Abdul Rahman Dahlan
 
 
KOTA KINABALU - Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan mengalu-alukan rakyat biasa mengadakan perdebatan untuk menangani isu-isu polemik, khususnya mengenai hubungan Persekutuan dan negeri.
  
Setiausaha Barisan Nasional Sabah itu berkata, ahli politik perlu tahu bila untuk tidak mengambil bahagian dalam wacana intelek seumpama itu supaya rakyat boleh mendapat fakta yang betul dan pandangan tidak berat sebelah berhubung isu-isu yang menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan mereka.
  
"Ia (perbincangan) tidak boleh dijalankan oleh kerajaan dan ahli-ahli politik semata-mata. Ia juga perlu disertai oleh rakyat biasa," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas ditemu bual dalam segmen Ekspresi Sabah FM terbitan RTM di sini hari ini.
  
Abdul Rahman berkata, beliau gembira apabila mengetahui bahawa sekumpulan ahli profesional muda kelahiran Sabah daripada pelbagai kaum dan agama telah menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Centre of Society Empowerment and Democratic Studies (SEEDS) bertujuan untuk menangani isu-isu polemik berdasarkan fakta dan angka. - Bernama