Eksklusif: Utusan, Berita Harian dan NST akan dibakar
Oleh Wartawan KLpos.com
(Eksklusif) KUALA LUMPUR: Sikap tidak puas hati masyarakat terhadap media perdana di negara ini ternyata semakin kuat, terutama selepas dua demontrasi besar di ibu negara bulan lalu. Setiausaha Sekretariat Gerakan Anti-Salah Maklumat (GASAK), Hasmi Hashim, 31, memberitahu sejak badan gabungan itu dilancarkan hujung minggu lalu, pihaknya segera menerima sokongan luar biasa dalam usaha memboikot beberapa media perdana.
“Pelbagai pandangan disampaikan kepada kami, termasuk cadangan mengadakan satu acara simbolik melonggok dan perun semua penerbitan Kumpulan Utusan dan NSTP, terutamanya membakar akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan NST,” katanya ketika ditemui KLpos di pejabat sekretariat GASAK di Bangsar Baru dekat sini semalam.
Menurutnya, cadangan seumpama itu dipandang serius pihaknya sebagai antara acara protes yang boleh dilaksanakan.
Mengulas mengenai kemungkinan rasa tidak puas hati yang melebar, jelas Hasmi, “contoh mudah… berpuluh ribu daripada seluruh negara menyaksikan demontrasi Bersih dan Hindraf, tetapi dilaporkan oleh Utusan, Berita Harian dan NST hanya empat ribu.”
Tegas Hasmi lagi, putar belit berita dan percubaan memaksa masyakat menelan sampah propaganda sedemikian sama sepertimana yang berlaku pada era Reformasi 1998.
Pada 2002, beberapa pemimpin dan aktivis Reformasi yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan tuduhan oleh ketua Polis Negara waktu itu, Tan Sri Rahim Noor kononnya pemimpin dan aktivis tersebut antara lain mempunyai pelancar roket dan bom botol bagi menjatuhkan kerajaan secara militan.
“Dahulu mereka berbohong… dan seolah-olah berjaya, kali ini mereka mahu berbohong lagi dengan menuliskan berita seolah-olah daripada dalam mimpi dan khayalan,” tegas Hasmi.
Ketika ditanya sama ada acara melonggok dan membakar surat khabar akan dilakukan dihadapan pejabat Kumpulan Utusan dan NSTP, Hasmi berkata hal itu diputuskan kelak.
GASAK dilancarkan Khamis lalu oleh sebuah jawatakuasa penaja yang bermesyuarat pada pagi Khamis, 29 November. Sejurus itu, satu sidang media diadakan bagi antara lain mengumumkan kempen “boikot media pembohong” oleh pengerusi jawatankuasa penaja GASAK, Khalid Jaafar.
Jumpa editor media lain
Selain itu, Hasmi juga menjelaskan bahawa deligasi sekretarit GASAK mulai minggu depan akan memulakan siri pertemuan dan perbincangan dengan ketua-ketua pengarang dan editor agensi-agensi media yang tidak disenarai-hitamkan. Usaha berkenaan adalah bagi mendapatkan pandangan menyeluruh terhadap realiti dunia kewartawan dengan lebih dekat.
“Selain mendapat maklumat langsung, GASAK juga mempunyai beberapa cadangan agar pihak media yang tidak dibiokot ini cukup bersedia menjadi alternatif dan pengganti kepada Utusan dan NST,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, GASAK juga sedang giat mengadakan pertemuan dengan NGO, para penulis dan blogger untuk melebarkan sokongan. Seperti yang dilaporkan, pada peringkat akhir sebelum kempen besar-besaran dilancarkan, badan gabungan itu juga bercadang mendapat sokongan daripada parti-parti politik.
Antara lain, GASAK juga mahu bertemu dengan Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selain ketua pembangkang di Parlimen, Lim Kit Siang dan Ahli Perlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.
“Ya… ya, kami akan ke Parlimen untuk menemui kedua YB itu,” tambah Hasmi.
Kami juga mahu memujuk para penulis kreatif tidak lagi menyumbang karya-karya seperti cerpen kepada mana-mana penerbitan Utusan dan NSTP
Selain reaksi positif masyarakat umum, GASAK juga mula mendapat sokongan daripada pemimpin akar umbi parti politik pembangkang seperti Keadilan dan Pas.
“Kami terharu dan berterima kasih apabila ada pemimpin mengeluarkan kenyataan terbuka menyokong GASAK seperti oleh Keadilan Perlis, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Pas Negeri Sembilan,” katanya lagi.
Ada strategi rahsia
Hasmi yakin usaha “memboikot media pembohong” akan mencapai kejayaan dan pihak GASAK katanya mempunyai strategi tersendiri bagi mencapai objektif penubuhan.
“Kami belajar daripada pengalaman boikot media pada era Reformasi 1998-99 dahulu, dan kali ini kami lebih bersedia dengan menyusun strategi tersendiri,” tambah Hasmi.
Namun, beliau bagaimana pun merahsiakan dan enggan mendedahkan secara terperinci strategi dan matlamat besar yang mahu dicapai oleh GASAK.
“Setakat ini, apa yang boleh saya katakan cuma kami juga mahu memujuk para penulis kreatif tidak lagi menyumbang karya-karya seperti cerpen kepada mana-mana penerbitan Utusan dan NSTP.
Jangan galak nak jadi ‘sasterawan Utusan’ disaat emak-bapa kita di kampung-kampung ditipu dan diperbodohkan,” ujarnya.
Beliau percaya, penulis kreatif adalah golongan yang lazimnya berpegang kuat kepada idealisme dan ini memudahkan kefahaman agar mereka tidak menyumbang karya kepada media yang menjadi sasaran boikot.
“Saya juga percaya ramai di kalangan wartawan Utusan dan NSTP juga tidak senang leher mereka diperut kuasa politik elit… barangkali ketua-ketua mereka sahaja yang rela ‘menyerah tengkuk’ demi menjaga kedudukan masing-masing,” tegas Hasmi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan