Oleh ZULKIFLI YAHAYA
INGAT lagi cerita Yiked Holdings Sdn Bhd (YIKed)
yang disaman RM11 juta di penghujung pentadbiran Almarhum Tan Sri Ustaz
Azizan Razak dahulu? Menurut fakta kes, mahkamah telah mengarahkan
YIKed membayar RM11 juta kepada Syarikat Senisinga Sdn Bhd. Ia ekoran
kegagalan YIKed menyelesaikan masalah tanah yang telah dipersetujui
bersama dengan syarikat berkenaan dalam satu projek besar yang telah
dimulakan sejak zaman Menteri Besar BN, Tan Sri Osman Aroff lagi.
Long Island Development Sdn Bhd iaitu syarikat bersama YIKed dan Long
Island Properties bertanggungjawab menebus 16 keping tanah yang digadai
kepada Southern Bank Berhad tetapi telah gagal berbuat demikian.
Rentetan itu, syarikat Senisinga Sdn Bhd yang merupakan sebuah
syarikat yang mengambil alih pinjaman tidak berbayar Southern Finance
Berhad bertindak menyaman YIKed RM11 juta dan telah berjaya di mahkamah.
YIKed dilaporkan telah membayar sebanyak RM300,000 bermula 27 Ogos
2012 lepas dan bakinya akan dibayar ansuran sehingga bersambung di bawah
pentadbiran Dato' Paduka Mukhriz Mahathir yang mengambil alih Kedah
pada Mei 2013.
Jumlah RM11 juta yang dibazirkan angkara kerajaan BN sebelum Mac 2008
termasuk dalam senarai RM403 juta penyelewengan dan pembaziran yang
berlaku di zaman BN dahulu. Ustaz Azizan terpaksa berhempas pulas
mencari duit untuk melunaskan semua pembayaran yang dipaksakan itu.
“Tak
dak duit nak bayar, aku tebang balak,” seloroh Ustaz Azizan dalam satu
sidang media di Stadium Suka Menanti.
Hebatnya pentadbiran Ustaz Azizan, bagaimana tenat pun menghadapi
masalah kewangan dalam GLC beliau tidak pernah mengizinkan tindakan
zalim memecat staf hanya kerana kekangan kewangan. Kolej Universiti
Insaniah (KUIN) adalah antara yang hadapi masalah kewangan sehingga gaji
lewat dibayar.
Pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat berusaha mencari
duit menyelesaikan masalah yang berlaku. Namun membuang pekerja
sewenang-wenangnya tidak berlaku.
Hari ini seluruh negara dikejutkan
dengan tindakan YIKed (merupakan anak syarikat Yayasan Islam Negeri
Kedah) memberhentikan 28 staf serentak dengan alasan prestasi syarikat
tidak memberangsangkan, syarikat menanggung perbelanjaan operasi yang
tinggi, perolehan tidak dapat menampung kos operasi dan alasan
penstrukturan semula syarikat.
“Saya difahamkan, pemberhentian dilakukan secara sukarela dan tanpa
paksaan,” ujar Exco kerajaan negeri Dato' Mohamad Rawi Abdul Hamid.
Jurucakap 28 staf yang dipecat, Fadhlurrahman Zawawi pula menegaskan
bahawa kesemua staf diberhentikan tanpa sukarela. Cakap Exco yang tidak
boleh dipakai. Dalam keadaan negara mengalami kemelesetan ekonomi,
kedudukan kewangan rakyat yang gawat akibat kenaikan kos sara hidup dan
sukarnya rakyat untuk mendapat peluang pekerjaan; tidak munasabah staf
Yiked mahu diberhentikan secara sukarela.
Antara yang diberhentikan, ada yang sudah berkhidmat sehingga 17
tahun dan kesemua staf adalah bertaraf pekerja tetap. Hilang pekerjaan
adalah merupakan perkara besar. Banyak komitmen yang ditanggung oleh
mangsa daripada perbelanjaan harian hinggalah ansuran tetap bulanan
untuk semua pinjaman yang perlu dilunaskan. Bukan mudah untuk
mendapatkan pekerjaan baharu dengan segera.
Baru bulan lalu, Dewan Undangan Negeri Kedah dikejutkan dengan
pendedahan pembangkang perihal kegagalan projek pertanian Kedah Agro di
Bukit Tangga. Ramai pekerja yang diberhentikan atau lari begitu sahaja
setelah tidak menerima gaji dalam tempoh yang panjang. Semuanya
gara-gara kegagalan kerajaan BN menguruskan projek dengan baik, rugi dan
tiada sumber kewangan untuk meneruskan.
Dalam
isu pemberhentian staf YIKed, kerajaan negeri bersikap lunak kononnya
sedia membantu mereka yang diberhentikan kerja. “Saya akan cuba bantu
mereka sebaik mungkin,” janji Mukhriz penuh lunak apabila diajukan
persoalan pemberhentian staf YIKed itu. Janji seumpama itulah juga yang
dibuat dahulu terhadap staf Insaniah Holding yang tidak dibayar gaji
berbulan-bulan sejak BN ambil alih kerajaan.
Akhirnya ramai yang tidak
tahan dengan penderitaan yang ditimpakan mengambil jalan keluar dengan
berhenti.
Sebagai Menteri Besar, Mukhriz sudah tahu dari awal pembuangan
pekerja beramai-ramai di YIKed. Kalau nak tolong tak berlaku berlakon,
sediakan dahulu tempat alternatif untuk mangsa
pemberhentian. Atau
serapkan mereka ke dalam pentadbiran negeri. Hakikatnya, tiada tempat
lagi yang boleh diisi dalam kerajaan atau GLC. GLC lain juga sedang
alami penstrukturan. Ada staf yang sudah dibuang dan akan dibuang. Staf
sedia ada pun nak dikurangkan, maka tak berbangkit lagilah pengambilan
staf baharu. Semua itu cuka lakonan lunak BN Kedah dengan bermain
kata-kata.
Semua yang berlaku menunjukkan betapa BN gagal menguruskan dengan
baik GLC. Syarikat yang boleh buat untung pun tenat, apatah lagi yang
syarikat yang tidak memberangsangkan. Kemungkinan ditutup lebih banyak
daripada terus beroperasi.
Sejak berzaman BN mempamerkan rekod pengurusan GLC yang sangat teruk.
‘Kemampuan’ mereka hanyalah menguruskan duit yang disediakan oleh
Pusat. Untuk menambah dana negeri dengan mencari sendiri, maaflah memang
BN tiada kemampuan.
Baru-baru ini akibat terlalu boros dan habis duit dalam kantung
negeri, maka Majlis Mesyuarat Exco terpaksa minta peruntukan tambahan
dari Pusat sebanyak RM4 juta. Pusat luluskan tetapi tiada ramai tahu
kemana menghilangkan duit tersebut.
Dari awal kita sudah menjangkakan bahawa menyerahkan pentadbiran kerajaan dan GLC kepada BN ibarat menyerahkan bunga pada kera.
Namun apa boleh buat, rakyat terbanyak yang buat pilihan. Sekarang
rakyat terbanyak Kedah juga ramai yang menyesal. Kesilapan mengundi BN
terpaksa ditanggung dalam tempoh agak panjang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan