shahbudindotcom
Jika
dibebaskan, Anwar akan meneruskan perjuangannya bagi menghadapi PRU 14
di sebalik kedudukan Najib Razak yang semakin goyang, kian ditolak dan
tidak lagi mendapat sokongan daripada Mahathir Mohamad sebagaimana PRU
13 dahulu, manakala kalau didapati bersalah, maka berakhirnya karier dan
masa depan politiknya.
Dengan
dipenjara, hanya jiwa merdeka dan semangat perjuangannya saja lagi yang
akan menjadi tangkal bekalan bagi PKR dan juga PR menghadapi
pilihanraya akan datang nanti.
Sementara menunggu detik 28 dan 29 Oktober di
mana Mahkamah Persekutuan akan bersidang untuk menentukan sama ada
rayuannya diterima atau ditolak, Anwar juga dilaporkan sudah pun
mempunyai jadual yang padat untuk menemui para penyokongnya di seluruh
negara. Malam terakhir sebelum ke mahkamah, programnya dijangka
berlangsung di perkarangan Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya
iaitu pada malam 27 Oktober ini.
Di
sisi yang lain pula, beberapa Ahli Parlimen PR yang diketuai oleh
Rafizi Ramli sedang berada di Australia untuk menemui pelbagai pihak
bagi mendapatkan sokongan serta menjelaskan mengenai perjalanan kes yang
melibatkan Anwar itu.
Rafizi
juga, dalam masa yang sama telah mengarahkan semua cabang PKR di
seluruh negara agar menghantar seramai mungkin ahli ke perhimpunan di
sekitar Istana Kehakiman, Putrajaya pada tarikh 28 dan 29 Oktober bagi menunjukkan solidariti dan sokongan kepada Anwar.
Walaupun
diakui bahawa semangat dan gelombang anak-anak muda dalam mempertahan
dan membela Anwar agak jauh berbeza berbanding tahun 1998 atau ketika
Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas dakwaan meliwat Saiful
Bukhari pada 2012 dahulu, Anwar dan PKR tetap tidak berdiam diri atau
mengalah begitu saja.
Anwar
bukan saja mahu membuktikan beliau tidak bersalah di hadapan lima hakim
Mahkamah Persekutuan tetapi juga untuk meneruskan perjuangannya membawa
reformasi dan menegakkan keadilan bagi rakyat negara ini. PRU 14 adalah
kesempatan terakhir baginya yang kini sudah berusia 67 tahun.
Dengan
keadaan negara yang makin berkecamuk di mana pelbagai isu gagal
ditangani, sikap Najib yang lebih suka berdiam diri, kos kehidupan
rakyat kian tinggi, hutang negara kian meningkat dan pelbagai caca-marba
lainnya, tidak dinafikan bahawa mendekamnya Anwar di penjara mungkin
menjadikan negara terus diurus tanpa segan-silu dan malu-malu lagi.
Jika
dalam keadaan pembangkang kuat pun Najib banyak berbuat perkara sesuka
hati seolah-olah negara ini sebuah syarikat sendirian berhad miliknya
saja, pengurusan dan pentadbiran negara pasti lebih menyakitkan hati
jika Anwar di dalam penjara dan kekuatan pembangkang mulai lemah.
Ini
kerana tanpa Anwar, kekuatan pembangkang pasti mulai rapuh. Meskipun PR
akan terus wujud tetapi kekuatannya tidak seperti dulu lagi. PR akan
kehilangan pemimpin yang berwibawa untuk menyatupadukan ketiga-tiga
parti dalam gabungan itu. Paling mungkin ialah Pas yang mulai jauh hati
dengan Anwar sejak Langkah Kajang, akan terus menjauhkan diri serta
tidak mustahil berpisah atau dipisahkan daripada PR.
Hubungan
Pas dengan PR akan terus bertambah buruk jika dalam pemilihan tahun
depan itu parti itu terus dikuasai oleh kumpulan ulama dan kelompok
taliban.
Ketiadaan
Anwar, kekuatan pembangkang yang mulai tumpul dan hubungan Pas yang
semakin menjauh dengan PR adalah berita paling gembira buat Najib dalam
menghadapi pilihanraya yang seterusnya.
Beliau
bukan saja mempunyai lebih keyakinan untuk mendapat sokongan dan
memenangi PRU 14 nanti, bahkan juga sudah mulai boleh mencatur untuk
menyusun pengganti bagi mengambil alih tempatnya. Bukan rahsia lagi
bahawa Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang sudah berusia 68
tahun ketika ini dikatakan tidak bertanding lagi dalam pilihanraya umum
nanti dan akan bersara selepas itu.
Dengan
kedudukan itu, Najib akan melantik sepupunya, Hishammuddin Hussein
sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya pewaris kepada
kedudukannya.
Kiranya
ini berlaku, sekali lagi negara yang diurus secara paling buruk oleh
golongan bangsawan yang tidak memahami susah payah dan derita sebenar
rakyat, sekali lagi akan terjerumus ke lembah paling menyakitkan bagi
rakyat kebanyakan.
Sejujurnya
kita tidak pasti apa nasib Anwar kali ini, tetapi setidak-tidaknya kita
mengharapkan beliau dibebaskan dan dapat memimpin PR mencapai keputusan
yang lebih baik dalam pilihanraya nanti. Jika PR menang, itulah masanya
untuk beliau membuktikan reformasi untuk rakyat yang sering dilaung dan
diperjuangkannya selama ini.
Jika
BN terus menang juga dalam PRU nanti, walaupun dengan adanya kelibat
Anwar, kita juga mengharapkan BN hanya mendapat kemenangan tipis saja.
Kemenangan yang tipis bermakna penolakan yang makin ketara terhadap
Najib dalam dua pilihanraya iaitu PRU 13 dan PRU 14.
Dengan
yang demikian, diharapkan juga akan berlaku perubahan kepimpinan dalam
UMNO dan kerajaan di mana mereka yang benar-benar berjiwa rakyat dan
berasal daripada rakyat bawahan akan menjadi penggantinya.
Selain ada yang berusaha dengan pelbagai cara memastikan Anwar dibebaskan pada 28 dan 29 Oktober, kita sebagai rakyat biasa sekurang-kurangnya dapat menitipkan doa bagi pembebasannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan