2 AJK dan 51 ahli Umno sertai PAS di Kuala Krai
Md Hakimi
KUALA KRAI (Hrkh) - Pada pilihan raya umum 2004, calon PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai dikalahkan Barisan Nasional (BN) hanya dengan 53 undi. Namun sekarang 53 undi yang berpihak kepada BN sudah kembali ke pangkuan PAS.
Mereka yang menyertai PAS itu bukan calang-calang orang, sebaliknya bekas anggota jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Kuala Krai, Zahari Zakaria, 56 atau lebih dikenali sebagai Pak Chu.
Seorang lagi juga bekas AJK pada akhir tahun 1990-an, Yusof Kadir, 56 turut meninggalkan perjuangan lama dan kini mahu memastikan Dun Manek Urai dikembalikan ke pangkuan PAS.
Mereka menyerah borang menyertai PAS kepada Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Sungai Peria, dekat sini, baru-baru ini.
Zahari bergiat aktif dalam Umno sekitar tahun 1978 dan beliau merupakan salah seorang pengasas cawangan Umno di Sungai Peria.
Pada pilihan raya umum lalu beliau bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon Umno, Zulkifli Omar di Dun Manek Urai.
“Namun sekarang saya merasa kesal setelah menang, wakil rakyat terbabit meminggirkan golongan tua. Segala pandangan dan teguran kami tidak lagi diendahkan.
“Sekarang sampailah masanya kekurangan 53 undi yang berlaku pada pilihan raya umum lalu dikembalikan semula ke pangkuan PAS. Kami akan bekerja kuat bagi memenangkan calon PAS,” katanya ketika ditemui di majlis itu.
Zahari juga berkata, beliau sudah lama berhasrat meninggalkan Umno setelah melihat sendiri masalah dalaman parti itu, di mana pemimpinya lebih pentingkan kedudukan dan projek daripada menyelesai masalah rakyat.
Beliau turut melahirkan rasa malu apabila wakil rakyat BN dari Paloh menyerang Adun PAS pada persidangan Dun November lalu sehingga menggemparkan seluruh negara.
“Saya sebagai bekas AJK Umno merasa malu dengan gelagat Datuk Nozula Mat Diah cuba berlagak samseng di dalam Dewan Negeri, sedangkan tempat itu untuk berbincang masalah rakyat,” ujarnya.
Manakala Yusof yang mula aktif dalam Umno sekitar tahun 1983 dan pernah menjadi pengasas Umno Cawangan Kampung Naga Ibu di Tumpat, sebelum berpindah ke Kuala Krai.
Menurutnya selepas rakyat Kelantan memberi peluang kemenangan besar kepada BN pada pilihan raya umum lalu, tidak nampak apa yang dilaksana bagi membela nasib rakyat.
“Selepas menang kebanyakan wakil rakyat Umno lebih sibuk mengejar projek daripada menjaga kebajikan ahli di peringkat bawah,” luahnya dengan penuh kecewa.
Ditanya peluang PAS di Dun Manek Urai, kata beliau sikap berpuak-puak Umno dan kesedaran bekas ahli dan penyokong Umno memberi peluang cerah kepada PAS merampas semula kawasan tersebut.
Lagi pun katanya, suasana pilihan raya 2004 berbeza, di mana rakyat mahu memberi peluang kepada Perdana Menteri baru yang nampak Islamik membetulkan pentadbiran Negara.
“Namun setelah lebih empat tahun berlalu nampaknya tiada apa yang istimewa dengan peralihan pucuk pimpinan. Sebaliknya rakyat dibebani dengan peningkatan kos hidup kerana kenaikan harga minyak dan sikap membazir pemimpin,” katanya.
Turut sama pada majlis itu, anggota Majlis Tertinggi PKR, N Gobala Krishnan, Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Ibrahim Mahmood, Penyelia Parlimen Kuala Krai, Zamzuri Mat Lazim dan Penyelia Dun Manek Urai, Ismail Yaakub. - mj
Tiada ulasan:
Catat Ulasan