Hasan Malek Hasan Malek
 
 
SIMUNJAN - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, adalah lebih wajar untuk kerajaan melaksanakan kaedah subsidi bersasar kepada kumpulan sasaran yang tepat seperti pemberian BR1M, bantuan persekolahan RM100 dan baucar buku 1Malaysia (BB1M).

Katanya, kerajaan menyedari isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan dijadikan mainan politik oleh pembangkang untuk menyerang kerajaan dan menggugatkan kestabilan politik negara.

Beliau berkata kerajaan tidak melaksanakan kawalan harga ke atas semua barangan kerana negara mengamalkan sistem ekonomi terbuka yang mana harga pasaran akan dipengaruhi permintaan dan penawaran.

"Penurunan dan kenaikan harga barang berlaku ke atas barangan yang bukan dikawal oleh kerajaan," katanya ketika berucap merasmikan kempen 'Jom Bawa Bekal Ke Sekolah' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sadong di sini, hari ini.

Ketika ini, katanya rakyat masih menikmati subsidi tepung, gas  memasak, minyak masak, kesihatan, perubatan, pendidikan, bantuan-bantuan  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kedai Rakyat 1Malaysia dan lain-lain.

Hasan berkata, budaya hidup yang menyumbang ke arah pembaziran turut  menjadi faktor meningkatnya kos sara hidup sesebuah keluarga.

Katanya, bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, kerajaan telah melaksanakan kempen penurunan harga dan Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP), mewujudkan 142 kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang menawarkan sejumlah  397 produk berjenama 1Malaysia pada kadar harga lebih rendah sehingga 50  peratus, katanya.

"Keprihatinan yang ditunjukkan kerajaan menunjukkan betapa kerajaan mengambil serius terhadap kebajikan 29 juta orang rakyatnya," katanya.

Menurut Hasan, di Sarawak 24 KR1M telah beroperasi dan akan ditambah sehingga 29 sebelum akhir tahun ini untuk manfaat penduduk.

Beliau berkata, rakyat berbelanja secara bijak, berbelanja secara  sederhana dan mengikut kemampuan serta bijak memilih barang atau perkhidmatan  yang memberi nilai terbaik untuk wang yang dibelanjakan. - Bernama