HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Oktober 2014

Tuduhan Shahidan sudah dijangka

 
Pimpinan Umno/Barisan Nasional (BN) akan yang menggunakan taktik lama dengan menuduh bahawa pimpinan PR memburukkan negara di peringkat antarabangsa.
Bz_RI-gCcAANFK-

PETALING JAYA: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dua hari lepas kononnya Rafizi dan rakan-rakan delegasi dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) memburukkan nama Malaysia dalam pertemuan dengan Menteri Luar Australia, Julie Bishops dan ahli-ahli Parlimen Australia yang lain tidak mengejutkan.

Menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, pihaknya sudah menjangkakan bahawa akan ada pimpinan Umno/Barisan Nasional (BN) akan yang menggunakan taktik lama dengan menuduh bahawa pimpinan Pakatan Rakyat (PR) memburukkan negara di peringkat antarabangsa setiap kali ada pertemuan dengan pimpinan negara luar.

“Saya membincangkan isu-isu berhubung kecenderungan Umno/BN menggunakan kempen yang memanipulasi agama dan perkauman untuk kekal berkuasa.

“Selain dari tindakan-tindakan Umno/BN menekan pihak yang berbeza pendapat dengan menggunakan Akta Hasutan dan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, isu-isu ini bukanlah perkara yang baru dan telah menerima liputan meluas di peringkat antarabangsa. Apatah lagi apabila Umno/BN enggan bertindak terhadap ugutan-ugutan perkauman dan manipulasi agama yang dibuat oleh kumpulan-kumpulan yang rapat dengan Umno/BN.
Contohnya ugutan untuk membakar Bible yang dibuat oleh Datuk Ibrahim Ali.

Ahli Parlimen Pandan itu juga telah menyatakan bahawa tindakan Umno/BN yang terus menyalahgunakan institusi undang-undang untuk menekan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan lain melalui Akta Hasutan telah pun meletakkan fokus masyarakat antarabangsa kepada rekod hak asasi manusia kerajaan Malaysia yang semakin merudum.

“Dalam pertemuan saya dengan Human Rights Watch dan Amnesty International, saya telah dimaklumkan bahawa laporan tahunan hak asasi manusia bagi tahun 2014 yang bakal dikeluarkan oleh Human Rights Watch akan mengkritik rekod hak asasi manusia yang semakin buruk kerana beberapa tindakan kerajaan Umno/BN terutamanya pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penggunaan Akta Hasutan,” ujarnya.

Jelas Rafizi lagi, Human Rights Watch dan Amnesty International juga peka dengan kecenderungan Umno/BN kebelakangan ini untuk menggunakan seksyen-seksyen tertentu dari Kanun Keseksaan (Penal Code) sedia ada bagi tujuan pendakwaan politik dengan memberi gambaran seolah-olah pendakwaan tersebut adalah siasatan jenayah biasa.

“Oleh sebab itu, jika Umno/BN benar-benar ikhlas mahu menjaga nama baik Malaysia di mata antarabangsa, ia perlulah menghentikan tindakan dan perkara-perkara yang bertentangan dengan amalan demokratik.

“Tindakan Umno/BN selama inilah yang sebenarnya telah pun menarik perhatian masyarakat antarabangsa kepada rekod demokratik dan hak asasi manusia kerajaan Malaysia yang semakin buruk,” kata beliau lagi.

Rafizi turut mengingatkan kerajaan Umno/BN bahawa dalam suasana dunia sekarang, sebarang tindakannya yang bertentangan dengan adab demokrasi akan mengundang kecaman dan tindakbalas dari banyak pihak di seluruh dunia.

“Sekiranya ada campur tangan politik untuk mempengaruhi keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, kecaman dan tindakbalas itu bukan sahaja datang dari negara-negara lain dan badan-badan antarabangsa.

“Malah ia mengundang satu lagi gelombang aktivisme di kalangan pelajar-pelajar Malaysia luar negara dan rakyat Malaysia di luar negara seperti mana yang berlaku di dalam tahun 1998 dahulu,” ujar Rafizi yang juga merupakan Setiausaha Agung PKR.

Tambah Rafizi lagi, pertemuan beliau dan rakan-rakan seperjuangan dengan mahasiswa Malaysia di Melbourne, Adelaide, Perth, Canberra dan Sydney membuktikan bahawa mahasiswa Malaysia (baik yang di bawah tajaan atau persendirian) mengikuti perkembangan politik di Malaysia secara dekat.

“Lahirnya kumpulan mahasiswa seperti Malaysian Progressives (MP) di Australia yang menganjurkan siri dialog dengan mahasiswa bagi menggalakkan kesedaran politik di kalangan mereka membuktikan Umno/BN tidak boleh mengambil mudah keberanian dan kematangan mahasiswa Malaysia di luar negara yang akan memberi tindakbalas kepada perkembangan politik di Malaysia,” ujar Rafizi.

Kata Rafizi, pimpinan PKR akan terus menjalin hubungan rapat dengan rangkaian ahli politik di seluruh dunia yang mempunyai pandangan yang sama mengenai hak demokratik, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.

“Itu adalah hak kami sebagai ahli parlimen dan pimpinan sebuah parti politik yang sah dan telah mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia,” ujarnya.

Katanya lagi, taktik menuduh kononnya pembangkang suka memburukkan nama Malaysia di mata antarabangsa yang selalu digunakan Umno/BN tidak boleh dipakai lagi.

“Umno/BN bukanlah Malaysia dan tindakan buruk mereka tidak melambangkan rakyat atau negara Malaysia, apatah lagi bila mana Umno/BN adalah kerajaan minoriti yang hanya mendapat sokongan 47% pengundi dalam pilihanraya umum ke-13 yang lalu,” kata Rafizi.

Tiada ulasan: