Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Bilakah Peguam Negara Tan Sri Abdul
Gani Patail akan menunaikan janjinya untuk menyemak semula dakwaan di
bawah Akta Hasutan?, soal Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Ia berikutan kenyataan Abdul Gani pada 9 September lalu
bahawa Pejabat Peguam Negara akan menyemak semula dakwaan terhadap
beberapa tokoh, termasuk pensyarah undang-undang Universiti Malaya
Profesor Madya Dr Azmi Sharom.
Dalam kenyataan sama, Abdul Gani juga berkata semakan itu
adalah ‘prosedur biasa’ dan keputusannya akan dibuat ‘secepat mungkin’.
“Bolehkah Abdul Gani jelaskan, apakah yang beliau maksudkan
dengan ‘secepat mungkin’? Adakah ia akan memakan masa berbulan atau
bertahun, sehinggalah tamat tempohnya sebagai Peguam Negara?” soal Kit
Siang dalam satu kenyataan.
Desakan sama turut dibuat gabungan NGO Gerakan Hapus Akta
Hasutan 30 September lalu, namun masih belum ada apa-apa jawapan
sehingga hari ini.
Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, hakikatnya tiada
sesiapa pun yang dapat memastikan sama ada Abdul Gani serius atau tidak
dengan janjinya.
“Siapa yang bertanggungjawab melaksanakannya dan adakah ia sudah pun bermula?” katanya lagi.
Lebih malang katanya, siri siasatan di bawah Akta Hasutan semakin menjadi-jadi selepas janji Abdul Gani itu.
Antara mangsa terbaru akta itu adalah pakar perlembagaan Dr
Abdul Aziz Bari ekoran kenyataannya dalam isu Menteri Besar Selangor,
dan Ketua Malaysian Indian Progressive Association (Mipas) A Rajaretinam
yang mengkritik Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).
Najib perlu jawab di Parlimen
“Maka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu membuat satu kenyataan kementerian apabila Parlimen sambung bersidang Selasa nanti, dan maklumkan kepada semua berhubung perjalanan semakan semula itu.
“Beliau juga perlu menyatakan kembali janjinya dua tahun lalu untuk memansuhkan Akta itu,” katanya lagi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan