HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Oktober 2014

Syed Azmi : Tiada niat memesongkan akidah

 
Program tersebut adalah proses pembelajaran untuk menghormati makhluk Allah SWT yang kian dipandang hina dan didera oleh masyarakat kita.

syed azmi


PETALING JAYA: Penganjur program ‘I Want To Touch A Dog’, Syed Azmi Alhabshi tampil beri penjelasan bahawa tujuan program tersebut hanya untuk mengatasi perasaan takut terhadap anjing, cara membantu anjing jikalau ia berada dalam kesulitan dan batasan bersama anjing dalam konteks Islam.

Menurut beliau, penganjuran program tersebut tiada niat untuk memesongkan akidah, menukar hukum-hakam agama dan mempersendakan ulama atau menggalakkan liberalisme.

“Niat saya ikhlas dan saya memohon maaf dan tiada niat menyinggung perasaan dan menimbulkan masalah kepada mana-mana pihak,” katanya dalam satu sidang media di Kelab Golf Persiaran Selangor.

Setelah hampir seminggu, Syed Azmi hari ini tampil beri penjelasan dan memohon maaf di atas sebarang perasaan tidak senang yang berbangkit disebabkan oleh program ‘I Want To Touch A Dog’.
Tegasnya, program tersebut tidak sama sekali menggalakkan anjing sebagai binatang peliharaan.

“Kenyataan ini kami telah nyatakan di dalam laman sosial program ini semenjak 11 September yang lalu.

“Mengenai kelulusan-kelulusan rasmi bagi menganjurkan program ini, kami telah bertemu dan berbincang dan kami diberikan surat menerangkan garis panduan pengendalian anjing menurut Islam oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor untuk melaksanakan program ini,”katanya.

Tambah beliau, program tersebut adalah proses pembelajaran untuk menghormati makhluk Allah SWT yang kian dipandang hina dan didera oleh masyarakat kita.

“Segala pencerahan mengenai hukum-hakan pengendalian anjing telah diterangkan semasa program tersebut.

“Ingin saya tekankan program ini adalah proses pembelajaran dan kaedah juga telah diterangkan dan amali telah dikendalikan,” jelasnya.

Katanya, beliau mengakui program tersebut ada kelemahan tersendiri.

“Terima kasih juga atas komen-komen yang diterima.

“Ini adalah proses pembelajaran bagi saya juga. Saya dengan sejujurnya tidak mempunyai mana-mana niat untuk menguris sensitiviti rakyat Malaysia,” ujarnya.

Tiada ulasan: