Malaysia sasar muncul 30 negara paling bersih rasuah
PUTRAJAYA: Badan Pencegah Rasuah (BPR) berharap dalam masa beberapa tahun ini Malaysia akan menjadi antara 30 negara terbaik dalam indeks rasuah Transparency International.
Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata kedudukan Malaysia pada tangga ke-43 sekarang berbanding ke-44 pada 2005, belum memuaskan, dan banyak lagi yang perlu dilakukan untuk meletakkan negara ini dalam kalangan 30 negara paling atas.
"Kita bukan saja hanya perlu memikirkan soal hukuman terhadap rasuah tetapi juga hendaklah memulakannya dengan membasmi rasuah di peringkat akar umbi.
"Mencegah lebih baik daripada merawat, dan itulah yang kita perlu lakukan dalam soal rasuah," katanya pada majlis pelancaran Sekretariat Pencegahan Rasuah Institusi Pengajian Tinggi oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed.
Setiap tahun, Transparency International, sebuah pertubuhan dunia yang mengepalai gerakan membasmi rasuah, mengeluarkan indeks rasuah yang menyenaraikan kedudukan negara-negara berdasarkan markah.
Bagi tahun 2006, Malaysia berada pada kedudukan ke-43 dengan 5.1 markah, satu markah lebih baik daripada paras yang dianggap sebagai bersih daripada masalah rasuah yang serius.
Ahmad Said berkata Malaysia perlu memperbaiki lagi kedudukannya bukan hanya kerana rasuah itu boleh memudaratkan negara tetapi juga kerana Malaysia adalah anggota lembaga pengarah eksekutif Persatuan Antarabangsa Badan-badan Anti Rasuah.
Mengenai sekretariat itu, beliau berkata idea mengenai penubuhannya tercetus ekoran satu kajian BPR pada 2003 melibatkan mahasiswa yang mendapati 30.5 peratus daripada mereka yang disoal menyatakan mereka sanggup menerima sogokan dan menyalah guna kuasa jika mereka diberi peluang atau berkuasa.
"Ini menyebabkan kita membuat keputusan bahawa usaha membanteras rasuah perlu bermula dari sekolah hingga ke peringkat universiti," katanya.
Ahmad Said berkata sekretariat itu akan ditubuhkan di setiap satu daripada 20 institusi pengajian tinggi awam di negara ini untuk membolehkannya menganjurkan aktiviti dan program anti rasuah seperti seminar dan ceramah.
Mengenai pilihan raya umum akan datang, beliau berkata BPR menubuhkan 17 bilik gerakan di seluruh negara untuk menyiasat sebarang dakwaan rasuah berhubung pilihan raya.
"Jika ada kes salah guna kuasa atau rasuah, orang ramai boleh buat laporan kepada kami," katanya.
Mustapa pula berkata terdapat 700,000 pelajar di institusi pengajian awam dan swasta, dan jika kumpulan ini dapat dibimbing untuk menjauhi rasuah, masa depan negara menjadi lebih baik.
"Apabila pelajar ini lulus dan berdepan dengan realiti kehidupan, mereka mungkin ingin mencari kekayaan, dan satu cara mudah ialah menerusi rasuah.
"Itulah sebabnya kita perlu mendidik mereka mengenai masalah ini ketika masih di universiti atau sekolah," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan