HALAMAN SANTAI

Ahad, 17 Februari 2008

Talian khas semak daftar pemilih dibuka



PUTRAJAYA: Orang ramai boleh menyemak sama ada nama mereka terkandung dalam senarai Daftar Pemilih terbaru dengan menghubungi Pusat Panggilan SPR di talian 03-88856600 bermula hari ini, Sabtu.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata talian yang mempunyai 10 "hunting line" itu akan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 12 malam setiap hari bagi memudahkan pemanggil menyemak status mengundi.

Beliau berkata melalui talian sama bermula Isnin ini, pemanggil juga boleh menyemak kawasan Parlimen mereka akan mengundi, negeri, pusat undi, saluran peti undi, nombor siri pemilih dan waktu mengundi.

"Mereka hanya perlu nyatakan nombor kad pengenalan masing-masing," katanya kepada pemberita dalam sesi taklimat khas pilihan raya umum ke-12 selama lebih 4 jam bermula 10.30 pagi di pejabat SPR di kompleks kerajaan di sini.

Menurutnya talian khas itu akan ditamatkan pada pukul 5 petang, 8 Mac iaitu selepas kesemua pusat pengundian ditutup.

SPR sebelum ini menetapkan 24 Februari ini sebagai hari penamaan calon dan 8 Mac hari mengundi bagi pilihan raya umum, dengan lebih 10.9 juta rakyat negara ini layak mengundi.

Pada taklimat itu, Kamaruzaman memberikan penjelasan kepada media berhubung proses pilihan raya umum bagi membantu media massa membuat laporan secara benar dan tepat. BERNAMA

Tiada ulasan: