Puspakom tawar periksa kereta percuma
KUALA LUMPUR - Berita baik kepada pemilik kenderaan persendirian di seluruh negara kerana Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan mengadakan pemeriksaan kenderaan secara percuma sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Datuk Salamat Wahit, pemeriksaan percuma itu disediakan di 24 tempat terpilih mulai hari ini hingga 6 Februari.
"Khidmat itu disediakan bertujuan untuk memastikan kenderaan yang berada di jalan raya pada musim perayaan ini berada dalam keadaan selamat digunakan.
"Kami menawarkan 10 pemeriksaan kepada pengguna yang datang termasuk analisis berkomputer dan ujian brek," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pemeriksaan lain yang dijalankan ialah ujian asap, suspensi, brek tangan, meter kelajuan serta pemeriksaan bawah dan atas kereta.
Kata Salamat, pemeriksaan tersebut akan dijalankan selama 30 minit yang dilakukan oleh 500 kakitangan teknikal terlatih di seluruh negara.
"Setiap tahun kita telah memberikan perkhidmatan kepada dua juta kenderaan untuk memperbaiki masalah mekanikal yang dihadapi dan kami yakin orang ramai akan datang untuk memeriksa kenderaan mereka," katanya.
Beliau menambah, pemeriksaan percuma itu boleh dibuat di 24 pejabat Puspakom iaitu di Arau, Alor Star, Sungai Petani, Mak Mandin, Teluk Kumbar, Taiping, Gopeng, Wangsa Maju dan Padang Jawa.
"Selain itu, pemeriksaan juga boleh dilakukan di Seremban, Alor Gajah, Kluang, Johor Bahru, Muar, Kuantan, Raub, Kota Bharu dan Kuala Terengganu," katanya.
Orang ramai yang ingin maklumat lanjut mengenai perkhidmatan itu boleh menghubungi 1-800-88-6927.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan