian yang diperoleh Merdeka Centre berkenaan pentadbiran Perdana Menteri, boleh dikatakan lemah dan hanya menggambarkan 30 - 40 peratus dari segi ketepatannya.

Kajian yang dibuat hanya melalui panggilan telefon dan bukannya kajian lapangan itu juga mewakili jumlah responden yang terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah rakyat Malaysia, yang lebih 22 juta.

Atas faktor-faktor berkenaan, kajian itu boleh dilihat sebagai tidak mewakili kebanyakan suara rakyat, lebih-lebih lagi ia dijalankan sebelum perhimpunan besar-besaran Bersih dan Hindraf, kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

Sekiranya ia dijalankan selepas kedua-dua perhimpunan tersebut, kata Salahuddin dapatan yang mungkin diperolehi badan itu mungkin berbeza dari apa yang dinyatakan sebelum ini.

Sebelum ini, dapatan kajian Merdeka Centre melaporkan bahawa pentadbiran Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semakin popular di kalangan masyarakat Melayu khasnya.

Manakala, satu dari artikel itu menyatakan masyarakat Cina adalah golongan yang paling tidak berpuas hati dengan prestasi pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.
Ini kerana daripada kajian itu 86 peratus masyarakat Melayu bersetuju dengan pentadbiran, masyarakat India (71 peratus manakala hanya 51 peratus masyarakat Cina bersetuju dengan pentadbiran Abdullah.

Hasil kajian Merdeka Centre ini adalah berdasarkan kajian yang dijalankan melalui telefon kepada 1,022 orang responden yang dibuat antara 14-20 Jun lepas.

Ketika ditanya sama ada kajian ini juga boleh dijadikan sebagai petunjuk bahawa PAS tidak boleh berasa selesa berdasarkan kebangkitan rakyat dalam kedua-dua perhimpunan bulan lalu, Salahuddin berkata PAS khususnya Pemuda sentiasa bekerja keras dan bersiap sedia, biarpun tanpa kajian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin, menghormati kajian yang dijalankan Merdeka Centre walaupun badan itu terlepas pandang beberapa perkara sebelum menjalankan kajian tersebut.

"Kajian yang dilakukan tidak meluas apabila ia dijalankan hanya melalui panggilan telefon, di samping dilakukan sebelum perhimpunan Bersih dan Hindraf. Bagaimanapun, kita hormati kajian tersebut dan bagus juga untuk pembangkang agar tidak berasa selesa," kata beliau. - mr

Tiada ulasan: