Banyak kera bandar ada AIDS, Tibi
PADANG BESAR - Kajian terhadap 2,000 ekor kera yang ditangkap di kawasan bandar mendapati 80 peratus daripadanya berpenyakit termasuk AIDS, Tibi dan Hepatitis.
Malah, ada juga haiwan itu sudah biasa meminum Coca-Cola dan bir tinggalan manusia.
Sehubungan itu kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan kera ekor panjang dieksport walaupun kini terdapat 250,000 ekor spesies tersebut di bandar-bandar sehingga mengganggu ketenteraman penduduk.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid berkata, pertengahan tahun lalu, kerajaan membuat keputusan membenarkan kegiatan pengeksportan itu bagi mengurangkan populasinya di kawasan bandar namun kajian yang dilakukan mendapati kera di bandar tidak sesuai untuk dieksport.
Katanya, kera-kera yang ditangkap secara rambang itu telah diuji dan hanya 20 peratus sihat dan apabila kajian mendapati kebanyakan kera itu berpenyakit, pengeksportan tidak boleh dilaksanakan.
"Kerajaan bimbang jika kegiatan pengeksportan itu dibenarkan maka para pengeksport yang gagal mendapatkan kera yang sihat di bandar akan memasuki kawasan hutan untuk mendapatkan kera yang lebih sihat," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan masyarakat Cina di Kaki Bukit di sini semalam.
Azmi yang juga anggota Parlimen Padang Besar berkata, kera bandar juga didapati mengambil sisa makanan dan minuman manusia termasuk minuman keras.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan