Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang
hari ini mencabar Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar agar
mengusulkan kepada kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan
dan Salahlaku Polis (IPCMC).
Ini berikutan kenyataan Khalid semalam, bahawa polis tidak
pernah membantah penubuhan IPCMC, sebaliknya hanya tidak bersetuju
dengan syarat ditetapkan, antaranya seperti tiada hak untuk merayu bagi
polis yang disabit kesalahan oleh suruhanjaya itu.
“IPCMC kita tidak pernah membantah, cuma kita tidak
bersetuju dengan terma yang diusulkan di mana tidak memberi hak kepada
warga PDRM, seolah-olah PDRM warga kelas kedua yang tiada hak di bawah
undang-undang,” kata Khalid, seperti dipetik Berita Harian semalam.
Kit Siang berkata, Khalid seperti menganggap rakyat
Malaysia mudah lupa betapa kuatnya penentangan pimpinan tertinggi Polis
ketika cadangan penubuhan IPCMC diajukan ketika zaman pentadbiran Tun
Abdullah Ahmad Badawi dahulu.
“Adakah Khalid kini berkata yang polis akan menyokong
suruhanjaya itu, jika mereka diberi hak untuk merayu? Rakyat Malaysia
pasti bersetuju bahawa polis berhak mendapat hak itu.
“Maka, adakah Khalid bersedia untuk mengusulkan kepada
Menteri Dalam Negeri, Perdana Menteri dan Kabinet bahawa IPCMC, dengan
hak kepada polis untuk membuat rayuan, perlu dibentangkan ke parlimen?
“Apatah lagi ini sahajalah caranya untuk memulihkan
keyakinan orang ramai terhadap integriti polis, serta membanteras salah
guna kuasa dan rasuah dalam badan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Penubuhan IPCMC ternyata semakin mendesak apabila masalah
kematian dalam tahanan yang menjadi tumpuan utama dalam suruhanjaya itu
tidak melihatkan apa-apa tanda untuk berkurang, apabila sudah sepuluh
kes berlaku di Pulau Pinang pada tahun ini.
Malah pada 8 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan
keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Khalid dan pegawainya bertanggungjawab
atas kematian A Kugan ketika ditahan di dalam lokap polis lima tahun
lalu.
Dengan ‘orang nombor satu ’ polis sendiri
dipertanggungjawabkan dalam kes itu, kata Kit Siang lagi, penubuhan
IPCMC semakin mendesak memandangkan orang ramai tiada keyakinan polis
dapat memperbetulkan sendiri kelemahan mereka. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan