Keinginan pihak pendakwa kes rayuan Anwar Ibrahim mahu menambah tempoh penjara keatasnya dengan alasan hukuman lima tahun yang dijatuhkan sebelum ini tidak memadai, tidak lain menunjukkan hasrat mahu "membunuh" terus karier politik Ketua Pembangkang itu.
Melalui dokumen pihak pendakwa yang disaksikan sendiri oleh sebuah portal berita, alasan memohon tambahan hukuman itu ialah kerana berpendapat penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan itu tidak memadai dari segi kepentingan awam dan memberi teladan kepada orangramai.
Memandangkan Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan rotan, maka pihak pendakwa yang diketuai oleh Shafee Abdullah dilaporkan akan memohon hukuman lebih berat dalam perbicaraan pada 28 dan 29 Oktober ini.
Jika hukuman penjara lima tahun sebelum ini dikekalkan pun sudah menyebabkan Anwar kehilangan hak bertanding dalam pilihanraya sekurang-kurangnya selama 10 tahun, memohon hukuman penjara lebih lama tentulah maksudnya untuk memanjangkan lagi tempoh beliau tidak boleh aktif dalam politik.
Dengan Anwar berusia 67 tahun ketika ini, jika hukuman penjara lima tahun dikekalkan, bermakna beliau hanya boleh bertanding semula dalam pilihanraya ketika usianya nanti 77 tahun. Ini kerana peraturan menetapkan hanya selepas lima tahun keluar penjara barulah seseorang itu dibolehkan bertanding semula.
Jika pendakwa berjaya menambah kepada 10 tahun pula, had boleh bertanding turut meningkat ketika usianya menjangkau usia 82 dan jika menjadi 15 tahun, bertambah lagi kepada usianya 87 tahun.
Dalam usia sebegitu, sukar dijangka sama ada Anwar masih mampu dah bertenaga lagi untuk terus berjuang.
Secara mata kasar dan mudah difahami oleh sesiapa saja, tindakan pihak pendakwa memohon tambahan hukuman ini adalah semata-mata untuk "membunuh" terus karier politik Anwar.
Kiranya Mahkamah Rayuan sebelum ini menjatuhkan hukuman lima tahun penjara semata-mata untuk menghalang Anwar bertanding di DUN Kajang dan menjadi Menteri Besar Selangor, tindakan pihak pendakwa di Mahkamah Persekutuan kali ini pula bertujuan untuk membiarkan karier dan masa depannya mereput dalam penjara.
Memandangkan Shafee yang dikenali mempunyai hubungan yang rapat dengan Najib dan turut berada di kediaman Perdana Menteri pada malam ketika Saiful mengadu kepada Najib dirinya diliwat oleh Anwar, pemilihannya mengetuai pendakwaan di Mahkamah Persekutuan tidaklah sukar difahami maksud serta tujuannya.
Dengan terdedahnya dokumen bahawa pendakwa akan memohon hukuman lebih berat, Anwar bukan saja perlu berhujah untuk membuktikannya tidak bersalah tetapi juga mengelakkan usia dan kariernya reput dalam penjara.
Satu-satunya jalan yang boleh memendekkan hukuman yang diterima Anwar ialah jika PR berjaya menewaskan BN dalam pilihanraya umum akan datang atau mungkin melalui cara lain yang tidak terjangka oleh manusia. Ahli-ahli agama selalu menyebut, manusia merancang, Tuhan juga merancang tetapi perancangan Tuhanlah yang terbaik sekali.
Selepas dipecat pada 1998, Anwar disabitkan hukuman penjara selama enam tahun atas dakwaan menyalahgunakan kuasa dan selama sembilan tahun lagi atas dakwaan meliwat Azizan Abu Bakar.
Kedua-dua hukuman itu tidak dijalankan secara serentak tetapi secara berturutan.
Ia bermaksud Anwar akan menjalani hukuman penjara selama 15 tahun dan ditambah lima tahun lagi larangan bertanding dalam pilihanraya menjadikan tempoh berehatnya adalah selama 20 tahun.
Ketika mula dijatuhkan hukuman penjara pada 1999, beliau sudah berusia 52 tahun dan jika semua mengikut apa yang dirancangkan, Anwar hanya boleh bertanding semula dalam pilihanraya ketika berusia 72 tahun.
Ketika itu, memenjarakan Anwar juga bertujuan membiarkannya tua dan reput dalam penjara.
Tetapi semua itu hanyalah perancangan manusia bernama Mahathir. Siapa sangka apabila beliau bersara secara mengejut dan kemudian Pak Lah menjadi Perdana Menteri pada 2003, Anwar kemudian bebas pada 2004 setelah Mahkamah Persekutuan menggugurkan sabitan kesalahan meliwat yang dijatuhkan kepadanya pada tahun 2000.
Najib juga boleh merancang tapi jangan lupa Tuhan juga ada perancanganNya. Sama-sama kita saksikan nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan