Platform-platform fahaman liberal mahupun
sosialis yang terdapat di Malaysia telah melahirkan individu muslim yang
celaru identiti seperti Melati.
PETALING JAYA: Aktivis Ikatan Muslimin (ISMA), Sharifah Abdul Samad meminta supaya Jamila Rahim atau lebih dikenali dengan panggilan Melati Rahim, 22 menunjukkan bukti-bukti DAP itu lebih dekat dengan keadilan Islam.
Menurut Sharifah beliau amat bersimpati dengan pilihan yang dilakukan oleh gadis Melayu, Melati Rahim untuk memperjuangkan Islam melalui DAP.
Namun, bagi Melayu muslim yang berfahaman modenisme dan liberal semestinya akan menerima cara dan langkah parti demokratik sosialis DAP walaupun hakikatnya banyak melanggar norma-norma Islam.
“Melati memberi alasan DAP lebih dekat dengan keadilan seperti digagaskan dalam Islam.
“Saya terlalu ingin mendengar dari Melati sendiri bukti-bukti yang menunjukkan DAP itu lebih dekat dengan keadilan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegasnya, platform-platform fahaman liberal mahupun sosialis yang terdapat di Malaysia telah melahirkan individu muslim yang celaru identiti seperti Melati.
“Dahsyatnya serangan pemikiran kini sehingga mampu melahirkan kelompok Melayu liberal yang sudi mengangkat panji perjuangan bersama golongan yang pada hakikatnya menentang Islam akibat terliur dengan laungan keadilan, kebebasan, kuasa rakyat dan sebagainya.
“Cukuplah Melati, Dyana Sofya Mohd Daud serta individu-individu Melayu liberal yang menyertai parti demokratik sosialis DAP membuktikan kecelaruan fikrah dan identiti diri mereka sebagai seorang muslim.
“Kita perlu bangkit dan terus mengunjurkan Islam yang sebenar sebagai penyelesaian terbaik dalam segala aspek kehidupan umat. Kebangkitan pemuda Islam bukan perlu dicantas, tetapi perlu dibimbing agar tidak lahir lagi muslim celaru seperti Melati DAP,” katanya.
Jelasnya beliau tidak menolak kemungkinan slogan-slogan laungan parti demokratik sosialis DAP seperti keadilan, kebebasan, kesamarataan, suara rakyat dan sebagainya mampu membuatkan masyarakat terliur. Khususnya kelompok Melayu liberal yang semakin beranak-pinak di bumi Malaysia.
“Itu menjadi jawapan yang amat kukuh mengapa Melati dengan rela diri memilih parti demokratik sosialis seperti DAP sebagai wadah perjuangan Islamnya. Lalu tidak keterlaluan untuk kita nyatakan bahawa Melati DAP merupakan bukti kecelaruan pemuda Islam zaman ini.
“Namun saya akan bantu untuk menjawab soalan di atas. Benarkah DAP lebih dekat dengan keadilan Islam?
“Salah sama sekali. Hakikatnya DAP sering mempamerkan sikap dan pendirian mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sekular supaya undang-undang Islam tidak dapat dilaksanakan,” ujarnya.
1 ulasan:
Yg nyata dewasa ini negara bukan Islam lebih terkedepan dlm banyak segi yg sepatutnya diungguli negara Islam. Bukan salah Islam tapi salah umat Islam sendiri.
Catat Ulasan