Azmin Ali Azmin Ali
 
 
 
SHAH ALAM - Kadar kenaikan elaun dan gaji empat jawatan utama negeri Selangor akan dikaji semula sebelum dibentang pada sidang Dewan Negeri akan datang.

Mengumumkan perkara tersebut, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menjelaskan, empat jawatan yang bakal dikaji kenaikan elaun dan kadar gaji termasuk menteri besar, Speaker, exco kerajaan negeri dan Timbalan Speaker.

"Pihak kami telah sedia maklum bahawa satu kenaikan elaun dan gaji telah diluluskan pada November 2013 dan namun kami berpendapat kenaikan ini perlu dikaji semula mengikut kesesuaian dan kami akan bentangkannya dalam Sidang Dewan yang akan datang," katanya.

Tambahnya, kajian kenaikan tersebut tidak akan melibatkan kenaikan gaji dan elaun terhadap Adun Selangor.

Tahun lalu, sidang Dun Selangor yang dipimpin bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meluluskan kenaikan gaji untuk semua 56 Adun berkuatkuasa 1 Januari tahun ini, dengan timbalan Speaker Dun mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3 peratus.

Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji Menteri Besar Selangor, Speaker Dun dan barisan exco kerajaan negeri.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; Speaker Dun  (RM6,109.29 kepada RM22,500); Timbalan Speaker (RM3,327.50 kepada RM15,750) dan Adun (RM6,000 kepada RM11,250).