HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Disember 2007

Wartawan media arus perdana kecewa tiada ruang untuk berita pembangkang
Azamin Amin


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Selain isu kontroversi kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman yang dilihat menghina mahkamah di Universiti Malaya, dua hari lalu, dalam program sama, beberapa orang wartawan arus perdana juga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap layanan negatif majikan mereka terhadap laporan parti-parti pembangkang.

Semasa sesi soal jawab bertajuk “Liputan Pilihan Raya: Etika Kewartawanan”, dalam Kursus Kenegaraan Media dan Pilihan Raya Umum, anjuran Institut Akhbar Malaysia, tiga orang wartawan muda daripada dua syarikat media terkemuka, membangkitkan sikap ‘bias’ yang langsung tidak memberi ruang kepada pembangkang semasa kempen pilihan raya, termasuk untuk menyatakan manifesto masing-masing.

Seorang wartawan akhbar arus perdana yang mempunyai pengalaman membuat liputan pilihan raya umum dan pilihan raya kecil di negara ini menyatakan bahawa etika wartawan dan prinsip melaporkan berita yang benar sering kali diabaikan dan sama sekali tidak relevan ketika pilhan raya berlangsung.

“Saya setuju dengan pandangan Ketua Pengarang Karangkraf, Abdul Jalil Ali yang menyatakan sebenarnya etika dan prisip kewartawanan tidak terpakai dalam isu pilhan raya. Anda mesti membuat liputan positif tentang bos awak dan pemengang saham syarikat akhbar.

“Saya kecewa kerana pihak pembangkang tidak diberi ruang langsung sedangkan kita kena seimbangkan berita supaya masyarakat dapat membuat keputusan dan menilai dengan bijak.

“Kalau pun tak boleh beri liputan 50-50, kalau dapat bagi 90 peratus untuk parti pemerintah dan 10 peratus untuk parti pembangkang pun jadilah,” kata wartawan terbabit yang juga pernah membuat liputan tentang konsert Mawi di Kelantan.

Katanya ketika Mawi dijemput oleh kerajaane negeri di Kelantan, beliau diarahkan majikannya untuk mendapat maklum balas daripada Ketua Ulama PAS, Dato’ Harun Taib tentang isu tersebut. Ustaz Harun berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan program Mawi itu.

“Saya buat berita itu dan ambil kenyataan bulat-bulat pimpinan PAS dan tidak mengubahnya. Alih-alih bila esok keluar suart khabar, berita saya sudah jadi lain. Pihak Kuala Lumpur menukar istilah ‘tidak bersetuju’ kepada ‘membantah’, sedangkan berbeza maksudnya.

“Akhirnya pemimpin PAS dan sumber saya memandang sinis kepada kami, wartawan arus pernada kerana didakwa tidak melaporkan yang benar. Pihak ibu pejabat sepatutnya, sama ada menyiarkan berita kami atau tidak menyiarkannya langsung. Janganlah ubah sehingga lari maksudnya,” tambah wartawan muda itu.

Namun kenyataan beliau disanggah penalis, Mahfar Ali, Pengarang Eksekutif Berita, Berita Harian dengan menegaskan bahawa tanggungjawab wartawan ialah mendapatkan maklumat sebanyak mungkin dan menyiapkan berita tetapi tugas menyunting dan hak untuk menyiarkan, serahkan sahaja kepada pertimbangan sidang redaksi.

“Kalau tak nak siar pun tak apalah, walaupun hati kecil rasa hilang semangat, tapi jangan ’spin’ atau olah berita itu jadi lain sehingga kewibawaan wartawan akan dipersoal oleh sumber,” kata wartawan tadi, membalas sanggahan Mahfar.

Bagaimanapun, Mahfar mengakui bahawa akhbarnya turut menyiarkan berita-berita mengenai pembangkang, tetapi kebanyakannya daripada sudut yang negatif.

Pengurus Besar Bernama, Dato’ Azman Ujang bertindak selaku moderator pada sesi berkenaan. Turut menjadi ahli penal ialah Prof Dr Mohd Safar Hasim yang mengingatkan media arus perdana bahawa mereka mungkin akan dipinggirkan pembaca sekiranya gagal membuart liputan secara adil dan profesional.

Sesi soal jawab yang dimonopoli oleh wartawan arus perdana itu mendapat perhatian hampir 100 hadirin yang terdiri daripada pengamal media dan pelajar Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya.

Seorang wartawan media elektronik swasta dan wartawan akhbar tabloid berpengaruh turut melahirkan rasa resah mereka tentang situasi ini yang akhirnya, kata mereka, akan menyebabkan rakyat dan pembaca hilang keyakinan terhadap kredibiliti akhbar.

Perkara ini turut diakui oleh Dr Safar Hasim yang menyatakan surat khabar mengalami penurunan ketara semanjak tahun 1999 berbanding tahun 1990 ke 1991 yang mana bilangan pembaca dan jualannya amat baik.

“Rakyat menilai apa yang dilakukan oleh media. Pada 1999 kebanyakan surat khabar mengalami penurunan manakala akhbar-akhbar Cina yang dibeli oleh MCA beberapa tahun lalu juga menghadapi masalah yang sama dan ini turut diakui oleh pimpinan MCA yang melibatkan kerugian besar,” tegas Safar.

Dalam pada itu, Azman Ujang berkata biarpun pembangkang mempunyai akhbar mereka seperti Harakah tetapi seharusnya akhbar arus perdana mesti memberi ruang kepada pihak pembangkang supaya rakyat kenal calon dan boleh menilai kepimipinan mereka.

Turut mengambil bahagian dalam sesi soal jawab itu ialah Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman yang merumuskan bahawa perbahasan isu etika kewartawanan semasa kempen pilihan raya adalah tidak relevan lagi kerana segala-galanya harus menurut kehendak pemerintah ketika itu.

“Saya bangun kerana Harakah banyak kali disebut dalam program ini, termasuk oleh Pengerusi SPR, seolah-olah ia akhbar besar, sedangkan Harakah hanya dibenarkan terbitkan 15 hari sekali, dengan pelbagai kongkongan, walhal ada majalah hiburan mendapat permit seminggu sekali. Usahlah sibuk-sibuk dengan Harakah, ” katanya disambut suara beberapa wartawan yang menyokong pendapat beliau.

“Tak ada maknanya kita bercakap soal etika kepada akhbar dan media besar. Bagi saya, biarlah Utusan, Berita Harian atau NST dengan cara dan gayanya. Nak sokong siapa, sokonglah. Tapi berilah peluang untuk pihak lain mendapat hak penerbitan yang sama, barulah rakyat mempunyai banyak pilihan untuk mendapat maklumat, terutama semasa kempen,” ujar Lutfi.

“Ya, bagaimana kita mahu bercakap soal etika kewartawanan apabila sebaik sahaja pilihan raya 1999 selesai, dua majalah yang saya terbitkan, Detik dan Wasilah diharamkan. Begitu juga dengan akhbar mingguan, Eksklusif, yang dikendalikan Jalil Ali turut diharamkan,” tambahnya.

Harakah turut menerima nasib malang ketika itu apabila kekerapannya dikurangkan daripada dua kali seminggu kepada hanya dua kali sebulan, berkuatkuasa 1 Mac 2001, hanya tiga bulan selepas pilihan raya 1999 yang menyaksikan Umno menghadapi pukulan teruk Barisan Alternatif.

“Secara peribadi, saya telah mohon hampir 50 permit akhbar, langsung tak ada jawapan, tak pernah ditemuduga KDN. Saya tidak mahu bercakap panjang mengulangi hal yang sama nanti ramai yang bosan,” tegas Lutfi. - mns

Tiada ulasan: