Datuk Seri Abdul Wahid Omar Datuk Seri Abdul Wahid Omar
 
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan peningkatan pendapatan rakyat berlaku lebih pantas berbanding peningkatan harga barang, kata Menteri di Jabatan Perdana menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
  
Dalam usaha mencapai matlamat tersebut, kerajaan katanya, melakukan pelbagai cara termasuk pendekatan tidak popular yang dipercayai mampu membantu memperkukuh ekonomi dan kewangan negara.
  
Kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan pendapatan rakyat meningkat sekali gus dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik, katanya sambil menambah ia sejajar dengan hasrat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
  
"Apa yang paling penting kita (kerajaan) pastikan bahawa peningkatan pendapatan (rakyat) lebih pantas berbanding peningkatan harga barang," katanya.
  
Beliau berkata demikian pada sesi dialog bertajuk 'Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera' anjuran Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia (Pemikir) di sini, semalam.
  
Pemikir, sebuah badan pemikir sukarela dianggotai golongan profesional ditubuhkan antara lain bertujuan berkongsi pandangan dan idea untuk membantu menyumbang pelbagai idea kepada kerajaan.
  
Abdul Wahid berkata, kesan kebaikan pendekatan kerajaan itu akan dapat dirasai oleh rakyat termasuk golongan berpendapatan sederhana dalam beberapa tahun terdekat ini.
  
Begitu juga dengan cukai barang dan perkhidmatan yang dilaksana bermula April tahun depan, rakyat akan dapat melihat manfaatnya dalam peningkatan pendapatan negara dalam tempoh dua tahun pelaksanaan, kata beliau. - Bernama