Gadis hidap asma hilang
SHAH ALAM – Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Perpustakaan Awam Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Jalan Othman, kira-kira jam 11 pagi, Isnin lalu.
Siti Nor Syaliha Mohd Jali atau lebih dikenali sebagai Sally di kalangan rakan-rakan yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Perempuan Assunta itu, kali terakhir dilihat memakai baju-T berwarna merah jambu, berseluar jeans dan memakai kasut sukan.
Menurut kakaknya, Siti Raudah Mohd Jali yang menemui Sinar Harian semalam, keluarga menyedari kehilangannya setelah menunggu sehingga jam 11 malam, tetapi beliau tidak pulang ke rumah. Sejurus selepas itu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya oleh ibu mereka.
“Kami mencari adik di merata tempat, bermula di kawasan sekitar perumahan, Stesen Putra Taman Jaya, selain bertanya kawan-kawan rapatnya tetapi masih tidak berhasil.
“Keesokan harinya, kira-kira jam 9.30 malam kami sekeluarga dikejutkan dengan panggilan daripada adik, yang cuma menyatakan dia bersama seorang lelaki dan seorang perempuan, tetapi tidak tahu di mana dia berada serta kedengaran seperti ketakutan,” katanya lagi.
Mereka berasa lebih risau kerana Sally menghidapi penyakit Asma dan dia kerap pengsan setiap kali diserang penyakit tersebut.
Menurut Siti Raudah, Sally seorang adik yang baik dan tidak pernah berlaku perselisihan faham antara mereka sekeluarga.
“Sally seorang yang agresif, peramah dan aktif dalam sukan. Tidak mungkin dia akan lari begitu sahaja. Hubungan kami amat akrab antara satu sama lain, malah Sally seorang yang mendengar kata dan selalu memberitahu kepada keluarga ke mana sahaja dia pergi,” katanya.
Keluarga Sally amat berharap sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai gadis itu dapat menghubungi talian 019-2820872 (Siti Raudah) atau 013-3184999 (Lans Koperal Mustafa Kan Yati).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan