KUALA LUMPUR: Kenyataan Kerajaan Persekutuan bahawa rakyat Malaysia sedang menikmati taraf hidup yang lebih baik adalah sekadar lawak jenaka apabila kerajaan menaikkan harga petrol Ron95 dan petrol kepada RM2.30 seliter dan RM2.20 seliter.
Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) berkata, kenaikan harga bahan bakar ini adalah kesan sampingan terbaru akibat sikap Kerajaan Persekutuan yang tidak mengambil kisah kebajikan rakyat dan kegagalannya mengurus ekonomi negara.
"Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk menandakan bulan Oktober ini dengan memberi rakyat Malaysia satu 'hadiah'iaitu kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen," ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, sesiapa pun tidak akan menafikan bahawa kewangan negara perlu disusun semula.
Tambah Nik Nazmi, rakyat Malaysia bergantung kepada harga minyak yang mampu dibeli untuk ke tempat kerja manakala para nelayan pula perlukan minyak untuk menghidupkan bot ke laut bagi mencari rezeki.
Pengangkutan awam yang baik, ujarnya hanya sekadar angan-angan bagi rakyat yang tinggal di bandar.
Beliau yakin pelaksanaan cukai barangan perkhidmatan (GST) pada tahun hadapan akan lebih membebankan rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.
"Kumpulan ini pasti akan menghadapi kesusahan yang amat serius disebabkan kenaikan tersebut.
"Inilah bukti yang jelas bahawa kenyataan Kerajaan Persekutuan yang menyatakan rakyat Malaysia sedang menikmati taraf hidup yang lebih baik adalah sekadar satu lawak jenaka," ujar Ahli Dewan Negeri (Adun) Seri Setia itu.
Menurutnya, adalah sesuatu yang mendukacitakan apabila kerajaan memilih untuk membebankan rakyat bagi mengisi kantung negara daripada berusaha mengekang pembaziran dan kebocoran kewangan dalam pentadbiran negara.
"Umno-BN dilihat lebih rela menyakiti mereka yang lemah dan tidak berkemampuan berbanding menyusahkan mereka yang kaya dan mempunyai hubungan dengan orang penting.
"Pentadbiran Najib Razak tidak boleh terus menekankan bahawa mereka merupakan kerajaan yang 'Mendahulukan Rakyat' apabila tanpa ragu-ragu membebankan masyarakat yang paling lemah," ujarnya. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan